Wednesday, 14 May 2014

Diari#50: Orientasi



Assalamualaikum.

Wah, nampaknya sejak sambung belajar balik ni, saya sudah jarang update di blog. Kalau diikutkan hari ini pun saya tak larat nak update disebabkan sakit tekak dan selesema yang sedikit sebanyak menjejaskan mood. Apa pun, sedikit perkongsian hari ini tentang pengalaman baru yang saya peroleh sepanjang hampir dua minggu orientasi. Setakat hari ini sesi pembelajaran masih belum bermula sehinggalah Isnin minggu hadapan. 

Sesi orientasi mengambil masa hampir dua minggu sebab nak menerangkan tentang jurusan yang dipilih secara lebih mendalam. Dan macam biasalah, antara aktiviti yang dijalankan adalah ice-breaking untuk mengeratkan lagi hubungan dengan kenalan baru.

Ice-breaking kali ini sudah tidak sama lagi seperti sekolah rendah. Aktivitinya sedikit mencabar dan ada juga yang melibatkan lakonan. Pokok pangkalnya, banyak aktiviti yang dirancang untuk memupuk sifat berani dalam diri semua peserta untuk menjadi pemimpin. Kali ini sudah tidak boleh menunding jari mengarahkan ketua kumpulan itu dan ini. Semua orang perlu merancang dan bertindak. 

Apa pun, kumpulan saya tidak berjaya menjadi salah seorang pemenang tetapi apa yang boleh kami banggakan ialah kesemua aktiviti berjaya kami tempuhi tanpa sebarang kegagalan. Biar kalah asal bermaruah. Eheh.

Sepanjang majlis taklimat pula, sesiapa sahaja akan dipilih untuk menjadi pengacara majlis. Jadi, nak tak nak memang semua orang perlu bersedia untuk bercakap dengan berani. Beberapa penceramah luarturut dijemput untuk memberikan motivasi dan kata-kata pendorong agar kami lebih bersemangat untuk menuntut ilmu dalam suasana yang baru. 

Keseluruhannya yang dapat saya simpul, untuk berjaya kita perlu semangat yang kuat dan sifat keberanian yang tinggi. Kehidupan pasti akan lebih mencabar selepas ini. Nak survive, kenalah pandai survival.

Alhamdulillah, baru masuk saya sudah dapat mengenali ramai kenalan baru yang mesra. Apa yang buat saya terharu apabila rakan-rakan baru saya di sini banyak sangat membantu saya dalam pelbagai aspek. Misalnya hari ini saja, Puan Noorhayati menugaskan beberapa orang untuk menjaga kaunter untuk memilih pakej. Ada tujuh pakej semuanya dan satu pakej hanya memerlukan sekitar 35 orang sahaja. Bayangkanlah. Saya ingin mengambil pakej pelajaran F yang ada KMK (Kesusateraan Melayu Komunikatif) tetapi ternyata meja pendaftaran untuk pakej F itulah menjadi tumpuan ramai. Semua orang mula berebut. Lawak pun ada bila tengok manusia berebut-rebut.

Disebabkan saya terpaksa menjaga meja lain, saya pun mengalah dengan perasaan pasrah kononnya. Tetapi alhamdulillah, rakan-rakan saya rupa-rupanya sudah tolong mengisi nama saya di dalam pakej KMK tadi. Terharu pula saya dibuatnya. Dahlah selalu tolong jagakan tempat duduk untuk saya.

Perkara yang membuatkan saya seronok di sini tentulah disebabkan dapat berkawan dengan orang baru dan mengenali lebih ramai perwatakan manusia. Salah seorang yang sempat saya kenal, namanya Umairah.

Mula-mula duduk sebelah saya, saya fikir dia seorang yang pemalu. Tetapi apabila mula berbual, dia ni seorang yang banyak bercakap. Tetapi cakapnya bukan cakap kosong. Beza orang yang banyak cakap ilmiah dan banyak cakap lagha. Sangat berbeza. Dia kongsikan tentang cita-citanya dan cintanya terhadap ilmu. Dia sempat memberitahu bahawa dia ingin mengikuti jejak langkah arwah Ammar untuk membuat kajian di Turki. Wah, terpesona saya mendengar ceritanya. Mungkin saya sendiri tidak bercita-cita besar seperti itu. 

Dalam bicaranya, dia banyak menyebut tentang bondanya. Jadi saya simpulkan sendiri, dia seorang yang sangat menghormati dan menyayangi bondanya. Susah nak jumpa orang yang kaitkan orang tuanya dalam perbualan harian. Daripada bicaranya juga, anda pasti dapat menduga dia seorang yang gemar membaca kerana percakapannya berunsur ilmiah. Mudah-mudahan saya juga boleh menjadi seperti itu dan tidak banyak membualkan perkara yang sia-sia.

Insya Allah, dengan adanya rakan-rakan seperti ini, pasti mereka dapat membantu saya dalam perjuangan di sini. Setakat ini minggu orientasi alhamdulillah menyeronokkan. Tetapi seronok ketika minggu orientasi saja pun tidak ada gunanya juga. Saya perlulah kekalkan momentum seronok ini untuk minggu yang seterusnya sehinggalah selesai belajar, kerana perjuangan yang sebenarnya akan bermula minggu hadapan. Waktu itu mungkin sudah tidak boleh banyak bermain lagi dan perlu mula serius. Dan bererti, semakin jaranglah saya akan online kelak.

Apa pun sekiranya ada perkongsian untuk rakan-rakan dan pembaca blog ini, insya Allah saya akan cuba kongsikan kerana saya tidak mahu memendam ilmu atau pengalaman yang ditimba seorang diri. Hidup akan menjadi lebih bermakna dengan perkongsian. Semoga penulisan saya mendatangkan manfaat kepada yang membaca walaupun sedikit.

Macam inilah gayanya students berebut nak isi nama tadi

No comments:

Post a Comment