Mudah sahaja kan niat ini, “Sahaja aku berblogging kerana
Allah Taala”. Adakah anda berblogging kerana Allah, atau kerana suka-suka, atau
mungkin kerana mahu menambahkan pendapatan harian? Yang itu, anda sendiri jawab
kerana niat ini merupakan suatu yang tersirat di dalam hati individu. Tidak ada
salahnya jika kita mahu menambahkan pendapatan melalui blog. Tidak ada salahnya
kita mahu berkongsi aktiviti seharian kita di dalam blog. Tidak ada salahnya
juga kita menambah kenalan melalui dunia blogging.
Satu perkara yang perlu kita sedar, walau apa pun motif kita
berkecimpung dalam dunia blogging sama ada ajakan kawan atau suka-suka, semua
itu boleh berubah menjadi sesuatu yang positif sekiranya kita menyandarkan niat
kita kepada Allah SWT. Perlu kita ketahui juga, alam maya merupakan satu alam
yang sangat luas, kadang-kadang boleh jadi lebih luas daripada bumi itu sendiri
kerana melalui alam maya kita dapat mengenali semua orang meskipun yang
jaraknya beribu-ribu batu daripada kita. Dan melalui blog, secara tidak
langsung kita akan dapat mengenali peribadi penulis blog itu sendiri. Blog
merupakan medan untuk berkongsi kisah peribadi, informasi, dakwah, ‘stalk’
orang atau diari.
Zaman sekarang jarang lagi orang menulis di dalam buku
tentang kisah yang terjadi dalam hidup mereka tetapi kita lebih gemar menulis
di blog kerana boleh langsung memuat naik gambar atau video. Sebenarnya walau
apa sekali pun jenis blog kita, kita tetap boleh menjadikannya sebagai suatu medium
yang berunsur positif.
Jika anda menulis tentang kehidupan peribadi anda, anda
bolehlah menyelitkan kata-kata motivasi atau sebarang unsur nasihat yang boleh
menyedarkan pembaca. Jika anda menulis tentang perkara buruk yang anda alami,
selitkanlah nasihat supaya pembaca blog boleh mengambil iktibar daripada
peristiwa tersebut.
Jika anda meminati bidang fotografi, biarlah foto-foto
tersebut tidak ada yang menayangkan aurat. Jika foto anda lebih kepada alam
semula jadi, selitkanlah kata-kata yang berunsur kesyukuran dan yang
mendekatkan diri lagi kepada Allah kerana menciptakan alam yang sungguh indah
dan luas.
Jika anda meminati vlog (video + blog) pula, cubalah
hasilkan vlog yang bermanfaat dan boleh mengetuk hati-hati penonton yang
melihatnya. Bukan vlog yang hanya mempunyai konteks kosong semata-mata.
Contoh-contoh vlog yang sangat bermanfaat seperti saudara Mat Luthfi,
MrAllTheShared, Aiman Azlan dan banyak lagi. Alhamdulillah, kini vlog yang
berbentuk ilmiah sudah semakin banyak dan pastinya dapat memberikan iktibar
kepada penonton.
Jika blog anda lebih kepada perniagaan, berniagalah dengan
cara yang tidak melanggar syariat Islam. Misalnya anda menjual produk, pastikan
produk tersebut halal dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Jika menjual
e-book, tulislah e-book yang penuh motivasi dan mendatangkan kebaikan kepada
pembaca. Jika anda menjual busana, pastikan pakaian-pakaian tersebut menutup
aurat dan tidak lari daripada landasan Islam.
Yang dinamakan blogging kerana Allah itu tidak semestinya
kita menulis tentang ayat-ayat Islamik semata-mata, tetapi blogging kerana
Allah adalah blogging kerana kita ingin mendatangkan kebaikan kepada diri
sendiri dan juga orang yang membaca blog kita. Saya sendiri bukanlah hebat
dalam dunia blogging ini, tetapi saya akan cuba menyampaikan informasi dan
sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada anda yang membacanya.
Blogger yang berblogging kerana Allah Taala ini sudah
semakin ramai dan harapnya kita juga tergolong dalam kalangan mereka yang
berniat Lillahi Taala. Anda boleh membaca penulisan menarik daripada pemuda-pemudi
yang menjadikan blog sebagai medan dakwah seperti Dr Cinta, Langit Ilahi,
Bayyinat, Fatimah Syarha, Inche Gabbana, Aiman Azlan dan Kereta Mayat.
BLOGGER ISLAMIK CUMA SANDIWARA SEMATA-MATA
Biasalah, ayat-ayat seperti ini dan yang sewaktu dengannya
memang akan kerap didengari oleh para blogger. Santai sahaja. Yang dipanggil
blogger ni, terpulang kepada kita untuk menulis tentang apa jua yang kita
mahukan, selari dengan etika blogger. Etika blogger adalah tidak menulis
tentang perkara yang menyentuh sensitiviti, pornografi, mengutuk pemimpin dan
sebagainya.
Berbalik kepada asas niat kita, kita mahu berblogging kerana
Allah Taala, jadi secara automatik pastilah entry kita berunsurkan sesuatu yang
berilmiah dan baik. Jika ada pihak yang mengejek atau mengeji usaha murni kita
ini, mungkin sahaja hati-hati mereka telah tertutup untuk menerima sesuatu yang
baik.
Mungkin seorang blogger itu pada hakikatnya tidaklah begitu
alim dan menyamai penulisannya. Saya ingat lagi kata-kata seorang sahabat,
Ariffah, yang memberikan pesanan ini kepada saya. ‘Islah Nafsak wad’u Ghairak’
yang bermaksud perbaiki diri, sambil mengajak orang lain ke arah kebaikan.
Seseorang itu tidaklah semestinya perlu menjadi alim untuk mengajak orang lain
ke arah kebaikan. Bahkan, jika dia mengajak ke arah positif, dia yang akan
mendapat pahala dan secara tidak langsung, dia mendapat peluang untuk
memperbaiki dirinya sendiri. Jika kita mahu tunggu diri ini sampai betul-betul
perfect, sampai bila kita mahu mula berdakwah kerana istilah ‘perfect’ itu tak
akan wujud dalam kamus manusia.
Islam itu mudah dan memudahkan. Janganlah sesekali kita
menyulitkan agama sendiri dengan perasaan berburuk sangka terhadap diri sendiri
dan orang lain. Jika kita mahukan sesuatu yang baik, lakukan sahaja tanpa
peduli kata-kata orang lain. Bukannya kita mahukan sesuatu yang negatif. Jika
bukan hari ini, takkan kita mahu menunggu sehingga esok pula? Kerana kita tidak
dapat menjamin adakah kita masih hidup pada keesokan hari untuk memulakan tugas
suci ini.
Oleh itu, saya menyeru kepada blogger yang sedang membaca
dan sesiapa yang berminat untuk berblogging supaya memperbetulkan niat kita,
berblogging kerana Allah Taala. Insha Allah, setiap benda yang kita mulakan
dengan niat yang baik akan mendapat imbalan yang baik juga.
No comments:
Post a Comment