Saturday, 18 January 2014

Cerpen: Tidak Sendiri


Pandangan matanya dari tadi melekat pada skrin televisyen yang sedang menayangkan rancangan komedi Pair Of Kings kesukaannya. Fokusnya terganggu apabila iklan mula ditayangkan.  Ilyas melirik jam di dinding yang sedang menunjukkan waktu 2.30 pagi. Dia mengalihkan pandangannya kembali menghadap kaca televisyen. Beberapa saat kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan terdapat satu panggilan masuk. Tanpa berlengah, tangan remaja berusia 17 tahun itu mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja berhampiran dan memerhatikan nama yang tertera. Nama yang tidak asing lagi bagi dirinya. Namun, Ilyas dihujani tanda tanya kerana dia tidak pernah menerima panggilan telefon lewat malam sebegitu. Punat hijau ditekan.

“Ilyas, alhamdulillah kau jawab. Kau kena tolong aku, bro. Cepat datang sini,” Amirul di hujung talian kedengaran begitu resah. Suaranya juga tenggelam timbul.

“Kenapa? Malam-malam buta begini?” Ilyas mengangkat sebelah keningnya, masih bingung dengan permintaan rakannya itu. Amirul seolah-olah sedang dilanda situasi yang mencemaskan dan hakikat itu membuatkan Ilyas berasa gusar.

“Ibu aku. Ibu aku sesak nafas. Aku baru hubungi doktor tadi. Kau datang sini, ya? Aku takut.” Panggilan dimatikan.

Ilyas berkali-kali memanggil nama Amirul namun tiada jawapan. Ilyas menelan liur. Ibu Amirul sesak nafas? Ilyas segera bangkit dari duduknya dan mematikan suis televisyen. Rancangan kegemarannya itu kini tidak lagi berjaya menarik perhatiannya. Ilyas mencatat sesuatu pada sekeping kertas kecil dan melekatkannya pada pintu bilik orang tuanya. Segugus kunci dicapai dan pintu rumah dibuka. Dia terus mencari motosikal kesayangannya dan tanpa membuang walau sedikit pun masa lagi, enjin motosikal segera dihidupkan. Ilyas menyarungkan topi keledarnya dan menuju ke rumah Amirul.

Ilyas menunggang motosikal dengan laju. Jantungnya berdegup kencang memikirkan sahabatnya itu. Angin dingin malam menampar keras tubuh Ilyas yang tegap itu. Ilyas seolah-olah sedang bertarung dengan angin malam dalam misinya menuju ke rumah Amirul. Akhirnya setelah hampir dua puluh minit perjalanan, remaja itu tiba di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat yang tersergam indah. Cahaya-cahaya yang terpancar daripada bebola lampu hiasan pagar rumah itu kelihatan bersinar. Rumah itu tampak lebih cantik dibandingkan dengan siang hari.

Baru sahaja Ilyas turun daripada motosikal, sebuah kereta Proton Wira muncul di sebelahnya. Enjin kereta itu dimatikan. Ilyas tidak dapat melihat wajah pemandunya kerana cahaya lampu kereta tersebut begitu terang. Setelah lampu dipadamkan, seorang wanita berkaca mata keluar  dari kereta sambil membimbit sebuah beg hitam yang dipercayai mengandungi alatan perubatan. Ilyas tersenyum dan mengangguk kecil kepada wanita itu. Dia pernah melihatnya beberapa kali sebelum ini di rumah Amirul.

Wanita itu dipanggil sebagai Doktor Fatimah, doktor peribadi keluarga Amirul. Dia membalas senyuman Amirul sebelum mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Setelah dua kali memberi salam, barulah pintu rumah dibuka. Amirul tersenyum memerhatikan figura dua orang tetamu yang datang ke rumahnya itu. Namun, senyumannya terselit rasa cemas yang membungkam jiwa.

“Masuklah. Doktor, ibu saya ada di bilik. Saya tak tahu apa nak buat. Nafas ibu turun naik. Doktor tolong periksa ya?” pinta Amirul sepenuh hati. Kehadiran Doktor Fatimah sedikit sebanyak melegakan dirinya.

“Kalau begitu, saya masuk dulu periksa ibu,” Doktor Fatimah meminta izin. Meskipun Amirul jauh lebih muda daripadanya, dia tetap menghormati Amirul sebagai tuan rumah dan anak majikannya. Pandangan Amirul menyoroti Doktor Fatimah sehingga dia menghilangkan diri. Kemudian, dia terus terduduk melutut di ruang tamu itu. Lututnya sudah menjadi lemah.

“Amirul, kau dah kenapa? Bangunlah. Jangan macam ni,” Ilyas memegang kedua-dua bahu Amirul untuk membangunkannya namun Amirul tetap tidak mahu bangkit. Kepalanya tertunduk menghadap lantai.

“Bro, aku tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku sekarang. Aku rasa... lemah. Aku... takut. Aku takut tengok ibu tadi. Aku takut ibu...” belum sempat Amirul menghabiskan kata-katanya, Ilyas mencantas.

“Kau jangan cakap yang bukan-bukan. Insha-Allah, ibu kau tak akan apa-apa. Doktor Fatimah kan dah sampai. Kau bertenanglah ya?” Ilyas cuma memujuk sambil membantu Amirul untuk berdiri. Mereka berdua kemudiannya melabuhkan punggung di atas sofa empuk ruang tamu itu.

“Doktor Fatimah tu bukannya Tuhan, bro. Dia cuma boleh memeriksa, merawat dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor. Tapi kalau Allah nak tarik nyawa seseorang, bila-bila masa sahaja Dia boleh buat. Kun fayakun. Jadi maka jadilah,” Amirul teringat pesan Ustaz Helmi yang kerap mengulangi ayat itu. Kini, fikirannya sudah buntu.

Ilyas cuba untuk membantu Amirul. Dia sedar, ketika itulah Amirul benar-benar memerlukan seorang rakan untuk menenangkan perasaannya. “Ya, aku tahu semua tu. Tapi sekarang ibu kau cuma sesak nafas. Kita yang masih sihat walafiat ni kenalah tolong dia. Bacakan doa untuk dia. Selagi benda tak berlaku kau janganlah cakap yang bukan-bukan.”

“Ilyas, kenapa aku kena lalui semua ni sekarang?”

“Kau janganlah cakap macam tu. Kau cakap seolah-olah kau mempersoalkan apa yang Allah takdirkan.” Ilyas menghela nafas panjang. Dia memegang lengan Amirul dan mengajaknya menjenguk ibunya. Amirul cuma menuruti kehendak rakannya itu.

Pintu sahaja di hadapan pintu bilik, Amirul melihat ibunya sedang tidur. Tidur, pengsan, atau apa, dia tidak tahu. Ayahnya dan Doktor Fatimah berada di sisi ibunya. “Doktor... ibu macam mana?” berat mulutnya mahu bertanya. Doktor Fatimah berpaling dan bangun menuju ke arah Amirul dan Ilyas. Dia menoleh kembali memerhatikan pesakitnya yang terlantar di atas katil itu sebelum menjawab pertanyaan Amirul.

“Amirul, awak tahu kan kanser tu dah merebak ke bahagian hati dan paru-parunya? Minta maaf saya terpaksa katakan semua ni, tetapi Puan Salina sekarang berada dalam keadaan kritikal. Kenapa awak tak mahu bawa dia ke hospital? Pihak hospital boleh berikan jagaan dan rawatan yang lebih baik,” cadang wanita yang berusia dalam lingkungan 40-an itu.

Perit hati Amirul mendengar kata-kata Doktor Fatimah itu. Sakit, sedih, semuanya bercampur saat itu. Dia teringatkan pesanan ibunya. Perasaan serba salah juga kini sedang menghantuinya. “Doktor, kan saya dah cakap. Bukan saya tak mahu bawa ibu ke hospital, tetapi ibu sendiri yang tak mahu ke hospital. Katanya dia mahu jaga ayah. Walau macam mana saya pujuk, ibu tetap berkeras mahu tinggal di sini.”

Ilyas yang mendengar juga turut diikat dengan perasaan sayu. Dia memerhatikan wajah Ilyas yang buntu, Doktor Salina yang serius, Mak Cik Salina yang sedang tertidur mungkin setelah diberikan ubat oleh Doktor Salina. Dan yang paling menjadikan hatinya hiba, wajah Pak Cik Razmin yang tidak mampu ditafsirkan. Dengan tubuhnya yang sentiasa tersandar pada kerusi roda dan ingatannya yang telah dua tahun hilang, tidak ada sesiapa yang mampu mentafsirkan apa yang sedang difikirkan oleh lelaki separuh abad itu. Ilyas perlahan-lahan merangkul leher Amirul.

Foto carian Google

“Macam ni lah Amirul, saya cadangkan kita bawa alat-alat dari hospital untuk bantu Puan Salina setakat yang mungkin. Saya juga boleh dapatkan jururawat yang terbaik untuk Puan. Cuma, bukan semua alatan boleh dipindahkan ke rumah ini. Cara yang paling terbaik adalah Puan Salina dihantar  ke hospital untuk jagaan sepenuh masa. Saya cuma berikan cadangan, terpulang kepada awak,” cadangnya lagi. Walau apa pun yang terjadi, setiap doktor sudah pastilah menginginkan yang terbaik untuk pesakitnya.

“Doktor, kalau boleh dah lama saya buat semua tu. Saya sanggup bayar berapa pun asalkan ibu sihat macam biasa. Tetapi ibu tak nak dirawat oleh orang lain. Itu yang susah,” jelas Amirul. Kali terakhir seorang jururawat ditugaskan untuk menjaga ibunya, jururawat itu hampir dicederakan oleh ibunya kerana memaksanya makan ubat. Semenjak itu, Amirul dan Doktor Fatimah yang menjaga Puan Salina. Namun, Doktor Fatimah tidak mampu untuk berada di situ setiap masa kerana mempunyai tanggungjawab yang lain.

“Saya dah berikan ubat penenang kepada Puan Salina. Tetapi ubat ini tidak terlalu baik untuk kesihatannya. Saya harap awak fikirkan cadangan saya tadi secepat mungkin. Puan sedang tenat, Amirul. Awak pertimbangkannya sekali lagi. Saya minta diri dulu ya?” Doktor Fatimah bergerak keluar dari bilik yang besar itu. Dia tidak boleh berlama-lama di situ.

Amirul berdiri kaku sambil memerhatikan ibunya yang mungkin sedang lena tidur. “Bro, kau cakap dengan aku, apa yang perlu aku buat sekarang? Tolong aku, Ilyas.” Air mata kelelakian Amirul mula jatuh menitis membasahi pipinya.

Sepanjang lima tahun mereka berkawan, itulah kali pertama Ilyas melihat lelaki yang bernama Amirul itu menangis. Amirul yang dikenalinya ketika itu sangat berbeza dengan Amirul yang dikenalinya sebelum ini. Ketika Amirul gagal melayakkan diri untuk Kejohanan Bola Sepak peringkat negeri yang diimpikannya, dia tidak menangis. Ketika Amirul dimarahi guru disiplin kerana dituduh menjual rokok di sekolah tiga tahun yang lalu, dia tidak menangis. Ketika mendapat khabar Pak Cik Razmin diserang strok, dia juga tidak menangis. Bahkan, ketika Pak Cik Razmin tidak mengenali Amirul setelah dia tersedar, Amirul tetap tidak menangis.

Amirul cuma berdoa dan kuat menghadapi segala ujian Tuhan. Dia seolah-olah tidak pernah mengenali erti mengalah. Namun pada hari ini, lelaki kental yang dikenalinya sebelum ini, seolah-olah telah berputus asa dan dirasuki kekecewaan yang mendalam.

“Amirul, kau tak pernah suruh orang lain tentukan apa yang kau perlu buat. Selama ni aku tengok, kau boleh hadapi semuanya. Takkan sekarang kau mengalah?” Ilyas menduga. Dia mahu mencari semangat Amirul yang kian menghilang.

“Aku lemah. Aku tak boleh hadapi semua ni seorang diri. Kalau dulu ibu selalu ada dengan aku, dan aku pun tidak risau sebab aku tahu Tuhan masih ada dengan aku.  Sekarang ibu dah menjadi seorang yang berbeza. Semenjak dia tahu kansernya sudah sampai tahap keempat, dia berubah menjadi seorang pemarah. Aku dah tak bersama dengan ibu lagi,” Amirul meluahkan kekecewaan yang terpendam di dalam jiwanya. Sanak-saudaranya kebanyakannya berada di luar negara. Yang ada di Malaysia pun tidak sempat melawat mereka. Mereka cuma mampu mengirimkan bantuan kewangan, meskipun wang ayah Amirul masih banyak di dalam akaunnya. Dia terasa seolah-olah dia sedang bertarung sendirian.

Amirul menyambung lagi. “Kadang-kadang aku rasa Tuhan pun semakin jauh dengan aku. Kenapa? Aku dah usaha macam-macam bro, nak buat ayah ingat kembali. Tetapi ayah tak pernah beri respons yang positif. Tubuh dia masih kaku. Kadang-kadang ayah baik dengan aku, kadang-kadang dia halau aku. Mak aku pula dapat kanser tahap empat. Kanser yang dah merebak ke bahagian yang lain. Semua orang tahu, penyakit kanser ni tak ada penawarnya! Susah-susah sangat, aku rasa nak berhenti sekolah saja.”

Ilyas terkejut mendengar pernyataan Amirul itu. “Bro, kita kan SPM tahun ni? Kau dah gila ke apa nak berhenti sekolah?”

“Memang aku dah jadi gila. Aku buntu, Ilyas,” Amirul jatuh terduduk ke atas lantai. Dia memeluk kedua-dua lututnya yang tidak bermaya itu. Titisan air mata masih merembes di wajahnya. Dia tidak pernah rasakan kesakitan yang begitu perit seperti itu sebelum ini. Ilyas duduk di hadapan Amirul, cuba menyelami apa yang sedang dirasakan oleh sahabatnya itu.

“Amirul, kau ingat apa ustaz pernah beritahu kita? Tuhan tak pernah jauh daripada hambaNya. Cuma kita, manusia yang selalu menjauhkan diri daripada Dia. Dan Allah tak akan turunkan ujian yang melebihi kemampuan hambaNya. Maksudnya, aku yakin Allah tahu kau boleh lalui semua ni. Walaupun Allah uji kau macam-macam, tapi Dia masih sayangkan kau. Dia bagi kau kediaman yang selesa, makanan yang sedap, pakaian yang bagus dan kewangan yang cukup. Apa lagi yang kau kena persoalkan? Kau tak percayakan Tuhan ke bro?”

Amirul mendongak memerhatikan Ilyas. Dia cuba mencari kebenaran di sebalik kata-kata itu. Ternyata benar apa yang dikatakan Ilyas, meskipun Allah mengujinya dengan pelbagai perkara, Allah masih mengurniakan dia pelbagai nikmat. Bahkan, Ilyas sendiri pun tidak dapat menikmati kehidupan yang selesa dan sempurna sepertinya. Ilyas mungkin mempunyai keluarga yang ramai dan bahagia, tetapi mereka terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan rezeki.

“Bro, kau ikut aku.” Amirul membuntuti rakannya itu tanpa banyak bicara sehinggalah mereka tiba di hadapan bilik air.

“Sekarang kau ambil wuduk dulu, kita buat solat hajat sama-sama. Jangan hilangkan apa yang berada di dalam diri kau selama ini. Iman.” Amirul bergerak perlahan-lahan mencapai kepala paip dan memulasnya. Air yang berlumba-lumba keluar dari kepala paip itu membasahi kedua-dua belah tangannya. Amirul memasang niat wuduk dan menyapukan air ke wajahnya sehinggalah wuduknya lengkap. Barulah hatinya berasa sedikit tenang. Kemudian Ilyas pula berwuduk dan mereka mendirikan solat hajat bersama-sama, cuma niat tidak berjemaah.

Selesai berdoa, hati Amirul berasa sedikit tenang. Dia memerhatikan Ilyas yang khusyuk berdoa di hadapannya. Amirul mengukir senyum sendiri. Nampaknya, dia bukannya bersendirian seperti apa yang dirasakannya sebelum ini. Dia masih mempunyai Tuhan dan seorang sahabat sejati yang sanggup bersamanya ketika susah dan juga senang.

Setelah bersalaman, Ilyas membisikkan sesuatu kepada Amirul. “Bro, kau tak perlu lakukan semua ni sendiri. Allah ada, dan aku pun ada di sini.” Amirul terharu dan tidak tahu kata-kata apa yang sesuai melahirkan perasaannya ketika itu.

Praang! Kedengaran bunyi kaca pecah dari tingkat atas. Ilyas dan Amirul berpandangan sesama sendiri. Amirul bangkit dahulu dan segera menuju ke bilik kedua-dua orang tuanya. Tidak ada perkara lain yang difikirkannya selain ibu bapanya ketika itu. Ilyas mengekorinya dari belakang. Amirul membuka pintu bilik orang tuanya. Air mata mula membasahi wajahnya lagi. Ilyas tidak dapat melihat apa yang berlaku. Dia turut dilanda cemas.

“Amirul, apa yang berlaku?” Ilyas menolak sedikit tubuh Amirul yang menutupi ruang pintu bilik itu untuk melihat apa yang terjadi. Dia melihat Pak Cik Razmin sedang berkata sesuatu berulang kali. Ilyas cuba mendengarnya dengan teliti.

“Ami..rul.. anak.. a.. yah...” Pak Cik Razmin memanggil nama Amirul berkali-kali. Lidah Amirul kelu. Setelah dua tahun, inilah kali pertama ayahnya memanggil namanya kembali. Kata-kata yang sangat dirinduinya selama ini. Amirul segera memeluk tubuh ayahnya erat. Dia mencium pipi ayahnya penuh cinta. Ilyas tersenyum bahagia. Meskipun Pak Cik Razmin masih belum dapat bergerak, dia sudah menunjukkan respons yang positif. Amirul memandang Ilyas. Mereka sama-sama tersenyum.

***

Ilyas sedang sibuk menonton ceramah Ustaz Azhar Idrus di YouTube. Meskipun jam sudah menunjukkan 12 tengah malam, dia masih tidak boleh melelapkan matanya. Namun, internet di kawasan itu tidak terlalu laju dan menyebabkan video yang ditontonnya tersekat-sekat. Ilyas mendudukkan dirinya di bangku katil. Seketika kemudian, dia mendapat panggilan telefon dan nama yang tertera pada skrin telefon bimbit itu tidak asing lagi buatnya. Ilyas segera mengangkat panggilan itu.

“Ilyas, alhamdulillah kau jawab. Kau kena tolong aku, bro. Cepat datang sini,” Amirul di hujung talian kedengaran begitu resah.

“Kenapa? Malam-malam buta begini?” Ilyas mengangkat sebelah keningnya, bingung dengan permintaan rakannya itu. Amirul seolah-olah sedang dilanda situasi yang mencemaskan membuatkan Ilyas berasa gusar.

“Kau datang sajalah ke sini, cepat!” tegas Amirul. Ilyas menutup paparan video Ustaz Azhar Idrus dan mengunci pintu biliknya. Dia berlari-lari menuju ke tangga bawah. Ilyas mencari bilik yang bernombor 237 dan mengetuknya berkali-kali. Namun, tidak ada respons yang diterima. Dia mendapati pintu bilik itu tidak dikunci. Ilyas menjadi semakin hairan. Dia membuka pintu bilik yang gelap itu. Adakah dia sudah tersalah bilik? Tidak mungkin. Dia sudah memeriksa nombor bilik itu sebelum membukanya tadi.

Tiba-tiba, lampu terpasang dan kedengaran jeritan orang ramai mengucapkan “Selamat Hari Lahir” kepada Ilyas. Ilyas menarik nafas panjang. Jantungnya sudah berhenti berdegup. Bilik itu telah dipenuhi oleh rakan-rakan universiti yang lain. Abdul Hadi membawa kek yang tidak berlilin. Ilyas membaca tulisan di atas kek itu. Hari itu merupakan ulang tahun kelahirannya yang ke-20. Dia tersenyum sendiri. Tarikh lahir sendiri pun dia hampir lupa.

“Mana budak Amirul tu? Bak sini aku kerjakan!” Ilyas berpura-pura marah. Amirul muncul sambil tersengih-sengih.

“Kau fikir hensemlah tu tersengih-sengih macam tu?” Ilyas menumbuk bahu kiri Amirul.  “Hensemlah. Sebab tu ramai terpikat,” Amirul ketawa.

“Perasan!” Muiz mencebik. Muiz menyerahkan pisau kepada Ilyas untuk memotong kek. “Apa lagi Ilyas, potonglah kek. Kami semua dah lapar ni!” Ilyas menyambut pisau dan mula memotongnya. Mereka bersuap-suapan mengikut sunnah nabi. Ukhuwwah yang terjalin di universiti itu terasa lebih indah terutamanya dengan keberadaan Amirul.

“Bro, aku ada hadiah untuk kau,” Amirul mengeluarkan sebentuk kunci. Ilyas mengangkat sebelah kening. Kunci?

“Kunci motorlah! Aku belikan kau motosikal baru. Ada di bawah,” Amirul tersengih.

“Fuwah, dapat motor baru kawan kita ni!” Abdul Hadi teruja. Ilyas seolah-olah tidak percaya. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk mendapat kejutan sebegitu sekali daripada Amirul. Ilyas memeluk Amirul kerana teruja. “Thanks bro!”

“Tak ada apa-apalah. Lagipun, ni duit ayah aku, bukannya duit aku pun,” Amirul ketawa sendiri. Semenjak ibunya meninggal dunia beberapa tahun yang lepas, ayahnya telah semakin pulih dan boleh bergerak sedikit demi sedikit. Dia juga kini sudah kerap ke pejabat walaupun cuma sekadar untuk memerhati pekerja-pekerjanya. Amirul bersyukur kerana di sebalik pemergian ibunya, banyak hikmah yang terjadi. Dia cuma perlu percaya. Percaya kepada Allah. Ilyas sering berpesan kepadanya, kehidupan di dunia ini cuma sementara. Dan insan yang masih hidup, perlulah menerima dan menjalani kehidupan yang penuh pancaroba ini kerana kehidupan itu sendiri merupakan nikmat Allah yang paling utama.

“Macam nilah kawan, bro!” Ilyas terharu. Dia sudah lama mengidamkan motosikal baru cuma hasratnya itu belum mampu ditunaikan lagi.

Amirul tersenyum. “Kawan dunia akhirat, bro.”

TAMAT

Cerpen kali ini merupakan inspirasi saya daripada lagu Fix You - Coldplay. Saya sertakan liriknya buat anda. Terima kasih kerana membaca dan silalah tinggalkan pendapat anda di ruangan komen. :)

Fix You - Coldplay

When you try your best, but you don't succeed
When you get what you want, but not what you need
When you feel so tired, but you can't sleep
Stuck in reverse

And the tears come streaming down your face
When you lose something you can't replace
When you love someone, but it goes to waste
Could it be worse?

Lights will guide you home
And ignite your bones
And I will try to fix you

And high up above or down below
When you're too in love to let it go
But if you never try you'll never know
Just what you're worth

Lights will guide you home
And ignite your bones
And I will try to fix you

Tears stream down your face
When you lose something you cannot replace
Tears stream down your face
And I...

Tears stream down your face
I promise you I will learn from my mistakes
Tears stream down your face
And I...

Lights will guide you home
And ignite your bones
And I will try to fix you



4 comments:

  1. teruskan menulis :D, kalau boleh hantar terus manuskrip ke mana2 tempat cetak, boleh jadi bahan tatapan umum .

    ReplyDelete
  2. tahniah awk berjaya hasilkan cerpin berdasarkan lirik lagu..hebat! :) salam kenal..fizi follow sini juga^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kerana membaca. salam kenal kembali. :D

      Delete
  3. Best..sy suka..

    ReplyDelete