Part 2
Hari kedua program. Shauki berdiri tegak di hadapan semua peserta. Dia sudah tidak sabar lagi mahu mengumumkan tugasan mereka yang seterusnya.
Hari kedua program. Shauki berdiri tegak di hadapan semua peserta. Dia sudah tidak sabar lagi mahu mengumumkan tugasan mereka yang seterusnya.
“Baiklah. Semalam banyak yang
sudah kita pelajari tentang kepimpinan dan semangat berpasukan. Ketahuilah,
sesungguhnya semangat begitulah yang digunakan tentera perang dan para sahabat
nabi dalam setiap peperangan sehingga berjaya menewaskan pihak musuh. Kalau
tidak ada semangat nak patuhi arahan, semangat kerjasama, susahlah kamu semua
nak siapkan tapak untuk khemah masing-masing. Hari ini, kita ada tugasan
istimewa untuk anda semua.”
“Tugasan apa, Abang Shauki?”
seorang peserta lelaki yang mempunyai tahi lalat di dagunya menyoal. “Hari ini kita semua akan menangkap ikan
keli!” Mendengar sahaja ayat itu, ada peserta yang kelihatan geli dan ada pula
yang sudah tidak sabar lagi.
Shauki meneruskan penerangannya.
“Ikan keli yang anda tangkap itu semua akan dimasak oleh anda sendiri. Jadi
kepada yang tidak tahu menyiang ikan, bolehlah bertanya kepada kakak-kakak
fasilitator. Abang Shauki pun tidak tahu nak siang ikan sebenarnya. Nasi pula
perlu dimasak di dalam buluh yang disediakan. Kita akan bergilir sesi. Sesi
pertama peserta perempuan dulu masuk ke dalam kolam ikan keli dan tangkap ikan
sebanyak mungkin. Peserta lelaki kena sediakan api dan potong buluh. Kemudian
kumpulan lelaki pula tangkap ikan keli dan peserta perempuan tolong masak.”
Maka aktiviti mereka pun bermula.
Peserta perempuan menuju ke kolam ikan keli yang telah dibuang sengatnya
manakala peserta lelaki menyiapkan peralatan dan bahan untuk memasak. Setelah
dua jam yang agak mencabar diselangi perasaan geli menangkap ikan keli,
akhirnya hidangan tengah hari mereka berjaya disiapkan. Kesemua fasilitator dan
peserta berkumpul di bawah khemah utama untuk makan bersama.
“Kak Balqis, siapa lagi yang kita
tunggu? Kenapa belum boleh makan lagi?” soal Aina tatkala melihat semua orang
tidak dibenarkan menyentuh lagi makanan masing-masing. Balqis menggeleng
kepala, tidak pasti. “Mungkin itu orang yang kita tunggu,” Balqis menunjuk ke
arah seseorang. Aina menoleh ke sebelah kanan, memerhatikan kemunculan figura
seorang nenek yang mungkin berusia dalam lingkungan 80 tahun. Wajahnya dipenuhi
dengan garisan penuaan dan badannya bongkok. Tangan kanannya menggenggam
sebatang tongkat kayu. Mata tuanya hampir sahaja terpejam. Aina sendiri tidak
dapat memastikan sama ada nenek itu boleh melihat atau tidak.
Iskandar Arif menghampiri wanita
tua itu dan memperkenalkan dirinya sebagai Nek Ida. “Nek Ida tinggal dekat
dengan kawasan kita ni, jadi Abang Is menjemput Nek Ida untuk menjadi juri
hidangan ikan keli kita hari ini. Nek Ida yang akan menentukan markah untuk
kumpulan masing-masing,” bicaranya penuh semangat. Itulah kejutan yang dibawa
oleh Iskandar hari itu. Nek Ida menyertai para peserta program makan tengah
hari bersama dan membuat penilaian berdasarkan lidahnya yang sudah sebati
dengan masakan ikan keli.
Ketika itu, hujan mulai turun
perlahan-lahan, semakin-lama pula semakin rancak. Semua peserta tidak
dibenarkan untuk meninggalkan khemah utama. Khemah itu cukup untuk melindungi
semua orang daripada terkena hujan. “Nampaknya Nek Ida terpaksalah tunggu
dengan kami semua sehingga hujan reda,” ujar Rafiuddin yang masih menikmati
ikan keli masakan peserta kumpulannya. Nek Ida tersenyum manis. Senyuman orang
tua yang tidak pernah tua. Nek Ida mengambil kesempatan itu untuk berkongsi
pelbagai kisah dan nasihat kepada beberapa peserta yang duduk berhampiran
dengannya termasuklah Rafiuddin dan Zikri.
Shauki yang baru selesai makan
mendapatkan Iskandar. “Is, petang nanti kan rancangannya kita nak berjalan ke
masjid besar di hujung kampung tu. Tapi dengan hujan lebat macam ini, lebih
baik rancangan kita dibatalkan. Kita tukar rancangan lain untuk budak-budak
ni.”
Iskandar mengangguk. “Betul juga.
Takut nanti pihak masjid susah-susah buat persiapan untuk burdah tapi kita
semua tak dapat nak pergi.”
“Lebih baik kau hubungi mereka,”
saran Shauki lagi. Iskandar mengangguk, kemudiannya menepuk dahinya sendiri.
Dia terlupa telefon bimbitnya tertinggal di bilik fasilitator. Tetapi keadaan
di khemah itu sudah sesak dengan semua peserta. Mahu tidak mahu, dia terpaksa
mencari ruang. Apabila hendak melintas sahaja di hadapan Nek Ida, lelaki itu
serta merta teringatkan sesuatu.
“Setiap kali kau berjalan, kau
kena jalan tegak sahaja. Tak boleh bongkok. Barulah akan menyerlahkan kaliber
diri kau.” Itulah pesan Balqis. Iskandar mengerut dahi. Dia sudah terbiasa
membongkok di hadapan orang tua. Memang itulah adab yang telah diajar oleh ibu
bapanya sejak dia kecil lagi. Iskandar memerhatikan sekeliling. Entah
bagaimana, dia perasan Balqis sedang melirik ke arah dirinya. Mahu jalan tegak,
atau bongkok? Remaja yang duduk berhampiran Nek Ida juga sudah beralih
perhatian kepada dirinya. Pada saat itulah baru dia terfikir
permintaan-permintaan Balqis sudah bertukar menjadi permintaan yang tidak
logik.
Akhirnya, Iskandar terpaksa
mengalah. Dia berjalan bongkok melintasi Nek Ida untuk menunjukkan rasa
hormatnya. Lelaki itu meredah hujan lebat untuk mengambil telefon bimbitnya.
***
“Balqis, dah azan Zuhur tu.
Jomlah kita ambil wuduk,” ajak Liyana yang baru selesai melihat gambar-gambar
peserta sepanjang tiga hari yang lepas. Kamera DSLR miliknya itu kemudian
disimpan kembali di dalam beg. Sedar tidak sedar, cuma tinggal hari ini dan
esok sahaja untuk mereka menjalankan aktiviti bersama para pelajar tingkatan
empat di situ.
“Tak apalah Liyana. Saya cuti,
tak solat. Awak pergilah,” Balqis mencari-cari sesuatu di dalam beg tangannya.
Tatkala Liyana sudah beredar, wanita itu mengeluarkan telefon bimbitnya dan
sehelai kertas. Balqis memasukkan nombor telefon yang tercatat di atas kertas
itu ke dalam telefon bimbitnya dan menghantar satu mesej kepada pemilik nombor
tersebut. Lima minit menunggu masih tiada balasan. Sepuluh minit pun masih
tiada jawapan. Minit yang kelima belas barulah pesanannya itu dibalas.
‘Assalamualaikum. Ini nombor saya, Balqis.’
‘Waalaikumussalam. Ya Balqis, tiba-tiba aje ni. Rindu ke?’
‘Kau lambat balas mesej aku?’
‘Tadi aku solatlah. Ada apa sebenarnya, wahai Nurul Balqis?’
Balqis tidak membalas mesej itu.
Otaknya sedang rancak memikirkan sesuatu. Tempoh hari, Iskandar tidak berjaya
untuk berjalan tegak sepanjang masa seperti permintaannya. Hari ini pula,
Iskandar juga tidak berjaya membalas mesejnya dengan pantas.
“Liyana, Balqis, Aisyah, jom
pergi berkumpul. Sekejap lagi kita akan mulakan explorace pula,” ajak Maisara
sambil membetulkan tudungnya di cermin.
Explorace merupakan aktiviti
terakhir mereka dan selebihnya hanya ceramah dan kata-kata semangat yang akan
diberikan kepada para peserta. Keempat-empat wanita itu bergerak sekali, tidak
mahu melepaskan keseronakan mengawasi para peserta menjalankan aktiviti. Setiap
fasilitator ditempatkan di lokasi yang berbeza. Kawasan perkhemahan yang luas
itu merupakan lokasi yang sangat tepat untuk menyembunyikan barang.
Iskandar setia menunggu di
checkpoint jagaannya. Kumpulan yang tiba di situ perlu menjawab teka-teki yang
akan disoalnya kemudian perlu mencari epal yang disembunyikan di sekitar
kawasan tersebut. Setelah hampir satu jam, sudah tiga kumpulan yang
menyelesaikan tugasan mereka. Kumpulan yang lain mungkin sedang melaksanakan
misi di checkpoint lain.
Setelah kumpulan yang ketiga itu
beredar, Iskandar menarik nafas panjang. Penat jadi fasilitator tetapi seronok.
Dia berjalan sepanjang sungai sementara menunggu kumpulan yang lain mencarinya.
Dari kejauhan di seberang sungai, sepasang matanya menangkap figura seorang
wanita. Dia cuba menjelaskan pandangannya. Aisyah Humaira sedang bermain
sendiri. Mungkin juga bosan menunggu kumpulan peserta yang tidak muncul-muncul
tiba.
Iskandar memerhatikan kawasan
sekeliling pula, kalau-kalau muncul kelibat peserta. Namun dalam sekelip mata
sahaja dia berpaling, pada saat itu entah bagaimana Aisyah Humaira tergelincir
ke dalam sungai. Mungkin kerana terpijak di atas batu-batu licin. Iskandar
tergamam seketika melihat kejadian yang sedang terjadi di hadapannya. Air
sungai sedang mengalir dengan deras. Aisyah Humaira sempat berpaut pada
batu-batu besar dan berusaha menentang arus deras. Dia tidak menjerit meminta
pertolongan kerana menyangka dia siapa yang berada di situ. Dan mungkin juga
tiada siapa yang akan mengetahui di mana dia berada sekiranya dia ditolak oleh
aliran air deras!
“Aisyah, pegang batu tu
kuat-kuat!” teriak Iskandar. Paniknya sudah berada di tahap maksima apabila
melihat Aisyah hampir-hampir melepaskan pegangannya. Iskandar perlu berfikir
dengan pantas sekiranya tidak mahu Aisyah Humaira dihanyutkan oleh sungai.
Untuk memanggil bantuan, mungkin memerlukan masa yang lama. Begitu juga jika
dia mahu bergerak ke seberang sungai.
Aisyah cuba membantu dirinya
sendiri, namun pegangannya sudah beberapa kali terlepas tetapi dia segera
mencapai batu yang lain dan cuba bertahan. Kakinya langsung tidak mencecah
pasir. Bermakna sungai di kawasan itu sangat dalam. Iskandar cuba merentasi
sungai, berpijak di atas batu-batu besar dan perlu sentiasa berhati-hati dalam
setiap langkahnya. Jika tersilap tingkah, mungkin dia pula yang akan menjadi
mangsa!
“Eh, Abang Is di situlah! Tapi
kenapa Kak Aisyah ada dalam sungai?” seorang peserta kumpulan yang sedang
mencari Iskandar menepuk bahu rakannya, Ismail. Mereka lima orang memerhatikan
kejadian yang sedang berlaku. Adakah semua itu cuma muslihat dalam explorace
itu atau Abang Iskandar betul-betul sedang cuba menyelamatkan Kak Aisyah? “Itu
betullah! Kak Aisyah betul-betul sedang perlukan bantuan! Kau pergi panggil fasilitator
yang lain,” tegas Ismail setelah memastikan kejadian itu. Dua orang ahli
pasukannya bergerak mencari pertolongan dalam keadaan cemas.
Sementara itu, Iskandar sudah
berada di hadapan Aisyah. Baru sahaja dia hendak membantu, pegangan Aisyah
sekali lagi terlepas. “Aisyah!” Aisyah Humaira cuma mampu berdoa dalam
keadaannya yang lemah itu. Dia tahu ada seseorang yang sedang cuba
menyelamatkannya namun minda sedarnya tidak dapat mentafsirkan kejadian dengan
jelas ketika itu. Belakang badannya terlanggar batu besar dan serta merta
Aisyah memeluknya. Seluruh tubuhnya sudah basah. Dia tidak tahu sehingga bila
dia boleh beradu tenaga.
Iskandar memijak lagi batu-batu
untuk mendapatkan Aisyah. Ketika itu dia mendengar jeritan semangat daripada
beberapa orang di seberang sungai namun tidak diendahkannya. Lelaki itu
akhirnya dapat memegang Aisyah Humaira namun cabarannya adalah perlu menariknya
ke atas dan dalam masa yang sama berusaha untuk tidak tergelincir sama. Setelah
hampir lima minit mencuba, dengan izin Allah, Iskandar mendapat kekuatan untuk
menarik Aisyah dan membawanya ke tepi sungai. “Aisyah? Kau ok? Aisyah?” Ketika
itu Aisyah sudah begitu lemah dan matanya terpejam.
“Iskandar? Aisyah?” Balqis dan
Maisara segera mendapatkan Aisyah Humaira. Iskandar berganjak ke tepi dan
membiarkan mereka berdua yang membantu. Maisara cuba membantu Aisyah sehingga
sedar. “Aisyah..bangun..” Balqis khuatir.
“Uhuk...uhuk...” Akhirnya Aisyah
mulai menunjukkan respons positif. Masing-masing mengucapkan hamdalah di dalam
hati. Tidak ada kejadian buruk yang terjadi. Maisara membantu Aisyah Humaira
duduk. “Mungkin kita perlu membawa Aisyah ke bilik semula,” saran Maisara namun
ditolak oleh Aisyah. Dia memutuskan untuk meneruskan explorace itu. Kasihan
para peserta yang tercari-cari kehilangan mereka. Iskandar membuka jaketnya dan
menyerahkan kepada Balqis. “Serahkan pada Aisyah, mungkin dia perlukan.” Balqis
menyambutnya.
“Kau tak apa-apa?” Balqis
memerhatikan Iskandar yang berdiri tegak. Iskandar memerah bajunya yang
kebasahan sambil menggeleng. Dia perlu kembali ke lokasinya segera, namun yang
pasti bukan dengan cara merentas sungai lagi. “Iskandar...” Lelaki itu
berpaling. “Terima kasih selamatkan Aisyah.”
***
Program motivasi yang dijalankan
oleh Iskandar dan rakan-rakannya tiga bulan yang lalu berjalan dengan lancar.
Insiden Aisyah Humaira tergelincir ke dalam sungai tidak menjejaskan sebarang
aktiviti yang dijalankan. Bahkan, para peserta mendapat semangat yang luar
biasa setelah habis program dan mendapat banyak pengalaman yang bermakna.
Tugasan mengendalikan program itu juga telah mendapat pujian.
“Saya tak habis fikir lagi
tentang kejadian yang menimpa Aisyah masa di kem hari tu. Alhamdulillah
Iskandar datang tepat pada masanya, kan?” ujar Liyana sambil membayar
makanannya di kafetaria. Balqis
tersenyum sambil mencari duit kecil di dalam dompetnya. “Alamak. Ada duit kecil
tak Liyana?” Balqis masih terus mencari. Liyana juga begitu. Namun belum sempat
kedua-dua sahabat itu menghabiskan pencarian, satu tangan yang memegang wang
lima ringgit dihulurkan kepada pekerja kafetaria itu. Balqis dan Liyana
sama-sama menoleh ke kanan. Iskandar Arif yang menghulurkan wang tersebut. “Iskandar?”
Balqis terkejut. Shauki juga turut muncul di sebelah Iskandar.
“Nanti aku bayar balik,” Balqis
bersungguh-sungguh. “Tak apalah Balqis. Aku halalkan. Sebenarnya ada perkara
yang aku nak bincangkan dengan kau.” Balqis diam. Liyana sudah dapat mengagak
hal apa yang mahu dibincangkan oleh lelaki itu. Balqis dan Liyana membawa
makanan masing-masing ke meja makan. Iskandar dan Shauki sengaja mengikut.
“Balqis, dah lama aku fikirkan
benda ni. Kau dengar sahaja ya apa yang aku nak cakap? Pasal lima permintaan
yang kau minta aku tunaikan tu...” Iskandar teragak-agak.
“Saya dah agak dah,” Liyana
menyampuk.
Iskandar meneruskan bicaranya. “Setelah
tiga bulan aku berfikir, aku rasa aku dah dapat agak kenapa kau ragu-ragu
dengan aku. Sejak sekolah menengah lagi aku tak habis-habis mengusik kau. Dan
lima permintaan yang kau bagi pun tak dapat aku tunaikan. Permintaan kau yang
pertama...” Iskandar mengeluarkan buku catatannya sebelum menyambung
penjelasan. “Aku kena segera balas mesej kau. Itu pun aku tak mampu tunaikan.
Aku mesti akan terlambat balas. Permintaan yang kedua juga begitu. Aku dah dua
kali balik rumah ibu bapa aku sepanjang tiga bulan ni. Aku tak dapat nak
mengelak. Yang ketiga, kau pun tahu kan. Hari tu aku ada tolong Aisyah Humaira,
bererti aku tolong perempuan lain. Yang keempat pula baru aku buat tadi.”
“Yang lagi satu apa?” Shauki juga
curi-curi lihat catatan Iskandar. “Yang kelima syaratnya aku kena jalan tegak
sepanjang masa. Tapi aku dapati ada juga masa-masa yang tidak membolehkan aku
untuk jalan tegak. Misalnya ketika berjalan di depan orang tua. Pokok
pangkalnya, tak ada satu pun yang berjaya aku tunaikan. Dan.. aku dah fikir
masak-masak. Mungkin aku ni memanglah tak boleh jadi suami pilihan kau,”
Iskandar berterus-terang. Wajahnya sedikit tertunduk. Bukan mudah untuk seorang
lelaki menundukkan ego memberi penjelasan sepertinya itu.
“Satu pun tak dapat kau tunaikan?”
soal Liyana tekejut. Iskandar Arif menggeleng. “Aku minta maaf.” Baru sahaja
Iskandar mahu bergerak pergi, Balqis menghalangnya.
“Tunggu Iskandar. Sebenarnya ada
satu perkara yang kau kena tahu.”
Iskandar, Liyana dan Shauki
sama-sama terkejut dan fokus pada bicara Balqis. “Semua permintaan aku itu
sebenarnya satu ujian untuk memberikan aku keyakinan pada lamaran kau. Biar aku
jelaskan. Yang pertama, aku minta supaya kau segera membalas mesej aku. Kau
perasan tak, selalunya aku akan hantar kau mesej bila masuk waktu solat sahaja.
Dan kau tak balas sebab kau sedang bersolat. Itu sebenarnya ujian untuk aku
lihat sama ada kau seorang muslim yang sejati atau tidak. InsyaAllah, sekarang
aku dah tahu.
“Yang kedua adalah untuk menguji
sikap kau pada kedua orang tua kau. Kalau kau tak balik rumah, maksudnya
mungkin kau tak pedulikan orang tua kau. Oleh itu, aku tahu kau seorang anak
yang baik. Permintaan yang ketiga pula adalah untuk menguji ciri kepimpinan
yang ada dalam diri kau.
Allah berfirman dalam surah
an-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud, kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal
yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Kau dah selamatkan nyawa Aisyah,
maknanya kau seorang yang bertanggungjawab. Permintaan yang keempat pula
sengaja aku reka untuk melihat kalau kau rasa ada tanggungjawab untuk membantu
aku dari segi kewangan.
Dan permintaan aku yang terakhir
adalah tidak lain tidak bukan untuk menguji akhlak kau. Nampaknya kau sangat
berakhlak dan beradab di hadapan orang tua. Semua yang aku minta itu adalah semata-mata
untuk menguji ciri-ciri suami pilihan di dalam diri kau.”
Iskandar terpana. “Wow. Sangat
complicated permintaan dan muslihat kau. Tapi... apa maksudnya?”
“Maksudnya...” Balqis pula yang
menunduk. “InsyaAllah aku telah yakin dengan jawapanku. Kau dah lulus ujian.
InsyaAllah, aku siap untuk terima lamaran kau.” Iskandar sedikit ternganga.
Tidak percaya. Tidak mampu berkata-kata.
“Dah, dah. Balqis dah jawab kan?
Aku rasa lebih baik kau berdua pergi. Tak elok lama-lama di sini,” Liyana
menghalau. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Balqis sedang dicengkam perasaan malu
yang teramat. Shauki menarik lengan Iskandar yang sedang terpaku.
Perlahan-lahan tubuh Iskandar mengikutinya.
“Alhamdulillah, syukur! Yeah!
Wohoo....” Iskandar merangkul bahu Shauki keriangan. Walaupun masih tidak
percaya, dia tetap diselubungi rasa syukur. Rupa-rupanya itulah muslihat Balqis
untuk menguji dirinya. Ternyata, Balqis bukannya wanita biasa tetapi wanita
yang berfikiran luar biasa dan misteri. Shauki juga tumpang gembira. Impian
rakannya itu dipenuhi juga akhirnya.
Sementara itu, di meja makan tadi, Nurul Balqis masih malu-malu. Liyana cuma mampu ketawa
memandang Balqis. Jadi itulah muslihat yang dirancang wanita solehah itu untuk
mendapatkan lelaki yang soleh. Mungkin dia juga boleh menggunakan taktik yang
sama kelak. Balqis juga turut bersyukur, isi hatinya dapat diluah dengan penuh
yakin. Jodoh itu mungkin jauh daripada kita, tetapi mungkin juga sangat dekat
dengan kita. Allah pasti akan menunjukkan jalan untuk mengejar jodoh
masing-masing.
- TAMAT -
Cerpen ini ditulis sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman saya ketika menghadiri sebuah kem motivasi anjuran sekolah dulu. Bina pintu gerbang, tangkap ikan keli, semuanya ada. Dan saya pasti, melalui kem motivasi seperti inilah boleh memberikan banyak kenangan pahit manis dalam hidup seseorang itu. Foto-foto yang digunakan semuanya carian Google.
Sampai kat cerita dia nak bongkok depan nenek tua, ana dah faham semua syarat dia bagi tu apa muslihat dia hehe.
ReplyDeletegood job nurina ! :3
Adehh kantoi. Haha.
DeleteTerima kasih sebab rajin nak baca cerita ni. :)