Wednesday, 26 November 2014

Kamu nak tak jadi orang kaya?



Saya teringat seorang guru pernah bertanyakan satu soalan di dalam kelas.

“Kamu semua nak tak jadi orang kaya?”

Rakan-rakan yang lain pun mengangguk dan tersengih. Siapa yang tidak mahu menjadi orang kaya? Dengan duit, semua benda jadi. Semua benda boleh beli. Bahkan masuk tandas awam sekalipun akan dikenakan bayaran. Saya sendiri pun mula membayangkan kehidupan menjadi orang kaya. Jadi jutawan. Tinggal dalam banglo besar bertingkat-tingkat. Kereta bersusun di hadapan rumah. Bekerja di dalam pejabat, jadi pengarah urusan syarikat. Atau mungkin dapat melancong sekeliling dunia, pergi melawat tempat yang diimpikan selama ini. Wah, tidak tergambar nikmatnya apabila jadi orang kaya atau lebih senang digelar jutawan.

Kemudian guru saya itu menyoal lagi, kali ini dengan mainan psikologi.

“Kamu rasa orang kaya ni, hidup dia bahagia tak?”

Tepat terkena sasaran. Masing-masing diam, kali ini barulah pakai otak. Cikgu tahu soalannya itu tidak memerlukan jawapan daripada kami.

“Jadi orang kaya ni, tak bahagia. Memang tak bahagia. Susah.”

Cikgu berjaya mengetuk minda saya untuk berfikir. Mahu tidak mahu, saya memang terpaksa bersetuju dengan kenyataan cikgu itu. Memang pada zahirnya kehidupan sebagai jutawan nampak menyenangkan, tetapi janganlah kita mudah terpedaya dengan apa yang dilihat secara zahir sahaja.

Pertama, untuk mendapatkan sumber rezeki yang lumayan bukanlah perkara yang mudah. Tanyalah rahsia kejayaan jutawan-jutawan di tanah air kita, semuanya perlu datang bersama usaha. Banyak benda yang perlu kita korbankan dalam perjuangan kita meraih keuntungan. Kita terpaksa korbankan masa, tenaga dan akal fikiran. Seseorang itu mungkin boleh hilang banyak benda tanpa disedari. Dia mungkin hilang kawan, hilang keluarga, hilang cinta, atau lebih parah hilang ‘kehidupan’ yang sebenar. Disebabkan terlalu fokus dengan matlamatnya, maka segala-galanya boleh hilang dalam sekelip mata.

Kedua, orang kaya ni akan selalu dibelenggu dengan rasa cemas dan gelisah pada kebanyakan waktu. Ya lah, apabila harta sudah melimpah ruah, sudah tentulah dia akan menjadi sasaran ramai orang. Pencuri yang tamakkan kemewahan. Waris yang gilakan harta. Atau musuh yang memerhati dari dalam selimut. Pendek kata, bila jadi orang kaya memang tak akan senang duduk. Ancaman boleh muncul dari mana-mana sahaja. Risiko yang mungkin ditanggung boleh melibatkan rompakan, santau atau lebih parah lagi pembunuhan. Macam yang dapat kita lihat dalam drama-drama Melayu sekarang. Asal nak harta saja, bunuh. Eheh.

Yang ketiga, memang sudah tahap kritikal. Bila jadi kaya, jadi jutawan, maka semua lupakan Tuhan. Jauh dari Tuhan. Saya teringat lagu OST sinetron Mutiara Hati yang sering saya ikuti dulu. Liriknya lebih kurang begini.

Banyak yang kaya lupa pada Allah
banyak yang miskin jauh dari Allah
Banyak yang sehat lari dari Allah
Banyak yang sakit meninggalkan Allah
Itulah orang yg sombong kepada Tuhannya
Tidak kenal kepada Allah

Walau macam mana kita cuba nafikan sekalipun, itulah realiti kehidupan. Bila sakit, barulah kita nak mengadu pada Allah minta sembuh. Bila ditimpa kesusahan, barulah nak cari bantuan Allah. Kadang, saya pun tidak terkecuali. Waktu sihat, mana ada orang nak cari Tuhan. Waktu senang, berduit, dunia ini ibarat kita yang punya. Kalau boleh semua benda kita nak beli, sampai satu tahap kita lupa apa yang halal apa yang haram.

Saya tak merujuk kepada semua orang kaya, mungkin cuma sebahagian sahaja yang begitu. Amatlah beruntung orang kaya yang menggunakan nikmat kekayaannya itu untuk mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada yang memerlukan. Sangat untung. Guru saya mengingatkan kami dengan sepotong hadis.

“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” - Riwayat Hadith al-Bukhari

Hadis tersebut mengiktiraf kedudukan orang kaya yang bersedekah dan orang berilmu yang menurunkan ilmunya kepada orang lain. Jadi, apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah duit mampu memanipulasikan kehidupan seseorang. Boleh merosakkan kebahagiaan seseorang. Tetapi tidak bermakna kita tak perlukan duit dalam hidup. Kalau kita pandai gunakan duit dengan betul, masya Allah, untunglah kita di akhirat kelak.

Apa yang guru saya soal itu masih bermain-main dalam kotak fikiran saya sehingga hari ini. It's good to have money and the things that money can buy, but it's good too, to check up once in a while you haven't lost the things that money can't buy.


p/s: Tahniah buat adik-adik yang berjaya mendapat keputusan cemerlang UPSR pagi tadi. Buat yang tak berapa cemerlang, usahalah lagi. Kejayaan adalah milik mereka yang berusaha!

No comments:

Post a Comment