Sunday, 25 May 2014

A.U.R.A



Tadi saya sempat menonton sedikit sahaja rancangan Reset Minda yang disampaikan oleh Prof Muhaya. Dan saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh beliau tentang aura positif dan negatif. Ada dua keadaan. Satu seorang wanita yang bekerja, selalu sahaja masam sepanjang masa di pejabat. Dan dia juga sering mengambil Emergency Leave untuk menjaga anak di rumah. 

Satu lagi pula wanita yang sentiasa tersenyum sepanjang masa. Wanita yang kedua ini langsung tidak pernah mengambil EL sampaikan bosnya sendiri tidak tahu dia mempunyai anak di rumah. Jelas dan ketara perbezaan yang dapat kita lihat pada kedua-dua individu ini. Begitulah impaknya aura positif dan negatif dalam diri setiap individu.

Mendengar kata-kata beliau membuatkan saya kembali berfikir tentang orang yang saya kenali. Ada yang sentiasa masam, bermuncung, tak semangat. Apabila kita berkawan dengan individu yang jenis sebegini secara automatik aura negatifnya itu banyak mempengaruhi diri kita. Sudah tentu juga kita akan berasa kurang selesa dengan mereka yang menunjukkan ciri-ciri sedemikian.

Namun saya juga ada mengenali beberapa individu yang sentiasa tersenyum sepanjang masa. Apabila dipanggil, mulutnya secara refleks akan tersenyum. Setiap kali bercakap dengan saya pun dia akan tersenyum walaupun bicaranya cuma sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Mereka yang seperti ini susah untuk dilihat dalam keadaan yang murung atau sedih. Dan secara tidak langsung saya juga akan turut tersenyum apabila berbual dengan mereka. Begitulah besarnya impak aura positif yang ditunjukkan oleh seseorang.

Saya sendiri tidak tahu mahu masuk ke dalam golongan yang mana. Mungkin rakan-rakan dan mereka yang mengenali saya boleh memberikan pandangan terhadap aura saya. Eheh. Mungkin ada orang yang tidak percaya dengan kewujudan aura ni, tetapi saya percaya. Nabi Yusuf sendiri pun mempunyai aura yang cukup mempesonakan. Begitu juga junjungan besar Rasulullah S.A.W. yang sentiasa bertindak dengan cara yang positif dan berjaya membawa pengaruh yang cukup hebat di atas muka bumi ini sehinggalah sekarang.



Aura ni bukanlah macam kuasa Yin Yang atau roh atau apa-apa kepercayaan. Aura, pada saya adalah satu suasana atau perasaan yang hebat yang wujud dalam diri seseorang yang mampu mempengaruhi individu  atau suasana sekitarnya. Setiap orang ada aura yang tersendiri. Aura luaran hakikatnya dipengaruhi oleh aura dalaman seseorang. Jika baik pemikiran seseorang, maka dia akan mencetuskan suasana dan aura yang positif. Jika buruk dan negatif pemikirannya, maka negatiflah aura yang disampaikannya kepada insan sekeliling.

Aura ni juga ada takrifannya tersendiri menurut istilah sains. Saya pernah terbaca beberapa artikel yang mengatakan aura ini adalah lapisan-lapisan halus yang wujud di sekeliling objek atau manusia. Dikatakan aura ini sebagai satu medan arus tenaga elektromagnetik atau perisai yang terhasil daripada getaran gelombang tenaga yang bersifat metafizik. Metafizik ni maksudnya ghaib. Aura berperanan untuk melindungi tubuh manusia daripada sinaran UV yang berlebihan. 

Kalau anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang aura daripada sudut sains, bolehlah buat lebih banyak rujukan di internet. Kajian tentang aura ni tidak banyak dilakukan kerana aura bersifat metafizik.  Mungkin kalau ada kelapangan, saya akan lebihkan pembacaan tentang aura.

So back to the story, saya sebenarnya hendak cerita tentang rakan saya yang selalu tersenyum itu. Walaupun saya tahu dia berada di dalam kesulitan, tapi wajahnya tenang sahaja. Kalau bersolat pun, setelah mengambil wuduk, saya boleh melihat aura ketenangan yang terpancar pada wajahnya. Pernah satu ketika saya menyoalnya tentang masalah yang sedang melanda dirinya. Dan begini jawapan yang dipulangkan, “Orang yang selalu tersenyum tu tak semestinya tak ada masalah. Tapi nak senyum untuk kurangkan masalah orang lain.” Subhanallah. Cara jawapannya itu pun sudah menunjukkan betapa positifnya dia dalam menghadapi setiap masalah. Harapnya saya juga boleh membawa aura yang positif sepertinya, insya Allah.


Saya juga pernah terbaca teori orang mengaitkan aura dengan David Copperfield, ahli silap mata yang terkemuka. Kata mereka, tak mustahil untuk menghasilkan magik yang luar biasa seperti Copperfield jika kita mampu mengawal aura dalam diri dengan sempurna. Kita kena kawal spiritual dan fizikal. Yang ini wallahu alam. Teori lain tentang David Copperfield ada yang berkaitan dengan bantuan jin dan sebagainya. Kalau anda berminat pula hendak tahu tentang Copperfield, apa lagi, carilah juga di internet. Eheh.

Jadi ada banyak faktorlah yang mempengaruhi aura masing-masing. Keluarga, rakan-rakan, masyarakat, keimanan terhadap agama dan banyak lagi. Keletihan, kesedihan pula boleh membawa kepada aura yang negatif.


TIPS UNTUK MEMPERBAIKI AURA 


Saya kongsikan beberapa tips yang saya dapat menerusi internet, jangan tanya saya tentang keberkesanannya tetapi cubalah sendiri.

1. Seseorang yang rajin menghirup udara segar, melihat matahari terbit serta menjaga kebersihan alam persekitarannya dikatakan mampu memperbaiki auranya. Dalam Islam sendiri pun sangat menuntut untuk kita menjaga kebersihan kerana kebersihan itu sebahagian daripada pelengkap iman.

2. Kita tidak digalakkan tidur semasa matahari terbit kerana dikatakan boleh mengundang penyakit.

3. Kajian juga ada mengatakan yang kita perlu menjaga pemakanan dengan nutrisi yang seimbang.  

4. Senaman perlu dilakukan oleh mereka yang ingin membangkitkan aura yang positif. Tetapi saran saya sebagai seorang Islam, senaman yang paling dituntut adalah dengan bersolat. Percayalah, setiap gerakan dalam solat itu pun ada auranya yang tersendiri.

5. Beriktikaf atau lebih kurang macam tafakur (yoga). Tetapi sebagai Islam kita buatlah tafakur atau duduk diam dalam masjid atau mengerjakan ibadah seperti zikir dan sebagainya.

6. Tidur yang mencukupi.

7. Sentiasa menjaga hubungan dengan manusia. Kalau hubungan itu terjaga, pastilah kita dapat tingkatkan aura positif dalam diri kita.

Jadi jomlah kita cuba praktikkan tips untuk memperbaiki aura ni supaya dapat menggembirakan diri sendiri dan juga individu sekeliling kita. Insya Allah. Moga Allah bantu.

1 comment:

  1. Aura positif dan negatif, interesting artikel :)

    jom sama-sama positifkan aura, boleh 'hasut' org len sama jd positif :D

    ReplyDelete