Saturday, 14 January 2012

Cerpen: Pahlawan Zyria

Desiran pasir di padang yang tandus itu sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan Zhafran. Pedangnya terhunus tepat ke hidung Yulovio yang separuh terduduk itu. Peluh mula menitis membasahi pipi hitam lelaki yang keresahan itu. Mungkin bila-bila masa lagi nyawanya bakal ditamatkan di tangan pahlawan Islam Kota Zyria itu. Yulovio mengetap bibirnya, hatinya bercampur baur.

Kemudian Zhafran tersengih. “Heh. Inikah yang dikatakan Yulovio yang terhebat itu? Saat ini, kau sedang terduduk di hadapan aku. Di manakah kehebatan yang kau bangga-banggakan selama ini?” Zhafran menduga. Pandangan matanya bertemu pandangan mata Yulovio.

***

“Asra, Asra!” si Pemecah Kesunyian, sama dengan gelarannya, mengejutkan semua yang berada di rumah itu. Mereka memerhatikan gelagat lelaki itu yang kelihatan resah-gelisah sambil mencari-cari seseorang. Rifqi memegang bahu Pemecah Kesunyian, sekali gus menghentikan langkah lelaki itu.

“Kau kenapa? Masuk terpekik-pekik begini.”

“Asra, Asra. Mana Asra?” suara cemas itu semakin membimbangkan semua yang berada di situ. Tidak pernah-pernah Pemecah Kesunyian khuatir sebegini. Gelagatnya aneh.

Seketika kemudian, keluarlah satu figura yang rendah, berkulit cerah dan memakai serban hitam. Jubah yang dipakainya mencecah ke atas lantai. Dia memegang beberapa naskhah manuskrip di tangannya. Lelaki itu kelihatan terkumat-kamit membacakan sesuatu. Kedua-dua belah matanya tertutup rapi, namun dia terus berjalan.

Rifqi memandang Pemecah Kesunyian. Kelihatannya dia seperti serba salah untuk memanggil Asra saat itu. Kesemua tetamu di rumah itu tahu bahawa Asra sedang berusaha menghafaz ayat-ayat al-Quran. “Hah, itu dia Asra yang kau cari,” Rifqi menunding jarinya tepat ke arah pemegang naskhah tadi.

Pemecah Kesunyian berlari-lari ke arah Asra dan memeluk tubuhnya. Manuskrip di tangannya terjatuh. Matanya terbuka. Pemecah Kesunyian menangis sambil mendakap Asra.

“Pak Cik Qayyum, ada apa ini?” kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu bersuara. Meskipun usianya masih muda, fikirannya begitu cerdas. Dia mampu berfikir di luar batasan. Bahkan kadang-kadang berjaya menandingi pemikiran golongan dewasa Kota Zyria. Dan Pemecah Kesunyian tahu kanak-kanak itu mewarisi kecerdasan daripada ayahnya.

“Ayahmu… ayahmu…” suaranya tersekat-sekat.

“Kenapa dengan ayah?” Asra masih lagi tenang bersuara.

“Begini, nak. Seramai lima puluh pahlawan dari Kota Aifel datang untuk membunuh ayahmu! Dan ayahmu sekarang sedang dalam perjalanannya, sendirian, untuk menentang pahlawan-pahlawan itu. Pak cik khuatir, ada sesuatu yang akan menimpa ayahmu.”

Kesemua yang berada di situ terkejut. Namun tiada pula riak sebegitu yang ditunjukkan Asra. Asra tenang, namun tidak berkata apa-apa. Rifqi menghampiri Pemecah Kesunyian.

“Benarkah apa yang kau katakan ini, Qayyum? Siapakah yang memimpin barisan pahlawan-pahlawan itu?”
Pemecah Kesunyian mengangguk, “Pahlawan Yulovio yang tidak percayakan Tuhan itu.”

“Tak guna!” Rifqi menumbuk dinding. Qasim bangit dari duduknya dan bersuara. “Ahli rumah yang dimuliakan sekalian, kita harus melakukan sesuatu. Abangku, Zhafran, tidak mungkin boleh menewaskan lima puluh pahlawan sendirian. Kita harus membantunya…”

Abu Harith menyampuk, “Maafkan aku wahai tuan rumah yang dihormati. Aku terpaksa menentang pendapatmu. Bukankah abangmu itu merupakan pahlawan yang hebat? Aku yakin dia pasti dapat menumpaskan pahlawan-pahlawan Kota Aifel itu. Aku sendiri pernah melihat pahlawan Zhafran menewaskan tiga orang pencuri yang mencuri buah-buahanku di pasar. Aku yakin dengan kekuatannya.”

Qasim terdiam. Dia sangat ingin membantu abangnya, namun dia tidak petah untuk berhujah. Tiba-tiba, Asra yang kecil itu bersuara.

“Sahabat-sahabat ayahku yang dikasihi, ayahku pernah memberitahuku, meskipun Allah mengurniakannya kebolehan bermain pedang dan kekuatan yang tersendiri, dia tetap ada kelemahan. Ayah Zhafran itu bukannya Tuhan. Ayah pernah pulang ke rumah dalam keadaan yang luka akibat terjatuh dari unta. Ayah selalu berpesan kepadaku, setiap manusia itu ada kelemahan mereka. Janganlah takut kepada manusia dan janganlah memuja manusia.”

Rifqi memeluk Asra. “Anak kecil ini benar wahai sahabat-sahabatku. Kita harus melakukan sesuatu demi membantu Zhafran, sahabat baikku. Kita harus membantunya.”

“Allahuakbar!” Qasim bertakbir menandakan dia menyetujui kata-kata Asra dan Rifqi. Tidak lama kemudian, takbir memenuhi segenap pelusuk ruangan di rumah itu. Rifqi memandang Asra. “Anakku, pergilah mendapatkan ibumu.”

***



Zhafran mengusap-usap kudanya sepanjang perjalanan menuju ke pintu gerbang Kota Zyria. Khabarnya, mereka menunggunya di luar pintu gerbang. Sepanjang perjalanan, pahlawan itu tidak berhenti-henti menyebut asma Allah dan ayat-ayat kebesaranNya. Dia tidak tahu apa yang bakal berlaku nanti, namun apa yang pasti, dia tidak rela seluruh Kota Zyria bakal ditakhluki oleh orang ateis. Dia mahukan ummah yang hidup dalam ajaran yang benar, iaitu Islam.

Zhafran redha andai kata itu merupakan hari terakhirnya meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. Semalam, dia sudah beristikharah. Berita tentang pertarungan ini hanya diketahui oleh dia melalui utusan penduduk Aifel. Dia pergi tanpa memberitahu anaknya, adik iparnya, sahabat baiknya serta isterinya, Aishah.

“Ahh… Aishah. Bagaimanalah perasaannya saat mengetahui berita ini nanti? Pasti wajah mulus itu bakal dibasahi dengan air mata. Atau, bagaimana sekiranya dia pengsan nanti?’ monolog Zhafran sendirian. Dia sangat merisaukan isteri dan keluarganya.

Aishah memang seorang yang kuat semangat, namun dia cepat risau apabila perkara itu melibatkan keluarga. Zhafran tahu, jika kota ini tidak berjaya diselamatkannya, pasti Yulovio yang angkuh itu akan menawan kota ini. Dan yang paling teruk, dia pasti bakal mengahwini Aishah. Selepas itu, mungkin sekali dia bakal membunuh Asra, anak hasil ikatan Zhafran dan Aishah.

“Arghh. Aku tidak boleh membiarkan semua itu berlaku! Aishah, Asra, aku akan memerangi mereka habis-habisan. Cuma ada dua pilihanku, menang atau syahid…”

***

Sementara itu, pahlawan-pahlawan dari Kota Aifel sedang bergembira di hadapan pintu gerbang Kota Zhafran.

Nikolas menghampiri kuda Yulovio. Pengikut setia Yulovio itu juga ada keresahan di hatinya. “Tuan Yulovio yang hebat, bagaimana jika si Zhafran tak berguna itu membawa pengikut-pengikut bersamanya?”

Yulovio mengusap janggut panjangnya sambil memandang pintu gerbang utama Kota Zyria yang terkenal itu. “Hahaha. Aku yakin, Zhafran tidak akan berani melakukannya. Dia tidak mungkin mahu melihat masjid yang dibina di pertengahan Kota Zyria dan Kota Aifel diruntuhkan begitu sahaja,” Yulovio terkekeh-kekeh ketawa diikuti Nicolas.

“Tuan, bolehkah saya bertanya, sebenarnya ada apa di dalam masjid itu sehingga sebahagian penduduk Islam di kota kita juga sanggup bersusah payah ke sana pada setiap hari Jumaat?”

“Zhafran itu seorang yang terkutuk. Dia menggunakan ilmu sihirnya untuk mengumpan penduduk-penduduk kota kita ke sana. Tapi kau jangan risau, selepas Zhafran mati kelak, aku tetap akan meruntuhkan masjid itu.”
“Tuan memang pintar dan hebat!” Nikolas memuji Yulovio. Bertambah angkuhlah lelaki berkulit hitam itu.

Tidak lama kemudian, seorang utusan berlari-lari anak menuju ke arah Yulovio dan Nikolas. Dia tercungap-cungap.

“Tuan Yulovio! Pahlawan Zhafran sudah tiba!”

Yulovio tersengih. Zhafran tiba hanya bersama kuda kesayangannya. Lima puluh pahlawan Kota Aifel sudah bersedia, malah telah lama bersedia.

Berdekah-dekah Yulovio ketawa. “Hahaha. Zhafran, Zhafran. Dahulu kau pernah menjadi sahabatku, namun pada hari ini kau akan mati di tanganku. Belum pernah ada manusia yang berhasil menewaskanku sebelum ini. Adakah kau sudah bersiap-sedia menghadapi kematianmu?”

“Yulovio, hari-hari aku bersedia menghadapi kematianku, kerana aku percaya ajal dan maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa bukan di tangan kau!”

“Hei manusia tak berguna! Allah itu tidak wujud, buktinya di mana Dia sekarang? Dia pasti tidak mampu menyelamatkan engkau daripada mati di tanganku.”

Zhafran beristighfar, “Yulovio, kau telah melakukan dosa yang besar. Bertaubatlah engkau sementara masih ada peluang. Allah itu Maha Pengampun.”

“Celaka engkau!” Yulovio menghayunkan pedangnya ke udara. “Serang!”

“Sebentar!” satu suara menghentikan semua aksi. Yulovio dan Zhafran terkejut.

Kira-kira lima puluh penunggang kuda dari Kota Zyria muncul di situ. Masing-masing membawa senjata. Rifqi yang mengetuai barisan pertahanan tersebut.

“Rifqi?” Zhafran mengangkat kening kehairanan. 

“Celaka kau Zhafran. Bukankah kau telah berjanji untuk tidak membawa pengikut. Aku akan menyuruh pengikut-pengikutku meruntuhkan masjid itu!”

“Memang, Zhafran telah berjanji sebegitu. Dan dia telah menunaika janjinya. Zhafran langsung tidak mengkhabarkan kepada sesiapa tentang pertarungan ini. Kami sendiri yang ingin turut serta. Jadi kau, Yulovio, tidak ada hak untuk berbuat apa-apa. Zhafran telah pun menunaikan janjinya!” Rifqi bersuara.

Yulovio meludah ke atas pasir. “Ah! Apa sangatlah penjual di pasar serta pekebun berbanding pahlawan-pahlawanku yang gagah perkasa.”

“Kami mungkin tidak kuat dari segi fizikal, tetapi kami kuat dari segi kerohanian.” Qasim pula berkata-kata.
“Ahhhh! Seraaaaaaaaaaaannnnnngggggg!” Yulovio mengisytiharkan peperangan.

Masing-masing mencari sasaran. Pahlawan-pahlawan yang gagah berani menyerang dengan gagah. Pedang mereka mencederakan pejuang Kota Zyria. Ada yang terjatuh dari kuda masing-masing, namun ada juga yang mampu menumbangkan pahlawan Aifel.

Zhafran meredah pahlawan-pahlawan Aifel untuk menyerang Yulovio yang angkuh itu. Namun pertahanannya terlalu ramai. Sebahagian anggota tubuh Zhafran telah pun dicederakan. Tangannya luka dan berdarah. Perutnya kesakitan akibat terkena pedang pahlawan-pahlawan Aifel.

Rifqi dan Qasim pula berjuang mati-matian untuk mempertahankan Kota Zyria. Tidak mungkin mereka akan membiarkan kota itu jatuh ke tangan Yulovio dan pengikut-pengikutnya. Rifqi bertemu dengan seorang pahlawan yang bertubuh sasa dan berbadan tegap. Mereka meludah ke wajahnya. Rifqi mengesat wajahnya.
Pahlawan itu bersuara sombong, “Penduduk Zyria yang tidak berguna! Mana mungkin kau boleh tewaskan kami pahlawan Aifel yang gagah lagi perkasa!” Pahlawan itu menumbuk pipi Rifqi.

“Heh!” Rifqi mengesat darah di mulutnya. Mereka berlawan satu sama satu. Rifqi berjaya mencederakan lengan pahlawan itu. Akibat amarahnya, Rifqi ditolak kasar sehingga terjatuh ke bawah. Kemudian pahlawan itu turut turun dari kudanya mendapatkan Rifqi. Dia telah bersiap-sedia untuk membunuhnya.

Zhafran yang kebetulan melihat peristiwa itu segera menukar arah kudanya. Sahabat baiknya berada dalam keadaan bahaya. “Rifqi!!!”

Zappppp! Tangan kanan Rifqi dipotong. Rifqi mengerang kesakitan. Zhafran cuba melajukan kirinya. Tanpa membuang masa, pedang itu terhunus ke perut Rifqi. Pahlawan itu kemudiannya pergi meneruskan tugasnya untuk membunuh yang lain. Zhafran turun dari kudanya sambil menggenggam tangan kiri Rifqi.

“Rifqi!!”

“Zhafran, selamatkan kota ini. Selamatkan Islam,” nadanya tersekat-sekat.

“Rifqi, kenapa kau buat semua ini? Kau tak perlu lakukannya!”

“Zhafran, sahabat yang baik adalah sahabat yang sanggup menemani sahabatnya sehingga ke nafas yang terakhir. Aku cuba menjadi sahabat seperti itu.”

“Walaupun kau tak lakukan semua ini, kau tetap sahabat baik aku. Kau sahabat dunia akhirat aku.” Zhafran melihat Rifqi dalam kondisi nyawa-nyawa ikan. Dia membisikkan kalimah syahadah ke telinga Rifqi. Usai mengucap kalimah tersebut, Rifqi telah dijemput oleh malaikat maut sebagai pejuang syahid.

“Argh!” Zhafran menggenggam erat pedangnya dan menunggang kembali kudanya. Dia segera mendapatkan pahlawan yang membunuh Rifqi tadi.

“Mahu membalas dendam?” pahlawan itu terkekeh-kekeh ketawa.

“Tidak. Aku mahu menegakkan Islam. Aku beri kau peluang, adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

“Gila. Aku bersumpah aku tidak akan melakukan walaupun salah satu daripada kedua-dua itu!”

“Aku memberimu satu lagi peluang. Adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

“Benar aku kata kau gila. Mati hidup semula pun aku tidak akan melakukan salah satu daripada kedua-dua itu!” Dan sepantas kilat pedang Zhafran tertusuk pada perut pahlawan itu. Pahlawan tersebut jatuh tersungkur dari kudanya.

Setelah itu, Zhafran kembali mencari Yulovio. Setelah mengalahkan pahlawan-pahlawan yang lain, akhirnya dia berjaya mendapartkan lelaki itu.

“Akhirnya, Zhafran yang ditunggu-tunggu. Sudah bersedia untuk mati di tanganku? Hahaha.”

“Aku tidak takut kepada selain Allah. Ajal dan mautku di tanganNya, bukan di tanganmu.”

“Celaka engkau.” Yulovio menghayunkan pedangnya tetapi berjaya dielak oleh Zhafran. Pedang Yulovio dilibas-libas ke kanan dan kiri tubuh Zhafran. Zhafran mengelak dan bertahan. Kemudian, tiba gilirannya. Zhafran melibaskan pedangnya ke tubuh Yulovio tetapi berjaya dielak. Setelah beberapa minit pergelutan berlaku, kuda yang ditunggangi Yulovio tiba-tiba rebah ke atas pasir. Yulovio jatuh tertiarap. Zhafran segera mengambil kesempatan itu untuk menewaskan Yulovio. Yulovio terduduk lemah.

Desiran pasir di padang yang tandus itu sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan Zhafran. Pedangnya terhunus tepat ke hidung Yulovio yang separuh terduduk itu. Peluh mula menitis membasahi pipi hitam lelaki yang keresahan itu. Mungkin bila-bila masa lagi nyawanya bakal ditamatkan di tangan pahlawan Islam Kota Zyria itu. Yulovio mengetap bibirnya, hatinya bercampur baur.

Kemudian Zhafran tersengih. “Heh. Inikah yang dikatakan Yulovio yang terhebat itu? Saat ini, kau sedang terduduk di hadapan aku. Di manakah kehebatan yang kau bangga-banggakan selama ini?” Zhafran menduga. Pandangan matanya bertemu pandangan mata Yulovio.

“Kau.. jangan bunuh aku. Aku ada isteri dan anak-anak di rumah!”

“Sekarang aku hendak tanya, siapakah yang memegang nyawamu kini?”

“Pastilah engkau. Aku mohon, jangan bunuh aku.”

“Engkau salah. Nyawa engkau berada di tangan Allah. Sekiranya aku mengkehendaki, sudah bila-bila masa sahaja kau mati. Namun atas dasar keimananku pada Allah, aku belum membunuhmu, kerana ada pertanyaan yang belum aku lontarkan.”

“Apakah pertanyaan itu?” Yulovio sangat bimbang.

“Aku beri kau peluang, adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

“Tidak mungkin! Aku tidak mungkin melakukan salah satu daripada kedua-dua itu!”

“Yulovio, aku memberimu satu lagi peluang. Adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

Yulovio terdiam. Peperangan  sudah berhenti. Pahlawan-pahlawan Aifel serta pejuang-pejuang Zyria memerhatikan tindakan yang melibatkan pemimpin-pemimpin mereka itu. Tewasnya Yulovio, bererti tewaslah pasukan mereka.

“Baiklah. Aku sanggup menjadi tebusanmu dan mengajar anak-anak membaca serta mengira. Namun aku belum bersedia memeluk Islam.”

Zhafran mengalihkan pedangnya dari hidung Yulovio. Takbir memenuhi angkasa. Pejuang-pejuang Islam sudah menang. Allahuakbar! Allahuakbar!

Zhafran menoleh belakang untuk melihat sahabat-sahabatnya. Pada masa itulah, Yulovio mengambil pedangnya untuk menghapuskan riwayat Zhafran. Zhafran tidak menyedari perbuatan itu.

Bunyi tusukan pedang kedengaran. Zhafran menoleh belakang. Yulovio terkejut. Bukan Zhafran yang ditusuknya, tetapi orang lain. Qayyum telah menghalang dan menggantikan dirinya ke dalam posisi itu. Suasana sepi. Semua orang terkejut dengan tindakan Yulovio dan Qayyum yang muncul entah dari mana.

“Hei, kenapa setiap kali suasana sepi aku yang kena pecahkan kesunyian?” Qayyum bersuara.

“Qayyum? Kau tak apa-apa?”

“Heh. Aku pakai baju besilah! Kau tengok, pedang ni bukannya tertusuk betul-betul pun!” Qayyum mencabut pedang di perutnya.

“Pemecah Kesunyian! Memang sesuailah gelaran kau tu!” Abu Harith mendakap sahabatnya itu. Semua pahlawan-pahlawan Islam melakukan sujud syukur. Yulovio terpaksa akur pada kekalahannya. Pahlawan Aifel yang tewas semuanya diberi pilihan untuk dijadikan tebusan ataupun masuk Islam. Sebahagian daripada mereka yang kagum dengan cerita kuda Yulovio yang tiba-tiba rebah berminat untuk memeluk Islam. Mereka dibenarkan untuk tinggal di Kota Zyria untuk mendalami ilmu Islam. Manakala pahlawan yang berkeras seperti Yulovio dijadikan tawanan penduduk Zyria.

“Zhafran, kau tak apa-apa?” Qasim memeluk abang iparnya. “Alhamdulillah, kemenangan berada di pihak kita. Allah itu Maha Adil.”

“Tapi Rifqi…”

“Tidak mengapa. Allah sudah menjanjikan syurga baginya. Dia beruntung kerana syahid. Ayuhlah kita uruskan pengebumian para syuhada kita. Beritahu kepada ahli keluarga masing-masing.”

“Baiklah. Tapi, ada yang ingin menemuimu.”

Zhafran mengangkat kening tanda hairan.

“Ayaaahhhhh!” Asra yang comel dan cerdas itu mendapatkan ayahnya. Aishah membuntuti anaknya dari belakang. Zhafran mendakap Asra.

“Ayah, saya tahu ayah akan pulang. Saya tahu Allah memihak pada kita. Barangsiapa yang ingin membantu agama Allah, maka Allah pasti akan mebantunya, kan?”

“Pandai anakku. Alhamdulillah. Tidak sia-sia kau mendidiknya, Aishah.”


“Eh. Abang pun didik dia juga, kan?” Zhafran tersenyum syukur. Aishah menyambung bicaranya, “Sampai hati abang pergi tanpa mengkhabarkan dulu kepada saya. Abang buat saya risau.”

“Abang minta maaf. Tetapi selepas ini, insyaAllah, kehidupan kita akan menjadi lebih baik. Abang akan menyebarkan dakwah Islam kepada penduduk Kota Aifel. Semakin ramai yang memeluk Islam, harapnya agama ini akan terus berkembang. Allah telah menunjukkan kekuasaanNya pada hari ini, agama Islam adalah agama yang benar.”

“Harap-harap suatu hari pahlawan-pahlawan Aifel serta Yulovio itu akan terbuka hati untuk memeluk Islam.”
“InsyaAllah. Jika kita menunjukkan kelembutan dan akhlak Islamiah yang kukuh, pasti berhasil menambat hati mereka untuk memeluk Islam. Sama-sama kita doakan.”

Asra pula menyampuk, “Ayah, jangan lupa doakan saya menjadi seorang hafiz ya?”

Zhafran tersenyum sambil mengusap ubun-ubun anaknya.


-TAMAT-


"Sekiranya kamu membantu (agama) Allah, maka Allah akan membantu (urusan) kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu." Surah Muhammad ayat 7.


Facebook : www.facebook.com/nurinaizzati

6 comments:

  1. wow~ tulis sendiri? ke inspired dari mana2 kisah?

    ReplyDelete
  2. waw pnjg..this will take me couple of days to finish..i will coz ur words are powerful! insyaallah :D

    ReplyDelete
  3. @lavender harum wangi
    memang tulis sendiri, cerita rekaan. inspired dari buku2 kepahlawanan kot

    ReplyDelete
  4. @Little Girl
    cerpen ni sekitar 6 atau 7 m/s word, selalu tulis pendek ni nak cuba tulis panjang sikit. ^^

    ReplyDelete