Monday, 27 December 2010

Cerpen: Gelap

Sarah menekup mulutnya dengan kedua-dua belah tangannya, menguap. Dia terpisat-pisat. Aida menghampirinya dengan wajah yang ceria beserta senyuman.
“Sarah, kau tidak keluar rehat?”
“Malas.”
“Boleh aku tanya?”
“Em.”
“Rambut kau memang warna coklat asli atau diwarnakan?”
Sarah cuma menjawab dengan menjungkit kedua-dua bahunya. Dia memang malas diajak berbicara, terutamanya apabila disoal tentang rambutnya. Sarah Safina. Gadis berwajah putih melepak persis keturunan orang British, tetapi darahnya tidak ada kena-mengena dengan British setahunya. Tubuhnya sederhana tinggi dan wajahnya cukup menyenangkan sesiapa yang melihat, cuma jarang sekali ada senyuman yang terukir di situ.
Aida melangkah pergi dari situ. Kini tinggal Sarah bersendirian di dalam kelas, tatkala pelajar-pelajar lain sedang enak menjamu selera atau bercanda dan bermain di padang. Kini tinggal Sarah bersendirian tanpa teman, hanyut dalam kegelapan.

***
“Mama, bukan Sarah yang buat!” Sarah merayu semahu-mahunya, namun jeritannya tidak diambil peduli sama sekali oleh mamanya. Sarah yang terduduk longlai mencapai kedua-dua kaki mamanya dan memaut erat mengharapkan simpati.
“Dasar anak tidak mengenang budi! Aku didik kau untuk belajar, bukannya mencuri!”
“Mama, bukan Sarah yang buat! Bukan Sarah yang curi!”
Tangan mamanya hinggap di pipinya. Perit. Sakit. Sarah memegang pipi kanannya, sungguh tidak menduga tindakan mama.
“Sarah Safina, setelah tiga belas tahun aku besarkan kau, begini caranya kau balas aku? Kau curi rantai emas aku?”
“Mama, Sarah tidak bersalah!” Kaki wanita empat puluhan itu dipeluk semakin kemas. Mama menarik dan menendang Sarah sehingga tersungkur. Kemarahannya sudah tidak tertanggung lagi. Mama terus keluar rumah dengan wajah yang marah. Sarah yang tidak berdaya itu bangun perlahan-lahan mengejar langkah mama.
“Mama …”
Mama memang marah sehingga tidak peduli lagi orang yang lalu-lalang di sekitarnya, termasuk juga kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan. Mama tidak menoleh kiri dan kanan sebelum melintas. Sarah memandang tidak percaya, lantas menjerit memanggil mamanya. Wanita itu menoleh sedikit dan sangat terkejut kerana ada sebuah lori besar menghampiri. Dekat. Semakin mendekat.
Waktu berlalu begitu kencang sekali. Mama terperosok ke bawah lori dan dilanggar lari. Air mata Sarah Safina sudah tidak tertanggung lagi. Dia menangis. Menangis dan terus menangis.
“Tuhan … berdosakah aku? Aku derhaka.” Kata-kata itu yang diungkapkan Sarah. Kata-kata itu juga yang sering dipegangnya sehingga kini. “Aku berdosa.”

***
“Assalamualaikum, Sarah.” Afifah mendekatkan tubuhnya pada gadis itu.
“Em.”
“Kenapa tidak jawab salam? Berdosa, tahu?”
“Berdosa?”
“Aku mendoakan kesejahteraan kau, kau doakan kesejahteraan aku.”
“Kau paksa aku jawab salam, ertinya kau tidak ikhlas?” Afifah rasa terperangkap.
“Aku tidak memaksa kau, tetapi jawab salam memang hukumnya wajib.”
Sarah terus mencuka.
“Sarah, kau memang begini ya?” Sarah memandang Afifah sambil mengangkat keningnya, meminta penjelasan.
“Pesimis.”
“Em.”
“Sarah, kalau kau ada masalah kau boleh ceritakan pada kami,” Aida turut menghampiri.
“Em.”
“Masa lalu?” Aida menebak. Sarah membesarkan sedikit mata, tanda terperanjat. “Ada sesuatu yang buat kau begini.”
Sarah memandang lantai, namun lantai tidak akan membantunya. Dia memandang atas. Adakah yang di atas sana mahu membantunya? Dia kan berdosa.
“Aku berdosa.” Sarah mulai mengalah, menyuarakan jua bisikan-bisikan hatinya. Aida dan Afifah saling berpandangan, lantas merenung mata biru di hadapan mereka itu.
“Aku derhaka pada mama, aku tidak layak mendapat bahagia.”
“Derhaka?” Afifah mengerut kening.
“Aku tidak sempat minta maaf pada dia. Walaupun aku tidak curi rantai emas itu, aku memang derhaka.”
Akhirnya Sarah menceritakan peristiwa tahun lepas yang telah menggelapkan hidupnya. Peristiwa yang menyebabkannya kecewa dan sentiasa berputus asa.
“Aku berdosa dengan mama dan Tuhan di atas. Sebab itu Tuhan tidak sayangkan aku.”
“Sarah, apa yang kau merepek ini?” Afifah menyoal, agak pelik dengan pernyataan itu.
“Sarah …” Aida menyentuh lembut bahu rakannya itu sambil terus memandangnya. Jelas terpancar riak kekesalan pada wajah itu.
“Allah sayangkan kau.”
“Merepek.”
“Peristiwa itu … tanda Dia sayangkan kau. Tanda Dia uji kau.”
“Kenapa aku? Berjuta-juta lagi manusia di Malaysia, kenapa Tuhan pilih aku? Pilihlah orang lain.”
Kedengaran tawa kecil Aida.
“Sarah, setiap orang akan ditimpa ujian masing-masing. Nikmat dan musibah juga merupakan ujian.”
“Betul itu, Sarah.” Afifah mengiakan.
“Huh, merepek.”
“Allah itu Maha Penyayang. Dia menguji keimanan dan ketakwaan hambaNya melalui ujian dan dugaan kehidupan. Kalau kau menyerah dalam ujian ini, selama-lamanya kau akan hidup dalam kehampaan.”
“Aku hidup pun tidak berguna lagi. Lebih baik aku mati.”
“Erm … kau tahu syurga dan neraka?”
“Mestilah aku tahu. Walaupun aku tidak memakai tudung seperti kau dan Ifah, aku tetap tahu.”
“Kau pilih yang mana?”
“Maksud kau?”
“Jawablah.”
“Syurga barangkali. Aku selalu dengar di syurga nanti kita akan disediakan semua yang kita mahukan. Ada sungai, ada pokok, ada taman …”
Aida tersenyum.
“Hendak masuk syurga ada syarat.”
“Huh, syarat?”
“Syaratnya kau kena jadi hamba Allah yang beriman.”
“Kau beriman?” Soalan itu menjebak Aida, namun cuba diatasinya sebaik mungkin.
“Iman itu ada naik dan ada turunnya, dan bergantung pada Allah untuk menilai keimanan seseorang itu.”
“Huh, kalau begitu mana kau tahu kau akan masuk syurga?”
“Aku tidak kata yang aku akan masuk syurga, tetapi kita kena ada DUIT kalau hendak masuk.”
“Masuk syurga pun kena guna duit? Gila!”
“Maksud aku Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal.”
“Aida, apa benda yang kamu merepek ini? Sudahlah!” Sarah membentak lantas berlalu pergi. Aida dan Afifah berpandangan sesama sendiri.

***
“Hei, nak ke mana?” satu suara dari sisi membantutkan perjalanan Sarah. Gadis berambut panjang itu menoleh. Saerah. Kakaknya yang satu itu memang selalu menyakitkan hatinya.
“Duit?” soalnya lagi.
“Kakak pun sama seperti Aida, merepek!”
“Hei budak, jangan kurang ajar ya dengan aku!” Saerah menghampiri Sarah dan memegang dagunya kuat. “Mana duit?”
“Kak, Sarah tidak faham sebenarnya.”
Satu tamparan hinggap di pipi kanannya. Sangat sakit. Warisan mama barangkali. Sarah mengusap pipinya perlahan.
“Mana nak cari doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal?”
Saerah menyentuh dahi Sarah. ‘Sudah gila agaknya adik aku ini’ getus hati kecilnya. Sarah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Semakin tidak mengerti.
“Kakak, kenapa mama meninggal?”
“Sarah, kau sudah gila atau sengaja berpura-pura gila?”
“Siapa yang curi rantai emas mama?”
“Glurp.” Saerah menelan liur. ‘Dia sudah tahu?’
“Kenapa hidup mesti ada ujian?”
“Hei Sarah! Jangan cuba menjerat aku begini. Hendak tahu jawapannya, CARILAH SENDIRI! Ini semua TAKDIR. Masa itu tidak boleh berpatah kembali. AKU CURI RANTAI ITU pun bukannya boleh dapat kembali. Sudah dijual.” Selamba sahaja Saerah bersuara. Dia cuba menutup kesalahan yang telah dibongkarnya dengan sendiri.
“Huh?” Semua persoalannya telah terjawab.

***
“Aida, aku sudah dapat jawapannya, walaupun agak mengelirukan aku!”
“Maksud kau?”
“Aku tidak tahu bagaimana aku berfikir tetapi aku dapat menterjemahkan apa yang hendak kau sampaikan.”
“Kau ajar aku ya bagaimana hendak jadi orang yang beriman dan mencari DUIT.”
“Mula-mula kau kenalah pakai tudung!”
Aida tersenyum. Lengannya merangkul bahu Sarah sambil mengajak gadis itu berjalan pergi.

Sarah Safina. Seorang gadis bermata biru, berambut panjang berwarna coklat, berwajah cerah bak Puteri Salju yang aneh. Gadis ini unik. Mungkin itu sebabnya Allah pilih dia untuk menerima ujianNya. Kini, kegelapan yang melanda hidupnya sudah pergi. Dia mendapat hidayah daripada Allah, meskipun aku sendiri tidak pasti bagaimana. Aku juga kadang-kadang keliru dengan dia, tetapi aku yakin dia berpotensi untuk menjadi pendakwah suatu hari nanti.
-Aida

No comments:

Post a Comment