Monday, 5 May 2014

"Ingatkan Malay girls..."



Hari ini saya bertemu kembali dengan seorang kawan berbangsa Cina. Kami pernah bersekolah bersama dahulu dan sama-sama bertugas di perpustakaan sekolah. Dia seorang yang baik dan sangat menyukai kuda. Setiap kali ternampak sahaja gambar kuda di dalam mana-mana buku di perpustakaan, pasti dia akan berasa teruja. Lama kami bersembang sehingga lenguh mulut saya bercakap banyak sangat. Kami bualkan tentang masa lampau dan juga masa hadapan. Seronoklah katakan bila berjumpa kawan lama.

Kemudian entah macam mana boleh timbul topik tentang pakaian. Dia cerita tentang pakaian yang dia suka pakai dan begitu juga saya. Dan saya kata, sekarang ini sudah menjadi trend skirt labuh pula untuk perempuan Melayu. Lebih kurang beginilah dialog kami.

Saya: Sekarang ni pula dah jadi trend orang pakai skirt labuh.

Dia: I tak suka pakai skirt, suka pakai seluar. Pakai skirt leceh.

Saya: Memanglah, sebab tu Malay girls pakai seluar kat dalam skirt labuh tu. (saya pun tak pasti sangat sebenarnya)

Dia: Ouh, yang skirt pendek dengan seluar ketat tu kan?

Saya: (Malu nak jawab) Bukanlah. Skirt labuh sampai bawah, seluar pakai di dalam.

Dia: Oh, ingatkan Malay girls suka pakai seluar ketat.


Sebagai seorang Malay girl yang beragama Islam, siapa yang tidak malu apabila mendengar perspektif sedemikan daripada seorang non-muslim. Pada pandangan sahabat saya itu, ramai perempuan Melayu yang suka memakai skirt pendek dan seluar ketat. Dan saya langsung tidak menyalahkannya kerana berkata begitu.

Hakikatnya, itulah apa yang dilihatnya dan juga kita semua. Kita membudayakan pakaian yang tidak mematuhi syarak untuk dipertonton kepada umum. Dan sekaligus mengajar cara berpakaian yang salah kepada mereka.

Berbalik kepada cerita kami, kemudian kami berdua pun singgah untuk membeli ice-blended. Di kawasan itu juga menjual tudung bawal plain. Dia bertanya kepada saya pula tentang tudung. Saya pun menjelaskan kepadanya tentang tudung bawal, shawl serta tudung sarung.

Dia: Ouh, you suka pakai tudung macam mana?

Saya: I suka pakai tudung macam ni (sambil menunjukkan tudung bawal yang dipakai saya)

Dia: Apa bezanya dengan yang tu? (merujuk kepada tudung bawal yang dijual)

Saya: Yang tu jarang sikit. Tak suka.

Dia: Ingatkan Malay girls suka pakai yang macam tu. Banyak jenis tudung rupanya.

Dush. Sentap lagi. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang aurat, kerana saya yakin untuk muslimah yang sedang membaca, pasti sudah mengetahui tentangnya. Aurat wanita adalah menutup seluruh anggota tubuh badan kecuali muka dan kedua-dua telapak tangan. Juga tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan.

Sebagai seorang wanita, lumrah untuk kita menyukai kecantikan dan berminat untuk mengikuti trend terkini. Tetapi haruslah sentiasa berpegang kepada konsep menutup aurat yang sempurna. Memakai skirt itu bagus, tetapi perlulah labuh. Bukan skirt pendek dan seluar ketat. Bukan juga skirt yang jarang sehingga menampakkan warna dan kedua pasang kaki. Jujur saya kata, saya sendiri biasa melihat segelintir golongan yang memakai sedemikian. Bukanlah semuanya, cuma segelintir sahaja. 

Cara pemakaian kita, secara tidak langsung menggambarkan bangsa dan agama masing-masing. Jika kita sedar diri kita sebagai seorang Islam, maka kita perlulah berusaha untuk menunjukkan imej Islam melalui pemakaian. Kalau tak mampu nak berubah terus, tidak mengapa. Boleh berubah secara perlahan-lahan dahulu. Mulakan berjinak-jinak dengan skirt labuh, kemudian skirt yang tidak jarang. Kemudian memakai stokin. Insya Allah, kalau niat kita ikhlas nak berubah Allah pasti akan permudahkan urusan kita. Yakinlah dengan itu.

2 comments:

  1. ana kalau beli bawal plain bidang 60 pun...pakai inner hitam kat dalam yang labuh sampai paras siku. baru rasa 'selamat'

    betul lah, perspektif hmm..

    ReplyDelete
  2. perghh.. sentap. hmmm... tu lah , kita tak boleh nak menidakkan apa yang non muslim tu ckp.. dah mmg betul

    ReplyDelete