Credits Doodle : nayzak.deviantart.com, www.fizgraphic.com dan nur92.deviantart.com |
Dalilah melepaskan tumbukan padu
terakhir tepat mengenai punching bag
yang berwarna merah di hadapannya itu. Dia menyeka peluh yang menitis di
pipinya itu. Barulah dia berasa lega. Hanya dengan latihan di pusat EF Centre itu dia mampu menghilangkan tekanan yang menghimpitnya.
“Ila, bila kami semua boleh
tamatkan latihan ni? Hafiz penatlah,” Hafiz mendaratkan tubuhnya di atas lantai
yang dialas dengan karpet bersih itu.
“Amboi. Aku tak suruh lagi kau
berhenti,” Dalilah menjeling tajam bapa saudara yang muda setahun daripadanya
itu. Kemudian pandangannya dialihkan menghadap kesemua anak-anak buahnya yang
sedang berlatih tendangan. Ada aura kepenatan yang terpancar pada wajah
masing-masing. Kasihan pula Dalilah melihat mereka sedemikian rupa.
“Baiklah, Kak Ila nak tengok double front kick semua orang. Lepas tu
kita semua boleh pulang,” selepas Dalilah memberi kata putus, Hafiz yang
terbaring tadi langsung bangkit dan membuka posisi kekudanya. Biarlah dia yang
menjadi orang pertama untuk menunjukkan tendangannya kepada Dalillah.
Dalilah mengangguk sambil
tergelak kecil melihat aksi bapa saudara muda itu. Meskipun pangkat mereka
berbeza, mereka merupakan teman sepermainan daripada kecil dan mempunyai minat
yang sama iaitu dalam seni mempertahankan diri Tae Kwon Do. Bezanya, Dalilah
sudah menjadi pemegang tali pinggang hitam semenjak dia berada di tingkatan
tiga dan Hafiz masih lagi memegang tali pinggang merah kerana jarang datang
latihan. Penglibatannya dalam pasukan bola sepak sedikit sebanyak menjejaskan
usahanya untuk menaikkan pangkat tali pinggang.
Hafiz menarik kaki kanannya ke
belakang dan menggenggam penumbuk ke dadanya. Setelah itu, kaki kanannya
terbang separa ke udara diikuti kaki kirinya yang dilepaskan penuh dalam keadaan
melompat. Tendangan dan daratan yang cukup kemas itu diiringi tepukan oleh
anak-anak muda yang hadir. Mereka yang mendaftar untuk kelas Tae Kwon Do itu
berada dalam lingkungan tujuh sehingga belasan tahun. Tenaga pengajar mereka
yang sebenar iaitu Sir Jamil sering mempunyai urusan di tempat lain, oleh itu
Dalilah telah diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak murid di situ.
Selesai giliran Hafiz, anak-anak
yang lain pula berebut mahu menunjukkan tendangan masing-masing sehingga ada
yang bertolak-tolakan. Apabila setiap orang telah menunjukkan tendangan mereka,
barulah Dalilah memberikan mereka kebenaran untuk pulang. Dia menunggu sehingga
semua ibu bapa menjemput anak-anak itu demi memastikan keselamatan mereka.
Suatu lagi perkara yang mampu menggembirakan hati Dalilah adalah tatkala
melihat wajah bahagia anak-anak dijemput ibu bapa mereka. “Mukhriz dah balik.
Ibu dia kirim salam,” Hafiz mengejutkan Dalilah daripada lamunannya.
“Semua dah balik. Jomlah. Hari ni
kau bawa motor,” Dalilah menyerahkan kunci motosikalnya kepada Hafiz.
Perjalanan untuk ke rumah mengambil masa hampir lima belas minit. Begitulah
rutin Dalilah setiap hujung minggu semenjak menamatkan peperiksaan SPM bulan
lepas.
***
“Mia, bila lagi awak nak buat kek
coklat macam semalam? Sedap! Awak ni memang pandai bab-bab memasak ni!”
Khadijah menyoal separuh teruja. Dia masih lagi tidak dapat menghilangkan rasa
keenakan kek coklat yang lembut disaluti coklat pekat yang berhiaskan strawberi
buatan Damia. Tambahan lagi, dia memang seorang penggemar kek coklat.
“Saya baru buat semalam awak dah
minta saya buat lagi? Amboi!” Damia mengangkat kedua-dua belah keningnya
buat-buat protes. Mana boleh hari-hari buat kek. Belanja untuk membeli barang
dapur pun sudah mahal sekarang ini. Nasib baiklah rakan-rakan sebilik yang lain
mampu bertolak ansur untuk berkongsi wang menampung kos perbelanjaan dalam
rumah. Damia baru sahaja berpindah ke rumah baru kerana rumahnya yang lama
terpaksa diberikan kepada penuntut universiti yang baru mendaftar.
“Damia!” satu suara kedengaran
memanggil namanya dari belakang. Damia sudah kenal benar dengan suara itu.
Namun demikian, dia tetap meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan si
pemanggil berkenaan. Khadijah juga sudah memahami situasi tersebut. Dia tidak
mahu masuk campur.
“Mia!” seorang lelaki bertopi
merah menghentikan perjalanan mereka. Dia berdiri tepat di hadapan Damia dan
tidak mahu mengalah dengan situasi. Damia sering mengelak setiap kali
bertembung dengannya. Kali ini, dia perlu mendapatkan suatu kepastian daripada
wanita itu.
“Mia, saya tak fahamlah. Kenapa
awak minta keluarga awak tangguhkan pernikahan kita? Saya dah cakap dengan ayah
awak macam yang awak minta. Kenapa awak masih mengelak daripada saya?” Qayyum
mendesak. Dia tidak mengerti dengan wanita itu. Dia sudah empat bulan bertunang
dengan Damia dan berhasrat mahu menjadikan hubungan mereka halal. Damia cuma
memberitahunya supaya pergi menemui orang tuanya dan apabila Qayyum menunaikan
permintaannya itu, ternyata Damia meminta supaya pernikahan mereka
ditangguhkan. Dan layanannya kepada Qayyum masih sama dingin seperti dulu.
Tidak seperti kebanyakan pasangan yang bercinta.
Damia yang sedari tadi menunduk,
cuba memberanikan dirinya. Dengan mengumpul kekuatan yang ada, dia cuba
menyusun kata. “Qayyum, saya memang ada menyuruh awak jumpa ayah saya sebab
saya tak tahu macam mana nak beritahu awak. Qayyum, saya masih ada impian. Saya
nak genggam ijazah.” Selama ini, Damia menyangka Qayyum juga sama seperti
lelaki-lelaki lain yang sengaja mengganggunya. Ternyata, Qayyum ikhlas dengan
niatnya apabila dia datang merisik dan akhirnya mereka bertunang. Masalahnya,
Damia baru sahaja berusia 21 tahun dan impiannya masih panjang.
“Mia, sekarang ini ramai juga orang
yang berkahwin sambil belajar. Dan dengan izin Allah mereka mampu menjalani
kehidupan yang lebih bahagia. Belajar pun lebih mudah kerana ada yang membantu.
Apa salahnya...”
Damia memotong kata-kata Qayyum,
“Qayyum, saya bukan nak menolak awak. Tapi, saya cuma minta tempoh masa
beberapa tahun sehingga saya habis belajar. Itu pun jika awak masih mahu
menunggu. Selagi kita bertunang, awak tak perlu risau apa-apa sebab saya ikhlas
jadi tunang awak. Semuanya terpulang kepada awak.” Wanita itu terus menarik
lengan Khadijah dan segera menghilangkan diri dari situ, meninggalkan Qayyum sendiri.
‘Baiklah Damia. Aku akan tunggu kau,’ monolog Qayyum. Jika Damia sanggup
berbuat apa sahaja untuk mengejar impiannya, Qayyum juga begitu.
Sepanjang perjalanan pulang,
Damia cuma membisu. Khadijah tidak mahu Damia terlalu memikirkan tentang
peristiwa yang berlaku sebentar tadi. “Mia, sudah-sudahlah tu. Balik nanti,
awak boleh tolong saya tak?” Damia bertentangan mata dengan Khadijah.
“Ibu saya ada kirimkan kain baju
kurung dari Pudu. Saya nak awak tolong design dan jahitkan boleh? Nanti saya
bayarlah,” rayu Khadijah. Selain daripada pandai memasak, tiada orang boleh
menyangkal bakat Damia dalam mereka busana. Damia memang bercita-cita tinggi
untuk menjadi seorang pereka fesyen muslimah. Oleh itu, dia tidak mahu
cita-citanya terjejas apabila berkahwin kelak.
“Sudah tentulah! Awak tak perlu
bayarlah, kita kan kawan. Saya akan pastikan baju itu akan buatkan awak tampil
lebih elegan,” Damia bicara penuh semangat. Dia sudah terbayang-bayang beberapa
rekaan dalam kepalanya. Tangannya sudah tidak sabar mahu mereka fesyen yang
baru.
***
Telefon bimbit Hafiz yang
berbunyi sejak tadi dicapai. Nombor awam tertera pada skrin telefon. Hafiz
sudah boleh menduga siapa yang menelefonnya.
“Assalamualaikum. Uncle Hafiz! Diana
telefon Kak Ila banyak kali dia tak angkat. Kak Ila ada tak?” satu suara kecil
kedengaran di hujung talian.
“Waalaikumussalam. Ila kerjalah.
Diana dah lupa ya? Ila kan sekarang tolong Along dengan business lori tu.
Petang nanti dia baliklah. Ada apa-apa nak pesan? Nanti Hafiz sampaikan,” ujar
Hafiz yang tidak gemar membahasakan dirinya ‘Uncle’ meskipun anak saudaranya
yang satu itu suka memanggilnya dengan gelaran itu. Diana cuma muda dua tahun
sahaja daripadanya dan sekarang ini sedang belajar di sekolah berasrama penuh
di tingkatan tiga. Tahun ini, Hafiz bakal mengambil peperiksaan SPM dan Diana
pula PMR.
“Ya lah, Diana lupa Kak Ila kerja
dengan ayah. Tak apalah Uncle Hafiz. Cakap dengan ayah atau Kak Ila, hujung
minggu ni Diana balik. Itu saja.” Setelah memberi salam, Diana meletakkan
gagang telefon awam yang disediakan di sekolah itu. Diana menghela nafas
panjang. Meskipun dia mengerti semua orang di rumah sibuk, dia masih rindu mahu
berbual-bual dengan kakaknya. Sedikit perasaan kecewa mengulit hatinya ketika
itu. Sudah sebulan lebih dia tidak pulang ke rumah. Dia memerhatikan kamera
DSLR yang tergantung pada lehernya. Kamera itu merupakan pemberian Damia
kepadanya. ‘Ah, rindunya...’
“Cakap dengan ayah atau Kak Ila,
hujung minggu ni Diana balik,” satu suara mengejek kedengaran. Diana menoleh ke
belakang dan mendapati Tengku Fatehah sedang berdiri di belakangnya. Sejak bila
dia berdiri di situ pun tidak dapat dipastikan. Diana menelan liur. Beberapa
rakan Tengku Fatehah yang lain turut mentertawakan Diana. ‘Ya Allah, musibah
apa lagi yang akan menimpa aku sekarang?’ bisik hatinya.
Semenjak tingkatan satu lagi, Tengku
Fatehah tidak pernah menyenangi kehadiran Diana kerana berpendapat orang miskin
seperti Diana tidak layak untuk masuk ke sekolah itu. Tengku Fatehah ialah anak
orang yang berpengaruh di Malaysia dan juga di sekolah itu. Namun, sifatnya
jauh berbeza dengan sifat orang tuanya yang bersopan-santun dan sentiasa
menghormati orang lain. Tengku Fatehah sering menggunakan statusnya untuk
menindas insan yang lebih lemah. Bahkan, senior-senior di asrama pun tidak
berani mengusiknya kerana tidak mahu dibuang sekolah.
Diana cuba bergerak pergi namun
perjalanannya dihalang Tengku Fatehah. Jika dia mahu melarikan diri sekalipun,
rakan-rakan Tengku Fatehah yang lain ada di situ untuk menghalangnya.
“Fatehah nak apa? Diana nak balik
asrama ni. Malam ni kan ada kelas prep?”
Diana masih cuba mengelak. Tengku Fatehah sengaja melanggar bahunya dengan bahu
Diana membuatkan gadis itu terundur ke belakang sedikit.
“Aku nak apa? Aku tak inginlah
nak tengok muka kau di sini. Muak! Kau boleh buat-buat baik, alim dengan satu
asrama. Tapi kau tak perlu nak pura-pura baik depan akulah,” Tengku Fatehah
meluahkan rasa geram. Rasa iri hati telah menguasai hatinya untuk membenci
gadis itu meskipun dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan terhadapnya.
Hati Diana seolah-olah tertusuk
pedang dan terhiris mendengar kata-kata itu. Sungguh dia tidak menyangka begitu
sekali tanggapan Tengku Fatehah terhadap dirinya. Memang benar, dia baik dengan
semua orang termasuk kakak-kakak di asrama. Tetapi semuanya dilakukan ikhlas
dan bukannya sandiwara semata-mata. “Fatehah tak tahu apa-apa tentang Diana,”
ujarnya.
“Kau dah berani melawan ya
sekarang?” tanpa diduga Tengku Fatehah menolak kuat Diana sehingga terlanggar
dinding. Mujurlah kamera kesayangannya itu tidak terkena apa-apa. Diana
memegang lengannya yang kesakitan. Tengku Fatehah merapati tubuh Diana dan
berbisik padanya, “Kau belum kenal lagi siapa aku.” Dia dan rakan-rakannya
segera beredar meninggalkan Diana. Diana bagaikan tidak percaya dengan apa yang
baru dialaminya tadi.
***
Dalilah memegang bingkai gambar
keluarganya. Rasa rindu datang bertandang tatkala dia melihat wajah arwah
ibunya. Dia masih ingat lagi ketika kejadian tersebut berlaku. Pada waktu itu,
Damia dan Diana keluar mengikuti ayahnya kerana mendapat panggilan kerja. Dia
sahaja yang tidak mahu mengikuti mereka kerana mahu menemani ibunya. Ketika itu
dia baru sahaja berusia enam tahun.
Hujan mula turun di luar rumah.
Sudah jam 9 malam tetapi ayah dan adik-beradiknya masih belum pulang lagi.
Dalilah menonton televisyen dan berusaha untuk tidak melelapkan mata kerana dia
mahu menunggu kepulangan keluarganya. Ibunya pula sedang mencuci pinggan di dapur.
Tidak lama kemudian, Dalilah terdengar bunyi ketukan berkali-kali di pintu.
Tanpa melengahkan masa, dia segera melompat dari sofa dan membuka pintu.
Alangkah terkejutnya apabila di hadapannya muncul tiga orang lelaki bertopeng
hitam. Salah seorang daripadanya sedang memegang pistol.
Dalilah cuba berlari namun sempat
ditangkap oleh salah seorang perompak itu. Ibunya yang baru keluar dari dapur
sangat terkejut apabila mendapati anaknya sedang berada dalam genggaman seorang
lelaki bertopeng. Mereka segera menutup pintu dan mengikat kedua-dua beranak
itu di ruang tamu. Mulut Dalilah dan ibunya turut diikat ketat. Ketiga-tiga
makhluk tidak dikenali itu masuk dari satu pintu ke pintu yang lain dan
mengambil wang serta barang-barang bernilai yang ada. Namun, tidak banyak
jumlah yang dapat diambil oleh mereka kerana ayah Dalilah sering menyimpan wang
di dalam bank.
Suatu kejadian yang tidak diduga
terjadi apabila datuk dan nenek Dalilah tiba secara mengejut. Namun, kehadiran
mereka yang bertujuan sebagai satu kejutan itu berakhir dengan satu tragedi.
Perompak-perompak itu terkejut dengan kehadiran mereka dan segera membelasah
datuk dan nenek tanpa sebarang simpati. Datuk sempat menarik topeng salah
seorang penjenayah. Akibat daripada tindakannya itu, datuk dan nenek dibelasah
sehingga meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalilah tidak mampu berbuat
apa-apa melainkan menangis. Ibunya pula cuba untuk membantu mertuanya dalam
keadaan yang tidak terdaya itu. Dia cuba meronta-ronta dan tidak tahan melihat
mereka diseksa. Akibat panik, salah seorang daripada perompak yang telah dibuka
topengnya itu melepaskan das tembakan tepat mengenai dada si ibu. Dalilah
sekali lagi cuma mampu memerhatikan ibunya yang berada dalam keadaan
nyawa-nyawa ikan itu. Setelah itu, mereka bertiga melarikan diri bersama hasil
rompakan malam itu. Selepas itu, Dalilah sudah tidak sedarkan diri lagi dan
apabila sedar dia mendapati dirinya sedang terlantar di hospital bersama
ayahnya.
Ku bersujud padamu,
berdoa pada yang satu,
Padamu aku mengadu,
Allah yang satu,
Mohon petunjuk darimu,
berderai air mataku,
Ku ingin dekat
denganmu.
Nada dering lagu Al-Haq
kedengaran sekaligus memecahkan lamunan Dalilah tentang masa silamnya. Dia
menekan punat hijau untuk menjawab panggilan. Di hujung talian, kedengaran
suara tercungap-cungap seperti orang yang baru selesai berlari. Dalilah sudah
mengerutkan keningnya.
“Ila, masalah! Budak-budak kita,
kena kacau kena budak Tae Kwon Do dari kelab lain. Mereka sedang bertarung
untuk tentukan siapa lagi hebat,” Hafiz tergesa-gesa menjelaskan. Dia menarik
nafas pendek. Jika diikutkan, dia mahu sahaja membantu yang lain tetapi dia
perlu melaporkan kepada Dalilah terlebih dahulu.
“Apa? Di mana?!” Dalilah
terperanjat campur tidak percaya. Baru kali pertama kes seperti ini terjadi.
“Belakang sekolah Hafiz. Cepat
datang.”
“Baiklah. Kau tunggu aku.” Talian
dimatikan. Dalilah segera mencapai kunci motosikalnya dan menghidupkan enjin.
Dia harus segera bertindak untuk menghentikan perkelahian dua kelab itu. Paling
penting, salah satu kelab Tae Kwon Do yang bertarung itu kini berada di bawah
jagaannya. Kira-kira sepuluh minit kemudian barulah Dalilah tiba di tempat
kejadian. Hafiz dan yang lain-lain sedang hangat bertarung. Beberapa orang
sudah tumpas menyembah bumi.
“Berhenti! Aku cakap berhenti!”
Dalilah cuba menghentikan pertarungan tetapi tiada yang peduli. Dalilah sedaya
upaya tidak mahu turut berlawan kerana semua yang berada di situ merupakan
pelajar lelaki. Namun, dia tetap tidak gentar sekiranya terpaksa berdepan
dengan situasi yang genting. Dalilah masih mencuba nasib dengan menyuruh mereka
supaya berhenti. Kali ini, suaranya lebih kuat. Namun, respons yang sama masih
diberikan. Tanpa diduga, seorang pelajar lelaki yang masih memakai uniform
sekolah menyerang betis Dalilah dan membuatkan gadis itu separa terduduk.
“Tak guna!” Dalilah sudah tidak
boleh menahan sabar. Dia membetulkan posisinya dan bersedia untuk bertarung.
Dalilah mempersilakannya untuk menyerang terlebih dahulu. Pelajar-pelajar yang
lain bertindak menghentikan pertarungan mereka tatkala baru menyedari kehadiran
seorang perempuan di situ. Paling dahsyat, mereka tidak percaya Dalilah
bersedia untuk bertarung.
“Kalau kau lelaki, kau lawanlah
dengan lelaki!” Hafiz memberikan amaran kepada lelaki itu kerana dia tidak mahu
Dalilah turut terlibat. Jika abangnya tahu tentang ini, pasti teruk dia
dikerjakan.
Dalilah menolak Hafiz ke tepi,
menandakan pertarungan ini miliknya. “Kalau aku menang, kau dengan kawan-kawan
kau tinggalkan anak-anak buah aku. Faham?” Dalilah memberikan amaran keras.
Lelaki berambut kerinting yang menyerangnya itu sudah pecah ketawa. Dia tidak
mungkin akan tewas dalam tangan seorang perempuan. “Kalau aku menang?” soalnya
kembali.
“Kalau kau menang, kami semua
akan mengaku kelab kau hebat. Setuju?” Dalilah begitu yakin membuat rundingan. “Ila...”
Hafiz mahu membantah tetapi lelaki itu telah bersetuju. Kali ini, Hafiz tidak
boleh masuk campur lagi. Dia terpaksa mengalah.
Lelaki berambut kerinting yang
memakai tanda nama Saiful itu memulakan serangan. Dia mengacah-acah terlebih
dahulu. Setelah menunggu masa yang sesuai, barulah kaki kanannya diangkat naik
ke udara secara menyerong. Sasarannya adalah perut Dalilah. Dalilah pantas
refleks. Menyedari dia mempunyai peluang, dia mengundur setapak ke belakang
dahulu sebelum kembali ke hadapan untuk menendang. Aksinya berjaya dikesan
pihak lawan. Saiful menangkis tendangan tersebut dengan kedua-dua belah
tangannya.
Saiful masih lagi cuba menyerang.
Dia tidak akan berlembut dengan perempuan kerana dia sudah dapat mengagak
bahawa Dalilah memiliki pangkat yang tinggi dalam Tae Kwon Do. Saiful mencuba turning kick sekali lagi tetapi Dalilah
begitu tangkas dan sempat mengelak. Kali ini, Dalilah mencuba tendangan
rahsianya iaitu double chopping kick.
Dalilah boleh dikatakan agak
rendah berbanding Saiful. Saiful mungkin tidak akan menduga dia boleh melakukan
tendangan tersebut, iaitu sedikit lompatan acah kaki kiri disusuli tendangan
keras kaki kanan. Untuk melakukan double
chopping kick, seseorang itu perlu mempunyai daya keyakinan yang tinggi
disertai stamina tubuh. Taktik Dalilah berjaya kerana tendangannya tepat
mengenai batang hidung Saiful membuatkan lelaki itu akhirnya terjatuh di atas
tanah. Semua yang menonton terus bertepuk tangan termasuk rakan-rakan Saiful
sendiri.
“Kau nak teruskan lagi?” Dalilah
menduga penuh yakin. Dia sudah berlatih terlalu lama untuk sebuah pertarungan
yang sebenar. Saiful bangkit dan memasang kekuda kembali. Dia menyentuh
hidungnya yang kesakitan. Tak mungkin dia akan kalah pada hari itu. Dia perlu
membuktikan bahawa dia yang lebih hebat. Saiful mengacah ke hadapan sebelum
melayangkan backthrust kick. Backthrust kick merupakan tendangan
kejutan yang sukar diramal oleh pihak lawan kerana merupakan tendangan 360
darjah mengikut arah jam.
Dalilah tidak selemah yang
disangka. Dia mampu meramal tendangan Saiful lalu dia memegang kasut lelaki itu
untuk menahannya. Apabila Saiful sudah berada dalam posisi yang terkunci,
Dalilah menyerang kaki kirinya sehingga menyebabkan lelaki itu sekali lagi
tersungkur ke bumi.
“Is that the best you can do?”
Dalilah semakin mencabar. Rakan-rakan Saiful mentertawakannya. Saiful tidak
tahan dimalukan sedemikian rupa. Dia terus bangkit dan mengalah. Gadis di
hadapannya itu sudah pasti bukan calang-calang orangnya. “Baiklah. Aku dan
kawan-kawan aku tak akan ganggu akak dengan anak-anak buah akak dah,” Saiful
mengajak ahli kelabnya berundur. Mereka terpaksa akur kerana menang kalah
merupakan adat seni mempertahankan diri Tae Kwon Do.
“Tabiklah Kak Ila. Boleh kalahkan
Saiful!” seorang pelajar tingkatan tiga membuat gaya tabik di hadapan Dalilah.
Dia merupakan salah satu pelajar yang menuntut di EF Centre.
“Kamu semua ni, lain kali cubalah
jangan buat hal lagi. Tae Kwon Do ni merupakan seni untuk mempertahankan diri,
bukannya untuk buktikan siapa lagi hebat. Mengarut betul,” Dalilah menggeleng
kepala.
“Ila, kenapa nak lawan juga?
Hafiz pun bolehlah settlekan si Saiful tu,” Hafiz mendabik dadanya.
“Kau tu mentah lagi. Kalau kau
cedera, macam mana aku nak jawab dengan ayah nanti?” Dalilah sengaja mengusik
Hafiz meskipun dia mengakui kebenaran kata-kata bapa saudaranya itu.
“Eh, kita ni beza setahun
sajalah!” Hafiz menegaskan sambil membonceng motosikal yang ditunggang Dalilah.
Abangnya terlalu sibuk mencari rezeki untuk menanggung kehidupan Hafiz dan tiga
orang anak buahnya. Damia pula sedang menuntut di sebuah universiti tempatan
manakala Diana sedang belajar di sekolah berasrama penuh. Oleh itu, Hafiz lebih
banyak meluangkan masa bersama Dalilah. Tambahan pula, usia mereka lebih kurang
sebaya.
Tiba di rumah, Dalilah terkejut
mendapati Damia sedang menunggu di ruang tamu. Mungkin dia tiba sejurus sahaja
Dalilah keluar tadi. Tanpa berkata apa-apa, dia terus memeluk satu-satunya
kakak yang dimilikinya itu. “Bila kakak sampai? Kenapa tak beritahu dulu?”
Dalilah separuh teruja. Ayahnya pernah memberitahunya bahawa kakaknya akan
pulang, tetapi dia tidak menyangka secepat itu.
“Dahlah. Kakak dah cakap dengan
ayah, kakak cuti semester. Mana ayah? Kerja?” ujarnya setelah melihat seisi
rumah itu kosong.
“Ayah pergi ambil Diana di
asrama. Nanti kita boleh berkumpul lagi. Oh ya, kakak pulang naik apa?” soal
Dalilah kemballi sambil menjeling ke arah luar. Tidak ada kenderaan lain di
luar melainkan satu-satunya motosikal
yang dimilikinya itu. Belum sempat lagi Damia menjawab, Dalilah sudah membuat
andaian sendiri. “Oh, kakak balik dengan Abang Qayyum ya? Amboi, dah pandai
balik sekali ya sekarang!”
Damia mencubit kedua-dua pipi
Dalilah geram. Meskipun Dalilah selalunya berperwatakan kasar, adiknya itu
sebenarnya seorang yang manja dan pandai mengusik. “Kakak balik naik teksilah!
Sudahlah. Kalau hendak dilayan Ila ni memang tak akan habis. Kakak nak pergi
sediakan makanan. Harapkan kamu, berhabuk sajalah dapur tu!” Dalilah
tersengih-sengih.
“Memang pun. Selalunya Along akan
beli makanan dari luar. Hafiz pun selalu beli makanan kantin sekolah, Kak Mia,”
Hafiz sengaja menambah perisa. Dalilah segera meluku kepala Hafiz. Damia
terhibur melihat keletah mereka. Dia tidak sanggup mahu memaklumkan kepada
mereka satu perkhabaran yang baru diterimanya sejurus sebelum bertolak ke rumah
tadi. Damia menarik nafas panjang.
***
Diana memerhatikan jam tangannya
yang sudah menunjukkan jam 3 petang. Ayahnya masih juga belum muncul. Semua
kelengkapan untuk pulang sudah tersusun rapi di tempat menunggu. Kebanyakan
pelajar lain sudah pulang bahkan mungkin sudah selamat tiba di rumah. Diana
cuba bertindak lebih memahami. Ayahnya mahu mengambilnya pun dia sudah
bersyukur. Sementara mengisi kelapangan yang ada, Diana mengambil foto-foto
panorama di sekolahnya. Dia dibenarkan untuk membawa kamera DSLR ke sekolah
kerana telah dilantik sebagai ahli kelab Bridget Bestari sekolah.
Bidang fotografi memang merupakan
minatnya sejak kecil. Bermula dengan kamera digital sehinggalah akhirnya
ayahnya membelikannya kamera DSLR. Dia mengambil tahu tentang semua jenis
kamera dan fungsinya serta tidak mahu ketinggalan mengetahui tentang
kamera-kamera terbaru yang berada di pasaran.
Sedang dia khusyuk mengambil
gambar, dia tertangkap gambar seseorang yang tiba-tiba muncul menutup
pemandangan. Dan seperti yang diduga, Tengku Fatehah sedang tersenyum sinis
kepadanya. Ketika itu, Diana berharap agar ayahnya akan segera mengambilnya
pulang.
“Yang kau ambil gambar aku
kenapa?” Tengku Fatehah sengaja mencari masalah. Diana mendongak memerhatikan
Tengku Fatehah yang sedang berdiri. “Fatehah yang tiba-tiba berdiri di depan
Diana ni kenapa?”
“Kau memang berlagak pandai kan?”
Tengku Fatehah menolak kamera itu daripada genggaman Diana. Mujurlah Diana
menggantungnya di leher maka kamera itu tidak terjatuh. Berang tindakannya
tidak berkesan, Tengku Fatehah menarik tudung Diana ke belakang lantas ketawa
sendiri. Dia seolah-olah tidak boleh melihat Diana berbahagia dengan
kehidupannya.
“Fatehah?! Awak ni dah kenapa?
Psiko ke?” Diana yang menyedari dia terlepas cakap segera menekup mulutnya. Dia
sedar seburuk mana pun seseorang itu bukanlah tugasnya untuk menilainya.
Tengku Fatehah bertambah berang
dan merampas kamera Diana daripada lehernya. Tanpa berfikir panjang, dia
melemparkan kamera tersebut ke atas lantai sekuat hati. Diana terkesima dan
terdiam seribu bahasa. Tengku Fatehah pantas beredar dari situ kerana tidak
mahu diketahui oleh orang lain. Diana perlahan-lahan mengangkat kembali
kameranya. Jantungnya berdegup lebih pantas dari biasa. Dia menekan butang ‘on’
pada kamera. Skrin masih gelap. Dia mencuba berkali-kali dan hasilnya tetap
sama.
Kira-kira lima minit setelah itu,
barulah muncul kereta Proton Waja milik ayahnya di pekarangan sekolah. Diana
berasa tidak senang duduk sepanjang perjalanan pulang ke rumah kerana dia tidak
tahu bagaimana hendak memberitahu kepada ayahnya perkara yang sebenar. Jika
ayahnya tahu, mungkin Diana tidak akan dibenarkan lagi memegang kamera. Paling
teruk, impiannya untuk menjadi seorang jurugambar profesional akan musnah
begitu sahaja. Dan semua itu berpunca daripada Tengku Fatehah!
***
“Ila, pergi tengok siapa yang
datang,” arah ayah yang sedang menonton televisyen. Dalilah menyarungkan
tudungnya dan mengintai dahulu dari tingkap. Dia memerhatikan dua susuk tubuh.
Seorang lelaki muda yang cukup dikenalinya sedang berdiri di hadapan pintu
rumah manakala seorang lagi sudah tua dan kelihatan hampir separuh abad.
Dalilah tersenyum dan membuka pintu rumah.
“Ayah, Abang Qayyum datang!”
Dalilah mempersilakan mereka untuk duduk dan menuju ke dapur untuk membuat
minuman. Setakat menyediakan minuman bolehlah. Jika disuruh memasak, pasti dia
akan berubah terpinga-pinga. Dalilah membancuh air kopi dan membawanya ke
hadapan. Dia mendengar Qayyum dan ayahnya berbincang tentang perkahwinan dengan
kakaknya. Ayah Qayyum yang baru pertama kali dilihatnya itu mengusulkan supaya
perkahwinan mereka diadakan secepat mungkin.
Dalilah menuangkan air ke dalam
cawan dan meletakkan di hadapan ayahnya serta tetamu. Tatkala dia melihat ayah
Qayyum, figura itu seolah-olah pernah dilihatnya sebelum ini. Dalilah terus
menatap wajah itu berkali-kali untuk mendapatkan suatu kepastian.
Ayah Qayyum yang menyedari
dirinya diperhatikan langsung mengubah pandangannya menghadap Dalilah. Biji
matanya tiba-tiba membesar dan wajahnya berubah menakutkan. Jantung Dalilah
berdegup kencang. Tanpa diduga, dia mengeluarkan sebilah pisau dari poketnya
dan terus menarik leher ayah tanpa sebarang kata. Pisau diacukan pada leher
ayahnya. Qayyum di sisi sekadar memerhati.
“Berhenti! Jangan bunuh ayah
aku!” Dalilah cuba menghalang sebarang perkara buruk terjadi. Tubuhnya mula
menggigil dan resah memenuhi jiwa. Bila-bila masa sahaja pisau itu boleh menoreh
leher ayahnya.
“Aku akan bunuh ayah kau macam
mana aku bunuh mak kau dua belas tahun yang lepas! Hahaha!” Lelaki itu ketawa
terbahak-bahak mengejek.
“Kak Ila! Kak Ila!” Panggilan
Diana itu langsung menyedarkan Dalilah dari mimpinya. Dalilah refleks bangun
dan menyeka peluh yang menitis di wajahnya. Kini, dia telah mendapat jawapan.
Dia sudah ingat kembali segala-galanya. Dia tidak akan melupakan wajah lelaki
yang telah menembak arwah ibunya dahulu. Dalilah berasa panik.
“Kak Ila, kenapa ni?” Diana
terkejut melihat kakaknya yang menjerit-jerit di tengah malam ketika sedang
tidur. Damia yang tadinya lena diulit mimpi, kini juga telah terjaga.
Dalilah memegang kepalanya sambil
menggeleng-geleng. Jantungnya berdegup sangat kencang. Dalilah seolah-olah
diserang histeria. Dia masih trauma dengan mimpinya sendiri. Nafasnya turun
naik. “Dia nak bunuh ayah!”
Damia segera mendekati dan
memegang tangan Dalilah serta membacakan ayat kursi di telinganya untuk
menenangkan jiwanya. “Ila, kenapa ni? Ila mimpi buruk?” Dalilah merenung
kedua-dua biji mata kakaknya kemudian memeluknya sambil menangis.
“Kakak, kakak jangan kahwin dengan Abang
Qayyum?” pinta Dalilah dengan penuh simpati. Dalilah memeluk kakaknya dengan
lebih erat. Diana cuma memerhatikan keadaan. Dia masih lagi terkejut dengan
kelakuan kakaknya itu.
“Ila, kenapa cakap macam tu?
Bukan selama ni Ila juga yang berkenan dengan Abang Qayyum? Kenapa tiba-tiba
tak bagi kakak kahwin dengan dia?” lembut Damia bertanya. Dia masih lagi cuba
menenangkan Dalilah sambil mendapatkan sebuah jawapan atas permintaan yang aneh
itu.
Dalilah yang masih lagi dalam
tangisan menjawab, “Kakak, Ila dah ingat balik. Ila dah ingat semuanya. Allah
dah tunjukkan Ila petunjuk melalui mimpi. Kali ini, Ila betul-betul pasti! Ayah
Abang Qayyum, Pak Cik Amri itulah pembunuh arwah ibu. Dan kemungkinan besar,
dia yang telah membunuh datuk dan nenek. Kakak, kakak kena putuskan tunang
dengan Abang Qayyum!” Dalilah menjelaskan panjang lebar. Damia dan Diana yang
mendengar terperanjat. Sukar untuk mereka mempercayai apa yang telah dijelaskan
sebentar tadi. Setelah 12 tahun pencarian, akhirnya mereka menemui pembunuh
keluarga mereka. Satu hakikat yang sukar untuk diterima.
Damia tidak percaya. Bakal
mertuanya yang telah membunuh ibunya selama ini? “Ila, Ila jangan main-main.
Boleh jadi, semua tu hanya khayalan Ila. Apa yang Ila katakan sebentar tadi
boleh jadi satu fitnah besar, tahu? Tak mungkin Pak Cik Amri yang bunuh arwah
ibu, datuk dan nenek. Pak Cik Amri tu baik orangnya.”
Dalilah melepaskan pelukannya.
“Kakak, kalau kakak tak nak percaya kata-kata Ila terpulang kepada kakak. Tapi
apa yang Ila cakap tadi semuanya betul. Mula-mula Ila sendiri tak cam Pak Cik
Amri. Tetapi kini, Ila dah ingat semuanya. Ila tak mungkin akan lupakan wajah
orang yang bunuh ibu. Kakak, Ila ada di tempat kejadian. Ila masih ingat lagi
muka si penjahat tu. Ila tak akan maafkan dia!”
“Ok, ok. Katakanlah Pak Cik Amri
tu memang orangnya, takkan dia tak cam kita?” Diana pula menyoal. Diana
langsung tidak mengingati apa-apa kerana dia baru sahaja berusia 3 tahun ketika
ibunya meninggal dunia.
“Manalah Kak Ila tahu. Mungkin
dia sengaja mahu tunangkan kakak dengan Abang Qayyum untuk tutup kesalahannya.
Mungkin... dia tak ingat langsung. Lagipun ayah, kakak dan adik tidak ada di
rumah ketika itu. Cuma Ila sahaja, dan Ila masih kecil. Mustahil dia cam wajah Ila.” Air mata Dalilah masih tidak berhenti menitis.
“Ila, apa yang Ila cakap tadi tu
sesuatu yang serius tahu? Ila mungkin
boleh bantu kita jumpa pembunuh arwah ibu, atau Ila mungkin telah memfitnah
seseorang,” Damia cuba berbicara secara rasional.
“Kakak, Ila pasti kita dah jumpa
pembunuh ibu.”
***
Kereta Toyota Corolla berwarna
biru muda meluncur laju masuk ke dalam pekarangan rumah. Damia tidak tahu apa
yang perlu dilakukannya. Hari itu mungkin merupakan pengakhiran kepada sebuah
kebahagiaan yang baru tercipta. Damia beristighfar panjang. Qayyum keluar dari
kereta dan memerhatikan Damia dengan satu pandangan yang tidak boleh
ditafsirkan maksudnya. Qayyum berjalan menghampiri Damia tanpa sepatah kata.
Akhirnya, Qayyum bertindak
memecahkan kebisuan. “Puas hati? Ayah saya dah mengaku perbuatannya. Ayah dah
masuk penjara sekarang ini. Puas hati awak, Damia?” kesedihan jelas terlakar
pada wajah Qayyum. Damia tahu, situasi itu sangat sulit untuk Qayyum sekarang
ini. Dua puluh tahun lebih dia hidup tanpa mengetahui ayahnya seorang pembunuh.
Paling teruk lagi, orang yang memasukkan ayahnya ke dalam penjara adalah keluarga
tunangnya sendiri.
“Qayyum, saya tak tahu macam mana
nak cakap. Situasi ni rumit.”
“Awak memang tak sukakan saya
dari dulu kan? Itu hakikatnya. Sebab itulah awak tolak saya dengan alasan nak
kejar cita-cita fashion designing awak tu. Dan sekarang, saya pula jadi
mangsanya?” Qayyum menyoal, tetapi masih dengan nada yang lembut. Dia terlalu
menyayangi wanita di hadapannya itu. Hatinya cuma sedikit terhiris sejak
mengetahui ayahnya terhumban ke dalam penjara.
“Saya tak pernah tolak awak,”
Damia menunduk.
Qayyum cuba menenangkan dirinya.
“Mia, saya minta maaf sebab ayah saya, ibu, datuk dan nenek awak meninggal
dunia. Tapi tak mungkin awak akan terima saya lepas semua ni kan?”
Damia masih diam membisu,
membiarkan anak muda di hadapannya itu melontarkan segala rasa yang terbuku.
“Saya tahu awak tak sukakan saya.
Dan saya faham kalau awak tak mahu teruskan hubungan ni lagi,” Qayyum menambah.
Perit hatinya untuk berkata seperti itu. Dia sudah mengenali Damia sejak
sekolah menengah lagi. Namun, dia cuma memberanikan diri untuk menegurnya sejak
mereka masuk universiti yang sama. Mungkin mereka tidak ditakdirkan bersama.
Damia dihujani perasaan sedih.
“Qayyum, awak tak faham-faham lagi ya?” Qayyum bingung dengan pertanyaan itu.
Tak faham? Apa yang dia masih tidak faham?
“Qayyum, kenapa saya perlu terima
pertunangan ni kalau saya tak suka awak? Awak tak faham lagi ya?” Damia meluah
rasa meskipun perasaan malu menyelubungi dirinya. Dia masih menunduk. Qayyum
terkejut mendengar sesuatu yang amat diharapkannya selama ini. Damia bertekad
menceritakan hal yang sebenar kepada Qayyum sebelum terlambat.
“Baru-baru ni, saya ada terima
tawaran ke Brunei. Rekaan yang saya hantar ke universiti di Brunei tempoh hari
telah diterima. Mereka sediakan tempat tinggal juga untuk saya. Saya belum
beritahu sesiapa pun tentang hal ni, termasuk keluarga saya sendiri. Saya...
bercadang untuk pergi...”
Qayyum menarik nafas panjang. Apa
lagi dugaannya kali ini? Nampaknya, dia benar-benar harus merelakan sebuah
perpisahan itu terjadi. “Damia, tahniah saya ucapkan. Saya tahu awak cintakan
impian awak tu. Saya harap awak akan lebih berjaya di sana nanti.”
“Awak, saya belum habis cakap
lagilah. Saya... bercadang untuk pergi... dengan awak.”
Qayyum tidak terkata-kata. Dia
sungguh tidak mengharapkan sedemikian rupa. Ternyata, Allah turunkan hujan
kerana Dia mahu mengurniakan pelangi yang indah kepada hambaNya. Qayyum juga
baru bercadang untuk bekerja sambil belajar di tempat baru semenjak ayahnya
dimasukkan ke dalam penjara. Qayyum tersenyum penuh makna. Dia mengucapkan
syukur di dalam hati.
“Kakak, ajaklah Qayyum masuk.
Kenapa berdiri di luar sahaja?” Ayah Damia yang memerhatikan dari tadi
memecahkan kesunyian. Damia yang masih segan kerana telah meluahkan isi hatinya
itu langsung masuk ke dalam rumah.
Si ayah menarik nafas lega.
Meskipun Qayyum merupakan anak kepada pembunuh isterinya, Qayyum tidak
bersalah. Dia juga sedang belajar untuk memaafkan Amri atas perbuatannya itu. Dia
percaya, Amri telah berubah dan menyesali perbuatannya apabila dia sanggup
untuk mengaku dan menyerahkan diri kepada pihak polis. Dan dia sering berpesan
kepada anak-anak serta adiknya untuk memaafkan pembunuh orang tua mereka kerana
setiap manusia pernah melakukan dosa. Sedangkan nabi pun mengampuni umatnya,
apatah mereka sesama manusia.
“Ayah,” seru Diana yang entah
dari mana munculnya. Diana memandang ayahnya dengan perasaan bersalah. Dia
tidak mahu berselindung lagi. Dia terpaksa menceritakan segala-galanya kepada
ayahnya. Si ayah sudah dapat menduga sesuatu yang tidak kena dengan anaknya.
Dia menjeling Hafiz yang sedang sibuk melayan Qayyum di ruang tamu sebelum
mengalihkan pandangan kembali kepada anak bongsunya itu.
“Ada apa Adik?” lembut sekali
tutur katanya. Diana berfikir panjang sebelum mula berkata-kata.
“Ayah, sebenarnya kamera DSLR
yang kakak belikan untuk Diana dah rosak...” Diana menunduk. Dia sudah bersedia
untuk dimarahi kerana tidak pandai menjaga kamera.
Ayah masih berlagak tenang. “Bila
rosaknya?”
“Tiga bulan yang lepas.” Ayah
mengukir senyum membuatkan Diana semakin hairan. Ayah ni dengar atau tidak
kamera itu rosak?
“Diana, ayah nak cakap sikit
dengan Diana. Beberapa hari yang lepas, Tengku Adam telefon ayah.”
“Tengku Adam? Ayah Tengku Fatehah
tu?” Diana semakin hairan. Keningnya dikerutkan.
“Ya. Kawan ayah tu. Tengku cakap,
dia ada terbaca diari anak dia, Fatehah. Dan dia terkejut sebab dalam diari tu,
Fatehah tulis tentang semua perbuatan dia kepada Adik, termasuk rosakkan kamera
Adik. Jadi Tengku minta maaf bagi pihak Fatehah. Dia pun janji hendak belikan
Diana kamera yang baru, itupun kalau Diana sudi,” jelasnya.
Diana lagi tertunduk kesal.
Ayahnya sudah mengetahui perkara itu sebelum dia memberitahunya. Dan dia masih
lagi terkejut dengan berita yang baru diterimanya itu. Si ayah menyambung lagi,
“Diana, kenapa Diana tak beritahu ayah atau kakak-kakak Diana yang Fatehah
selalu buli Diana di sekolah? Kenapa tak laporkan kepada sesiapa?”
“Ayah, Diana minta maaf sebab tak
beritahu ayah awal-awal. Diana malu. Diana malu orang tahu Diana dibuli.
Padahal Kak Ila belajar Tae Kwon Do. Tetapi, adik dia sendiri tak dapat
lindungi diri sendiri. Diana malu dengan semua orang,” Diana tertunduk hiba.
Air mata mula bertakung di kelopak matanya.
“Adik, kenapa sampai kamera rosak
pun tak nak beritahu sesiapa? Dah tiga bulan, baru beritahu ayah sekarang.
Bukankah Diana selalu cakap nak jadi professional photographer satu hari nanti?
Kenapa biar impian Adik terkubur begitu sahaja?”
“Ayah, maafkan Diana. Diana
terlalu dikuasai oleh perasaan malu. Rasanya Diana tak layak kejar cita-cita
Diana tu.”
Si ayah bertentang mata dengan
anaknya. Dia sentiasa mahu menyokong cita-cita ketiga-tiga anak gadisnya dan
tidak mahu mereka berputus asa kerana dia tahu, Damia, Dalilah dan Diana
masing-masing punya cita-cita yang tinggi menggunung.
“Adik, Adik ada cita-cita. Jangan
biarkan perasaan malu dalam siri Adik tu menghalang Diana daripada buat apa
yang Diana suka. Buang jauh-jauh perasaan malu tu. Kejar cita-cita Diana. Lepas
ni kalau Tengku Fatehah masih buli Diana di sekolah, terus buat laporan kepada
guru disiplin. Jangan takut, jangan malu. Anak ayah semuanya berani,” dia
mengusap lembut kepala Diana yang bertudung itu.
Diana mula mengukir senyum. Peristiwa
yang dialaminya itu, banyak memberikan pengajaran kepada dirinya sepanjang
prosesnya membesar. Selepas ini, dia bertekad untuk mencapai impiannya dan
tidak sesekali mengalah kepada keadaan. Ujian akan sentiasa datang dan Tengku
Fatehah mungkin tidak akan serik membulinya. Tetapi dia akan kuatkan diri untuk
mengharungi semua itu.
Beberapa minit setelah itu,
kedengaran bunyi motor di luar rumah. Dalilah sudah pulang dari kelas Tae Kwon
Do. Melihat kereta di pekarangan rumah, dia sudah boleh menduga siapa yang
datang. Dalilah masuk ke dalam dan memerhatikan wajah Qayyum yang berada di
ruang tamu. Qayyum menatap Dalilah dengan serba salah kerana dia tahu, Dalilah
merupakan orang yang paling terkesan dalam insiden itu.
“Ila, Abang nak minta maaf...”
Qayyum bangkit dari duduknya. Dia tahu, dia mesti menghadapi gadis itu. Walau
bagaimanapun, Dalilah bakal menjadi adik iparnya dalam masa terdekat ini.
Dalilah masih dengan wajah kosong.
“Ah, sudahlah!” Dalilah memotong
kata-kata Qayyum.
Damia yang masuk ke dalam bilik
tadi langsung keluar setelah mendengar bunyi enjin motosikal Dalilah. Dia
khuatir penerimaan Dalilah terhadap Qayyum kerana adiknya itu pernah meminta
agar pertunangan mereka diputuskan dahulu.
“Ila...” si ayah cuba memujuk.
“Dalilah, maafkan Abang...”
Dalilah masih memotong kata-kata
Qayyum. “Sudahlah Abang. Abang ingat Ila akan maafkan Abang... sebab... Abang
belikan Hafiz handphone baru!” Semua yang mendengar menjadi lega.
“La, pasal tu ke? Awak pun nak
handphone juga?” Qayyum menarik nafas lega. Situasi tegang tadi menjadi kendur.
Qayyum mula ketawa diikuti yang lain. Dia memang ada mengirimkan telefon bimbit
keluaran terbaru kepada Hafiz sebagai hadiah hari lahir beberapa minggu yang
lepas kerana dia akrab dengan Hafiz. Qayyum tidak pula menyangka Dalilah juga
mahukannya. Sangkanya Dalilah masih marahkan ayahnya.
Dalilah ketawa kerana berjaya mengenakan
semua orang. Dia sudah dapat memaafkan Amri kerana dia sedar Amri sudah
menyesali perbuatannya. Dalilah mempelajari seni mempertahankan diri Tae Kwon
Do selama ini kerana hendak membalas dendam terhadap pembunuh keluarganya.
Tetapi akhirnya dia sudah mulai sedar bahawa ilmu yang Allah kurniakan perlu
digunakan ke arah kebaikan, bukannya untuk membalas dendam. Dia berharap
impiannya untuk memperluaskan lagi ilmu Tae Kwon Do akan kesampaian satu hari
nanti. Dan yang pasti, dia mahu mengajarkan anak-anak muridnya supaya
menggunakan ilmu itu ke arah kebaikan.
Damia, Dalilah dan Diana
masing-masing punya cinta dan impian yang tersendiri. Namun yang pasti, mereka
akan sentiasa berusaha demi mengejar impian masing-masing dengan jalan yang
Allah redhai. Kembara mereka masih panjang lagi.
Best arrr cerpen akak..
ReplyDeleteHai...silalah melawat blog saya..komen cerpen saya..saya baru first time cube menulis btw cerita yang best..sambil menyelam minum air uhhhuhhh
ReplyDeleteBest. Kalau sambung lagi boleh.
ReplyDelete