Sunday, 25 November 2012

Motivasi: Berani Kerana Perlu


Video di atas merupakan satu video yang sungguh menambat hati saya. Bagaimana, seorang anak kecil mahu  tentera Israel beredar dari kawasannya. Saya melihat, ada semangat perjuangan dalam hati anak kecil ini. Suatu semangat yang kental untuk memperjuangkan haknya. Satu contoh yang membuka mata dunia akan perlunya keberanian dalam diri kita.

Jika saya yang berada di tempatnya, saya sendiri tidak pasti adakah saya akan melakukan hal yang sama dengannya. Sifat cintanya pada sahabatnya, sifat cintanya pada negara, merupakan sifat cinta yang jarang dimiliki oleh kanak-kanak yang seusia dengannya. Dan jika anak ini membesar suatu hari nanti, dia akan menjadi pencorak kepada kegemilangan generasi akan datang, saya pasti. Ayuhlah, kita contohi sifat kentalnya ini.

Keberanian. Keberanian merupakan kunci kepada kekuatan diri. Selalunya, kita sering mendengar ayat berani kerana benar. Tetapi saya ingin tekankan di sini bahawa, berani kerana perlu. Perlunya kita untuk berani dalam setiap masa. Dalam setiap situasi. Saya menulis tentang keberanian bukanlah maksudnya saya sudah cukup berani. Belum. Saya menulis kerana mahu menggalakkan diri saya untuk berani, dan juga mengajak anda sama. 

Setiap orang ada kelemahan masing-masing. Ada perkara yang membuatkan mereka takut. Takut untuk maju ke hadapan. Kita cuma perlu cari titik ketakutan itu, dan buangnya jauh-jauh. InsyaAllah, rasa takut itu akan hilang. Walau apa pun sebenarnya, semua berpunca dari hati. Kalau hati kata takut maka takutlah. Kalau hati kata berani maka beranilah. Keberanian adalah modal kepada seorang pemimpin. Pemimpin lahir daripada seseorang yang mampu membuang semua rasa takut dalam dirinya.

Salah seorang sahabat Rasulullah yang perlu dijadikan modal insan kerana sifat beraninya sudah tentulah Khalifah Umar bin Al-Khattab, khalifah kedua selepas Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Yang jelas, keempat-empat khalifah selepas kewafatan Rasulullah mempunyai kaedah kepemimpinan mereka yang tersendiri. Dan sifat yang menonjolkan kewibawaan Khalifah Umar adalah kerana sifatnya yang berani ini.

Khalifah Umar digelar Al-Faruq yang membawa maksud pemisah hak dan batil, yang benar dan yang palsu. Beliau mendapat gelaran ini setelah ketika sekumpulan umat Islam buat pertama kalinya dalam sejarah bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka. Bahkan, beliau sendiri yang menjaga para jemaah dari gangguan orang Kuraisy. Inilah yang dikatakan berani kerana perlu. Jika Khalifah Umar tidak melakukan demikian, maka umat Islam mungkin tidak berani untuk sembahyang di hadapan Kaabah.

Saya ingin memetik kata-kata Johni Pangalila (tidak ada sebarang kaitan dengan Randy Pangalila) yang diungkapkan dalam bahasa Inggeris. Tears will not erase your sorrow, hope does not make you successful, courage will get you there. Jika saya terjemahkan bunyinya begini, Air mata tidak akan meghapuskan kesedihanmu, harapan tidak akan menjadikanmu berjaya, keberanianlah yang akan membawamu ke sana.

Keberanian adalah permainan kita dengan risiko. Berdasarkan hasil pembacaan saya, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi keberanian seseorang iaitu visi, tindakan dan semangat (passion). Jadi anda boleh menilai sendiri, adakah anda mempunyai ketiga-tiga elemen ini. Jika ya, anda sudah pastinya seorang yang berani! Jika tidak, kita perlu terus mencari dan mencari. Beringatlah, berani kerana perlu. Hidup akan menjadi lebih bermakna jika kita berani. InsyaAllah.

2 comments:

  1. kecekalan dan keberanian anak2 palestin buatkan kita menangis...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yup. Kecekalan seperti inilah yang harus dijadikan pengajaran. ^^

      Delete