Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Maaf kerana menghilang untuk beberapa ketika. Seperti biasa,
alasannya adalah kesibukan di universiti. Memandangkan saya terlibat dalam
persatuan, jadi komitmen yang diberikan lebih bertumpu ke situ. Dan tidak lupa
juga ujian pertengahan semester yang mencabar (walaupun objektif sahaja).
Bagi
saya, subjek-subjek semester ini dua kali ganda lebih menggerunkan daripada
subjek semester satu dulu. Tambahan lagi, semester ini saya sudah mula belajar
subjek minor dari pusat pengajian lain. Salah satu subjek minor yang saya ambil
ialah Communication and Society, kelasnya pada hari Jumaat, jam 3 hingga 5
petang. Waktu pembelajaran yang teramat mencabar. Serius. Sehingga sekarang,
saya masih tidak mampu memahami apa sebenarnya yang hendak disampaikan untuk
subjek ini.
Apa pun, sebagai seorang
mahasiswa, belajar merupakan tanggungjawab
utama kita. Tanggung dan jawablah dalam peperiksaan nanti. Dalam masa
yang sama, penglibatan saya dalam persatuan juga banyak mengajar saya
tanggungjawab baru yang harus saya pikul. Kalau dulu, saya lebih menganggap
diri saya sebagai seorang pengikut. Sekarang, saya perlu meletakkan diri saya
sebagai seorang pemimpin organisasi. Untuk memimpin sebuah organisasi yang
besar, memang bukan mudah. Saya tidak tahu cara pimpinan orang lain, tapi
inilah sedikit sebanyak refleksi yang boleh saya kongsikan tentang kepimpinan.
Pertama, kalau kita tidak serius dengan jawatan yang
dipegang, kita cuma akan menyusahkan pihak-pihak yang lain. Saya pada awalnya
tidak nampak peranan saya, tetapi lambat laun setelah bergerak dalam kumpulan,
saya mula rasakan keseriusan di situ. Apa yang saya galas, bukannya benda
main-main lagi. Kalau setakat bercakap di mulut yang saya boleh buat, tetapi
langsung tidak mainkan peranan, tak ada gunanya juga. Macam yang saya kata,
akhirnya saya cuma akan menyusahkan pihak yang lain.
Saya mengaku, sebagai
mahasiswa, satu cabaran untuk saya serius dan fokus terhadap tugas saya. Saya
tak tahu macam mana orang boleh memikul banyak jawatan dalam persatuan dan
memberikan 100 peratus komitmen dalam semua jawatannya. Ramai yang saya kenal
begitu. Kalau saya, tak dapatlah nak capai tahap sedemikian rupa. Nanti yang
dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula. Haha. Walaupun satu cabaran
untuk membahagikan masa belajar dan masa berpersatuan, saya akan cuba. Sebab
nama pun cabaran, bukan?
Kedua, pemimpin perlu peka dan mengambil tindakan. Saya sedar yang orang lain bergantung kepada
pemimpin untuk mengambil tindakan. Kalau tidak, buat apa perkara atau masalah
itu diutarakan kepada pemimpin? Saya terkesan dengan satu ayat yang disampaikan
oleh seseorang. “Harap ada tindakan lepas ni, dan bukannya sekadar mendengar sahaja.”
Lebih kurang begitulah. Dia menyatakan ayat itu dalam intonasi biasa tetapi
maksudnya cukup mendalam bagi saya. Point is, semua orang boleh menjadi
pendengar. Menjawab “ya, baik, dinotakan, okey” dan sebagainya. Tetapi, berapa
ramai yang boleh bertindak untuk merealisasikan perkara tersebut? Kalau setakat
berkata kosong, lebih baik diam daripada memberi harapan semata.
Ketiga, mengenal pasti skop tugasan kerja itu adalah amat penting. Saya banyak belajar ketika memegang jawatan sebagai pengarah projek dulu. Sebagai seorang pengarah projek, kita perlu melihat daripada semua skop tugasan. Bukannya semata-mata memfokuskan apa yang kita nak buat sahaja. Tugas setiausaha, bendahari, jawatankuasa yang lain juga perlu diberikan perhatian. Saya adalah tunggak kepada seluruh jawatankuasa tersebut. Kalau bukan saya yang membantu atau memantau skop tugasan mereka, what’s the point of being the head?
Ketiga, mengenal pasti skop tugasan kerja itu adalah amat penting. Saya banyak belajar ketika memegang jawatan sebagai pengarah projek dulu. Sebagai seorang pengarah projek, kita perlu melihat daripada semua skop tugasan. Bukannya semata-mata memfokuskan apa yang kita nak buat sahaja. Tugas setiausaha, bendahari, jawatankuasa yang lain juga perlu diberikan perhatian. Saya adalah tunggak kepada seluruh jawatankuasa tersebut. Kalau bukan saya yang membantu atau memantau skop tugasan mereka, what’s the point of being the head?
Menjadi seorang ketua, bukan sesuatu yang mudah. Tapi kalau diberi pilihan
antara pengarah projek, setiausaha atau bendahari dan tidak ada pilihan lain,
saya akan memilih pengarah projek kerana saya lagi tidak suka skop tugas
setiausaha dan bendahari. Sepanjang hidup saya minta dijauhkan daripada dua
peranan itu. Haha. Saya minta maaf kepada semua setiausaha dan bendahari yang
mungkin sedang membaca entry ini.
Keempat, bekerja dalam organisasi ni, kita perlu belajar
menerima orang. Lainlah kalau kita bekerja dengan komputer, tak ada masalah.
Tapi hakikatnya, kita akan bekerja dengan manusia yang mempunyai emosi, ego dan
pendapat tersendiri. Kadangkala, pendapat kita mungkin tidak akan sama dengan
pendapat orang lain. Di situlah saya belajar untuk bertolak ansur dan cuba
untuk tidak mementingkan diri sendiri.
At the end of the day, saya yakin, semua
orang dalam organisasi itu mahukan yang terbaik. Jadi saya perlu mencari titik
persamaan dalam pendapat semua orang. Satu perkara penting yang perlu
diingatkan, jangan lupa yang kita bekerja dalam organisasi dan bukannya secara
individu. Serius saya katakan, bekerja dalam organisasi sedikit sebanyak
mengajar saya untuk tidak pentingkan diri sendiri. Belajar untuk lebih cool.
Belajar untuk menerima dan memberi teguran.
Kelima, selesaikanlah tugasan yang diberi dalam tempoh masa
yang ditetapkan. Saya bukanlah orang yang layak mengulas panjang tentang ini,
sebab saya pun kadangkala gagal berperang dengan masa. Saya selalu juga buat
kerja akhir minit, tapi saya akan pastikan kerja tersebut siap sebelum tempoh
deadline yang diberikan. Eheh. Yalah tu. Sembang. Apa pun, sebagai seorang
pemimpin, saya mengharapkan juga subordinat saya menyiapkan tugasan sebelum
deadline. Kalau dibiarkan saja melepasi tarikh deadline, apa fungsi deadline,
kan? Saya harap, kepada sesiapa yang sering bertarung dengan deadline,
belajarlah untuk menyiapkan tugasan pada waktunya.
Rasanya cukuplah lima isi di atas. Terasa macam buat esei
pula. Saya sekadar merefleksi diri dalam bentuk penulisan. Mungkin kepada
sesiapa yang bekerja dalam organisasi atau persatuan pun dapat mennghubung kait
perkara-perkara yang telah saya nyatakan. Yang penting, dalam menggalas
tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan pemimpin, jangan lupa pula
tanggungjawab terhadap agama. Itu sudah semestinya perlu menjadi prioriti kita.
Kadang, sebab persatuan, ada juga orang yang mengabaikan agama. Ada yang
menjadi gila. Maka pesan saya kepada diri dan kepada semua, tanggung dan
jawablah apa yang telah diamanahkan kepada anda. Sesungguhnya, cabaranlah yang
akan menjadikan kita lebih matang dalam menempuhi kehidupan dewasa. Ingat satu
perkara juga, Allah tidak akan membebani kita melainkan sesuai dengan kemampuan
kita.
Terima kasih kerana membaca. Have a nice day.