Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Baru-baru ini, saya telah mengacarakan majlis perasmian
Pusat Kecantikan & Spa AlamKu yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Noor
Sabrina binti Mohd Noor, Exco Kerajaan Negeri Kedah. Bukan senang untuk kita
mendapat peluang menjadi pengacara sebuah majlis yang dihadiri oleh orang
besar. Saya terdetik untuk berkongsi kisah tentang saya dan pengacaraan.
Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang teringin untuk menjadi pengacara
majlis, tetapi tidak mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Saya harap serba
sedikit perkongsian saya dapat membantu anda untuk menepis apa jua yang sedang
menghalang anda untuk melakukannya saat ini.
Kali pertama saya menjadi pengacara majlis adalah semasa
saya darjah enam. Setiap hari Ahad, sekolah akan mengadakan perhimpunan rasmi
dan seorang pengawas ditugaskan untuk mengacarakan perhimpunan tersebut. Saya
bolehlah dikatakan sebagai seorang yang pendiam, tetapi entah macam mana saya
telah terpilih menjadi pengawas sekolah semasa darjah tiga. Dulu, darjah tiga
kami dipilih menjadi pengawas percubaan dan darjah empat barulah dilantik
menjadi pengawas sekolah yang rasmi. Paling drastik, ketika darjah enam saya
dipilih untuk menjadi ketua pengawas atas kata sepakat guru-guru disiplin.
Jujur saya kata, saya bukan seorang yang banyak cakap pun sebab saya tak suka
attract attention. Saya rasa, faktor saya dipilih kerana saya selalu mendapat
keputusan yang cemerlang dalam kelas, berdisiplin dan bertanggungjawab. Eheh.
Bakul sendiri, sendiri angkat. Sebenarnya, saya boleh dikatakan skema jugalah
orangnya, gitu.
Berbalik kepada cerita, pengawas sekolah akan ditugaskan
secara bergilir untuk mengendalikan perhimpunan Ahad. Saya tak berapa ingat tapi
kalau tak silap perhimpunan Ahad dalam bahasa Inggeris. Bukan semua pengawas
terpilih untuk menjadi pengacara. Hanya tiga atau empat orang sahaja yang
menjadi pengacara tetap sehingga hujung tahun. Salah seorangnya sudah tentulah
ketua pengawas sendiri. Saya sudah biasa melihat senior tahun-tahun sebelum itu
mengendalikan perhimpunan. Bezanya, kali ini saya sendiri pula yang akan
mengendalikan perhimpunan. Perasaan gelisah itu sudah tentulah ada. Dan rasanya
banyak kali juga saya tersasul walaupun teks telah disediakan. Rasanya saya
jarang buat eye contact dan cuma akan menunduk membaca teks. Lama-kelamaan,
saya menjadi terbiasa walaupun saya selalu cuba untuk mengelat giliran saya.
Ketika di SMK Sultan Badlishah, rasanya saya tidak
berpeluang pun menjadi pengacara untuk apa-apa program. Saya rasa saya
merupakan salah seorang pelajar halimunan. Sebabnya, saya tak suka menonjolkan
diri. Rasanya saya sudah pernah cerita tentang ini, nama saya mula menjadi
sebutan ketika pengetua sekolah memperkenalkan saya di perhimpunan rasmi kerana
menulis buku pada usia yang muda. Saya masih ingat betapa tak sukanya saya
sebab dipanggil naik atas pentas hari itu. Lagi parah apabila disuruh untuk
menceritakan sinopsis novel saya secara tiba-tiba. Kalau anda merupakan salah
seorang yang takut atau tak suka naik pentas, I totally know that feeling.
Harap bekas pengetua yang dimaksudkan tidak membaca tulisan ini.
Semenjak itu mulalah ramai cikgu Bahasa Melayu cuba merekrut
saya untuk pelbagai pertandingan seperti resensi buku dan bahas. Saya tidak
tahu sama ada pertandingan resensi buku masih wujud ataupun tidak sekarang.
Pendek kata, di situlah bermulanya platform saya untuk bercakap di hadapan
orang ramai. Saya dah kata, saya ini skema orangnya. Jadi semua kemahuan cikgu
saya turuti. Masuk pertandingan dan sebagainya. Tak menang pun. Tapi semua
itulah yang menjadi titik permulaan kepada keyakinan saya pada hari ini.
Terima kasih kepada cikgu-cikgu Bahasa Melayu yang percayakan
saya walaupun saya tahu betapa tidak bagusnya saya. Secara tidak langsung, saya
juga perlu berterima kasih kepada puan pengetua kerana memperkenalkan saya di
atas pentas hari itu.
Ketika di SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) pula,
alhamdulillah Allah beri saya rezeki dan platform yang lebih luas. Saya menjadi
Penolong Ketua BADAR (Badan Dakwah dan Kerohanian) dan berpeluang untuk
bercakap di hadapan orang ramai dalam majlis liqa’ setiap hari Jumaat. Kadang
saya menjadi pengacara majlis, kadang saya berkongsi info dan sebagainya.
Majlis liqa’ ni adalah majlis ilmu untuk pelajar puteri sahaja semasa pelajar
putera keluar sembahyang Jumaat. Selepas tamat KUSESS, saya mengaku amat jarang
untuk saya mendapat peluang dalam majlis ilmu seperti itu lagi.
Cikgu Bahasa Melayu pun dulu pernah memilih saya untuk
menjadi pengarah teater peringkat kebangsaan. Lari betul kan Badar dengan
teater? Tapi jangan risau, teater arahan saya tidak ada babak berpegangan
tangan atau bersentuhan. Pelakon juga semua bertudung kecuali yang India. Tapi
muzikal tu adalah. Muzik tak salah, asalkan tidak melalaikan. Dalam masa yang
sama, saya memupuk minat dalam pengarahan dan lakonan. Jadi saya menghasilkan
filem-filem pendek dan memuat naik di laman YouTube. Tapi saya lebih suka
mengarah daripada berlakon sebab saya berlakon kayu.
Tingkatan 6 di Kolej Tingkatan 6 Kulim merupakan platform
rasmi saya sebagai pengacara majlis. Berbekalkan pelbagai jenis platform
sepanjang saya sekolah menengah, saya dapat membuang rasa gemuruh untuk berada
di atas pentas. Saya memang sangat banyak mengacarakan majlis sepanjang
tingkatan 6. Saya mengaku saya bukan seorang yang profesional dalam pengacaraan
dan sebenarnya pengacaraan saya biasa-biasa sahaja. Selalu saya membaca teks
laju kerana hendak cepat menghabiskan program atau majlis. Tapi alhamdulillah
saya jarang gemuruh atas pentas dan saya sentiasa berasa yakin untuk menjadi
pengacara majlis (jika ada teks). Pernah juga saya menjadi pengacara majlis
tidak formal tetapi saya tidak suka sebab kena banyak bercakap tanpa skrip.
Lebih senang jadi pengacara yang ada teks. Pengacara tidak formal ni saya cuma
yakin kalau buat program di sekolah, tanpa pengawasan cikgu-cikgu mereka.
Saya ini jenisnya seorang yang suka follow the flow. Di
kesempatan ini biarlah saya memberi beberapa tips untuk menjadi pengacara
majlis. Yang pertama, kalau kita diberi peluang untuk bercakap, tak kiralah
dalam apa jua platform, tak ada salahnya mencuba. Kita belajar daripada
pengalaman dan latihan. Kalau betul-betul komited hendak menjadi emcee,
rajinkan diri melihat video-video pengacaraan untuk melihat intonasi dan gaya
percakapan. Sebab pengacara ni ada intonasi yang perlu dikawal. Tak boleh main
redah melulu sahaja. Ada masa perlu noktah, koma, nada tinggi, rendah dan
sebagainya. Yang saya susah nak kawal adalah kelajuan membaca teks. Tak tahu
kenapa, setiap kali majlis mesti baca laju sebab nak habiskan cepat. Eheh. Eye
contact pun perlu ada. Walaupun membaca teks, sekali sekali perlu juga pandang
penonton. Di atas pentas ni, kita kena wujudkan satu perasaan ‘inferior’ iaitu
kita lebih hebat daripada semua orang dan kita yang mengawal pentas. Orang lain
tak boleh buat apa. Kalau masih ada rasa rendah diri, pentas bukanlah
tempatnya. Saya selalu saja anggap diri saya bagus walaupun hakikatnya tidak.
Sebab kalau timbul perasaan cautious (berjaga-jaga), nanti self-esteem kita
akan jatuh dan memberikan kesan kepada pengacaraan kita. Tips ini pun boleh
diaplikasikan dalam sebarang medium komunikasi pentas yang lain, insyaAllah. Lagi
satu, ambil perhatian pergerakan program. Pastikan aturan sesuai dengan teks. Terutamanya
kalau ada sesi penyampaian hadiah yang banyak. Kesilapan selalu berlaku semasa
sesi ni.
Menjadi pengacara majlis bukanlah satu benda yang susah.
Saya kira semua orang boleh menjadi pengacara. Tapi nak menjadi pengacara
majlis yang bagus dan sedap didengar itulah yang memerlukan banyak latihan.
Kalau pengacara itu sendiri bosan dan mendatar, penonton pun menjadi bosan. Kalau
pengacara majlis sedap didengar, barulah penonton bersemangat mendengar.
Saya bersyukur kerana setiap kali selepas mengacarakan
majlis, akan ada yang memberi komentar tentang pengacaraan saya. Biasanya yang
positif. Tak tahulah membodek atau apa. Ada juga yang menegur kesalahan saya
dan sebagainya. Komentar-komentar seperti itulah yang diperlukan untuk rujukan
pada masa akan datang (padahal saya selalu ulang kesalahan sama). Ada juga
majlis yang saya tak dapat sebarang respon. Saya ingat lagi. Disebabkan saya
selalu terbiasa mendapat komentar, saya terkejut sebab selepas satu program tu
langsung tak ada orang yang komen tentang pengacaraan saya. I don’t know if I
did well or bad. Saya baru tahu yang komentar dan respon daripada orang lain
sebenarnya banyak memberikan impak kepada kita.
Saya tidaklah bercita-cita tinggi dalam bidang pengacaraan
ini. Sebabnya saya masih juga tidak suka menjadi tumpuan orang ramai. Tapi
kalau ada orang yang meminta saya mengacarakan program atau majlis formal,
jaranglah saya menolaknya kecuali tak ada teks. Saya fikir dua tiga kali
jugalah kalau kena buat teks sebab selalunya saya malas. Eheh.
Agak susah untuk seorang introvert mencuba pelbagai bidang
yang memerlukan seorang extrovert. The struggle is real. Hingga akhirnya
terpaksa menjadi seorang bitrovert. Boleh rujuk artikel saya tentang bitrovert
di SINI. Pesan saya, apa pun kita lakukan, jangan berhenti berharap dan terus
percaya yang semuanya ada hikmah tersendiri. Kalau masih ragu-ragu untuk mula
mencuba sesuatu yang baru, sampai bila kita akan bersedia?
Rasanya sampai di sini sahaja entry saya kali ini. Kalau
ikutkan, banyak lagi pengalaman yang hendak dikongsi tapi cerita panjang
berjela pun belum tentu ada yang nak baca. Saya sangat menghargai mereka yang
sanggup membaca blog Nafas Baru. Kalau ada sebarang komentar, boleh tinggalkan
di ruangan komen ya! Terima kasih. Have a nice day.
No comments:
Post a Comment