Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, pagi tadi selesai
juga urusan di Bank Rakyat. Sudah lama saya bertangguh nak tukar kad bank yang
baru untuk mendaftar I-Rakyat. I-Rakyat adalah perkhidmatan perbankan atas
talian (online) untuk Bank Rakyat. Macam yang biasa kita dengar, CIMB ada CIMB
Clicks kan? Macam itu jugalah I-Rakyat ni. Kenapa saya mendaftar I-Rakyat?
Saya mengetahui tentang I-Rakyat
dari Yayasan Bank Rakyat (YBR) semasa program induksi tempoh hari. Waktu itu,
saya telah pun mendapatkan nombot T-Pin tetapi pendaftaran online saya tidak
berjaya kerana nombor kad yang lama itu tidak diterima. Maka, sampai ke hari
ini barulah saya berpeluang untuk menukar kad baru. RM8 sahaja yang telah
ditolak dalam akaun saya untuk penukaran kad. Saya juga sempat mengemaskini
data peribadi di kaunter tadi.
Ada banyak manfaat yang boleh
saya peroleh melalui I-Rakyat. Pertama sekali, tentulah mudah untuk menyemak
baki duit dalam akaun. Kadang, nak pergi ke mesin ATM pun terasa berat kaki
hendak melangkah. Padahal mesin ATM cuma di kafe bawah di universiti saya. Tapi
di situ cuma ada Bank Islam. Jadi kalau kita melakukan transaksi Bank Rakyat,
biasanya akan dikenakan cas tambahan. Rugilah juga macam tu. Setelah selesai
mendaftar I-Rakyat tadi, saya boleh menyemak baki dalam akaun saya tanpa perlu
ke mesin ATM. Bila-bila masa pun kalau rasa nak semak, buka sahaja internet dan
terus ke irakyat.com.my. Oh ya, perlu diingat juga nombor T-Pin yang anda
dapatkan di ATM itu hanya boleh digunakan dalam tempoh 24 jam sahaja. Jadi,
kena cepat-cepatlah daftar. Ataupun bila dah bersedia nak mendaftar baru
dapatkan T-Pin tersebut.
I-Rakyat juga dapat memudahkan
transaksi pembelian. Saya selalu membeli buku secara online, tetapi menggunakan
akaun ibu saya sahaja sebelum ini. Agak lecehlah juga sebab setiap kali nak
lakukan pembelian online, kena ‘paksa’ ibu saya untuk melakukan transaksi. Saya
belum cuba lagi melakukan apa-apa transaksi. Tapi dalam laman I-Rakyat memang
ada pilihan untuk melakukan transaksi ke akaun lain. Tapi kelemahannya nanti
kalau dah terbiasa lakukan pembelian jadi berkuranglah duit dalam akaun tu.
Macam mana nak menabung? Saya nasihatkan, beli yang perlu sahaja dan
berjimat-cermatlah sikit. Pesan saya untuk diri sendiri juga. Yalah, duit di
universiti tu banyak nak guna. Tambah adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke
alam universiti tak lama lagi. Beli buku sahaja pun sudah banyak guna duit.
Satu lagi perkara menarik tentang
I-Rakyat ialah kita boleh reload secara online. Atau lebih biasa dipanggil
topup. Semua jenis prabayar ada seperti Celcom, Maxis, Digi dan lain-lain.
Mereka yang membayar secara bulanan pun boleh topup melalui I-Rakyat. Saya rasa
ini adalah perkhidmatan yang paling saya perlukan. Sebabnya, kalau nak cari
topup, kena pergi ke kedai (cakap sajalah malas pergi kedai). Kalau ke kedai
pun, tak tentu ada. Kalau ada pun, tak tentu kita ada cash yang cukup. Nak cari
rakan-rakan yang jual topup pun kadang kita tak tahu. Kena WhatsApp dan
sebagainya. Jadi, kalau anda mendaftar I-Rakyat, reload sahaja secara online
bila-bila masa yang anda mahu. Tapi yang pasti kena ada duitlah dalam akaun
bank tu. Melalui I-Rakyat juga sebenarnya kita boleh link dengan akaun Tabung
Haji. Kalau siapa nak semak akaun Tabung Haji nanti bolehlah berbuat demikian.
Itulah antara manfaat utama yang
saya nampak pada I-Rakyat. Banyak lagi sebenarnya perkhidmatan yang boleh
dilakukan yang memudahkan urusan harian kita. Saya sarankan anda untuk
mendaftar, tak perlukan bayaran pun. Percuma sahaja. Kita hidup dalam era
modenisasi dan semakin banyak teknologi menjadi maju. Jadi kita patut
menyesuaikan diri dengan kemajuan hari ini. Ramai orang yang kata, kemajuan dan
perubahan teknologi ni membuatkan manusia menjadi semakin malas. Ya, mungkin
ada benarnya juga pendapat tersebut. Tapi bagi saya, mempelajari ilmu baru dan
menyesuaikan diri dengan teknologi terkini lebih banyak mendatangkan manfaat
daripada keburukan kepada diri kita.
Langkah-langkah untuk mendaftar
I-Rakyat ni mudah sahaja. Pertama, anda sudah semestinya perlu berstatus
pemegang kad Bank Rakyat. Pergi ke mana-mana mesin ATM dan dapatkan nombor
T-Pin. Dalam masa 24 jam, buka laman irakyat.com.my. Cari ikon pendaftaran kali
pertama dan anda akan disuruh untuk masukkan nombor yang tertera pada kad bank
serta T-Pin. Sebelum itu, akan ada opsyen antara kad ATM, kad debit dan kad
kredit. Sebelum ini, saya sangka kad ATM dan kad debit adalah dua benda yang
sama. Setelah saya Google, rupa-rupanya tidak sama.
Kad ATM mula-mula diperkenalkan
di Malaysia pada tahun 1990 sebagai alternatif kepada buku bank. Ramai
masyarakat ketika itu rasa sangsi dengan keberkesanan ATM kad dalam urusan
perbankan. Pada tahun 1996 pula, kad ATM Maybank boleh mula digunakan sebagai
kad debit di beberapa pasaraya terkenal. Kalau kad kredit kita berhutang, kad
debit ni maksudnya kita dah ada duit dalam kad tu. Cuma tinggal lakukan
transaksi sahaja. Pada tahun 2008, barulah kad debit diperkenalkan dan
fungsinya boleh menggantikan kad kredit. Had penggunaan kita hanya seberapa
banyak yang kita ada di dalam akaun. Tiada bil bulanan yang bank akan hantar
kepada kita. Kiranya, asal usul kad ni bermula dengan kad ATM dulu, kemudian
fungsinya dinaik taraf seperti kad debit. Tapi akhirnya kad debit diperkenalkan
untuk memudahkan urusan. Beza kad ATM ialah tidak semua tempat boleh
menggunakan sistem ini dan terhad kepada sesetengah bank yang terlibat sahaja.
Kad debit pula boleh digunakan di semua kaunter pembayaran.
Asalnya, saya ingatkan kad yang
saya tukar sebentar tadi ialah kad debit sebab terang-terangan ada tertulis
perkataan Debit pada kad itu. Tapi bila daftar I-Rakyat, tak boleh juga. Jadi
saya tukar jenis kad kepada kad ATM dan baru berjaya. Rupa-rupanya, kad itu
berstatus kad ATM. Bermakna, bukan semua tempatlah saya boleh gunakan kad
tersebut sebagai kad debit. Bermula tahun 2017 inilah banyak bank yang menyuruh
penggunanya menukar kad ATM kepada kad debit untuk memudahkan urusan. Tapi
mungkin bukan semua bank.
Berbanding kad ATM, kad debit dan
kad kredit, saya rasa kad debitlah yang paling bagus untuk digunakan. Boleh
digunakan di semua transaksi pembayaran dan tak perlu berhutang. Itu pun kalau
berduit banyaklah. Kalau untuk mahasiswa tu kadang baki dalam akaun tu kalau
tengok, terasa nak menangis pun ada.
Apa pun, kepada anda yang
berminat untuk mendaftar I-Rakyat, bolehlah lakukannya dengan segera. Untuk
sebarang bantuan, boleh hubungi 1300-80-5454 talian Bank Rakyat. Jangan hubungi
saya pula ya. Selamat mendaftar!
Macam mana nak dapatkan T-PIN tue ?
ReplyDelete