Friday, 31 January 2014

Motivasi: 4 Kata Kunci Kehidupan

Peganglah dunia, seolah-olah dunia ini berada di dalam tangan kita. Ertinya, kita yang mengawal dunia. Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak akan terlepas daripada pelbagai tipu daya dunia yang dihidangkan. Kadang, maksiat yang berlaku di hadapan mata sendiri pun dibiarkan sahaja dengan alasan "Alah, biasa la tu."

Mudah-mudahan kita tidak tewas dengan duniawi kerana apabila telah sampai ke tahap sedemikian rupa, hati kita telah menjadi keras. Oleh itu, kita boleh cuba mengamalkan 4 kata kunci tersebut. Daripada sering mendengar muzik, kita bertukar kepada al-quran. Janganlah mengabaikan al-quran daripada kehidupan. Muzik adalah hiburan duniawi, tetapi al-quran adalah hiburan untuk akhirat.

Daripada mengamalkan adat dan kepercayaan, lebih baik bertukar kepada sunnah nabi kerana sunnah adalah sesuatu yang baginda rasul wariskan kepada kita. Dapat pahalanya juga.

Let us change for better.


Posted via Blogaway

Thursday, 30 January 2014

Diari#47: Travel Time

Alhamdulillah, rezeki semakin melimpah ruah dengan pemberian limau oleh tauke kedai yang bakal menyambut tahun baru cina pada esok hari. Limau-limau yang diberi ini halal untuk dimakan, melainkan limau yang bertujuan untuk pemujaan dan bersifat keagamaan. Bahkan, tidak ada salahnya juga untuk orang Islam mengucapkan selamat tahun baru cina kepada mereka yang menyambutnya kerana perayaan ini tidak berunsurkan keagamaan.

Pesanan saya kepada mereka yang sedang bercuti, berhati-hatilah di jalan raya. Bukannya apa, jika kita kemalangan akibat kecuaian sendiri orang lain pula yang akan menjadi mangsanya. Dalam perjalanan saya untuk pulang ke Selangor tadi terdapat sebuah kemalangan di lebuh raya yang mengakibatkan kesesakan sepanjang jalan. Alhamdulillah bukan kami yang terperangkap tetapi lorong di sebelah kanan. Hah, kalau cuai macam-macam yang boleh terjadi.

Oh ya, terima kasih juga saya ucapkan kepada para bloggers yang sudi untuk menyertai giveaway world hijab day yang masih berlangsung. Cuma mungkin saya tidak dapat blogwalking ke blog-blog yang lain buat sementara waktu kerana tidak membawa laptop. Apa pun, saya amat menghargai sokongan anda. Kepada yang masih belum menyertainya, masih belum terlambat lagi ya!


Posted via Blogaway

Wednesday, 29 January 2014

Cerpen: Ada Apa Dengan Pensel



Cerpen ini adalah request daripada @Han_Jeossi yang meminta saya menulis sebuah cerpen bertemakan pensel. Hehe. Cerpen ini untuk awak. Maaf jika tidak menepati kriteria yang diinginkan. Kepada semua, selamat membaca! 


Ada Apa Dengan Pensel

Sabrina mula melakar sesuatu pada buku lukisannya. Sesekali pandangan matanya beralih ke hadapan, dan kemudiannya bertukar kembali fokus terhadap lakarannya. Pensel birunya itu dipegang dengan penuh kesenian. Angin berhembus perlahan meniup lembut tudung putihnya. Jiwanya berasa tenang. Hatinya berkicau senang. Sudah menjadi suatu kebiasaan untuk Sabrina memenuhi masanya menunggu bas dengan melukis gambar pemandangan pada buku lukisannya. Dengan melukis, barulah gadis berusia 17 tahun itu dapat melegakan segala tekanan yang menghimpitnya.

Setiap kali pulang dari sekolah, dia sengaja menunggu bas kedua kerana ingin melukis. Dia tidak suka mengambil bas pertama kerana sudah pastinya penuh dengan para pelajar yang sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah masing-masing. Namun, bas kedua akan tiba agak lewat kerana mengambil pelajar dari sekolah-sekolah yang lain dahulu, barulah datang untuk mengambil Sabrina. Sabrina langsung tidak kisah dengan semua itu. Dia rela menanti sendirian di perhentian bas dan melayani perasaannya sendiri.

Sedang asyik melukis, tiba-tiba sahaja gadis itu dikejutkan dengan satu lontaran suara dari belakang. Sabrina langsung tidak perasan akan kehadiran orang lain di situ. Sabrina menoleh dan menangkap satu figura yang dikenalinya. Rifqi Aqil, seorang pelajar baru sekolahnya yang berada di tingkatan yang sama. Cuma mereka berlainan kelas.uk. Nafasnya turun naik, seolah-olah baru selesai menghabiskan sebuah larian. Hari itu, dia telah terlambat untuk pulang ke rumah kerana terpaksa menghantar tugasan sekolah yang dikumpulkan ke meja guru. Apabila menyedari dia sudah terlambat, lelaki itu segera berlari ke situ kerana khuatir tertinggal bas. Dia memerhatikan sekujur tubuh yang sedang duduk bersendirian di situ.

“Adik, bas dah pergi ya?” Rifqi mengesat peluh yang membasahi wajahnya. Sungguh dia tidak mengerti bagaimana seorang perempuan yang bertudung mampu menahan kepanasan terik matahari.

Sabrina terkejut diajukan pertanyaan sedemikian. Tambahan pula, Rifqi memanggilnya adik walhal mereka sebaya.

“Bas pertama sudah lima minit pergi. Tapi bas yang kedua akan tiba dalam dua puluh minit lagi,” Sabrina menjawab sambil pandangan matanya dialihkan ke arah yang lain. Sengaja tidak mahu bertentangan mata dengan Rifqi. Rifqi mengerutkan dahinya.

“Eh, bas kedua? Memang ada ya bas seterusnya?” Rifqi terkejut mendengar pernyataan itu. Sepanjang enam bulan dia bersekolah di situ, barulah dia tahu terdapat bas lain selain bas sekolahnya. Sabrina mengangguk dan kemudian mengalihkan kembali pandangannya ke hadapan. Buku lukisannya ditutup rapi dan disimpan ke dalam beg. Dia tidak mahu ada orang lain yang melihat lukisannya.

Rifqi berdiri tegak kembali, terpaksa akur menerima hakikat bahawa bas hanya akan tiba sekitar dua puluh minit lagi. Baru sahaja beberapa minit dia berdiri dan memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang, dia sudah diselimuti kebosanan. Kemudian dia memerhatikan pelajar perempuan yang sedang duduk itu sambil memerhatikan pemandangan sekeliling.

“Kau pun tertinggal bas ya, dik?” Rifqi menduga ingin tahu. Sabrina terkejut sekali lagi dengan lontaran pertanyaan itu. Namun kepalanya langsung tidak menoleh ke belakang.

“Saya tak suka ambil bas pertama,” ringkas Sabrina menjawab.

“Kenapa?” Rifqi dihujani pertanyaan. Aneh sungguh gadis itu.

“Baginda rasul pernah bersabda, sabar adalah separuh daripada iman dan keyakinan adalah seluruh keimanan, riwayat Ath Thabrani dan Al Baihaqi,” Sabrina menjawab dengan sebuah hadis Rasulullah yang berkisarkan tentang kesabaran. Menurutnya, tidak ada ruginya jika dia tetap bersabar. Yang penting, dia dapat pulang ke rumah.

Rifqi semakin bingung dan tertanya-tanya akan maksud hadis tersebut. Namun, dia cuma mendiamkan diri. Malas mahu melayan. Akhirnya seperti yang dijangka, bas kedua pun tiba di hadapan mereka berdua. Bas yang ini lebih kurang pelajarnya daripada bas yang selalu dinaiki oleh Rifqi. Tempat duduk pun banyak yang kosong. Sabrina membiarkan Rifqi yang naik dahulu ke atas bas, barulah dia menyusuli.


***

Pagi Ahad. Hari yang kurang digemari oleh para pelajar sekolah kerana terdapat sesi perhimpunan rasmi yang memakan masa yang lama. Paling lewat sekitar satu jam setengah. Dan yang paling menyeksakan, semua pelajar terpaksa berdiri sepanjang waktu perhimpunan, melainkan pengetua memberikan kebenaran untuk mereka duduk.

Rifqi Aqil menarik nafas panjang. Paling tidak, dia masih lagi bersyukur kerana boleh bergerak untuk memeriksa barisan pelajar. Baru sahaja dua bulan dia bersekolah di situ, guru-guru sudah memberi kepercayaan kepadanya dan langsung melantiknya sebagai pengawas. Mungkin mereka sengaja memberinya peluang untuk mendapat sijil bagi digunakan selepas SPM kelak.

“Rifqi, kau pergi mana hari Khamis tu?” Amirul Aizuddin bertanya setelah menghampiri sahabatnya itu. Lebih baik dia berbual-bual dahulu dengan rakan-rakan sebelum perhimpunan bermula.

“Hari Khamis?” Rifqi mengerutkan keningnya meminta penjelasan. “Kenapa dengan hari Khamis?”

“Yalah, hari tu kau tak balik sekali naik bas. Ayah kau datang ambil ya?” Amirul membetulkan letak songkoknya yang sedikit senget.

“Oh, itu. Aku tolong Cikgu Julia hantar buku-buku latihan Kimia ke atas meja bilik guru. Lepas itu barulah aku perasan aku terlambat. Aku dah tekad hendak berjalan kaki pulang jika tidak ada bas. Nasib baik ada bas yang seterusnya,” jelasnya. Dia sendiri tidak dapat membayangkan terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk pulang ke rumah.

“Begitu rupanya. Tahu pula kau ada bas kedua? Kalau tak, alamatnya bengkak-bengkaklah kaki kau ya?” terhambur ketawa Amirul.

“Masa di perhentian bas, aku terserempak dengan seorang junior ni. Dia yang beritahu aku ada bas lagi satu. Tapi, dia tu... macam pelik sikit. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Jawapan dia pula langsung aku tak faham,” Rifqi cuba mengingat kembali tentang gadis yang ditemuinya tempoh hari. Begitu... misteri.

“Mungkin dia malu dengan kau? Kau kenal dia?”

“Tak. Tapi aku rasa dia pelajar sekolah ni. Ah, sudahlah. Tak usah fikirkan tentang dia. Pandang hadapan, perhimpunan sudah bermula,” Rifqi menolak lembut kepala Amirul supaya memandang ke arah pentas utama.

Seperti biasa, perhimpunan rasmi dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu-lagu kebangsaan. Setelah itu disusuli pula dengan ucapan oleh guru bertugas, barisan pentadbir dan akhirnya pengetua. Pengetua sekolahlah yang selalu menyampaikan ucapan panjang lebar. Ramai yang berminat mendengarnya, tetapi tidak kurang juga yang bermain sesama sendiri akibat kebosanan.  Rifqi juga turut menjadi bosan, namun sesuatu berjaya menarik perhatiannya untuk fokus ke atas pentas buat seketika.

“...Sabrina binti Hairudin telah berjaya mengharumkan nama sekolah kita setelah dia memenangi tempat kedua dalam Sketching Competition Malaysia baru-baru ini. Cikgu rasa sangat berbangga dengan adanya seorang pelajar yang sungguh berbakat...”

Rifqi membuka mata seluas-luasnya untuk memerhatikan pelajar yang sedang berdiri bersebelahan dengan pengetua itu. Dia mengamatinya agak lama dan akhirnya Rifqi benar-benar yakin pelajar itulah yang menunggu di perhentian bas pada waktu itu. Melalui apa yang disampaikan oleh pengetua, sudah pasti pelajar itu telah memenangi sesuatu yang besar sehingga melayakkannya untuk berdiri di atas pentas seperti itu.

Rifqi mencuit bahu Amirul di sebelah sambil berbisik, “Amirul, itulah junior yang aku cakap tadi!” Amirul menjeling Rifqi sekilas, kemudian memerhatikan Sabrina. Setelah itu, dia mengembalikan pandangannya kepada Rifqi dengan penuh rasa teruja.

“Itu bukan juniorlah! Dia sebaya dengan kita, pelajar kelas A3. Nama dia Sabrina. Dia memang pendiam, tapi kalau kau nak tahu, dia sebenarnya berbakat besar dalam seni. Setiap kali ada pertandingan melukis atau mewarna, memang dialah wakil sekolah yang akan dihantar,” Amirul memberikan keterangan tanpa dipinta. Dia tahu, pasti Rifqi ingin tahu serba sedikit tentang Sabrina.

Rifqi menepuk dahinya sendiri, tidak percaya. Bagaimana pula dia boleh memanggilnya adik tempoh hari? Rifqi kembali memerhatikan sesusuk tubuh yang sedang melirik senyum di atas pentas. Dia menghela nafas.

Pada hari itu, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Tepat jam 2.20 petang, para pelajar sedikit demi sedikit memenuhi kawasan halaman sekolah untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada yang pulang menaiki kereta, van, bas sekolah dan juga basikal. Sedikit demi sedikit, akhirnya pelajar sekolah ini mulai lesap ditelan masa.

“Sabrina, tahniah ya atas kejayaan awak. Bangga tahu kami berdua jadi kawan awak,” Wan Pei yang bertocang dua mengoyak senyum sehingga menampakkan barisan giginya yang kemas. Dia menepuk bahu Sabrina berkali-kali. Aufa Aliah yang berdiri di sebelah Wan Pei juga ikut senyum.

Sabrina memegang tangan Wan Pei di bahunya. “Terima kasih. Semua ni kuasa Tuhan.” Sabrina tidak kekok untuk berbicara tentang Tuhan dan Islam di hadapan Wan Pei kerana gadis cina itu seorang yang berfikiran sangat terbuka. Bahkan, kadang-kadang mereka akan bertukar-tukar kisah tentang agama masing-masing. Seingat Sabrina juga, Wan Pei tidak pernah mengatakan sesuatu yang buruk tentang Islam.

“Awak nampak tak saya dari atas pentas tadi? Siap lambai tangan lagi tu,” Aufa Aliah mengangkat kedua-dua belah keningnya. Dia kemudian membetulkan tudungnya yang tidak kemas sambil memandang Sabrina.

“Nampaklah. Saya tahan sahaja gelak dari atas pentas awak tahu?” Sabrina menggeleng kepala. Ada-ada sahaja sahabatnya yang seorang itu. Belum sempat Aufa Aliah membalas, Wan Pei sudah menyampuk terlebih dahulu. “Itupun bas sudah sampai.”

Aufa Aliah memandang Sabrina. “Awak tak nak ikut?” Dia sudah tahu jawapan yang akan diterimanya sebentar lagi. Bukannya dia tidak kenal, Sabrina tidak suka bersesakan dengan pelajar yang lain dan sanggup tunggu di perhentian bas sendirian untuk bas yang lain. Sayang, Aufa Aliah tidak boleh menemani Sabrina kerana terpaksa pulang awal. Sabrina cuma menggeleng sambil menghantar Wan Pei dan Aufa Aliah dengan pandangan. Bas yang sudah penuh dengan pelajar itu kemudian bergerak pergi dan perlahan-lahan menghilang dari pandangan.

Sabrina mengambil posisi duduk di tempat duduk yang disediakan. Kemudian, dia terus mengeluarkan buku lukisannya dan pensel biru kesayangannya. Sebelum memulakan lakaran terbaru, dia mengasah pensel terlebih dahulu supaya tajam dan selesa untuk melukis. Sabrina mengamati berkali-kali pensel yang telah siap diasah itu.

“Kenapa tengok pensel tu lama-lama? Pensel ajaib ya?” Soalan itu terpacul keluar dari mulut Rifqi Aqil yang baru muncul di situ. Hari itu, sekali lagi dia terlepas bas yang pertama kerana dipanggil oleh Cikgu Rahim ke bilik guru. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini ramai pula guru yang mahu berjumpa dengannya. Sabrina menoleh sebentar dan memandang kembali ke hadapan setelah memastikan pemilik suara tersebut.

“Pensel ni memang ajaib. Setiap kali pensel diasah, pensel akan menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Begitu juga dengan manusia. Manusia juga perlu melalui proses asahan untuk menjadikan kita seseorang yang lebih baik,” Sabrina memandang pengawal keselamatan sekolah yang sedang mengawal trafik sekolah.

Rifqi di belakang sudah mengerutkan keningnya. Sudahlah dia tertinggal bas, terpaksa pula mentafsirkan madah pujangga daripada gadis aneh di hadapannya itu.

“Cuba kau terangkan sikit. Aku tak berapa fahamlah,” Rifqi berkira-kira untuk duduk di sebelah Sabrina. Tetapi teringatkan kata-kata Amirul Aizudin siang tadi, dia tidak jadi melakukan sedemikian. Adakah Sabrina memang pendiam orangnya? Tetapi petah pula dia berkata-kata sebentar tadi.

“Kita kena biarkan diri kita diasah walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang perit. Manusia akan belajar apabila berdepan dengan pelbagai masalah. Setiap ujian, dugaan, masalah, halangan yang Tuhan turunkan adalah untuk membentuk diri kita menjadi lebih tabah dan supaya kita belajar daripada setiap masalah. Kita cuma perlu mencari cara untuk mengatasinya.”

“Maksud kau, masalah boleh mematangkan kita?”

Rifqi dapat melihat kepala Sabrina yang mengangguk. Masalah... sesuatu yang tidak pernah berenggang dengan dirinya. Rifqi sekadar memerhatikan Sabrina yang menyimpan kembali buku lukisan dan pensel ke dalam begnya. Rifqi kemudiannya melayani perasaannya sendiri tanpa banyak bertanya. Tubuhnya disandarkan pada tiang berhampiran.

Semenjak kecil, dia sudah diuji dengan pelbagai masalah. Keluarganya berasal dari orang yang agak susah. Setiap hari, ayah dan ibunya terpaksa membanting tulang untuk membantu dia dan adik-beradiknya dalam persekolahan. Kadang-kadang, dia sendiri terpaksa ponteng sekolah rendah untuk bekerja. Apabila ayahnya diterima bekerja di sebuah syarikat, kehidupan mereka bertambah senang. Namun, pada akhir tahun lepas, ibunya meninggal dunia akibat sakit jantung. Sehingga hari ini, dia masih tidak percaya semuanya terjadi dalam sekelip mata.

Rifqi memerhatikan sebuah bas kuning yang baru memunculkan diri. Dia menjeling sebentar ke arah Sabrina sebelum melangkah masuk ke dalam bas. Gadis itu mempunyai wajah yang biasa-biasa sahaja, namun seakan-akan satu aura luar biasa terpancar daripadanya.

***

“Sabrina, awak nak bentang tak presentation kita hari ni?” Aufa Aliah menyinggung lengan Sabrina lembut.
Sabrina menggeleng. “Awak sahajalah, seperti biasa.”

“Kalau tak saya yang present, mesti Aufa yang kena present. Kenapa awak tak nak present?” Wan Pei sengaja menduga. Matanya bertentangan dengan mata Sabrina.

“Saya kan tak pandai bercakap, awak berdua lagi pandai. Saya cuma akan buat malu sahaja untuk kumpulan kita nanti,” Sabrina menarik senyum. Namun hakikatnya, tidaklah seperti yang dibicarakan.

“Baiklah.” Aufa Aliah mengambil pemacu pena kumpulan mereka dan bangun menuju ke hadapan kelas. Kumpulan mereka dipilih untuk membentangkan subjek Biologi untuk bab yang keempat. Sabrina dan Mei Ling sudah bekerja keras untuk idea dan persembahan, cuma tinggal pembentangan sahaja. Aufa Aliah seorang yang petah berbicara dan boleh membentangkan  subjek kegemarannya itu dalam sekejap sahaja serta mudah untuk difahami.

Sabrina mula mengendurkan senyumannya perlahan-lahan. Jauh di sudut hatinya, dia berasa serba salah terhadap Aufa Aliah dan Wan Pei. Sebenarnya, bukannya dia tidak pandai membuat pembentangan. Dia cuma malu dengan keadaan dirinya. Wajahnya gelap dan tidak cantik. Jauh sekali berbeza dengan Aufa Aliah yang memiliki wajah cerah dan licin. Dia kurang yakin kepada dirinya sendiri dan memilih untuk menjadi pendiam sahaja. Namun, semua itu menyakitkannya. Dia terluka dari dalam.

Selesai kelas Biologi, Sabrina, Aufa Aliah dan Wan Pei bergerak pulang seperti biasa. Sabrina terus dilanda rasa serba salah terhadap rakan-rakannya. Namun, dia cuma mendiamkan diri sahaja. Ini bukan masalah biasa. Ini masalah jiwa.

Seperti biasa, Sabrina menolak pelawaan rakan-rakannya untuk pulang sekali. Dia ingin menunggu bas seterusnya. Gadis itu menoleh ke kiri dan ke kanan, ke hadapan dan ke belakang. Bimbang kalau lelaki itu muncul lagi. Setelah kawasan dipastikan selamat, Sabrina membuka lukisannya. Dia mula membelek beberapa helaian lukisannya yang terdahulu. Sabrina menarik nafas panjang. Dia mula mengeluarkan pensel biru kesayangannya dan melakar sesuatu di helaian yang baru. Seolah-olah, dengan melukis, segala tekanannya dapat bergerak pergi jauh meninggalkannya.

Setelah hampir lima minit melukis, akhirnya Rifqi Aqil muncul juga di perhentian bas itu. Termasuk hari ini, sudah beberapa kali dia sengaja pulang lewat semata-mata untuk mendengar kata-kata daripada Sabrina. Namun dia tidak pulang lewat setiap hari untuk mengelakkan rasa curiga Sabrina. Rifqi memerhatikan Sabrina yang sedang khusyuk melukis tanpa menyedari kehadirannya. Timbul tanda tanya tentang apa yang dilukis oleh Sabrina selama ini.

Rifqi berjalan perlahan-lahan dari belakang untuk memerhatikan lukisannya. Sabrina sedang melukis wajah seseorang. Dia melukisnya dengan begitu teliti gaya pelukis profesional. Garisan demi garisan dicantumkan di satu titik punca untuk menghasilkan gambaran rambut.

“Kau lukis gambar siapa?” pertanyaan Rifqi itu spontan membuatkan Sabrina terkejut sehingga tercampak buku lukisan dan penselnya di atas jalan.

“Astaghfirullah. Awak!” Sabrina terus bangun dari duduknya untuk menyelamatkan barang-barangnya. Rifqi sekadar memerhatikan tindak-tanduk Sabrina. Gadis itu mengangkat buku lukisannya seraya mencari-cari sesuatu yang lain. Tergambar riak cemas pada wajahnya yang selama ini begitu tenang. Rifqi baru pertama kali melihat Sabrina sedemikian rupa.

“Kau cari apa?” Rifqi bertanya cuba membantu. Yalah, memang salah dia juga muncul tanpa memberi salam. Serta merta dia teringat pesan ustaz di dalam kelas Pendidikan Islam pagi tadi. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam.” (HR Abu Dawud) Rifqi Aqil menepuk dahinya sendiri.

Sabrina memerhatikan di atas jalan, kemudiannya mengalihkan pandangannya ke dalam longkang. Matanya mulai membulat tidak percaya. “Pensel, pensel saya jatuh ke dalam longkang.” Matanya masih melekat pada sebatang pensel biru di dalam longkang yang dalam itu. Rifqi tertawa sambil menggeleng kepala. Sangkanya apa tadi. “Pensel saja pun. Kan boleh beli lain?” Pada ketika itu, Rifqi perasan perubahan pada wajah Sabrina. Wajahnya bertukar durja dan tidak setenang dahulu. Rifqi menghentikan tawanya.

“Pensel itu sangat berharga buat saya, awak faham?” Sabrina menunduk. Tidak mungkin dia akan masuk ke dalam longkang untuk menyelamatkan penselnya. Habis bajunya akan kotor nanti. Dan tidak mungkin dia akan melakukan hal demikian di hadapan Rifqi. Malunya.

“Maafkan aku. Nanti aku belikanlah yang baru untuk kau,” Rifqi cuba memujuk. Entah mengapa, dia jadi kasihan pula melihat wajah Sabrina yang kesedihan itu. Sabrina tidak langsung menjawab. Dia kelihatan seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Rifqi cuma diam menanti jawapan.

“Kenapa awak nak ambil tahu tentang urusan saya?” Sabrina menyoal. Ketika itu, barulah dia menyedari bahawa Rifqi sudah beberapa kali pulang lewat. Hendak dikata tertinggal bas, tak mungkin sekerap itu. Rifqi juga sering mengajaknya berbual-bual sekiranya dia pulang lewat.

“Sabrina, janganlah marah.” Rifqi cuba menenangkan keadaan apabila melihat wajah Sabrina yang selama ini mendamaikan bertukar serius. “Saya cuma mahu berkawan dengan awak.” Jujur Rifqi meluah rasa. Meskipun Sabrina ini misteri orangnya, kata-kata yang diungkapkannya sentiasa ada hikmah. Dan sudah beberapa kali juga Sabrina memberitahunya tentang hadis-hadis Rasulullah.

“Kawan?” Sabrina menggeleng. “Awak tak perlu berkawan dengan saya.” Dia kemudiannya mengalihkan pandangannya.

“Bukankah dalam Islam, kita dituntut agar berkawan?” Rifqi pula menyoalnya. Kali ini, Sabrina pula yang terdiam. Dia malu.

“Awak pengawas sekolah dan seorang pelajar yang cemerlang. Tak layak saya berkawan dengan awak,” Sabrina menjelaskan. Menurutnya, mereka berdua sudah ibarat langit dan bumi. Jauh sekali perbezaannya. Rifqi lebih layak untuk berkawan dengan orang seperti Aufa Aliah yang cantik. Belum sempat Rifqi membalas apa-apa, bas sudah tiba di sebelah mereka. Kali ini, Sabrina pula yang terlebih dahulu masuk ke dalam bas dengan penuh perasaan hampa.

***

Rifqi tersembam ke atas tanah. Pedih menguasai pipinya. Amirul Aizudin segera mendapatkan Rifqi yang terjatuh. Wajahnya didekatkan pada wajah Rifqi di atas tanah. “Kau yakinkah hendak teruskan perlawanan dengan Aslam? Dia sengaja menjerat kau, Rifqi. Lebih baik kita hentikan sahaja perlawanan ini,” Amirul cuba memujuk.

Rifqi menumbuk bumi dengan kedua-dua belah tangannya yang tergenggam. Perlahan-lahan, dia cuba untuk bangkit kembali. Dia mencari wajah lawannya. Nur Aslam sedang tersenyum sinis padanya. Beberapa hari yang lepas, Nur Aslam mencabarnya untuk perlawanan bola sepak padahal Rifqi bukanlah seseorang yang lincah di padang. Sejak kecil dia jarang bermain bola dengan rakan-rakannya. Pada saat rakan-rakan seusianya bergembira dahulu, dia terpaksa membantu orang tuanya untuk bekerja demi menanggung kehidupan keluarga.

Nur Aslam. Lelaki itu telah lama menyimpan rasa tidak suka terhadap Rifqi Aqil semenjak pelajar baru itu mula-mula menjejakkan kakinya pada awal tahun ini. Manakan tidak, baru sahaja masuk ke sekolah sudah dilantik sebagai pengawas dan langsung diberi kepercayaan oleh para guru untuk memegang jawatan yang tinggi dalam badan pengawas. Kalau dahulu, nama Nur Aslam yang akan berada di atas senarai nama pelajar cemerlang, kini namanya telah digantikan dengan seorang lelaki yang bernama Rifqi Aqil. Aslam sengaja mencabar Rifqi untuk membuktikan bahawa dia yang lebih hebat daripada Rifqi kerana dia tahu kelemahan lelaki itu.

Perlawanan diteruskan untuk separuh masa kedua. Rifqi sudah bertekad untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi. Dia tidak tahu mengapa terus-menerus ada orang di dalam dunia ini yang tidak menyukainya. Dan terus-menerus masalah demi masalah datang menimpanya.

Bola kini sedang berada di kaki Razmin. Razmin menghantar bola ke arah Rifqi. Rifqi memerhatikan keadaan sekeliling. Ketika itu, masa seolah-olah sedang bergerak perlahan. Aslam dan yang lain-lain sedang berusaha untuk mendapatkan bola yang sedang menuju ke arahnya itu. Rifqi memejamkan matanya buat seketika. Ketika itu, ingatannya melayang kembali teringatkan salah satu kata-kata yang diungkapkan Sabrina kepadanya.

“Assalamualaikum,” Rifqi tersenyum sambil menyandarkan dirinya ke tiang perhentian bas itu meskipun dia tahu Sabrina tidak memerhatikan senyumannya itu.

Sabrina menjawab salam dan terus menutup buku lukisannya. Pensel biru diselitkan di tengah buku lukisan sebelum buku tersebut dimasukkan ke dalam beg. Rifqi memerhatikan mulut Sabrina yang seolah-olah terkumat-kamit menyebut sesuatu.

“Kau jampi apa tu?” spontan dia bertanya.

“Bismillahirrahmanirahim,” Sabrina mengulangi kata keramatnya, tetapi kali ini secara jelas agar didengari oleh Rifqi.

“Kenapa. Kau nak makankah?”

Sabrina menjeling Rifqi sekilas sebelum kembali pandang ke hadapan. “Menyebut basmallah bukannya ketika hendak makan sahaja. Untuk setiap perkara yang kita lakukan agar terlindung daripada sebarang musibah dan mendatangkan kebaikan.”

“Yakah?” Rifqi masih tertanya-tanya. Sabrina menyampaikan kepadanya sepotong hadis Rasulullah.
“Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (Al Qur'an) maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu dilipatgandakan menjadi sepuluh kebaikan. Aku (Nabi Muhammad) tidaklah mengatakan Alif Laam Miim adalah satu huruf, melainkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." (H.R. At Tirmidzi no. 2910, dishahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani)

“Oh, begitu.” Rifqi mengangguk-angguk.

Rifqi kembali membuka matanya. Dia mengucapkan kata keramat basmallah lalu pantas mendapatkan bola yang sedang bergolek dengan laju itu. Dengan izin Allah, bola tersebut tidak berhasil dirampas oleh Aslam. Rifqi segera membawa bola ke bahagian jaring dan menendang sekuat hati untuk menjaringkan. Bola terbang tinggi. Mata-mata yang ada cuma memerhatikan. Begitu juga dengan penjaga gol. Sebelum sempat diselamatkan, bola telah terlebih dahulu menyentuh jaring.

Pasukan Rifqi bersorak kegembiraan. Rifqi seolah-olah mendapat kekuatan yang baru. Dia meneruskan momentumnya itu sehinggalah pasukannya berjaya mengalahkan pasukan Nur Aslam. Rifqi tersenyum puas dan mengucapkan syukur.

“...Setiap ujian, dugaan, masalah, halangan yang Tuhan turunkan adalah untuk membentuk diri kita menjadi lebih tabah dan supaya kita belajar daripada setiap masalah. Kita cuma perlu mencari cara untuk mengatasinya.”

Entah mengapa, semenjak insiden pensel semalam, Rifqi dihantui rasa bersalah terhadap Sabrina. Dan kata-kata Sabrina pula asyik terngiang-ngiang di dalam mindanya sejak pagi tadi. Setelah tamat perlawanan pada petang itu, Rifqi segera berlari menuju ke perhentian bas. Dia tidak menelefon ayahnya terlebih dahulu untuk menyatakan latihannya telah tamat. Perhentian bas itu kosong. Rifqi mula mencari-cari sesuatu. Dia memandang ke dalam longkang yang dalam untuk mencarinya.

“Hah, ada!” Rifqi meletakkan beg sekolahnya di tepi. Untung sahaja dia memakai baju sukan pada hari itu. Kakinya perlahan-lahan masuk ke dalam longkang. Dia menjaga langkahnya agar tidak terjatuh dan mencederakan dirinya sendiri. Tubuhnya ditundukkan sedikit. Rifqi memanjangkan tangannya untuk mencapai pensel biru tersebut. Berkat kesungguhannya, dia berjaya mendapatkan juga pensel biru yang menyebabkan Sabrina kesal dengannya semalam.

Rifqi tersenyum sendiri. Dia tidak tahu apalah yang istimewa sangat dengan pensel yang dipegangnya itu. Kemudian, pandangan matanya menangkap tulisan pada pensel tersebut. ‘Follow your heart’. Nampaknya, pensel ini bukannya pensel biasa-biasa sahaja. Pasti banyak kenangan Sabrina bersama pensel tersebut.



***

“Kau tak melukis lagi hari ini?” Rifqi sengaja duduk di sebelah hujung  tempat duduk yang disediakan, tidak jauh dari Sabrina. Jaraknya tetap dijaga. Hari itu untuk kesekian kalinya dia dipanggil lagi ke bilik guru. Kebetulan pada hari itu ada juga beberapa pelajar yang lain turut mengambil bas yang kedua. Mungkin mereka juga tertinggal bas yang pertama.

Sabrina tidak memberikan sebarang respons. Seboleh-bolehnya, mahu sahaja dia menjawab Rifqi yang telah menyebabkan penselnya terjatuh ke dalam longkang tempoh hari. Sabrina meneruskan pembacaan buku agama yang baru dipinjamnya dari perpustakaan sekolah.

“Kau masih marahkan aku?” Rifqi terus mendesak. Namun hasilnya tetap sama. Sabrina tidak mahu memberikan sebarang respons. Akhirnya Rifqi terpaksa mengalah. Dia tidak mahu berteka-teki lagi.

“Follow your heartlah.” Rifqi bermalas-malasan. Pura-pura merajuk. Kata-katanya itu berjaya menangkap perhatian Sabrina.

“Apa awak cakap tadi?” Sabrina mahu memastikannya. Apa yang dikatakan oleh Rifqi sebentar tadi persis dengan apa yang tercatat pada batang pensel biru kesayangannya yang telah hilang.

Rifqi membalas pandangan Sabrina yang sedang memandangnya dengan riak ingin tahu. Dia tersenyum seraya mengeluarkan sebatang pensel biru dari poket seluarnya. Pensel itu sudah dibasuh sebersih-bersihnya. Sabrina gembira tidak terkata. Syukur kepada Yang Maha Kuasa. Baru sahaja dia ingin mencapai penselnya, Rifqi menarik tangannya ke belakang.

“Sebelum itu, aku ada soalan untuk kau.”

“Apa?” Wajah Sabrina bertukar hairan.

“Bahagian pensel yang mana satu yang paling penting?” Sabrina sedikit bingung dengan pertanyaan lelaki itu namun dia terpaksa menjawabnya untuk mendapatkan penselnya itu. “Bahagian dalamlah,” Sabrina menjawab. Masakan itu pun tidak tahu.

Rifqi tersenyum. “Betul. Bahagian yang paling penting untuk sebatang pensel adalah bahagian dalamnya. Sama juga dengan manusia. Bahagian yang paling penting untuk kau adalah dalaman kau. The most important part of you will always be what’s inside, not the outside, Sabrina.”

“Terima kasih.” Sabrina menarik batang penselnya dari pegangan Rifqi. Dia segera mengalihkan pandangan ke arah lain. Hatinya seolah-olah direnjat oleh renjatan elektrik. Benar sekali apa yang dikatakan oleh Rifqi itu. Lagipun, Allah memandang seseorang itu pada dalaman, bukan luarannya. Hatinya bertukar sayu. Oh Tuhan... betapa hinanya diri ini kerana menghukum nikmat yang telah Engkau berikan padaku selama ini!

***

Waktu persekolahan sudah tamat. Para pelajar seperti biasa berpusu-pusu keluar untuk pulang ke rumah masing-masing. Dan seperti biasanya, Sabrina, Wan Pei dan Aufa Aliah berjalan bersama ke perhentian bas.

“Sabrina, saya tidak percaya awak berani bentangkan tugasan kita dalam kelas Physics tadi. Awak memang hebat. Saya fokus mendengar semua penerangan awak,” Wan Pei memuji. Dia seolah-olah tidak percaya apabila Sabrina dengan yakinnya mahu keluar daripada kepompong segannya yang tebal selama ini. Aufa Aliah juga gembira melihat perubahan drastik sahabatnya itu.

“Awak dah tak segan lagi?” Aufa Aliah bertanya. Sabrina menggeleng. Dia sedar, tidak ada apa yang perlu dimalukan sebenarnya dengan wajahnya. Sabrina sebenarnya boleh berjaya dengan caranya tersendiri, cuma dia sahaja yang takut untuk mencuba. Dia bersyukur  kerana Allah telah membukakan pintu hatinya melalui seseorang.

Ketika itu jugalah, Sabrina melihat Rifqi Aqil sedang berjalan di hadapannya bersama Nur Aslam. Rifqi sudah pun berbaik-baik dengan Aslam semenjak Aslam tewas dalam perlawanan tempoh hari. Aslam sedar Rifqi sebenarnya boleh dijadikan seorang rakan yang baik, bukannya lawan. Malahan, dia sepatutnya belajar bersama-sama dengan Rifqi untuk sama-sama mengejar kecemerlangan dalam peperiksaan SPM yang bakal menjelang tiba.

Rifqi sempat melirik ke arah Sabrina, berterima kasih di dalam hati kerana telah banyak membantunya dengan kata-kata yang bermotivasi. Dia tidak lagi menganggap Sabrina sebagai seorang yang aneh. Namun, dia masih lagi tertanya-tanya tentang keperntingan pensel biru itu kepada Sabrina. Mungkin, sampai bila-bila pun dia tidak akan mengetahui hakikat tersebut.

Sabrina menghantar bas pergi dengan pandangannya. Rakan-rakannya dan Rifqi telah bergerak pergi meninggalkannya sendirian di situ. Setelah memastikan keadaan sekeliling kosong, Sabrina mengeluarkan buku lukisannya dan pensel biru kesayangannya.

‘Kau sangat berharga buat aku, kerana aku membeli kau pada hari yang sama aku menemui dia,’ monolognya sendirian. Sabrina membuka lukisannya dan membelek lukisan-lukisannya sebelum ini. ‘Hari ini, aku akan lukis potretnya lagi. Rambutnya sudah sedikit panjang dan tidak sama seperti biasa.’ Pensel itu pun menyentuh helaian kertas di dalam buku dan mula menari-nari dengan riangnya.


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Al Baqarah : 216)

Monday, 27 January 2014

Giveaway World Hijab Day by Cahaya Kekuatanku

TAMAT


Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat hati untuk mengadakan giveaway ini. Giveaway World Hijab Day adalah bertujuan untuk menunjukkan sokongan kita, para bloggers kepada wanita yang bertudung di luar sana. Bertudung adalah hak individu, terutamanya wanita muslimah dan tidak sepatutnya seorang wanita yang memakai tudung didiskriminasikan sebagaimana yang umum ketahui kes-kes tersebut telah banyak berlaku di negara kita, Malaysia.

Bertudung juga bukan hanya terbatas kepada wanita muslimah sahaja, tetapi kepada semua wanita dunia. Bukti di Malaysia, model terkenal, Felixia Yeap seorang yang berbangsa cina berasa selesa untuk mengenakan hijab di kepalanya. Oleh itu, World Hijab Day yang diinspirasikan oleh Nazma Khan mengajak seluruh wanita dunia untuk mengenakan hijab meskipun cuma untuk satu hari, supaya semua orang boleh menikmati keselesaan dan ketenangan dalam bertudung.

Kepada semua yang membaca entry ini, ayuhlah sama-sama kita menyokong Giveaway World Hijab Day sebagai satu usaha amal untuk mempopularkan hijab kepada para wanita. Alhamdulillah, dalam masa satu hari saya berjaya mendapatkan beberapa penaja yang sudi untuk menaja giveaway ini. Semoga Allah membalas kebaikan mereka. Giveaway ini terbuka kepada semua, tidak kira lelaki atau perempuan. Pelbagai hadiah menarik menanti peserta. Setiap peserta yang memenuhi semua syarat yang ditetapkan akan menerima penanda buku giveaway secara percuma. Jangan lepaskan peluang anda.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan:

1. Hadiah tajaan syarikat N’s Asia Enterprise
2. Novel Single Unavailable berserta autograf penulis x 5
3. Shawl x 3 oleh Maznizam Adha
4. Tudung bawal x 2 oleh Syaz
5. Sepit rambut, kerongsang, mini lipstick x 3 oleh Cik Na
6. Keychain nama bantal x 3 oleh Athirah
7. Naturgo mask x 3 oleh Diari Hati
8. DIY Fabric Sticker x 3 oleh Farahdeena Fisal
9. Bloglist 2 bulan x 10 , Review blog x 5, Edit blog x 1 oleh Hana Jalil
10. Topup
* RM 10 untuk 3 orang oleh Princess Ayuni
* RM 10 untuk seorang oleh KJZ
* RM 5 untuk 2 orang oleh Maznizam Adha
* RM 5 untuk 2 orang oleh Ian Faizal
* RM 5 untuk 2 orang oleh Nur Marini
* RM 5 untuk 2 orang oleh Eyqa Yushaiza
* RM 5 untuk 2 orang oleh Clara

Insya Allah, tidak ada ruginya anda menyertai giveaway ini. Pihak sponsor pun boleh ikut sama, tidak ada masalah. Anda hanya perlu mengikuti beberapa syarat seperti di bawah. Syarat haruslah dipatuhi dengan sebaiknya kerana setiap syarat akan disemak untuk melayakkan peserta memenangi hadiah.

1. Follow blog ini.
2. Follow blog sponsor : N’s Asia Enterprise, Maznizam Adha, Syaz, Cik Na (klik iklan), Athirah, Diari Hati (klik iklan), Farahdeena Fisal, Hana Jalil, Princess Ayuni, KJZ, Ian Faizal, NurMarini, Eyqa Yushaiza dan Clara (klik sekurang-kurangnya 2 iklan).
4. Add Twitter Princess Ayuni, Athirah
5. Buat satu entry bertajuk “Giveaway World Hijab Day by Cahaya Kekuatanku” . Di dalam entry tersebut, anda perlu menyatakan tentang kepentingan hijab kepada wanita daripada pendapat tersendiri. Ringkas pun tidak mengapa. Dan kalau boleh sila nyatakan hadiah mana yang anda mahu.
6. Copy banner di atas dan masukkan ke dalam entry anda. Tinggalkan link entry tersebut di bawah post ini.
7. Submit nama dan alamat rumah anda kepada nurina24@ymail.com sekiranya anda berminat untuk mendapatkan penanda buku percuma giveaway ini. Jangan risau, maklumat anda adalah peribadi dan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak, melainkan posmen. ;)

Itu sahaja. Mudah-mudahan kempen ini dicatat sebagai suatu amal untuk kita semua, insya Allah. Peserta yang menulis entry menarik pastilah berpeluang mendapatkan hadiah yang menarik. Saya akan usahakan sebanyak mungkin peserta untuk menerima hadiah, meskipun hadiahnya tidak seberapa. Sekiranya pemenang yang terpilih didapati tidak memenuhi syarat kelak, penyertaannya akan automatik terbatal. Terima kasih kerana menyokong kempen Giveaway World Hijab Day. Cepat-cepat submit penyertaan anda kerana giveaway ini akan tamat pada 1 Februari 2014 jam 11.59 malam. Saya akan usahakan pemenangnya secepat mungkin. Sebarang penambahan akan diberitahu, sekiranya ada.


“Beramal demi ummah”

TAMAT

Sunday, 26 January 2014

Pencarian Sponsor Untuk Giveaway World Hijab Day



TAMAT

Assalamualaikum w.b.t. pembaca blog Cahaya Kekuatanku yang dirahmati Allah sekalian. Seperti yang kita semua sedia maklum atau mungkin ada yang masih belum mengetahui, pada 1 Februari ini merupakan World Hijab Day atau Hari Bertudung Sedunia. Oleh itu, dalam masa terdekat insha Allah saya berhajat untuk membuat giveaway sempena World Hijab Day ini selama beberapa hari. Dan saya sedang mencari para bloggers yang berminat untuk menyumbang saham dalam kempen bertudung ini, tidak kiralah sama ada blogger itu muslim ataupun muslimah kerana kita semua sedang hidup di dalam komuniti yang bergelar ummah. 

Kalau boleh, biarlah niat kita ini merupakan satu dakwah di samping dapat menambahkan followers dan trafik ke blog anda. Sponsor perlulah ikhlas dan amanah dalam menyumbangkan sebarang jenis hadiah sama ada barangan berbentuk pos atau apa sahaja yang anda niatkan untuk menyumbang demi mengelakkan sebarang unsur penipuan. Saya sendiri juga akan menyumbangkan hadiah kepada para peserta. Cuma harapnya syarat yang diletakkan sekadar syarat yang ringan-ringan sahaja seperti follow blog, Twitter mahupun like di Facebook. Insha Allah, mudah-mudahan ada yang berminat untuk menjadi sponsor giveaway pertama kali yang akan saya anjurkan ini. 

Kelebihan sponsor:

1. Dapat menambahkan followers blog, insha Allah sekiranya giveaway ini mendapat sambutan.
2. Dapat menambah kenalan sesama blogger.
3. Dapat mempromosikan produk masing-masing, sekiranya barangan sponsor berbentuk produk atau item.
4. Dapat menambah amal dengan mempromosikan tudung sebagai suatu keperluan untuk muslimah.

Insha Allah, amal dan bantuan anda hanya Allah yang selayaknya membalas. Saya akan maklumkan sekiranya sponsor sudah mencukupi. Jika tidak ada sponsor pun, insha Allah giveaway ini tetap akan diteruskan. Kepada anda yang berminat untuk menjadi sponsor giveaway ini, sila lengkapkan butiran seperti yang dinyatakan dan submit kepada nurina24@ymail.com atau boleh PM saya di FACEBOOK

Nama :
Link blog :
Alamat e-mel :
Barangan sponsor :
Untuk berapa orang :
Syarat kepada peserta : 



"Beramal demi ummah"

TAMAT

Friday, 24 January 2014

Design T-Shirt Untuk Program Senamrobik Perdana 2014


Saya mereka design t-shirt yang simple untuk Program Senamrobik Perdana yang akan diadakan di Dataran Serdang, Kedah pada esok hari. Design ini yang telah dipilih oleh YB Datuk Sabrina Azizan daripada beberapa design lain. T-shirt ini akan diedarkan secara percuma kepada setiap peserta yang mendaftar dalam program senamrobik ini. 

Sijil penyertaan juga turut disediakan. Oleh itu kepada seluruh penduduk di negeri Kedah terutamanya daerah Bandar Baharu dan Kulim, jangan lepaskan peluang kerana pelbagai aktiviti menarik akan diadakan esok hari. Antaranya ialah explorace, pertandingan dart, derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma. YB sendiri juga akan turun padang. Moga ada manfaatnya. Insya-Allah.


Thursday, 23 January 2014

Design Header Untuk Cik Akie



Ini adalah design header untuk blogger Cik Akie. Template blog Cik Akie berwarna gelap oleh itu saya cuba beberapa design yang berbeza. Kartun Hello Kitty saya ambil daripada Google manakala doodle muslimah daripada fizgraphic.com . Cik Akie boleh pilih yang mana-mana Cik Akie suka. Sekiranya ada kriteria yang belum memuaskan hati boleh maklumkan kepada saya untuk mengubahnya, termasuk warna dan saiz. Semoga berpuas hati. :)



Design 1






Design 2





Design 3







Design 4

Segmen Blogger's Birthday by Invisible Me


One more segment from a blogger friend, the owner of Invisible Note. Thanks sis for organizing this segment in order to collect 100 bloggers' birthdays! Yeah. On the 24th of April 1996, I was born at Maternity Hospital, Rutherglen, Scotland, UK and stayed there for only three years. Nurina Izzati is what my parents named me. And today, alhamdulillah, I'm almost eighteen. Well, another three months for that. So why wait any longer? Let us join this amazing segment to share our most historical date of all. The date that each of us will never forget. 

Tuesday, 21 January 2014

Cerpen: Menarik



Menarik atau tidak cerpen ini bergantung kepada anda yang membacanya. Cerpen ini sekadar memenuhi masa lapang saya sahaja. Kenapa diberikan judul menarik? Bacalah. ;) Cerita tentang persahabatan lapan orang rakan dan konflik dalam persahabatan mereka. Enjoy.

Menarik
oleh Nurina Izzati

Angin bertiup begitu kencang dan menampar keras tubuh Daniel yang berlumuran darah itu. Pedang yang digunakannya untuk berlawan itu masih dipegang kuat. Dendam yang menyaluti tubuhnya begitu membara seolah-olah ada api yang sedang rakus menjilat dirinya. Daniel memerhatikan musuh ketatnya, Zack yang sudah separuh terduduk di hadapannya. Zack juga dibasahi dengan titisan darah yang menitis keluar dari mulut dan beberapa anggota badannya yang tercedera akibat pertarungan itu. Tubuhnya menggeletar. Jiwanya diselimuti perasaan gentar. Adakah dia akan tertewas sebentar lagi?

“A...aku mengalah,” perlahan sahaja kata-kata itu diungkapkan. Zack masih tertunduk memerhatikan debu-debu tanah yang sudah dicemari dengan darahnya itu. Daniel tersenyum sinis, berpura-pura tidak mendengar.
“Kau ulang balik,” pintanya dengan angkuh. Daniel menarik nafas panjang.

“Aku mengalah.” Demikianlah kata-kata kekalahan sudah diisytiharkan. Daniel menarik senyum panjang. Kemenangan kini telah berpihak kepada dirinya. Dia memusingkan tubuhnya dan memerhatikan Sofea yang masih berdiri kaku di tepi sedari tadi. Ada riak ketakutan tercalit pada wajahnya, namun Sofea masih mampu membalas senyuman Daniel. Mimpi ngerinya selama ini telah berakhir. Daniel bergerak mendapatkan Sofea.

Tanpa disedari, Zack di belakang ligat memikirkan taktik kotor untuk menghapuskan lawannya itu. Zack mengambil pedangnya yang sudah tercampak tadi. Api kemarahan kini telah membakar seluruh jiwa dan raganya. Zack menghayun tinggi pedang dan bersedia untuk membunuh lelaki di hadapannya itu. “Kau tak akan senang-senang sahaja mendapatkan Sofea! Rasakan!”

Gelap. Segalanya bertukar hitam. Siaran televisyen dimatikan. Kesemua pelajar aspura yang tadinya khusyuk menonton menjerit hampa. Seorang daripada mereka cuba membuka kembali televisyen namun usahanya tidak berjaya. Pasti suis utama telah dimatikan.

“Siapa pula yang matikan televisyen ni? Cerita tengah menarik ni!” seorang pelajar lelaki berambut cacak berdiri di hadapan televisyen sambil memandang kepada rakan-rakannya yang lain. Dia kemudiannya memasukkan kembali lollipop yang dihisapnya ke dalam mulut. Dia menatap seorang demi seorang rakan-rakannya. Mereka cuma mendiamkan diri kerana masing-masing tidak mengaku bersalah.

“Ada masalah, Ameenuddin Atif?!” Semua yang berada di Dewan Makan itu menoleh ke belakang. Mereka cukup mengenali suara tegas itu. Mata pelajar lelaki yang diseru namanya itu membulat. Cikgu Aishah Humaira, warden bertugas pada malam itu sedang berdiri di pintu masuk pelajar puteri. Lampu Dewan Makan segera dinyalakan. Ameenuddin yang tadinya bersuara kini cuma mampu menelan liur. Dia terdiam seribu bahasa.

“Apa kamu semua buat malam-malam buta ni, ha? Masuk asrama sekarang. Dalam kiraan sepuluh, sembilan, lapan...” kiraan daripada Cikgu Aishah Humaira itu menggerunkan jiwa pelajar-pelajar tingkatan lima yang berada di situ. Mereka terus lintang-pukang berlari masuk ke asrama putera kerana tidak mahu dikenakan sebarang hukuman oleh warden tersebut. Cikgu Aishah Humaira cuma mampu menggeleng kepala.

Mereka berlapan segera berlari naik ke aras tiga dan membuka lampu dormitri. Fazli membetulkan nafasnya yang tercungap-cungap akibat kepenatan berlari tadi. Dia mendaratkan tubuhnya di sebelah Asyraf yang sedang bersandar pada dinding. Asyraf menolak sedikit tubuh Fazli yang berbadan agak gempal itu kerana menginginkan ruang untuk bernafas. Di antara mereka berlapan, cuma Ameenuddin yang masih berdiri teguh. Setakat berlari naik ke aras tiga langsung tidak menjadi masalah buatnya. Lolipop masih kekal berada di dalam mulutnya.

“Aku tak faham betullah. Esok kan hari Jumaat, cuti sekolah? Dan sekarang baru jam 11 malam. Belum lights off lagi pun. Dah Cikgu Aishah tu kecoh,” Hilmi yang berparut di pipi mengeluh tidak puas hati. Menurutnya, apa yang dilakukan oleh mereka tadi langsung tidak menjadi satu kesalahan. Apa salahnya untuk mereka merehatkan diri sekali-sekala dengan menonton televisyen.

“Betul cakap kau,” Razak meletakkan sikunya di atas bahu Kamal yang masih masih tercungap-cungap. “Aku tak faham betullah Cikgu Aishah tu. Dah nak habis dah pun cerita tadi tu. Aku nak tengok siapa yang menang pertarungan tadi, Daniel ataupun Zack. Kan dah melepas,” Razak meluahkan rasa kesalnya. Semenjak tiga hari yang lepas dia sudah teruja mahu menonton cerita tersebut namun hasratnya untuk menonton sehingga ke penghabisan nampaknya tidak tercapai. Dia melepaskan nafas berat yang bercampur geram. Fattah yang duduk di sebelah kiri Razak cuma mendiamkan diri sahaja.

“Cikgu Aishah kan memang macam tu, nak buat macam mana,” Irfan Ariq Haikal atau lebih dikenali sebagai Ariq pula bersuara. Dia seolah-olah tidak mahu peduli lagi dengan apa yang telah terjadi tadi. Ameenuddin yang hanya mendengar rakan-rakannya mengeluh dari tadi cuba menenangkan mereka.

“Janganlah cakap macam tu, kawan-kawan. Memang salah kita pun. Esok kan hari Jumaat? Nak pergi sembahyang Jumaat lagi. Kita patutnya kena tidur awal. Janganlah cakap Cikgu Aishah macam tu,” Ameenuddin membuang lollipop yang telah hilang dihisapnya ke dalam bakul sampah.

Kamal tertawa mendengar kata-kata Ameenuddin. Meskipun dia mempunyai lagak seorang samseng dan mempunyai imej ala-ala ‘macho’, hatinya sebenarnya baik. Langsung tidak kena dengan gayanya! Tetapi apabila Ameenuddin serius, semua orang boleh berubah menjadi seram sejuk. “Kau ni Men, gaya saja macho, rambut cacak, dalam hati ada taman kan?” Kamal meluahkan rasa kepada rakannya yang kerap dipanggil Men oleh pelajar-pelajar asrama itu.

“Apa kata kau pikat sahaja Cikgu Aishah tu, Men? Bolehlah kita tidur lambat lagi lain kali,” Fazli menduga sengaja.

“Menarik,” Ameenuddin menyisir rambutnya gaya lelaki tampan. Kelapan-lapan mereka kemudiannya tertawa, termasuk dia sendiri.  Ada-ada sahaja yang mahu diusik oleh rakan-rakannya itu.

***

“Irfan Ariq Haikal.” Nama itu disebut secara lantang di hadapan kelas. Ariq berlagak tenang, namun dia sebenarnya sedikit gentar mahu mendapat keputusan ujian Biologi yang lepas. Ariq mengucap basmalah dan melangkah ke meja guru bagi mendapatkan kertasnya. Sesudah melihat markah yang ditanda dengan pen merah itu, dia tersenyum panjang. Suatu keputusan memberansangkan yang tidak terduga olehnya. Dia mendapat 75 markah untuk kali ini. Bukan senang dia mahu mendapatkan markah yang bagus untuk subjek itu. Mendapat A tolak pun sudah sedikit sebanyak menggembirakan hatinya.

“Kau dapat berapa, Ariq?” soal Ameenuddin teruja hendak mengetahui keputusan Ariq sesudah dia kembali ke tempat duduknya. Berkali-kali Ameenuddin mengangkat keningnya. Ariq sengaja mahu berteka-teki. “Kau dapat berapa?”

Ameenuddin tidak berpuas hati. “Aku biasa-biasa sahaja. Eh, aku yang tanya dulu, kau kenalah jawab dulu.”
“Ya lah, bos! Aku dapat 75, alhamdulillah,” senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Ternyata, Ameenuddin juga turut berkongsi kegembiraan Ariq.

“Alhamdulillah, markah kau naik! Tahniah. Usaha tangga kejayaan,” balas Ameenuddin. Belum sempat Ariq hendak menyoal tentang markahnya, Cikgu Uyun di hadapan berjaya menghentikan perbualan mereka apabila dia hendak mengumumkan pelajar yang mendapat markah tertinggi untuk ujian kali ini. Masing-masing yang berasa diri mereka yang akan disebut oleh Cikgu Uyun menarik nafas panjang dan berdebar-debar. Sukar untuk meramal siapa yang akan mendapat markah tertinggi kerana semua orang ada potensi yang tersendiri.

“Dan pelajar yang berjaya mendapat markah tertinggi ialah... Ameenuddin Atif sebanyak 87 markah. Tahniah cikgu ucapkan. Sedikit sahaja lagi untuk mendapat gred A tambah. Usaha lagi, ya? Dan cikgu mahu semua orang di dalam kelas ini juga berusaha lebih daripada Ameenuddin ya?” ujar Cikgu Uyun dalam nada ceria. Rakan-rakan sekelas mula bertepuk tangan meraikan kejayaan Ameenuddin. Ameenuddin sendiri tidak menyangka dia yang berjaya kali ini. Ariq yang tidak percaya segera melihat kertas Ameenuddin. Benar seperti apa yang diucapkan oleh Cikgu Uyun tadi, Ameenuddin mendapat 87 markah.

“Cis, kau lagi tinggi daripada aku, Men. Tak apa, ujian seterusnya aku pasti akan kalahkan kau,” Ariq senyum mencabar. Namun entah mengapa, perasaan sedih dan cemburu sedang mengulit hatinya. Ah, dia harus segera menapis perasaan itu jauh-jauh!

“Menarik,” Ameenuddin senyum balas. Dia suka bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran secara sihat. Dengan cara itu, mereka akan lebih bersemangat untuk belajar dan mendapatkan markah yang lebih tinggi di antara satu sama lain. Hampir sepuluh minit kemudian, waktu Biologi pun telah berakhir dan menandakan waktu rehat. Pada waktu itulah para pelajar berebut-rebut mahu mendapatkan kertas Ameenuddin sebagai skema jawapan untuk mereka melakukan pembetulan.

“Setakat bodek Cikgu Uyun itu memang tugas kau kan?” Hatta, rakan sekelas Ameenuddin secara tiba-tiba berbisik pada cuping telinga Ameenuddin sebelum berlalu pergi. Belum sempat Ameenuddin membalas apa-apa, Asyraf segera mendatanginya.

“87 Men? Dahsyat ya kau. Aku setakat B sahaja. Malulah aku begini,” Asyraf membetulkan kaca matanya yang hampir terjatuh akibat menjeling kertas Biologi Ameenuddin yang sedang dipegang oleh Fazli. Dia terpaksa meninggikan tubuhnya yang rendah untuk melihat kertas tersebut. Meskipun Fazli berbadan gempal, dia sebenarnya seorang yang tinggi dan mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang normal.

“Men, tahniah! Awak memang hebatlah! Lain kali ajarlah saya,” Fazura tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan tahniah kepada lelaki yang diminatinya itu. Dia sudah lama terpikat kepada Ameenuddin sejak tingkatan tiga lagi. Siapa yang tidak terpikat kepadanya? Lelaki yang cukup pakej, kacak, berkaliber dan pandai. Malah di asrama puteri pun dia sering mendengar pelajar-pelajar junior bercakap tentang Ameenuddin.

“Tak payahlah Fazura, kau belajar dengan aku saja. Aku pun dapat A solid, cukup-cukup makan,” Razak tiba-tiba muncul, menghalang pemandangan Fazura daripada melihat Ameenuddin. Razak sudah kenal benar dengan perangai Fazura yang suka mengganggu rakannya itu. Ameenuddin juga pernah mengadu dia tidak suka diganggu oleh pelajar-pelajar perempuan.

“Tapi aku nak belajar dengan Men. Kau jangan sibuklah,” Fazura mula mencuka kerana perbualannya diganggu.

Fazli yang sudah selesai membelek-belek kertas Ameenuddin menghampiri setelah menyerahkan kertas ujian itu kepada orang lain. Sambil membuka tali lehernya, dia juga ikut campur. “Men dah janji nak ajar aku, Fazura. Kau belajar sajalah dengan Razak ni ha,” dia tidak mahu melepaskan peluang mengenakan Fazura. Fazura memandang Razak. Razak mengangkat kedua-dua belah keningnya. Fazura bertambah geram lantas menghentak kakinya dan segera beredar keluar dari kelas. Selagi Ameenuddin sentiasa dikelilingi oleh rakan-rakannya yang aneh itu, sukar untuk dia mendapatkan sebarang peluang!

“Men! Men! Tengok ni!” Khadijah menghampiri mereka dengan reaksi teruja. Pengawas sekolah itu tidak mengalihkan pandangannya daripada kertas ujian Ameenuddin.

“Kenapa?” Ariq pula yang menjawab. Jantungnya berdegup lain macam apabila Khadijah menghampiri meja mereka. Pandangan matanya hampir sahaja melekat kepada Khadijah selama beberapa minit namun segera dilarikan sejauh mungkin. Ariq teringat pesanan seorang ustaz, bermula daripada pandangan pun seseorang sudah boleh melakukan zina kecil. Dia segera menangkis bisikan syaitan yang hadir.

Khadijah menunjukkan salah satu jawapan Ameenuddin yang disalahkan oleh Cikgu Uyun padahal sudah terang lagi nyata jawapannya itu tepat. Bahkan, dia juga sudah memeriksa kertas jawapan rakan-rakan yang lain juga untuk kepastian. “Jawapan awak ni betul, Men. Pergilah beritahu Cikgu Uyun,” Khadijah meyakinkan bersungguh-sungguh. Sekiranya dibetulkan, Ameenuddin boleh menambah lagi dua markah. “Ya lah, Men. Lagi dua markah,” Ariq mengangguk kecil.

“Tapi kan, bukan Cikgu Uyun sudah masukkan markah ke dalam sistem maklumat murid? Mana boleh tukar lagi,” beritahu Asyraf. Seingatnya, itulah apa yang disampaikan oleh Cikgu Uyun di hadapan kelas tadi.

 “Tak perlulah kita sibuk-sibuk tentang markah aku ni. Jom rehat kawan-kawan.” Ameenuddin bangkit dari duduknya. Ariq, Asyraf, Fazli dan Razak membuntuti langkahnya. Ameenuddin sudah boleh diibaratkan sebagai ketua mereka. Ke mana dia pergi, pasti mereka mahu mengekori.

Khadijah yang masih terkejut cuba menghalang. “Tapi Men, awak tak nak tukar markah awak ke?” soalnya dengan penuh harapan.

“Menarik, tapi, terima kasih sajalah Khadijah. Dua markah sahaja pun. Gred aku tak berubah pun,” Ameenuddin membetulkan rambutnya agar kelihatan lebih kemas sambil melangkah keluar. Ariq memerhatikan wajah Khadijah yang kehampaan. Mengapa Khadijah bersungguh-sungguh mahu membantu Ameenuddin?

Mereka bergerak ke kantin untuk menjamah makanan ringan sahaja dan merehatkan minda yang sudah berjam-jam bertugas untuk menerima dan menyimpan ilmu yang disampaikan oleh guru sejak pagi tadi. Hilmi, Fattah dan Kamal sudah menunggu di meja biasa. Mereka telah menjamu selera terlebih dahulu.

“Tak tunggu kami dulu?” Razak menumbuk bahu Kamal dan menolaknya sedikit ke tepi. Dia menghirup air bandung yang berada di hadapan Razak itu.

“Amboi, sedap hati kau saja minum air aku kan?” Kamal pura-pura marah walhal tidak. Memang sudah menjadi kelaziman mereka semua untuk berkongsi-kongsi makanan dan minuman selama ini.

“Kan sunnah nabi, berkongsi makanan,” Ameenuddin menghisap lolipop yang dikeluarkan daripada poketnya. Rakan-rakan yang lain sudah pergi membeli minuman di meja jualan.

“Ohh, macam tu. Habis tu, makan lollipop pun sunnah nabi ya?” Kamal sengaja mengusik. Ameenuddin tersengih sahaja. Dia memang sudah terbiasa dengan lollipop sejak beberapa bulan ini. Mungkin mahu menghilangkan tekanan barangkali.

Setelah selesai membeli, Ariq, Asyraf dan Fazli pulang ke meja makan sambil menbawa minuman masing-masing. Cuma Fazli sahaja yang dilihat membeli sosej dan kentang goreng untuk dijamah. Dia membeli lebih sedikit untuk rakan-rakannya. Bukannya dia tidak tahu, apabila makanan diletakkan sahaja di atas meja nanti, pasti ada tangan yang menyentuhnya terlebih dahulu sebelum dia. Ramalannya tepat apabila Fattah terus mencapai kentang goreng sejurus sahaja dia tiba di meja makan.

“Oh ya. Kamu semua dah tengok notis pada papan kenyataan?” Fattah membuka cerita sambil mengunyah kentang goreng. “Notis apa?” soal Ameenuddin.

“Notis tentang Hari Bintang Sinar tu. Cikgu Rahmat sudah mengeluarkan nama calon-calon yang diundi untuk membuat persembahan pada hari itu,” jelas Fattah. Sebelum tiba di kantin tadi, dia, Hilmi dan Kamal sudah terlebih dahulu singgah di papan kenyataan sekolah.

“Eh? Dah keluar ya? Teruja pula aku. Aku memang dah lama teringin nak buat persembahan syarahan. Banyak skrip syarahan aku tak terpakai pun. Kalau aku terpilih, bolehlah aku guna semula skrip yang lama-lama tu,” Ariq mengukir senyum. Dia selalu mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan agama dan petah berbicara di hadapan orang ramai. Hari Bintang Sinar adalah hari yang boleh menggilapkan lagi bakat yang ada pada dirinya itu. Dia tidak berpeluang untuk menyertainya pada tahun lepas kerana terpaksa menarik diri untuk mengikuti keluarganya mengerjakan umrah pada waktu itu.

Hilmi dan Fattah berpandangan sesama sendiri. Fattah kemudiannya bersuara, “Sayang sekali, Ariq. Kami dah tengok papan kenyataan tadi. Nama kau tidak ada dalam senarai. Tetapi masih ada wakil daripada kumpulan ini yang terpilih untuk ikut serta Bintang Sinar.” Ariq, Ameenuddin, Asyraf, Fazli dan Razak terkejut kerana tidak percaya. Selain Ariq, siapa pula yang berbakat dalam kalangan mereka?

“Siapa?” Fazli meneguk minuman sambil pandangannya tidak lepas daripada wajah Fattah.

“Men!” Serentak Hilmi, Fattah dan Kamal bersuara. Ameenuddin yang mendengar hampir sahaja tertelan lolipop dengan batang-batangnya sekali. Keningnya diangkat sebelah tidak percaya.

“Aku?!”

“Men?!” Ariq terkejut bukan kepalang.

“Cikgu Rahmat nak aku buat persembahan apa?!” Ameenuddin cuba menenangkan dirinya. Setahunya dia bukannya berbakat mana jika hendak dibandingkan dengan Ariq. Dan dia cuma tahu bersilat sahaja. Tak mungkin dia perlu bersilat pula di atas pentas Bintang Sinar itu nanti? Itu semua mimpi ngeri!

“Di atas notis yang tertampal tu ada tulis, kau kena menyanyi,” Hilmi serba salah memberitahu.

“MENARIK!!!!!” Asyraf, Fazli, Razak, Fattah dan Kamal serentak mengajuk gaya percakapan Ameenuddin kuat-kuat sehingga pelajar lain yang sedang makan di kantin juga turut terganggu. Ameenuddin menelan liur.

***

Matahari terik memancarkan radiasinya. Ameenuddin menyeka peluh yang membasahi dahinya. Dia bertentangan mata dengan Kamal. Masing-masing fokus terhadap pihak lawan. Kali ini Kamal tidak mahu mengalah lagi. Sudah dua kali dia jatuh ke atas tanah tadi. Sekali lagi dia jatuh, dia akan kalah untuk pertarungan kali ini. Kamal menarik nafas bertenang. Ameenuddin memulakan serangan. Dia cuba mengelak ke kanan, namun entah bagaimana gerakannya itu dapat dibaca oleh Ameenuddin. Ameenuddin pantas menjatuhkan kaki Kamal yang sedang terbuka luas. Akhirnya, Kamal dengan mudah tersungkur di atas tanah buat kali ketiga.

“Bagus, bagus. Pemenangnya, Ameenuddin!” Hilmi yang menjadi pengadil membuat pengisytiharan kemenangan. Pelajar-pelajar yang menonton terpegun dengan kecekapan Ameenuddin dan mula bertepuk tangan. Ameenuddin menghulurkan tangannya kepada Kamal. “Kau ok?”

“Sakitlah, Men!” Kamal menyambut huluran tangan tersebut dan menegakkan kembali posisinya. “Alhamdulillah latihan hari ni dah tamat, kalau tak separuh nyawa aku kau kerjakan,” rungut Kamal. Badan-badannya masih sakit dek penangan silat Ameenuddin.

“Takkanlah aku nak buat kawan aku begitu,” Ameenuddin mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Aku hairan betullah!” Kedengaran Hilmi tiba-tiba bercakap seorang diri.

“Kau ni dah kenapa? Apa yang kau hairankan?” soal Kamal sambil meregang-regangkan badannya.

“Aku hairan. Setiap kali Men turun ramai orang yang turun padang hendak tengok silat. Kalau Men tak ada, alamatnya kosonglah padang silat ni!”

“Peminatlah tu! Tapi kau jangan risau. Mereka semua tidak akan berani mendekati Men. Semua orang ingat kita ni kumpulan gangster. Padahal bukannya mereka kenal pun dengan kita,” kata Kamal. Kali ini, dia menyeka pula peluh di dahinya.

Ameenuddin mencapai tuala kecil dari dalam begnya untuk mengelap peluh. “Mulut orang, memang menarik. Macam-macam yang keluar. Bukannya kita boleh halang pun. Lagipun aku tak peduli apa kata-kata orang lain. Asalkan aku bersama kawan-kawan aku, dah cukup.”

“Alala, so sweet,” Kamal berpura-pura manja sambil mencubit pipi Ameenuddin. “Geli aku!” Ameenuddin menepis tangan Kamal. Hilmi ketawa melihat telatah rakan-rakannya itu. Di gelanggang silat, mereka tampak begitu serius. Keluar sahaja gelanggang, sudah bermanja-manja pula. Hilmi menggeleng sambil ketawa.

“Abang! Abang!” Kedengaran suara seseorang memanggil. Kelihatan seorang junior lelaki sedang berlari-lari ke arah mereka dengan wajah yang cemas. Junior itu menghampiri mereka bertiga dalam keadaan tercungap-cungap.

“Kau dah kenapa ni dik?” soal Ameenuddin aneh melihat aksinya.

“Abang Men, Abang Hilmi, Abang Kamal! Masalah, bang! Masalah!” Tangannya menunjukkan ke arah gelanggang silat yang terletak tidak jauh daripada situ.

“Kenapa? Ada orang cederakah?” soal Hilmi sambil memegang parut di pipinya. Parut itu adalah kesan dihiris pisau oleh perompak yang cuba merompak rumahnya ketika dia masih di sekolah rendah. Parut itu jugalah salah satu punca yang menyebabkan orang ramai menganggap mereka berlapan sebagai gangster.

Junior itu menggeleng sambil memejamkan matanya. “Bukan bang. Abang Ariq gaduh, bang!!”

Ameenuddin, Kamal dan Hilmi berpandangan sesama sendiri. Ariq! Mereka berempat segera bergegas ke gelanggang silat yang kedua dan ternyata apa yang dicakapkan oleh junior itu benar. Ariq dan Hatta sedang bergaduh di gelanggang silat. Ameenuddin sudah boleh mengagaknya. Memang mereka berdua sedang bertarung silat, namun pertarungan sudah menjadi semakin ganas. Masing-masing sudah terbabas daripada etika persilatan.

“Menarik.” Ameenuddin pasti ini semua agenda Hatta.

“Kita kena tolong Ariq!” ajak Kamal. Hilmi mengangguk. Namun belum sempat mereka berdua mara ke hadapan, Ameenuddin menghalang tindakan mereka. “Kau dah kenapa, kita kena tolong kawan baik kita tu!” Kamal masih mendesak.

“Aku kenal betul si Hatta tu. Macam-macam benda yang boleh dia buat terutamanya untuk jatuhkan kita semua. Aku rasa, Hatta sengaja umpan Ariq supaya kita semua datang dan membantu dia. Pada masa itulah dia akan cuba jatuhkan kita,” bicara Ameenuddin penuh yakin.

“Kau ni biar betul, tak baik menuduh orang,” Hilmi cuba bersikap rasional.

“Kau berdua tunggu sini. Biar aku sahaja yang selesaikan semuanya. Hatta tu sebenarnya berdendam dengan aku sejak peristiwa tu...” Ameenuddin mengingat kembali.

Ketika di tingkatan dua, dia pernah berkawan rapat dengan Hatta. Tetapi lama-kelamaan persahabatan mereka mula regang kerana Hatta menuduh Ameenuddin mencuri wangnya yang berjumlah agak besar padahal dia langsung tidak tahu-menahu perihal wang tersebut. Hatta melakukan demikian kerana cuma Ameenuddinlah satu-satunya orang yang mengetahui tempat dia menyimpan wangnya. Sudah berkali-kali Ameenuddin mohon maaf namun kemaafaannya tidak diterima sehinggalah ke hari ini. Semenjak itu juga, pelbagai perkara yang telah dilakukan Hatta untuk menjatuhkan Ameenuddin. Peristiwa itu juga sudah menyebabkan ramai orang yang meragui kejujuran Ameenuddin. Cuma mereka yang celik hatinya mampu melihat kebaikan yang ada di dalam dirinya.

Hilmi dan Kamal saling berpandangan. Jika Ameenuddin sudah melarang mereka untuk ikut bertarung, mereka tidak mampu berkata apa-apa. Mereka tahu dia tidak mahu rakan-rakannya turut disabitkan kesalahan kelak.

Ameenuddin pantas memasuki gelanggang silat. Pelajar-pelajar junior yang menonton tidak berani mahu masuk campur. Mereka juga tidak boleh mengadu kepada guru pada saat itu kerana hari cuti. Cuma pelajar asrama dan beberapa orang warden sahaja yang tinggal. Ameenuddin meleraikan Hatta yang menyerang Ariq.

“Hatta, kau jangan ganggu kawan aku,” Ameenuddin menolak Ariq ke belakang. Hatta tersengih lebar kerana umpannya mengena. Tunggu masa sahaja dia mahu melaporkan kepada guru disiplin kelak. Lagipula, ramai saksi yang sedang menyaksikan.

“Mana kawan-kawan kau yang lain?” soal Hatta ingin tahu.

“Kau jangan babitkan kawan-kawan aku dalam semua masalah kita. Aku...” belum sempat Ameenuddin menghabiskan kata-katanya, Ariq menolaknya ke tepi. Ameenuddin memandang Ariq terkejut kerana tidak menyangka dia akan menolaknya.

“Men, kau jangan masuk campur. Ini urusan aku dengan dia,” Ariq menarik nafas panjang. Dia memegang pipinya yang mula kemerahan akibat ditumbuk Hatta sebentar tadi. Dia berang kerana Hatta mengejeknya. Hatta mengatakan bahawa selama ini dia hanya hidup di bawah bayangan Ameenuddin sahaja dan tidak pernah berdiri di atas kaki sendiri.

“Ariq, ini urusan aku, biar aku yang selesaikan,” Ameenuddin cuba berunding namun tidak diendahkan. Ariq sudah dikuasai kemarahan. Dia mula berasa kata-kata Hatta tadi benar. Ameenuddin seorang yang pintar sehinggu guru-guru menyayanginya. Ameenuddin juga kacak sehinggakan Khadijah menyukainya. Dan Ameenuddin mempunyai bakat yang hebat sehingga Cikgu Rahmat memilihnya untuk membuat persembahan pada Hari Bintang Sinar nanti. Dan dia? Dia cuma hidup di bawah telunjuk Ameenuddin sahaja selama ini.

Ariq menolak Ameenuddin kuat sehingga dia terjatuh. “Ini bukan urusan kau. Kau jangan masuk campur urusan aku. Kau jangan nak tunjuk kuat di sini. Aku boleh selesaikannya!” Ariq pantas menyerang Hatta bertubi-tubi. Hatta mula berdarah. Ariq benar-benar dikuasai kemarahan yang menggila. Hatta akhirnya tersungkur ke atas tanah. Ariq terus menyerangnya.

“Ariq, berhenti!” Berkali-kali rakan-rakannya menyuruh dia berhenti namun Ariq terus menumbuk wajah Hatta tanpa banyak berfikir. Namun untuk tumbukannya yang entah ke berapa, genggamannya ditahan. Ariq mendongak. Ameenuddin menggenggam kuat tangannya dan menolaknya ke sisi. Tubuh Ariq yang terhentak ke atas tanah itu serta-merta menyedarkannya ke dunia nyata. Hatta kini sudah benar-benar tidak sedarkan diri. Syaitan yang memerhati melonjak-lonjak gembira. Hilmi dan Kamal saling berpandangan. Ketika kejadian tersebut berlaku, Asyraf, Fazli, Razak dan Fattah yang tadinya berada di asrama segera berlari ke tempat kejadian. Mereka cuma dapat melihat tubuh Hatta yang sudah tidak bergerak.

Akibat kejadian itu, Hatta dihantar ke klinik oleh Cikgu Aishah Humaira. Sementara menunggu khabar daripada warden itu, mereka berlapan resah di aspura. Ariq masih lagi digenggam amarah.

“Kenapa kau buat begitu, Ariq? Kau tahu perbuatan kau boleh menyebabkan kau digantung sekolah? Paling teruk lagi, kau boleh dibuang sekolah? Kau tahu tak?” Ameenuddin menggenggam kedua-dua bahu Ariq. Ariq menangkis pegangan Ameenuddin. Rakan-rakan yang lain cuba menenangkan tetapi tidak ada gunanya lagi. Ameenuddin dan Ariq sudah bertukar serius.

“Kau nak tahu kenapa aku buat begitu? Sebab kau! Kaulah punca semuanya terjadi.”

“Aku? Apa yang aku dah buat?” Ameenuddin disapa rasa bersalah.

“Sejak kami berkawan dengan kau, semua orang ingat kita samsenglah, gangsterlah. Dengan rambut pacak kau tu, dengan lagak macho kau tu, orang dah tak berani dekat dengan kita. Kau cuma bawa masalah kepada kawan-kawan kita,” Ariq meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Fazli bangun cuba mempertahankan Ameenuddin. “Ariq, jaga sikit apa yang kau cakap tu. Kau sedar tak selama ni Men yang banyak membantu kita. Dia banyak lindungi kita. Dia yang ‘jaga’ kita. Kalau bukan sebab Men, cikgu pun tidak akan percayakan kita. Kau tak tahu apa yang dia dah buat selama ni. Jika ada salah satu di antara kita yang melakukan kesalahan disiplin, Men yang akan berjumpa dengan cikgu untuk minta pelepasan. Disebabkan penampilan Men jugalah, orang tak berani kutuk kita!”

“Kau jangan cuba nak belit keadaan, Fazli. Men memang cuma membawa masalah kepada kita,” Ariq merenung Ameenuddin tajam. “Sama ada kau pergi, atau aku yang akan pergi.”

“Ariq, kita semua kan kawan,” Fattah cuba menenangkan suasana.

“Menarik. Baik, aku pergi,” tanpa banyak bicara, Ameenuddin keluar daripada dormitri meninggalkan mereka bertujuh. Masing-masing terkesima. Ariq pula berasa lega.

***

Ameenuddin mengeluh panjang di dalam bilik muzik. Sebuah bilik yang sangat asing padanya. Disebabkan Hari Bintang Sinar semakin hampir, Cikgu Rahmat menyuruh dia untuk berlatih di dalam Bilik Muzik. Menurut Cikgu Rahmat, dia terpilih kerana ramai pelajar lelaki yang mencalonkan namanya. Mungkin kerana dia selalu menyanyi di asrama barangkali. Tiba-tiba, Ameenuddin teringat kembali kenangan bersama rakan-rakannya. Dia pasti, pada waktu-waktu petang begini, mereka sedang bermain bola sepak di padang. Dia sudah berasa jauh daripada rakan-rakannya semenjak dia membuat keputusan untuk meninggalkan mereka demi menjaga hati Ariq. Ameenuddin menghidupkan suis radio dan turut menyanyi mengikuti rentak lagi itu.

“Sedapnya kamu menyanyi,” Cikgu Abby tiba-tiba muncul. Ameenuddin malu sendiri. Suis radio segera dimatikan. Dia tidak menyedari sejak bila guru disiplin itu memerhatikannya. Cikgu Abby juga merupakan isteri kepada Cikgu Rahmat, guru muziknya.

“Cikgu Rahmat keluar tadi. Dia tak beritahu pula dia nak ke mana,” ujar Ameenuddin tanpa ditanya. Dia sudah pasti guru itu sedang mencari Cikgu Rahmat. Cikgu Abby membetulkan tudungnya sambil mengangguk. Dia mahu menutup kembali pintu bilik muzik namun Ameenuddin segera menghalang.

“Kenapa?” Cikgu Abby membuka pintu luas kembali. Ameenuddin tertunduk seketika. Kemudian, dia memandang kembali guru wanita di hadapannya itu. “Cikgu, sebenarnya saya ada beberapa pertanyaan tentang kes Hatta.”

Kata-kata Ameenuddin menarik perhatian Cikgu Abby untuk duduk dan mendengar. “Tetapi, kes itu kan dah selesai. Hatta beritahu saya, Ariqlah pelakunya.”

“Cikgu, kalau betul Ariq pelakunya, apa hukuman yang akan dikenakan?” soal Ameenuddin ingin tahu. Dia mahu tahu apa yang akan terjadi kepada Ariq. Adakah Ariq akan dibuang sekolah?

“Begini, tadi kami baru berbincang tentang kes ini. Disebabkan Ariq bakal menghadapi peperiksaan SPM tahun ini, kami bersepakat tidak akan membuangnya. Lagipun, kawan kamu tu sebenarnya baik budaknya. Entah apa yang menyebabkan dia bertindak sedemikian. Ariq cuma dikenakan hukuman gantung sekolah selama dua minggu,” jelas Cikgu Abby.

“Dua minggu? Nanti dia akan ketinggalan pelajaran! Dan dia juga akan terlepas menyaksikan Hari Bintang Sinar,” Ameenuddin tidak percaya.

“Terpaksalah. Itulah hukuman membuli pelajar lain.”

“Cikgu, saya ada pengakuan yang hendak saya buat.” Cikgu Abby memandang aneh anak murid di hadapannya itu. “Sebenarnya, Ariq buat semua tu untuk saya. Saya yang mengerjakan Hatta sedemikian rupa. Ariq paksa Hatta untuk menutup kesalahan saya. Ariq terlalu baik orangnya, dia sanggup melindungi rakannya sendiri.”

“Ameenuddin, apa yang kamu cakap ini serius, tahu? Kamu pasti dengan apa yang kamu katakan tadi?” Cikgu Abby mahu mendapatkan kepastian.

Angguk.

***

Kantin sekolah itu dipenuhi para pelajar yang berpusu-pusu hendak membeli minuman. Dan di salah satu meja, lima sekawan sedang sibuk menikmati juadah masing-masing. Fazli mengunyah burger yang dibelinya dengan gelojoh.

“Makan perlahan-lahanlah. Tercekik nanti siapa susah?” Ariq menggeleng kepala.

“Entah kau ni Fazli. Bila nak kurusnya? Setiap hari asyik makan sahaja. Konon nak kurus!” Asyraf membetulkan kaca matanya. Dia meneguk air sirap di hadapannya.

“Cakap dengan Fazli ni tak guna. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sia-sia!” Razak menambah. Kesemuanya tertawa kecuali Fazli.

“Baiklah, aku ada satu cadangan untuk kau. Kalau kau boleh kurangkan berat badan dalam masa 3 bulan, aku belanja ais-krim untuk kau selama sebulan!” Kamal mencadangkan. Mereka semua sudah sedia maklum dengan sifat Fazli yang suka makan tidak berhenti-henti. Kadangkala, di dalam kelas pun Fazli selalu curi-curi makan.

“Menarik!” Fazli menyetujui cadangan Kamal. Namun, mendengar sahaja perkataan itu, masing-masing terdiam termasuk Fazli sendiri.

“Dengar perkataan tu, sumpah aku rindukan Men,” Kamal bersuara memecahkan kesunyian.

“Ya lah. Aku rasa tak lengkap tanpa dia. Dah dua hari dia tak datang sekolah. Sebenarnya ada apa dengan Men? Ada keluarga dia meninggal dunia ke?” Razak menyoal. Dia sangat musykil dengan kehilangan Ameenuddin secara tiba-tiba itu.

“Buat apa peduli tentang dia? Dia yang tinggalkan kita semua,” Ariq berlagak marah, namun jauh di sudut hatinya dia sangat merindui sahabat karibnya itu. Sedikit demi sedikit perasaan kesal mula bertandang ke dalam hatinya.

“Kau tak faham-faham lagi ya? Men tinggalkan kita sebab dia berkorban untuk kau. Itupun susah kau nak faham!” Fazli memberitahu. Dia juga sangat merasakan kehilangan seorang sahabat. Jika Ameenuddin berada di situ, pasti dia yang akan mempertahankan Fazli daripada menjadi bahan bualan rakan-rakannya tadi. Ariq tidak membalas

Dari kejauhan, Hilmi dan Fattah berlari-lari pantas ke arah meja kumpulan itu. Mereka langsung tidak mempedulikan pandangan mata yang memerhatikan ragam mereka pada saat itu. Mereka berdua seolah-olah sedang dikejar penjahat.  “Kau berdua ni kenapa pula?” soal Asyraf. Aneh melihat kelakuan Hilmi dan Fattah itu.

“Ariq, kau nak tahu? Cikgu Rahmat pilih kau untuk buat persembahan masa Hari Bintang Sinar nanti!” Hilmi memberitahu. Bagaikan durian runtuh, sungguh Ariq tidak menyangka akan mendengar khabar sebegitu rupa. Ariq sudah tersenyum lebar kerana tidak menyangka impiannya akan menjadi kenyataan jua. “Ada satu lagi...”

“Apa?” soal Ariq.

“Kami berdua dapat khabar ni daripada Cikgu Rahmat sendiri. Katanya... kau terpilih sebab Men dah tak ada. Men digantung sekolah selama dua minggu kerana kes Hatta. Men mengaku kepada Cikgu Abby bukan kau yang belasah Hatta, tetapi dia,” terang Fattah. Semua yang mendengar diserang rasa terkejut. Ariq masih belum dapat menerima kenyataan.

“Patutlah Men hilang semenjak dua menjak ni. Rupanya dia dah digantung sekolah,” Fazli mengerut kening.

“Men... Men buat semua itu untuk aku?” Ariq tidak percaya. Asyraf meluku kepala Ariq. “Sekarang baru kau hendak sedar? Semuanya sudah terlambat! Kita tak boleh pulang untuk jenguk Men.”

“Men akan terlepas Hari Bintang Sinar, dan semuanya dia buat untuk aku. Aku memang tak guna,” Ariq mula menyalahkan dirinya sendiri. Dia benar-benar menyesal kerana telah menzalimi rakan baiknya itu. Ameenuddin adalah seorang sahabat yang sejati. Dia sanggup mengorbankan pelajarannya hanya demi seorang rakan. Ariq terkilan, kerana Ameenuddin pastinya tidak akan dapat menyaksikan Hari Bintang Sinar itu nanti.

Beberapa hari telah berlalu dan akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Ramai ibu bapa yang datang untuk menyaksikan acara tahunan asrama itu. Terdapat 15 wakil pelajar yang dipilih untuk mempersembahkan bakat mereka kepada umum. Di belakang pentas, Ariq sudah bersiap sedia untuk gilirannya. Berulang-ulang kali dia bermundar-mandir sambil menghafal teks syarahannya. Dia mahu memastikan pertuturannya nanti lancar dan tidak tersalah tingkah. Rakan-rakannya yang lain turut membantu dengan memeriksa teksnya dan memperkemaskan pakaiannya. Beberapa minit sebelum persembahan Ariq bermula, mereka kembali ke tempat duduk penonton.

Ariq mengucap basmalah dan nak ke atas pentas sejurus sahaja namanya dipanggil oleh pengacara majlis. Suaranya begitu lantang dan syarahannya berjaya memukau penonton. Asyraf, Fazli, Razak, Hilmi, Fattah dan Kamal juga tidak berhenti-henti menepuk tangan setiap kali Ariq menyampaikan isi-isi penting yang menarik. Syarahan tersebut mengambil masa hanya sepuluh minit. Syarahan Ariq mendapat sambutan daripada penonton dan Cikgu Rahmat tersenyum bangga dengan persembahan anak muridnya itu. Ariq tidak perlu dilatih kerana dia telah mempunyai bakat semulajadi.

Selesai persembahan, rakan-rakannya segera mencarinya di belakang pentas. Namun, mereka melihat Fazura telah mendahului mereka. “Ariq, awak memang hebat! Nanti awak latihlah saya pula untuk berucap seperti awak,” Fazura melirik senyum penuh makna.

“Eh, Fazura!” Razak tiba-tiba sahaja muncul. “Kau belajar dengan aku pun boleh. Aku pun pandai berucap, cuma aku sengaja bagi peluang kepada Ariq hari ni.” Razak mengenyitkan sebelah matanya. Fazura sudah hampir termuntah. “Aku pun boleh Fazura,” Fazli mengangkat kedua-dua belah keningnya, sengaja menggoda.

“Sudahlah. Jangan ganggu kami lagi. Pergi sana,” Kamal menghalau Fazura dari situ. Fazura berasa tersinggung dan pantas berlalu pergi. Dasar budak-budak aneh!

“Ariq, hebatlah kau. Gaya Dr. Fadzilah Kamsah gitu,” Fattah menepuk bahu Ariq penuh bangga. Ariq tersengih sahaja, namun dia masih merendah diri. “Macam mana dengan persembahan aku tadi? Nampak gugup tak?” soal Ariq.

“Persembahan kau mestilah...”

“Menarik.” Semua yang ada di situ terdiam. Serentak, mereka mengalihkan pandangan ke sebelah kanan. Seorang lelaki bertopi dan berkaca mata hitam sedang tersenyum ke arah mereka.

“Siapa pula ni?” Hilmi tertanya-tanya. Lelaki itu kemudiannya mengeluarkan sebatang lolipop, membuka plastiknya lalu menghisapnya. Kemudian, barulah mereka mampu tersenyum gembira. Ariqlah orang pertama yang mendapatkan Ameenuddin. Dia membuka topi Ameenuddin. Rambutnya sudah tidak berapa cacak lagi. Mereka berpelukan agak lama. Ariq berkali-kali memohon maaf kepada Ameenuddin, begitu juga rakan-rakan yang lain. Mereka juga secara tidak langsung telah bersalah. Ameenuddin cuma menggeleng sahaja.

“Semuanya tak penting. Apa yang telah terjadi, biarkan sahaja berlalu. Yang penting, kau semua kawan-kawan baik aku sampai bila-bila,” Ameenuddin tersengih.

Setelah tempoh hukuman Ameenuddin tamat, dia kembali bersekolah lagi seperti biasa. Mereka berlapan kini sedang sama-sama berjuang untuk menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Mereka bersepakat untuk tidak memikirkan tentang cinta mahupun sengketa. Apa yang penting hanyalah fokus terhadap pelajaran sahaja. Hatta sudah tidak berani lagi mengganggu Ameenuddin dan rakan-rakannya kerana bimbang akan tidak sedarkan diri lagi seperti tempoh hari. Apa yang paling menarik, hubungan Ameenuddin dan Ariq menjadi lebih akrab daripada biasa. Sebuah ukhuwwah ternyata akan bertambah lebih erat dengan adanya dugaan daripada Yang Esa.

***

“Ariq, biar aku beritahu kau satu rahsia yang menarik,” ujar Ameenuddin.

“Rahsia apa?”

“Perhubungan kita memang ditakdirkan untuk jadi menarik.”

“Kenapa?”

“Men dan Ariq. Menarik kan?”

Mereka sama-sama tertawa.

TAMAT