Wednesday, 8 December 2010

Cerpen: Kerana Anisah

Bulan yang dipagari bintang-bintang di langit malam semakin terang memancarkan sinarnya. Aku berteleku di jendela kamar, merenung keindahan ciptaan Tuhan. Bunyi cengkerik yang kuat sesekali mendamaikan pendengaranku. Ah, alangkah indahnya ciptaan Allah.

Namun kedamaianku terhenti tatkala mendengar tangisan adik kecilku, Anisah yang berusia lima tahun menangis di atas katil. Aku segera mendapatkannya. Aneh sekali. Selalunya malam-malam begini budak itu telah tidur dengan nyenyak sekali. Apa sebenarnya yang mengganggu tidurnya?

Aku mendodoikan adikku sehingga dia benar-benar terlelap. Masya Allah, comel sekali wajahnya ketika sedang tidur. Wajahnya sedikit mirip dengan ibu. Dia memiliki sepasang mata yang cantik persis ibu.

Tidak lama kemudian hidungku menangkap bau sesuatu yang kurang menyenangkan. Aku jadi terbatuk-batuk dibuatnya. Ah, bau asap! Siapa yang membakar sampah malam-malam buta begini? Bau asap tersebut semakin lama semakin kuat. Sepertinya datang dari dalam rumah. Aku perlahan-lahan mengatur langkah membuka pintu bilik untuk keluar.

“Prang!” Zink rumahku jatuh benar-benar di hadapanku. Astaghfirullah! Rumahku terbakar! Aku segera mendapatkan Anisah di atas katil, tanpa mempedulikan lagi kondisi rumahku itu. Aku kemudiannya mencapai sehelai tudung biru yang telah disangkut berhampiran almariku.

“Rizal! Shamsiah!” Nama orang tuaku dipanggil berulang kali dari luar. Aku sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi, lantas aku memutuskan untuk keluar melalui tingkap. Anisah berada dalam pelukanku, kemas. Aku tidak akan melepaskannya. Alhamdulillah tingkap rumahku bukan daripada jenis besi, jadi senang sekali untuk aku melepaskan diri.

Jiran-jiranku semuanya berkumpul di luar rumah. Api semakin marak. Aku sempat menangkap kelibat Pak Cik Man mendail telefon bimbitnya, pasti sekali menghubungi pihak berkuasa. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Ibu? Ayah? Adakah mereka masih di dalam? Mataku liar mencari kelibat ibu dan ayah di situ, tetapi tidak ada.

“Ibu! Ayah!” Aku menjerit semahu-mahunya. Aku ingin masuk ke dalam kembali untuk menyelamatkan mereka, tetapi dihalang oleh jiran tetangga. Anisah masih berada erat dalam pelukanku. Anak kecil itu masih tertidur lena, tidak menyedari orang tuanya sedang berada di dalam bahaya.

“IBU! AYAAAHHHH!”

Aku cuma mampu memerhatikan rumahku yang sedang hangus dijilat api. Sebuah insiden yang meragut nyawa ibu bapaku. Dan pada malam itu, terjadilah sebuah malam yang sangat tragis padaku.

***
“Nisa! Turun cepat!”

“Ya, sekejap!” Tidak lama kemudian seorang gadis manis berusia sebelas tahun mengatur langkahnya perlahan-lahan menuruni tangga.

“Cepat sarapan. Hari ini kan hari pertama ke sekolah. Nanti lambat pula.” Aku membetulkan tudung adikku yang selekeh. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana adikku telah membesar dengan sempurna dan tetap comel seperti dahulu.

“Ala, Kak Rina ni. Baru pukul enam setengah. Nisa kena masuk sekolah pukul tujuh,” suara comel itu memberitahu. Aku tersenyum lantas menuangkan secawan susu untuknya.

“Kak Rina, boleh Nisa tanya satu soalan?” Aku mengangguk.

“Ibu dan ayah pergi mana? Kenapa Nisa lama tak jumpa ibu dan ayah?” Aku sudah menduga soalan ini akan keluar juga akhirnya dari mulut Anisah. Aku sudah tidak mampu mencari alasan lagi. Anisah sudah besar, dia pasti akan memahami.

“Nisa sayang, ibu dan ayah sebenarnya … dah lama meninggal dunia …” ujarku dengan suara yang tersekat-sekat.

Anisah kehairanan. Tidak lama kemudian aku dapat menangkap titisan jernih yang mengalir dari tubir mata adikku itu. Dia kelihatan sangat kecewa, kecewa denganku barangkali.

“Me … meninggal?” Aku mengangguk seraya memeluk tubuh kecil itu. Aku mencium dahi Anisah lembut.

“Kenapa Kak Rina tak beritahu Nisa sebelum ni? Nisa berhak tahu, kak!”

“Sayang, Kak Rina bukannya sembunyikan perkara ni daripada Nisa, cuma dulu Nisa masih kecil dan tak akan faham,” aku berterus-terang, mengharapkan pengertiannya.

“Sampai hati Kak Rina!” Anisah terus keluar dari rumah dan berjalan ke sekolahnya. Aku menjadi serba salah lantas membuntutinya.

***

Berita jam lapan sedang ke udara. Aku tidak berani sama sekali mendekati lelaki yang sedang asyik menumpukan perhatiannya ke skrin kaca itu. Sejujurnya aku sangat ingin menonton berita, aku ingin tahu khabar rakyat Malaysia di luar sana, tetapi lelaki itu telah membunuh hasratku.

Pak San. Nama sebenarnya Hassan. Dia bapa saudaraku sebelah ibu, dan dia juga yang menanggung aku dan Anisah selama hampir enam tahun ini. Cuma mimpi ngeriku yang aku takuti selama ini telah bangkit. Dulu Pak San kaki botol, pemabuk. Tidak lama kemudian Pak San sudah menghentikan tabiatnya itu. Dia sebenarnya seorang yang baik sekali.

Selepas kematian ibu, dia memberikan kami makan minum, pakaian yang cukup. Walaupun rumahnya kecil dan tidak sebesar rumahku dulu aku tetap bersyukur kerana dikurniakan seorang bapa saudara sepertinya, yang kuanggap seperti ayahku juga. Namun tiga tahun yang lepas, sewaktu aku berusia tujuh belas tahun, isterinya meninggal dunia. Semenjak itu Pak San kecewa dan mengulangi kembali tabiat buruknya itu.

Aku kesal. Hanya kerana sebuah kehilangan, dia mengatakan dirinya tidak berguna lagi. Pak San juga malas bekerja sekarang, duitnya selalu dihabiskan untuk membeli air kencing syaitan.

Alhamdulillah aku mendapat biasiswa untuk universitiku. Aku juga mengambil upah menjahit untuk membantu persekolahan Anisah. Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kuliah untuk bekerja.

Mataku cuma menatap Pak San dari bilik. Jika dia mabuk pelbagai perkara yang boleh sahaja dilakukannya. Lazimnya Pak San akan mengamuk atau membentak tentang duit atau arwah isterinya. Dia mengerutkan dahinya dan sesekali mendengus. Aku tidak mampu menangkap sari berita itu.

“AAAAAAAHHHHHHHH!” Pak San membentak sekeras-kerasnya. Botol berjenama Tiger digenggam erat di tangannya. Entah dari mana dia dapat duit untuk membelinya aku tidak tahu. Alat kawalan jauh ditekan dan televisyen padam serta merta. Aku segera mengunci pintu bilik.

Anisah sedang membuat ulang kaji di satu sudut ruangan bilik. Mungkin juga masih marah padaku tentang kejadian tempoh hari. Ah, biarkanlah. Lambat laun juga hatinya akan lembut semula. Aku dapat mendengar suara Pak San menjerit-jerit di luar, dan aku pasti Anisah juga begitu. Namun ini sudah menjadi kebiasaan bagi kami, dan aku terpaksa akur. Walaupun hatiku kadang-kadang membenci Pak San, aku tahu aku salah. Dia bapa saudaraku.

***
“ARINA!” Namaku dipanggil dari dapur. Aku segera meninggalkan buku-buku falsafahku dan menuju ke arah dapur. Pak San sedang mengambil sebotol arak dari peti sejuk. Aku terkejut. Dia menyimpan arak di dalam peti sejuk?

“Pergi rumah Tuan Haji minta beras!” bentaknya kasar.

“Pak San, masuk kali ni, sudah banyak kali kita minta beras pada Tuan Haji,” aku bersuara minta pengertian. Aku jadi segan disuruh ke rumah Tuan Haji untuk kesekian kalinya.

“Pergi rumah Wak Saga.”

“Wak Saga? Rumahnya kan jauh di pedalaman? Rina dah janji nak jemput Nisa pulang dan bawa dia ziarah kubur ibu dan ayah.”

“Aku kata pergi, pergilah! Kau tercegat di sini lagi buat apa?” Tubuhku jadi bergetar. Aku harus ikut arahannya, nanti aku dikatakan anak tidak kenang budi. Tetapi Anisah bagaimana? Aku sudah berjanji. Kata itu kota.

“Pergilah cepat! Lembab betul!” Pak San menolakku keluar dari rumah.

“Pak San memang ego. Asyik fikirkan diri sendiri sahaja. Yang dah pergi tu biarkanlah pergi, kita tak akan mampu mengundurkan masa kembali. Ibu dan Mak Lah pun mesti kecewa tengok perangai Pak San sekarang ni! Allah itu Maha Penyayang, belum terlambat untuk Pak San bertaubat,” aku sendiri tidak tahu bagaimana kata-kata itu boleh keluar dari mulutku. Aku menangis sambil mengatur langkah ke rumah Wak Saga.

Setelah mendapatkan beras, aku terus pulang ke rumah. Aku mendapati Pak San dan Anisah tidak ada di rumah. Pak San mungkin sekali keluar dengan rakan-rakannya, tetapi Anisah? Aku jadi cemas. Anisah tahu jalan pulang ke rumah, tetapi dia tidak ada! Aku memeriksa bilik dan menemui sekeping nota. Tulisannya tidak sama besar. Itu tulisan Anisah, aku pasti. Aku membacanya.

Kak Rina,
Nisa tak suka Kak Rina. Kak Rina tipu Nisa. Nisa nak pergi sendiri ke kubur ibu dan ayah. Jangan cari Nisa.

Masya Allah, Anisah! Mana kau hendak cari kubur ibu dan ayah? Pasti kau tersesat. Saat itu, hati aku dilanda resah yang berbaur gelisah. Aku jadi panik. Pelbagai kemungkinan datang bertandang di hatiku. Anak itu jalan sendirian di luar tanpa teman. Ah Nisa, kenapa kau buat Kak Rina begini?

Aku segera menuju ke kubur ibu dan ayah yang terletak agak jauh dari rumah, tetapi Anisah tiada di kawasan perkuburan islam itu. Aku mencari di seluruh kawasan, hingga aku buntu di mana lagi harus mencarinya.

Awan mula menjatuhkan bebanan di dalamnya yang ditanggung sekian lama. Hujan turun dengan lebat sekali. Di mana Anisah? Oh, anak itu pasti sedang kedinginan sekali. Aku terus mencari Anisah sambil bertarung dengan hujan yang lebat. Air mataku turut mengiringi hujan.

“NISAAAAAA!”

Hujan yang turun sedang mendera diriku. Anisah sedang mendera kakaknya. Ya Allah, kuatkanlah hatiku menerima ujian-Mu ini. Aku menangis dan terus menangis hingga akhirnya aku tersungkur jatuh. Aku memeluk kedua-dua lututku erat. Oh Anisah, di mana kau sekarang? Maafkan Kak Rina, sayang. Pulanglah, Kak Rina merinduimu!

***
Aku membuka mataku. Aku memandang ke sebelah. Kosong. Nisa, mana Nisa? Pulanglah sayang, maafkan Kak Rina. Kepalaku terasa berat sekali. Ah! Sepertinya aku berada di dalam bilik. Siapa yang membawaku ke sini?

Bunyi ketukan di pintu kedengaran. Mataku samar-samar menangkap kelibat seorang lelaki dan anak kecil. Nisa, itu Nisa? Aku cuba bangun.

“Kak Rina, rehat dulu.” Aku kenal suara itu, memang benar suara Anisah. Aku memeluk erat tubuh itu. Anisah berada dalam pelukanku, kemas. Aku tidak akan melepaskannya.

“Kak Rina sayangkan Nisa, jangan tinggalkan Kak Rina lagi, sayang!”

“Kak Rina, maafkan Nisa sebab buat Kak Rina sakit,” suara itu teresak-esak. Aku menyeka air mata yang mula berguguran dari pipi Anisah.

“Nisa pergi mana tadi, sayang? Risau Kak Rina.”

“Nisa nak pergi kubur ibu dan ayah, tapi Nisa tersesat. Pak San jumpa Nisa, dia bawa Nisa balik. Kak Rina, Pak San dah tak suka marah-marah seperti dulu. Pak San dah lain,” ada sinar kegembiraan pada wajah comel itu. Aku memerhatikan Pak San yang sedang berdiri di belakang Anisah.

“Rina, kau betul. Mak Lah kau sudah lama pergi. Mesti dia tak nak tengok Pak San macam ni, kan?”

Aku tersenyum. Ternyata hati Pak Man terketuk dengan kata-kataku tadi. Sekiranya Allah hendak menyampaikan hidayah kepada seseorang itu, Dia akan mampu memberikannya bila-bila masa sahaja. Jadi maka jadilah.

“Rina, tolong Pak San ya?” Aku mengangguk. Air mata kelelakiannya jatuh bergenang jua dari kelopak matanya. Pak San memeluk aku dan Anisah.

“Kak Rina, maafkan Nisa. Nisa sayang Kak Rina.”

“Tak sayang. Nisa tak salah. Kak Rina sanggup buat apa sahaja untuk Nisa.”

Ya Allah, aku bahagia. Terima kasih Ya Allah. Aku bersyukur pada-Mu.

~I know your eyes in the morning sun
I feel you touch me in the pouring rain
And the moment that you wander far from me
I wanna feel you in my arms again

Then you come to me on a summer breeze
Keep me warm in your love
Then you softly leave
And it's me you need to show
How deep is your love

How deep is your love, how deep is your love
I really mean to learn
Cause we're living in a world of fools
Breaking us down
When they all should let us be
We belong to you and me

I believe in you
You know the door to my very soul
You're the light in my deepest darkest hour
You're my saviour when I fall
And you may not think I care for you
When you know down inside that I really do
And it's me you need to show
How deep is your love~

2 comments:

  1. buku falsafah? hehe.

    ana minat falsafah, nak research n bljr flsfh nnti bila ada masa lapang :)

    ReplyDelete
  2. @ariffah9
    bagus tue.
    nnt bleh ajar ana lak.
    hehe
    =)

    ReplyDelete