Perkahwinan. Perkahwinan merupakan ikatan antara dua pihak, bukan sahaja si suami dan si isteri, malahan ikatan dan jalinan antara dua buah keluarga. Sebelum berkahwin, lazimnya kedua-dua pasangan akan melangsungkan ikatan pertunangan terlebih dahulu bagi mengenali isi hati kedua-dua belah pihak. Pasti ada yang hairan dan mungkin sekali ada yang mentertawakan saya kerana mungkin pada usia saya yang masih mentah ini, saya masih belum layak untuk menulis tentang persoalan ini.
Namun menurut saya, setiap orang perlu dan layak diberikan pendedahan tentang masa hadapan. Pada masa hadapan, remaja seperti saya juga akan bertunang dan seterusnya berkahwin. Jadi tidak ada salahnya jika kita diberikan pendedahan seperti ini.
Sumber carian: Google |
Menurut pandangan saya, ramai yang menyalahgunakan kuasa 'tunang' ini untuk menghalalkan yang haram. Bertunang itu tidak semestinya memiliki. Bertunang adalah untuk mengesahkan bahawa seseorang itu bakal menjadi isteri mahupun suami kita dan supaya tidak ada orang ketiga, keempat mahupun kelima yang mengganggu. Tempoh pertunangan samalah seperti tempoh kita 'booking' seseorang itu.
Pasangan tunang pada hari ini, saya lihat bebas melakukan perkara yang sewajarnya hanya dilakukan oleh suami isteri misalnya berjanji temu, berpegangan tangan, bermalam di rumah tunang meskipun bilik lain-lain. Kita sebenarnya kena faham konsep tunang yang sebenar-benarnya, seperti yang saya nyatakan sebelum ini.
Bagaimanakah cara bertunang yang sepatutnya? InsyaAllah, akan saya kongsikan berdasarkan pengetahuan saya.
1. Sekiranya seseorang itu hendak membawa tunangnya keluar (lazimnya lelaki), dia perlulah mendapatkan kebenaran pihak tunangannya terlebih dahulu dan jika diizinkan, perempuan itu perlulah keluar dengan ditemani mahramnya misalnya abang, pak cik atau saudara perempuan. Melalui penyelesaian ini, insyaAllah tidak akan ada maksiat yang berlaku.
2. Sepanjang tempoh pertunangan, pasangan perlulah mengelakkan diri daripada sebarang sentuhan fizikal, terutamanya berpegangan tangan. Haram kan hukumnya menyentuh bukan mahram?
"Sekiranya kepala salah seorang
daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu
daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu."
(Hadis
Riwayat ath-Thabrani)
3. Jangan menginap di rumah pasangan, meskipun berlainan bilik kerana hal-hal seperti ini akan menimbulkan fitnah kepada orang lain, dan tidak mustahil juga menjerumus kepada perkara-perkara yang tidak diingini seperti penzinaan. Nauzubillahi minzalik.
4. Layan pasangan, seperti ajnabi. Bertunang, cuma bertunang. Belum berkahwin. Tidak ada apa yang berubah. Bezanya, anda cuma telah ditempah. Jaga komunikasi, jangan berlebih-lebihan.
5. Dekati ibu bapa. Ini adalah kaedah yang dilakukan ramai, antaranya seperti yang dilakukan oleh saudara Hilal Asyraf sepanjang tempoh pertunangannya. Dekati keluarga supaya masing-masing faham konsep mengutamakan keluarga, bukannya pasangan. Kadang, ada pasangan yang terlalu mengutamakan tunangnya, sampai sanggup melukakan orang tua sendiri. Apa pun kita kena berpegang dengan konsep hablumminannas.
Secara keseluruhannya, tunang ini merupakan suatu yang baik. Cuma janganlah kita mengubahnya kepada sesuatu yang buruk. InsyaAllah, kalau kita tahu jaga diri, pasti hidup kita akan lebih diberkati oleh Allah. Berkahwin itu juga merupakan suatu ibadah. Melalui berkahwin juga umat Islam dapat meneruskan medium dakwah kepada generasi-generasi muda. Sekiranya kita memudahkan urusan Allah, sudah pasti Allah akan membantu memudahkan urusan kita pula.
Jadi kepada tunangan orang di luar sana, saya doakan yang terbaik untuk kalian. Mudah-mudahan pertunangan itu dapat berkekalan sehingga ke gerbang perkahwinan, suatu peringkat yang lebih mencabar lagi dalam kehidupan. Tetapi jangan sesekali mengalah, terus ke hadapan dan maju.
Kepada Pak Din, bapa saudara saya, tahniah atas pertunangan tadi. Semoga berlanjutan dan berkekalan hubungan yang kalian bina, semoga sentiasa mendapat berkat Allah. Sebarkanlah Islam kepada generasi akan datang.
p/s: Dapat Ferrero Rocher dan strawberry daripada pihak perempuan.
No comments:
Post a Comment