Friday, 27 January 2012

Cerpen: Mastura

Cerpen ini adalah cerpen terakhir sebelum saya berangkat pergi. Pergi mana? Tunggu dalam entry seterusnya, insyaAllah. Kepada mereka yang tertanya-tanya cerpen baru daripada saya, terimalah.. Mastura.


"Doktor, sebenarnya apa penyakit yang menimpa kakak saya?" Syahirah mengerutkan dahinya. Hatinya dilanda seribu kekacauan. Gundah, khuatir, sedih, bimbang. Semuanya ada. Doktor wanita yang memakai kot putih itu ditenungnya dalam-dalam.
"Penyakit macam ni, memang parah. Sebab itu kakak awak asyik muntah darah akhir-akhir ini. Dia menghidap kanser paru-paru tahap ketiga," doktor itu seperti mencari-cari sesuatu maklumat di dalam dokumennya.
"Kanser??" Syahirah yang tadinya berdiri terus terduduk di atas lantai. Tak mungkin. Tak mungkin!

***

Awan pagi berambal-ambalan di langit. Burung-burung berkicauan mesra sambil terbang dengan gembira. Matahari menyimbah cahaya ke seluruh pelusuk kawasan itu. Angin yang nyaman menolak lembut pohon-pohon di sekitar kawasan perumahan. Cuaca begitu indah.
Syahirah menuju ke meja makan. Dilihatnya sarapan yang enak sudah sedia terhidang. Nasi goreng cendawan kegemarannya begitu menarik perhatian.
"Adik, dah siap? Makanlah dulu. Kak Mas dah sediakan sarapan kegemaran adik," seorang wanita yang berusia dua puluh enam tahun muncul dari dapur sambil mengelap tangannya pada tuala kecil. Senyuman manis dilemparkan.
Syahirah tanpa membuang masa terus menyenduk nasi ke dalam pinggan. "Kak Mas, jom makan."
"Kak Mas dah makan tadi. Sekarang nak kena pergi Baitul Mahabbah. Ada kanak-kanak yang baru sahaja kehilangan orang tuanya dalam kebakaran. Hari ni dia mendaftar."
"Dah tak ada ahli keluarga lain ke yang nak jaga dia?"
Mastura menyarungkan tudungnya, "Ada, tetapi semuanya tak nak jaga. Katanya masing-masing sibuk. Orang zaman sekarang ni dik, asyik fikirkan kepentingan diri sendiri. Sibuk kejar harta dunia tapi tak nak kumpul saham akhirat."
Sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya, Syahirah memikirkan kata-kata kakaknya itu. "Kak Mas, boleh adik tanya kenapa kakak suka luangkan masa di Baitul Mahabbah?"
Mastura senyum. Indah. "Adik, Allah menyeru kita supaya berbuat baik kepada anak-anak yatim. Mereka pun perlukan kasih sayang seperti manusia lain. Kakak harap, kakak boleh kongsikan kasih sayang dengan mereka. InsyaAllah, boleh kumpul saham ke akhirat nanti," wanita itu mengakhiri perbualannya dengan ucapan salam sebelum melangkah keluar rumah.
Syahirah menghantar Mastura dengan pandangannya.

***

Baitul Mahabbah. Sebuah rumah perlindungan anak-anak yatim, juga tempat Mastura meluangkan kebanyakan masanya dengan mengurus kebajikan kanak-kanak serta remaja yang ditempatkan di situ. Baginya, Baitul Mahabbah adalah syurga dunianya.
"Mastura, awal sampai hari ni?" Ummi Kalthom, seorang wanita berjubah dengan kedutan di wajahnya menghampiri. Wanita separuh abad itu berjalan perlahan sambil terbongkok-bongkok sedikit dan tonkat di tangannya. Meskipun demikian, wajahnya tetap diserikan dengan senyuman.
"Ummi!" Mastura mendapatkan wanita itu seraya mengucup tangannya. Ummi merupakan pengurus Baitul Mahabbah selama lebih dua puluh tahun. "Semalam, Ummi kata ada budak baru nak mendaftar. Sebab itulah Mas bergegas ke sini. Siapa yang nak hantar dia?"
"Ummi pun kurang pasti. Kesian budak tu. Semua ahli keluarganya tak nak jaga. Sebab itulah, kita kena pastikan dia bahagia di sini dengan kawan-kawan yang lain."
"InsyaAllah, ummi. Dengan izin Allah," perbualan itu akhirnya terganggu dengan ucapan salam serta bunyi ketukan di pintu. Mastura dan Ummi Kalthom mencari empunya suara tersebut. Figura seorang lelaki dan anak kecil berjaya ditangkap oleh mata masing-masing.
Ummi berjalan perlahan-lahan ke muka pintu sambil dibantu Mastura. Tangan tuanya mencubit sedikit pipi kanak-kanak perempuan itu, namun anak itu kelihatan ketakutan dan bersembunyi di belakang pemuda tadi.
"Maafkan saya, ummi. Najwa ini anak kepada arwah sepupu saya yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya. Alhamdulillah, pihak bomba sempat selamatkan Najwa sebelum sebarang perkara buruk terjadi padanya. Keluarga sepupu saya tak nak terima Najwa sebab masing-masing sibuk." Ummi Kalthom mengangguk.
Pemuda itu meneruskan bicaranya, "Saya memang teringin nak jaga Najwa, tapi keluarga saya larang. Ayah tak mahu saya terbeban dengan anak buah saya ni. Saya bekerja pun gaji cukup-cukup makan. Tapi ummi, saya janji, insyaAllah kalau saya berjaya kumpul rezeki lebih, saya pasti akan ambil Najwa kembali dan buktikan kata-kata ayah tu salah."
Ummi masih mengangguk seraya mempersilakannya masuk, tetapi lelaki itu menolak. "Beginilah nak, niat kamu memang murni, dan ummi faham keadaan kamu. Tapi, selama dua puluh tahun ummi uruskan rumah kebajikan ni, belum pernah ada orang yang tuntut kembali ahli keluarga mereka. Rata-rata yang keluar dari Baitul Mahabbah ni pun sebab dijadikan anak angkat. Ummi harap, kamu boleh kotakan janji kamu."
Kini, giliran pemuda itu pula yang mengangguk. "InsyaAllah, ummi. Cuma saya ada satu permintaan. Boleh tak saya melawat Najwa selepas ini?"
Ummi Kalthom sedikit tertawa sehingga menampakkan giginya. "Sudah tentu. Ummi bukannya kejam nak putuskan tali silaturrahim kamu dan Najwa."
Pemuda itu kemudiannya separuh terduduk di hadapan anak buahnya. Dia mengelus lembut pipi anak itu dan berbisik sesuatu kepadanya. Mastura meneka, dia pasti mengucapkan selamat tinggal dan menyuruhnya jaga diri.
"Baiklah ummi, saya pergi dulu," ujarnya sambil berdiri semula. Sempat juga dia memandang Mastura dan mengangguk kecil tanda minta diri. Mastura menundukkan wajahnya.
Setelah pemuda itu kelihatan menjauh dari pandangan, Mastura mendapatkan Najwa yang berusia kira-kira tujuh tahun itu. "Najwa, jangan takut ya. Ada ramai kawan-kawan di sini. Jom, Cik Mas tunjukkan bilik Najwa," ujarnya sambil memegang lembut tangan Najwa. Najwa kelihatan takut tetapi dia tidak membantah. Anak kecil itu membuntuti langkah Mastura.

Tiga minggu berlalu. Najwa kelihatan semakin rapat dengan Mastura. Ke mana sahaja Mastura pergi, pasti anak kecil itu akan membuntuti. Bila Mastura pulang, dia akan merengek manja dan menahan Mastura supaya tidak pulang. Kadang-kadang Mastura ikutkan sahaja kemahuan Najwa. Najwa, adalah anugerah Allah buatnya.
"Kak Mas, Kak Mas?" sapaan itu terus membunuh lamunan Mastura.
"Oh adik. Maaf, kakak mengelamun tadi. Adik cakap apa tadi?" Mastura sempat beristighfar kecil. Jauh benar dia mengelamun teringatkan Najwa di Baitul Mahabbah.
"Tak, adik tanya, jadi tak kakak pergi majlis konvokesyen adik nanti?" Syahirah bertanya penuh minat.
"Jadi, insyaAllah."
"Jauhnya Kak Mas mengelamun. Dah ada buah hati ya? Cepat mengaku!" suka benar Syahirah sekiranya dapat mengusik kakaknya.
"Memang, ada."
"Hah, biar betul?" Bukan main terkejut lagi Syahirah dibuatnya.
Mastura tersenyum penuh mesra. "Tu ha, buah hati di Baitul Mahabbah. Najwa. Rindu pula Kak Mas pada Najwa walaupun baru tiga minggu jaga dia."
Syahirah mencubit hidung Mastura. "Apalah. Adik tanya betul-betul ni."
"Kakak pun jawab betul-betul apa," Mastura tertawa kecil. "Adik, kakak nak pergi Baitul Mahabbah dulu ya. Adik tu, belajar elok-elok. Kak Mas dah tak sabar nak tengok adik pakai jubah konvokesyen tu nanti." Syahirah mengangguk seraya menghantar kakaknya keluar.
Perjalanan ke Baitul Mahabbah mengambil masa selama hampir empat puluh lima minit. Terdapat lebih tiga puluh anak-anak yatim ditempatkan di situ yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja. Lazimnya, setiap kali ke sana, Mastura akan menyiapkan sarapan dahulu buat penghuni Baitul Mahabbah. Namun kini rutinnya sudah bertukar. Setiap kali dia ke sana, Najwalah yang akan dicarinya terlebih dahulu.
Hari itu, Najwa meminta Mastura menemaninya bermain buaian. Dan seperti biasa, Mastura cuba untuk menuruti permintaannya, selagi tidak berlebih-lebihan. Najwa segera duduk di atas buaian dan meminta agar ditolak.
Mastura senang melihat anak kecil itu gembira. "Najwa, Cik Mas nak tanya sikit boleh?"
Najwa mengangguk berulang kali. "Najwa suka tak tempat ni? Suka tak kawan-kawan baru?"
"Suka. Afi dengan Fiza baik sangat dengan Najwa. Afi bagi Najwa main patung dia. Lepas tu.." Najwa ligat berfikir sesuatu. "...kat sini ada Cik Mas yang baik. Macam Uncle Amin."
"Uncle Amin?" Mastura memerhatikan wajah Najwa.
"Uncle Amin selalu kasi Najwa mainan. Best." Najwa kemudiannya turun dari buaian dan berlari-lari. Mastura terkejut dengan aksi anak kecil itu lantas cuba mendapatkannya. Najwa kelihatannya memeluk seorang lelaki yang baru tiba.
"Uncle Amin! Uncle Amin!"
Lelaki yang bergelar Uncle Amin itu mencubit pipi Najwa lantas menyerahkan gula-gula untuk anak kecil itu. Mastura masih berdiri kaku di situ. Najwa menarik tangan Amin dan memperkenalkannya kepada Mastura.
"Cik Mas! Ni Uncle Amin!" Amin juga terkejut dengan tindakan Najwa itu. Tetapi, dia cuba untuk bersahaja.
"Amin. Saya nak ucapkan terima kasih sebab jaga Najwa. Saya perasan awak masa mula-mula hantar Najwa hari tu."
Mastura mengangguk dan bergerak masuk ke dalam Baitul Mahabbah. Sengaja dibiarkan Najwa meluangkan masa bersama bapa saudaranya. Juga malu dengan Amin.

***

Batuk Mastura semakin menjadi-jadi. Bila Syahirah mengajaknya berjumpa doktor, dia enggan. Katanya, batuk biasa. Sudah pelbagai jenis ubat Mastura dapatkan di farmasi, namun batuknya terus berlanjutan.
"Kak Mas, kakak tak boleh macam ni terus. Kita jumpa doktor ya?" Syahirah terus memujuk kakaknya.
"Tak apalah dik. Batuk sikit saja. InsyaAllah, beberapa hari lagi hilanglah tu," Mastura tetap berdegil.
"Masalahnya, dari minggu-minggu lepas lagi Kak Mas cakap macam tu. Tapi tak baik-baik juga."
"Adik kata nak cakap sesuatu tadi?" Mastura cuba berdolak-dalih.
"Oh ya. Abang Amin dah jumpa Mak Long. Dia suruh Mak Long tengok-tengokkan Kak Mas untuk dia. Katanya, lepas dia dah kumpul duit, dia nak ambil Kak Mas sebagai isteri dia!" Syahirah berbicara separuh teruja.
Mastura kaget. Amin tidak pernah mengenalinya dengan rapat dan dia pun begitu. Kenapa dia yang dipilihnya? Sungguh tidak layak.
Mastura mendirikan solat istikharah pada malam itu. Memohon supaya Allah menunjukkan jalan terbaik untuknya.
Najwa selalu bercerita padanya tentang Amin. Amin memang seorang yang baik dan taat kepada Allah. Buktinya, dia tidak pernah bercinta dengan Mastura, tetapi bertindak sebagai lelaki sejati dengan mendekati keluarga Mastura. Amin telah menunjukkan keikhlasannya.

***

"Baik adik-adik, lepas habis makan baca apa?" soal Mastura kepada anak-anak Baitul Mahabbah. Kemudian semuanya serentak membaca doa selepas makan.
"Alhamdulillah, baik adik-adik semua ya," Mastura tersenyum. Namun dia dikejutkan dengan panggilan dari Ummi Kalthom. Mastura segera mendapatkannya.
"Ada apa ummi?" Namun pertanyaannya sudah terlebih dahulu berjawab apabila melihat wajah Syahirah di muka pintu.
"Eh, adik! Tiba-tiba saja datang ke sini. Ada apa?"
Syahirah yang selesai mencium tangan Ummi Kalthom bersuara, "Tak boleh ke adik datang melawat kakak sendiri. Ya lah, teringin juga nak perhatikan Kak Mas bekerja."
Ummi Kalthom bergerak pergi, membiarkan kedua beradik itu berbicara. Mastura menjemput Syahirah ke dalam. Dalam bicaranya, dia tetap terbatuk-batuk.
"Bukannya tak boleh, adik. Kak Mas cuma tanya saja."
"Sebenarnya, adik takut, nanti lepas Kak Mas kahwin, adik dah tak ada masa dengan Kak Mas lagi," Syahirah mengusik.
"Kenapa pula cakap macam tu?"
"Ya lah. Kakak kan dah bertunang dengan Abang Amin. Nanti dah kahwin, susahlah adik nak jumpa kakak," Syahirah tertawa.
Mastura menyambutnya sambil terbatuk-batuk. Dia menekup mulutnya. Cecair merah membasahi tangan. Darah!
"Kak Mas! Ini dah parah. Kita jumpa doktor!" Syahirah segera memberitahu Ummi Kalthom dan memandu keretanya ke hospital terdekat. Sepanjang perjalanan, Mastura tidak berhenti-henti batuk. Syahirah khuatir. Mastura dimasukkan ke wad kerana keadaannya yang kritikal dan kurang bermaya.

***

"Doktor, sebenarnya apa penyakit yang menimpa kakak saya?" Syahirah mengerutkan dahinya. Hatinya dilanda seribu kekacauan. Gundah, khuatir, sedih, bimbang. Semuanya ada. Doktor wanita yang memakai kot putih itu ditenungnya dalam-dalam.
"Penyakit macam ni, memang parah. Sebab itu kakak awak asyik muntah darah akhir-akhir ini. Dia menghidap kanser paru-paru tahap ketiga," doktor itu seperti mencari-cari sesuatu maklumat di dalam dokumennya.
"Kanser??" Syahirah yang tadinya berdiri terus terduduk di atas lantai. Tak mungkin. Tak mungkin!
"Doktor, apa yang harus dilakukan sekarang?"
"Pihak kami boleh cuba jalankan pembedahan, tetapi peluang untuk kakak awak selamat begitu tipis. Buat masa sekarang, kami sarankan untuk dia jalankan kimoterapi."
Syahirah menitiskan air matanya. Sedih. Hiba. Tidak tahu untuk berbuat apa. "Kakak.. kakak dah tahu tentang penyakitnya?" Syahirah cuba bangkit semula.
Doktor itu merenung Syahirah. "Sebenarnya, kakak awak sudah lama tahu tentang penyakitnya." Kata-kata doktor itu, menggegarkan hati Syahirah.
"Syahirah?" Amin yang baru muncul turut bertanyakan soal Mastura. Hatinya seperti disambar petir tatkala mengetahui berita tersebut. Mastura? Kanser? Ya Allah!

***

"Ya Allah, sekiranya ini adalah ujianMu buat Mastura dan aku, maka aku redha. Engkau bantulah Mastura dalam melawan penyakitnya ya Rahman. Hanya Engkaulah yang mampu menyembuhkan dan merawat, hanya Engkaulah yang Maha Berkuasa." Amin tidak henti-henti mendoakan kesembuhan Mastura.
Dia tidak mahu, Najwa rasa kehilangan lagi. Mastura ibarat pengganti kepada ibu Najwa, dan sukar sekali untuk mencari seseorang insan yang berhati mulia seperti Mastura. Mastura sanggup menghabiskan masanya di Baitul Mahabbah bersama anak-anak yatim. Mastura menyayangi mereka seperti keluarga sendiri. Amin tidak mahu Najwa kecewa. Paling teruk, dia takut hatinya yang kecewa nanti.
Hari itu, dia telah berazam untuk menjemput Najwa dan menyatakan hasratnya untuk segera menikahi Mastura. Dia tidak mahu berlengah lagi. Dia harus mengotakan janjinya pada Ummi Kalthom untuk menjemput Najwa dan janjinya pada diri sendiri untuk menjemput bidadari dunianya.
Akhirnya, Amin tiba di hadapan Baitul Mahabbah. Waktu itu pasti Mastura berada di sana. Dia ingin memberanikan diri bercakap dengan Mastura, meskipun sebentar. Sepanjang mereka bertunang, dia belum pernah lagi berani menyentuh hati wanita itu. Baginya, Mastura ibarat khazanah Ilahi yang harus dijaganya sebaik mungkin.
Belum sempat dia memberi salam, pintu sudah terlebih dahulu dibuka dari dalam. Kelihatan wajah Ummi Kalthom. Wajah yang selalunya tenang itu kelihatan resah.
"Kenapa ni ummi?"
"Mas.. Mastura. Dia sudah tidak bergerak lagi dalam solatnya. Ummi ingatkan Mastura khusyuk dalam sujudnya, rupa-rupanya, malaikat sudah menjemputnya."
Amin terdiam.



-TAMAT-


# Mudah-mudahan, saya boleh jadi seperti Mastura. Seorang yang penyayang dan taat perintah Allah. InsyaAllah. Oh ya, dalam kisah ini, kita dapat simpulkan bahawa Amin itu bukannya jodoh Mastura. Dan bila dia berjanji, dia menepati. Saya percaya, Allah telah mentakdirkan jodoh lelaki soleh sepertinya dengan orang lain. Kasihan pula Najwa dan Syahirah. Mastura tak sempat pergi majlis konvokesyennya. T.T

3 comments:

  1. salam...subhanallah, suka cerpen ni!
    Banyak nilai dan pengajaran...paling pnting, menyentuh hati :')
    Teruskan berkarya Ina!

    ReplyDelete
  2. @Isma Haneefa

    Waalaikumussalam, terima kasih akak sebab sudi baca.
    InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang

    ReplyDelete
  3. Subhanallah... sedih bila baca cerpen ni.
    betul kata Isma Haneefa , banyak pengajarannya...
    SYABAS!! Teruskan usaha, berkarya sambil berdakwah..
    Semoga Allah limpahkan rahmat buat nurina n fmly :)

    ReplyDelete