Monday, 30 January 2012

Diari#30 : Selamat Tinggal SMK Sultan Badlishah

Semalam, 30 Janurai 2012, akhirnya menjadi noktah terakhir saya bergelar pelajar SMK Sultan Badlishah. Saya telah mendapat tawaran ke SMS Kuala Selangor (KUSESS) di Selangor. KUSESS merupakan sekolah berprestasi tinggi, namun tetap sahaja tidak dapat menandingi SMKSB bagi saya. SMKSB juga merupakan sekolah kluster kecemerlangan. Walau apa pun, saya telah menetapkan hati untuk bertukar ke KUSESS bagi mencari pengalaman dan pengajaran baru. 


SMK Sultan Badlishah 

Memang sedih kerana meninggalkan kehidupan di sana, rakan-rakan, para guru serta warga sekolah. Saya telah bersekolah selama tiga tahun dan telah sebati di Badlishah. Pengalaman manis, pahit, semuanya ada. Sahabat-sahabat baik, adik-adik junior, kakak-kakak senior, insyaAllah saya tak akan lupakan. Mereka banyak membantu serta menceriakan kehidupan saya sepanjang bergelar pelajar Badlishah.

Paling sedih, terpaksa tinggalkan sahabat-sahabat karib. Saya doakan agar semuanya berbahagia dan berjaya dalam pelajaran, insyaAllah. Straight As SPM 2013! Berusaha ya semua. Saya juga akan berusaha semaksima mungkin, insyaAllah.

Persatuan Bahasa Melayu, unit penulisan kreatif, saya minta maaf kerana terpaksa mengecewakan Cikgu Zaiton dan Cikgu Fatimah serta yang lain-lain untuk menjadi pelapis kepada sekolah. Mungkin kalian terkejut dengan berita mendadak ini, maka saya memohon ribuan ampun dan maaf. Saya pasti, ada yang akan menggantikan posisi saya, malah lebih baik daripada saya.

Persatuan Bulan Sabit Merah, maaf juga. Kak Fatimah, semoga senang bekerja bersama Khadijah. 

Warga Pusat Sumber Al-Hikmah, sepuluh jari disusun kerana meninggalkan tugasan-tugasan begitu sahaja. Namun, saya telah menamakan orang lain sebagai pengganti kepada jawatan saya. Saya tahu dia mampu melakukan tugasan yang lebih baik daripada saya. InsyaAllah.

Moga, pengganti-pengganti saya dapat melaksanakan tugasan dengan berhemah.

SMS Kuala Selangor

Sekolah berasrama penuh. Terus-terang saya katakan memang sebelum ini saya tidak pernah tinggal di asrama. Tetapi, saya harap warga di sana boleh menerima kehadiran saya dan membantu saya dari semua aspek. Walaupun tidak ada yang dapat menggantikan sahabat Badlishah, namun harapnya sahabat-sahabat baru saya baik-baik belaka. Semoga tidak ada kes buli yang dilaporkan di sana.

Kerja Penulisan

Dukacita saya maklumkan, saya terpaksa menangguhkan kerja-kerja penulisan saya selama dua tahun. Memang susah saya boleh pulang ke Kulim kerana jarak perjalanan yang begitu jauh. Saya benar-benar minta maaf. Mohon, maaf saya diterima. 

Buat Mereka Yang Mengenali Saya

InsyaAllah, jika ada jodoh kita pasti bertemu lagi. Terima kasih kepada yang memberi hadiah buat saya. Terima kasih buat rakan-rakan yang memberikan ucapan dalam video ini.





Friday, 27 January 2012

Cerpen: Mastura

Cerpen ini adalah cerpen terakhir sebelum saya berangkat pergi. Pergi mana? Tunggu dalam entry seterusnya, insyaAllah. Kepada mereka yang tertanya-tanya cerpen baru daripada saya, terimalah.. Mastura.


"Doktor, sebenarnya apa penyakit yang menimpa kakak saya?" Syahirah mengerutkan dahinya. Hatinya dilanda seribu kekacauan. Gundah, khuatir, sedih, bimbang. Semuanya ada. Doktor wanita yang memakai kot putih itu ditenungnya dalam-dalam.
"Penyakit macam ni, memang parah. Sebab itu kakak awak asyik muntah darah akhir-akhir ini. Dia menghidap kanser paru-paru tahap ketiga," doktor itu seperti mencari-cari sesuatu maklumat di dalam dokumennya.
"Kanser??" Syahirah yang tadinya berdiri terus terduduk di atas lantai. Tak mungkin. Tak mungkin!

***

Awan pagi berambal-ambalan di langit. Burung-burung berkicauan mesra sambil terbang dengan gembira. Matahari menyimbah cahaya ke seluruh pelusuk kawasan itu. Angin yang nyaman menolak lembut pohon-pohon di sekitar kawasan perumahan. Cuaca begitu indah.
Syahirah menuju ke meja makan. Dilihatnya sarapan yang enak sudah sedia terhidang. Nasi goreng cendawan kegemarannya begitu menarik perhatian.
"Adik, dah siap? Makanlah dulu. Kak Mas dah sediakan sarapan kegemaran adik," seorang wanita yang berusia dua puluh enam tahun muncul dari dapur sambil mengelap tangannya pada tuala kecil. Senyuman manis dilemparkan.
Syahirah tanpa membuang masa terus menyenduk nasi ke dalam pinggan. "Kak Mas, jom makan."
"Kak Mas dah makan tadi. Sekarang nak kena pergi Baitul Mahabbah. Ada kanak-kanak yang baru sahaja kehilangan orang tuanya dalam kebakaran. Hari ni dia mendaftar."
"Dah tak ada ahli keluarga lain ke yang nak jaga dia?"
Mastura menyarungkan tudungnya, "Ada, tetapi semuanya tak nak jaga. Katanya masing-masing sibuk. Orang zaman sekarang ni dik, asyik fikirkan kepentingan diri sendiri. Sibuk kejar harta dunia tapi tak nak kumpul saham akhirat."
Sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya, Syahirah memikirkan kata-kata kakaknya itu. "Kak Mas, boleh adik tanya kenapa kakak suka luangkan masa di Baitul Mahabbah?"
Mastura senyum. Indah. "Adik, Allah menyeru kita supaya berbuat baik kepada anak-anak yatim. Mereka pun perlukan kasih sayang seperti manusia lain. Kakak harap, kakak boleh kongsikan kasih sayang dengan mereka. InsyaAllah, boleh kumpul saham ke akhirat nanti," wanita itu mengakhiri perbualannya dengan ucapan salam sebelum melangkah keluar rumah.
Syahirah menghantar Mastura dengan pandangannya.

***

Baitul Mahabbah. Sebuah rumah perlindungan anak-anak yatim, juga tempat Mastura meluangkan kebanyakan masanya dengan mengurus kebajikan kanak-kanak serta remaja yang ditempatkan di situ. Baginya, Baitul Mahabbah adalah syurga dunianya.
"Mastura, awal sampai hari ni?" Ummi Kalthom, seorang wanita berjubah dengan kedutan di wajahnya menghampiri. Wanita separuh abad itu berjalan perlahan sambil terbongkok-bongkok sedikit dan tonkat di tangannya. Meskipun demikian, wajahnya tetap diserikan dengan senyuman.
"Ummi!" Mastura mendapatkan wanita itu seraya mengucup tangannya. Ummi merupakan pengurus Baitul Mahabbah selama lebih dua puluh tahun. "Semalam, Ummi kata ada budak baru nak mendaftar. Sebab itulah Mas bergegas ke sini. Siapa yang nak hantar dia?"
"Ummi pun kurang pasti. Kesian budak tu. Semua ahli keluarganya tak nak jaga. Sebab itulah, kita kena pastikan dia bahagia di sini dengan kawan-kawan yang lain."
"InsyaAllah, ummi. Dengan izin Allah," perbualan itu akhirnya terganggu dengan ucapan salam serta bunyi ketukan di pintu. Mastura dan Ummi Kalthom mencari empunya suara tersebut. Figura seorang lelaki dan anak kecil berjaya ditangkap oleh mata masing-masing.
Ummi berjalan perlahan-lahan ke muka pintu sambil dibantu Mastura. Tangan tuanya mencubit sedikit pipi kanak-kanak perempuan itu, namun anak itu kelihatan ketakutan dan bersembunyi di belakang pemuda tadi.
"Maafkan saya, ummi. Najwa ini anak kepada arwah sepupu saya yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya. Alhamdulillah, pihak bomba sempat selamatkan Najwa sebelum sebarang perkara buruk terjadi padanya. Keluarga sepupu saya tak nak terima Najwa sebab masing-masing sibuk." Ummi Kalthom mengangguk.
Pemuda itu meneruskan bicaranya, "Saya memang teringin nak jaga Najwa, tapi keluarga saya larang. Ayah tak mahu saya terbeban dengan anak buah saya ni. Saya bekerja pun gaji cukup-cukup makan. Tapi ummi, saya janji, insyaAllah kalau saya berjaya kumpul rezeki lebih, saya pasti akan ambil Najwa kembali dan buktikan kata-kata ayah tu salah."
Ummi masih mengangguk seraya mempersilakannya masuk, tetapi lelaki itu menolak. "Beginilah nak, niat kamu memang murni, dan ummi faham keadaan kamu. Tapi, selama dua puluh tahun ummi uruskan rumah kebajikan ni, belum pernah ada orang yang tuntut kembali ahli keluarga mereka. Rata-rata yang keluar dari Baitul Mahabbah ni pun sebab dijadikan anak angkat. Ummi harap, kamu boleh kotakan janji kamu."
Kini, giliran pemuda itu pula yang mengangguk. "InsyaAllah, ummi. Cuma saya ada satu permintaan. Boleh tak saya melawat Najwa selepas ini?"
Ummi Kalthom sedikit tertawa sehingga menampakkan giginya. "Sudah tentu. Ummi bukannya kejam nak putuskan tali silaturrahim kamu dan Najwa."
Pemuda itu kemudiannya separuh terduduk di hadapan anak buahnya. Dia mengelus lembut pipi anak itu dan berbisik sesuatu kepadanya. Mastura meneka, dia pasti mengucapkan selamat tinggal dan menyuruhnya jaga diri.
"Baiklah ummi, saya pergi dulu," ujarnya sambil berdiri semula. Sempat juga dia memandang Mastura dan mengangguk kecil tanda minta diri. Mastura menundukkan wajahnya.
Setelah pemuda itu kelihatan menjauh dari pandangan, Mastura mendapatkan Najwa yang berusia kira-kira tujuh tahun itu. "Najwa, jangan takut ya. Ada ramai kawan-kawan di sini. Jom, Cik Mas tunjukkan bilik Najwa," ujarnya sambil memegang lembut tangan Najwa. Najwa kelihatan takut tetapi dia tidak membantah. Anak kecil itu membuntuti langkah Mastura.

Tiga minggu berlalu. Najwa kelihatan semakin rapat dengan Mastura. Ke mana sahaja Mastura pergi, pasti anak kecil itu akan membuntuti. Bila Mastura pulang, dia akan merengek manja dan menahan Mastura supaya tidak pulang. Kadang-kadang Mastura ikutkan sahaja kemahuan Najwa. Najwa, adalah anugerah Allah buatnya.
"Kak Mas, Kak Mas?" sapaan itu terus membunuh lamunan Mastura.
"Oh adik. Maaf, kakak mengelamun tadi. Adik cakap apa tadi?" Mastura sempat beristighfar kecil. Jauh benar dia mengelamun teringatkan Najwa di Baitul Mahabbah.
"Tak, adik tanya, jadi tak kakak pergi majlis konvokesyen adik nanti?" Syahirah bertanya penuh minat.
"Jadi, insyaAllah."
"Jauhnya Kak Mas mengelamun. Dah ada buah hati ya? Cepat mengaku!" suka benar Syahirah sekiranya dapat mengusik kakaknya.
"Memang, ada."
"Hah, biar betul?" Bukan main terkejut lagi Syahirah dibuatnya.
Mastura tersenyum penuh mesra. "Tu ha, buah hati di Baitul Mahabbah. Najwa. Rindu pula Kak Mas pada Najwa walaupun baru tiga minggu jaga dia."
Syahirah mencubit hidung Mastura. "Apalah. Adik tanya betul-betul ni."
"Kakak pun jawab betul-betul apa," Mastura tertawa kecil. "Adik, kakak nak pergi Baitul Mahabbah dulu ya. Adik tu, belajar elok-elok. Kak Mas dah tak sabar nak tengok adik pakai jubah konvokesyen tu nanti." Syahirah mengangguk seraya menghantar kakaknya keluar.
Perjalanan ke Baitul Mahabbah mengambil masa selama hampir empat puluh lima minit. Terdapat lebih tiga puluh anak-anak yatim ditempatkan di situ yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja. Lazimnya, setiap kali ke sana, Mastura akan menyiapkan sarapan dahulu buat penghuni Baitul Mahabbah. Namun kini rutinnya sudah bertukar. Setiap kali dia ke sana, Najwalah yang akan dicarinya terlebih dahulu.
Hari itu, Najwa meminta Mastura menemaninya bermain buaian. Dan seperti biasa, Mastura cuba untuk menuruti permintaannya, selagi tidak berlebih-lebihan. Najwa segera duduk di atas buaian dan meminta agar ditolak.
Mastura senang melihat anak kecil itu gembira. "Najwa, Cik Mas nak tanya sikit boleh?"
Najwa mengangguk berulang kali. "Najwa suka tak tempat ni? Suka tak kawan-kawan baru?"
"Suka. Afi dengan Fiza baik sangat dengan Najwa. Afi bagi Najwa main patung dia. Lepas tu.." Najwa ligat berfikir sesuatu. "...kat sini ada Cik Mas yang baik. Macam Uncle Amin."
"Uncle Amin?" Mastura memerhatikan wajah Najwa.
"Uncle Amin selalu kasi Najwa mainan. Best." Najwa kemudiannya turun dari buaian dan berlari-lari. Mastura terkejut dengan aksi anak kecil itu lantas cuba mendapatkannya. Najwa kelihatannya memeluk seorang lelaki yang baru tiba.
"Uncle Amin! Uncle Amin!"
Lelaki yang bergelar Uncle Amin itu mencubit pipi Najwa lantas menyerahkan gula-gula untuk anak kecil itu. Mastura masih berdiri kaku di situ. Najwa menarik tangan Amin dan memperkenalkannya kepada Mastura.
"Cik Mas! Ni Uncle Amin!" Amin juga terkejut dengan tindakan Najwa itu. Tetapi, dia cuba untuk bersahaja.
"Amin. Saya nak ucapkan terima kasih sebab jaga Najwa. Saya perasan awak masa mula-mula hantar Najwa hari tu."
Mastura mengangguk dan bergerak masuk ke dalam Baitul Mahabbah. Sengaja dibiarkan Najwa meluangkan masa bersama bapa saudaranya. Juga malu dengan Amin.

***

Batuk Mastura semakin menjadi-jadi. Bila Syahirah mengajaknya berjumpa doktor, dia enggan. Katanya, batuk biasa. Sudah pelbagai jenis ubat Mastura dapatkan di farmasi, namun batuknya terus berlanjutan.
"Kak Mas, kakak tak boleh macam ni terus. Kita jumpa doktor ya?" Syahirah terus memujuk kakaknya.
"Tak apalah dik. Batuk sikit saja. InsyaAllah, beberapa hari lagi hilanglah tu," Mastura tetap berdegil.
"Masalahnya, dari minggu-minggu lepas lagi Kak Mas cakap macam tu. Tapi tak baik-baik juga."
"Adik kata nak cakap sesuatu tadi?" Mastura cuba berdolak-dalih.
"Oh ya. Abang Amin dah jumpa Mak Long. Dia suruh Mak Long tengok-tengokkan Kak Mas untuk dia. Katanya, lepas dia dah kumpul duit, dia nak ambil Kak Mas sebagai isteri dia!" Syahirah berbicara separuh teruja.
Mastura kaget. Amin tidak pernah mengenalinya dengan rapat dan dia pun begitu. Kenapa dia yang dipilihnya? Sungguh tidak layak.
Mastura mendirikan solat istikharah pada malam itu. Memohon supaya Allah menunjukkan jalan terbaik untuknya.
Najwa selalu bercerita padanya tentang Amin. Amin memang seorang yang baik dan taat kepada Allah. Buktinya, dia tidak pernah bercinta dengan Mastura, tetapi bertindak sebagai lelaki sejati dengan mendekati keluarga Mastura. Amin telah menunjukkan keikhlasannya.

***

"Baik adik-adik, lepas habis makan baca apa?" soal Mastura kepada anak-anak Baitul Mahabbah. Kemudian semuanya serentak membaca doa selepas makan.
"Alhamdulillah, baik adik-adik semua ya," Mastura tersenyum. Namun dia dikejutkan dengan panggilan dari Ummi Kalthom. Mastura segera mendapatkannya.
"Ada apa ummi?" Namun pertanyaannya sudah terlebih dahulu berjawab apabila melihat wajah Syahirah di muka pintu.
"Eh, adik! Tiba-tiba saja datang ke sini. Ada apa?"
Syahirah yang selesai mencium tangan Ummi Kalthom bersuara, "Tak boleh ke adik datang melawat kakak sendiri. Ya lah, teringin juga nak perhatikan Kak Mas bekerja."
Ummi Kalthom bergerak pergi, membiarkan kedua beradik itu berbicara. Mastura menjemput Syahirah ke dalam. Dalam bicaranya, dia tetap terbatuk-batuk.
"Bukannya tak boleh, adik. Kak Mas cuma tanya saja."
"Sebenarnya, adik takut, nanti lepas Kak Mas kahwin, adik dah tak ada masa dengan Kak Mas lagi," Syahirah mengusik.
"Kenapa pula cakap macam tu?"
"Ya lah. Kakak kan dah bertunang dengan Abang Amin. Nanti dah kahwin, susahlah adik nak jumpa kakak," Syahirah tertawa.
Mastura menyambutnya sambil terbatuk-batuk. Dia menekup mulutnya. Cecair merah membasahi tangan. Darah!
"Kak Mas! Ini dah parah. Kita jumpa doktor!" Syahirah segera memberitahu Ummi Kalthom dan memandu keretanya ke hospital terdekat. Sepanjang perjalanan, Mastura tidak berhenti-henti batuk. Syahirah khuatir. Mastura dimasukkan ke wad kerana keadaannya yang kritikal dan kurang bermaya.

***

"Doktor, sebenarnya apa penyakit yang menimpa kakak saya?" Syahirah mengerutkan dahinya. Hatinya dilanda seribu kekacauan. Gundah, khuatir, sedih, bimbang. Semuanya ada. Doktor wanita yang memakai kot putih itu ditenungnya dalam-dalam.
"Penyakit macam ni, memang parah. Sebab itu kakak awak asyik muntah darah akhir-akhir ini. Dia menghidap kanser paru-paru tahap ketiga," doktor itu seperti mencari-cari sesuatu maklumat di dalam dokumennya.
"Kanser??" Syahirah yang tadinya berdiri terus terduduk di atas lantai. Tak mungkin. Tak mungkin!
"Doktor, apa yang harus dilakukan sekarang?"
"Pihak kami boleh cuba jalankan pembedahan, tetapi peluang untuk kakak awak selamat begitu tipis. Buat masa sekarang, kami sarankan untuk dia jalankan kimoterapi."
Syahirah menitiskan air matanya. Sedih. Hiba. Tidak tahu untuk berbuat apa. "Kakak.. kakak dah tahu tentang penyakitnya?" Syahirah cuba bangkit semula.
Doktor itu merenung Syahirah. "Sebenarnya, kakak awak sudah lama tahu tentang penyakitnya." Kata-kata doktor itu, menggegarkan hati Syahirah.
"Syahirah?" Amin yang baru muncul turut bertanyakan soal Mastura. Hatinya seperti disambar petir tatkala mengetahui berita tersebut. Mastura? Kanser? Ya Allah!

***

"Ya Allah, sekiranya ini adalah ujianMu buat Mastura dan aku, maka aku redha. Engkau bantulah Mastura dalam melawan penyakitnya ya Rahman. Hanya Engkaulah yang mampu menyembuhkan dan merawat, hanya Engkaulah yang Maha Berkuasa." Amin tidak henti-henti mendoakan kesembuhan Mastura.
Dia tidak mahu, Najwa rasa kehilangan lagi. Mastura ibarat pengganti kepada ibu Najwa, dan sukar sekali untuk mencari seseorang insan yang berhati mulia seperti Mastura. Mastura sanggup menghabiskan masanya di Baitul Mahabbah bersama anak-anak yatim. Mastura menyayangi mereka seperti keluarga sendiri. Amin tidak mahu Najwa kecewa. Paling teruk, dia takut hatinya yang kecewa nanti.
Hari itu, dia telah berazam untuk menjemput Najwa dan menyatakan hasratnya untuk segera menikahi Mastura. Dia tidak mahu berlengah lagi. Dia harus mengotakan janjinya pada Ummi Kalthom untuk menjemput Najwa dan janjinya pada diri sendiri untuk menjemput bidadari dunianya.
Akhirnya, Amin tiba di hadapan Baitul Mahabbah. Waktu itu pasti Mastura berada di sana. Dia ingin memberanikan diri bercakap dengan Mastura, meskipun sebentar. Sepanjang mereka bertunang, dia belum pernah lagi berani menyentuh hati wanita itu. Baginya, Mastura ibarat khazanah Ilahi yang harus dijaganya sebaik mungkin.
Belum sempat dia memberi salam, pintu sudah terlebih dahulu dibuka dari dalam. Kelihatan wajah Ummi Kalthom. Wajah yang selalunya tenang itu kelihatan resah.
"Kenapa ni ummi?"
"Mas.. Mastura. Dia sudah tidak bergerak lagi dalam solatnya. Ummi ingatkan Mastura khusyuk dalam sujudnya, rupa-rupanya, malaikat sudah menjemputnya."
Amin terdiam.



-TAMAT-


# Mudah-mudahan, saya boleh jadi seperti Mastura. Seorang yang penyayang dan taat perintah Allah. InsyaAllah. Oh ya, dalam kisah ini, kita dapat simpulkan bahawa Amin itu bukannya jodoh Mastura. Dan bila dia berjanji, dia menepati. Saya percaya, Allah telah mentakdirkan jodoh lelaki soleh sepertinya dengan orang lain. Kasihan pula Najwa dan Syahirah. Mastura tak sempat pergi majlis konvokesyennya. T.T

Sunday, 15 January 2012

Jelajah#4: Sepagi Nisa'


Kali ini saya ingin berkongsi aktiviti yang dilakukan pada hari cuti sebegini. Seperti yang digambarkan oleh poster di atas, saya telah menghadiri sebuah program Sepagi Nisa' bersama johan dan pemenang tempat ketiga musim pertama Solehah, sebuah rancangan realiti terbitan TV Al-Hijrah. Rancangan ini merupakan ala-ala Imam Muda tetapi versi muslimah. Program Sepagi Nisa' (wanita) ini dianjurkan oleh Nisa' Padang Serai dengan kerjasama Unit Remaja Yayasan PAKSI Kulim yang bertempat di Auditorium AMREC, SIRIM, Kulim Hi-Tech Park.

Melalui program ini, kami telah didedahkan dengan pelbagai informasi yang berguna dan berhikmah daripada Kak Amie Sofia (johan) dan Kak Nurul Eswani (tempat ketiga). Mereka menceritakan pengalaman masing-masing sebelum, semasa, dan setelah mengikuti rancangan Solehah tersebut. Memang banyak perbezaan setelah menjadi popular, namun pada pandangan saya, kedua-dua mereka tetap merendah diri dan tidak terlalu berbangga dengan kejayaan yang dikecapi. 


Dari kiri: Amie Sofia, Nurul Eswani dan pengacara majlis.

Kak Amie dan Kak Nurul boleh menjadi inspirasi kepada para nisa' di luar sana dalam mengerjakan tugasan dan dakwah seharian. Saya ingin berkongsi beberapa input yang diterima pada hari ini bersama kalian. Mudah-mudahan ada hikmahnya, insyaAllah. 

Pertamanya, solehah merupakan sesuatu yang harus dicari tanpa mengira peringkat umur. Kanak-kanak, remaja, dewasa, mahupun orang tua kesemuanya harus mencari solehah ini. Kita tidak layak mengukur tahap kesolehan seseorang dan berfikir diri kita sudah cukup bagus. Tidak. Solehah ini, layaknya Allah sahaja yang menilai. 

Seterusnya, dalam proses berdakwah dan menjadi solehah, kita haruslah berani menghadapi segala cabaran dalaman dan luaran. Cabaran yang kita dapat itu, sebenarnya merupakan pengajaran yang ingin Allah tunjukkan. Semakin banyak ujian yang diterima, ertinya Allah ingin memberikan kita pahala. Oleh itu, kita janganlah sesekali mengeluh ya ketika ditimpa ujian. Itu tandanya Allah sayangkan kita. InsyaAllah, saya akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada. 

Dalam proses menyampaikan ilmu, kita tidak perlu menunggu ilmu tersebut sempurna barulah kita ingin menyampaikan kepada orang lain. Kalau begitu, sampai bila kita nak berkongsi ilmu, kan? Jadi kepada sesiapa yang mempunyai ilmu untuk dikongsikan, janganlah pendam sahaja di dalam hati. Analogi daripada Kak Nurul, perkongsian ini ibarat kita beri sepinggan kuih kepada jiran. Jiran tersebut pasti akan membalas dengan kuih atau makanan yang lain, bukan? Dia tidak mungkin berikan pinggan yang kosong sahaja. Begitulah juga dengan ilmu. Kita memberi, kita menerima. InsyaAllah.

Terima kasih kepada Kak Amie dan Kak Nurul yang sudi berkongsi pengalaman dan ilmu pada hari ini. InsyaAllah kami akan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Setelah selesai program, ada sedikit cabutan bertuah untuk para peserta. dan seperti biasa, saya tidak dapat. Ok.

 Sesi cabutan bertuah. 'Bertuah'nya.. hehe.

 Bersama Kak Nurul, minta tanda tangan.

 Bersama Kak Amie yang mesra dan peramah.



Kak Amie bertanya tentang tips penulisan daripada saya. Saya cuba kongsikan sedikit sebanyak apa yang tahu.


Khabarnya, Kak Amie dijemput untuk menulis dalam Metro. Kebetulan juga, beliau bakal menghiasi kulit hadapan majalah Anis terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd, syarikat penulisan yang menerbitkan buku saya.

Harapan saya, semoga program-program seperti ini bakal diadakan lagi, bukan sahaja untuk mengisi masa lapang tetapi juga untuk menambah lagi ilmu yang cetek di dada. InsyaAllah. Tahniah Nisa'!

Saturday, 14 January 2012

Cerpen: Pahlawan Zyria

Desiran pasir di padang yang tandus itu sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan Zhafran. Pedangnya terhunus tepat ke hidung Yulovio yang separuh terduduk itu. Peluh mula menitis membasahi pipi hitam lelaki yang keresahan itu. Mungkin bila-bila masa lagi nyawanya bakal ditamatkan di tangan pahlawan Islam Kota Zyria itu. Yulovio mengetap bibirnya, hatinya bercampur baur.

Kemudian Zhafran tersengih. “Heh. Inikah yang dikatakan Yulovio yang terhebat itu? Saat ini, kau sedang terduduk di hadapan aku. Di manakah kehebatan yang kau bangga-banggakan selama ini?” Zhafran menduga. Pandangan matanya bertemu pandangan mata Yulovio.

***

“Asra, Asra!” si Pemecah Kesunyian, sama dengan gelarannya, mengejutkan semua yang berada di rumah itu. Mereka memerhatikan gelagat lelaki itu yang kelihatan resah-gelisah sambil mencari-cari seseorang. Rifqi memegang bahu Pemecah Kesunyian, sekali gus menghentikan langkah lelaki itu.

“Kau kenapa? Masuk terpekik-pekik begini.”

“Asra, Asra. Mana Asra?” suara cemas itu semakin membimbangkan semua yang berada di situ. Tidak pernah-pernah Pemecah Kesunyian khuatir sebegini. Gelagatnya aneh.

Seketika kemudian, keluarlah satu figura yang rendah, berkulit cerah dan memakai serban hitam. Jubah yang dipakainya mencecah ke atas lantai. Dia memegang beberapa naskhah manuskrip di tangannya. Lelaki itu kelihatan terkumat-kamit membacakan sesuatu. Kedua-dua belah matanya tertutup rapi, namun dia terus berjalan.

Rifqi memandang Pemecah Kesunyian. Kelihatannya dia seperti serba salah untuk memanggil Asra saat itu. Kesemua tetamu di rumah itu tahu bahawa Asra sedang berusaha menghafaz ayat-ayat al-Quran. “Hah, itu dia Asra yang kau cari,” Rifqi menunding jarinya tepat ke arah pemegang naskhah tadi.

Pemecah Kesunyian berlari-lari ke arah Asra dan memeluk tubuhnya. Manuskrip di tangannya terjatuh. Matanya terbuka. Pemecah Kesunyian menangis sambil mendakap Asra.

“Pak Cik Qayyum, ada apa ini?” kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu bersuara. Meskipun usianya masih muda, fikirannya begitu cerdas. Dia mampu berfikir di luar batasan. Bahkan kadang-kadang berjaya menandingi pemikiran golongan dewasa Kota Zyria. Dan Pemecah Kesunyian tahu kanak-kanak itu mewarisi kecerdasan daripada ayahnya.

“Ayahmu… ayahmu…” suaranya tersekat-sekat.

“Kenapa dengan ayah?” Asra masih lagi tenang bersuara.

“Begini, nak. Seramai lima puluh pahlawan dari Kota Aifel datang untuk membunuh ayahmu! Dan ayahmu sekarang sedang dalam perjalanannya, sendirian, untuk menentang pahlawan-pahlawan itu. Pak cik khuatir, ada sesuatu yang akan menimpa ayahmu.”

Kesemua yang berada di situ terkejut. Namun tiada pula riak sebegitu yang ditunjukkan Asra. Asra tenang, namun tidak berkata apa-apa. Rifqi menghampiri Pemecah Kesunyian.

“Benarkah apa yang kau katakan ini, Qayyum? Siapakah yang memimpin barisan pahlawan-pahlawan itu?”
Pemecah Kesunyian mengangguk, “Pahlawan Yulovio yang tidak percayakan Tuhan itu.”

“Tak guna!” Rifqi menumbuk dinding. Qasim bangit dari duduknya dan bersuara. “Ahli rumah yang dimuliakan sekalian, kita harus melakukan sesuatu. Abangku, Zhafran, tidak mungkin boleh menewaskan lima puluh pahlawan sendirian. Kita harus membantunya…”

Abu Harith menyampuk, “Maafkan aku wahai tuan rumah yang dihormati. Aku terpaksa menentang pendapatmu. Bukankah abangmu itu merupakan pahlawan yang hebat? Aku yakin dia pasti dapat menumpaskan pahlawan-pahlawan Kota Aifel itu. Aku sendiri pernah melihat pahlawan Zhafran menewaskan tiga orang pencuri yang mencuri buah-buahanku di pasar. Aku yakin dengan kekuatannya.”

Qasim terdiam. Dia sangat ingin membantu abangnya, namun dia tidak petah untuk berhujah. Tiba-tiba, Asra yang kecil itu bersuara.

“Sahabat-sahabat ayahku yang dikasihi, ayahku pernah memberitahuku, meskipun Allah mengurniakannya kebolehan bermain pedang dan kekuatan yang tersendiri, dia tetap ada kelemahan. Ayah Zhafran itu bukannya Tuhan. Ayah pernah pulang ke rumah dalam keadaan yang luka akibat terjatuh dari unta. Ayah selalu berpesan kepadaku, setiap manusia itu ada kelemahan mereka. Janganlah takut kepada manusia dan janganlah memuja manusia.”

Rifqi memeluk Asra. “Anak kecil ini benar wahai sahabat-sahabatku. Kita harus melakukan sesuatu demi membantu Zhafran, sahabat baikku. Kita harus membantunya.”

“Allahuakbar!” Qasim bertakbir menandakan dia menyetujui kata-kata Asra dan Rifqi. Tidak lama kemudian, takbir memenuhi segenap pelusuk ruangan di rumah itu. Rifqi memandang Asra. “Anakku, pergilah mendapatkan ibumu.”

***



Zhafran mengusap-usap kudanya sepanjang perjalanan menuju ke pintu gerbang Kota Zyria. Khabarnya, mereka menunggunya di luar pintu gerbang. Sepanjang perjalanan, pahlawan itu tidak berhenti-henti menyebut asma Allah dan ayat-ayat kebesaranNya. Dia tidak tahu apa yang bakal berlaku nanti, namun apa yang pasti, dia tidak rela seluruh Kota Zyria bakal ditakhluki oleh orang ateis. Dia mahukan ummah yang hidup dalam ajaran yang benar, iaitu Islam.

Zhafran redha andai kata itu merupakan hari terakhirnya meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. Semalam, dia sudah beristikharah. Berita tentang pertarungan ini hanya diketahui oleh dia melalui utusan penduduk Aifel. Dia pergi tanpa memberitahu anaknya, adik iparnya, sahabat baiknya serta isterinya, Aishah.

“Ahh… Aishah. Bagaimanalah perasaannya saat mengetahui berita ini nanti? Pasti wajah mulus itu bakal dibasahi dengan air mata. Atau, bagaimana sekiranya dia pengsan nanti?’ monolog Zhafran sendirian. Dia sangat merisaukan isteri dan keluarganya.

Aishah memang seorang yang kuat semangat, namun dia cepat risau apabila perkara itu melibatkan keluarga. Zhafran tahu, jika kota ini tidak berjaya diselamatkannya, pasti Yulovio yang angkuh itu akan menawan kota ini. Dan yang paling teruk, dia pasti bakal mengahwini Aishah. Selepas itu, mungkin sekali dia bakal membunuh Asra, anak hasil ikatan Zhafran dan Aishah.

“Arghh. Aku tidak boleh membiarkan semua itu berlaku! Aishah, Asra, aku akan memerangi mereka habis-habisan. Cuma ada dua pilihanku, menang atau syahid…”

***

Sementara itu, pahlawan-pahlawan dari Kota Aifel sedang bergembira di hadapan pintu gerbang Kota Zhafran.

Nikolas menghampiri kuda Yulovio. Pengikut setia Yulovio itu juga ada keresahan di hatinya. “Tuan Yulovio yang hebat, bagaimana jika si Zhafran tak berguna itu membawa pengikut-pengikut bersamanya?”

Yulovio mengusap janggut panjangnya sambil memandang pintu gerbang utama Kota Zyria yang terkenal itu. “Hahaha. Aku yakin, Zhafran tidak akan berani melakukannya. Dia tidak mungkin mahu melihat masjid yang dibina di pertengahan Kota Zyria dan Kota Aifel diruntuhkan begitu sahaja,” Yulovio terkekeh-kekeh ketawa diikuti Nicolas.

“Tuan, bolehkah saya bertanya, sebenarnya ada apa di dalam masjid itu sehingga sebahagian penduduk Islam di kota kita juga sanggup bersusah payah ke sana pada setiap hari Jumaat?”

“Zhafran itu seorang yang terkutuk. Dia menggunakan ilmu sihirnya untuk mengumpan penduduk-penduduk kota kita ke sana. Tapi kau jangan risau, selepas Zhafran mati kelak, aku tetap akan meruntuhkan masjid itu.”
“Tuan memang pintar dan hebat!” Nikolas memuji Yulovio. Bertambah angkuhlah lelaki berkulit hitam itu.

Tidak lama kemudian, seorang utusan berlari-lari anak menuju ke arah Yulovio dan Nikolas. Dia tercungap-cungap.

“Tuan Yulovio! Pahlawan Zhafran sudah tiba!”

Yulovio tersengih. Zhafran tiba hanya bersama kuda kesayangannya. Lima puluh pahlawan Kota Aifel sudah bersedia, malah telah lama bersedia.

Berdekah-dekah Yulovio ketawa. “Hahaha. Zhafran, Zhafran. Dahulu kau pernah menjadi sahabatku, namun pada hari ini kau akan mati di tanganku. Belum pernah ada manusia yang berhasil menewaskanku sebelum ini. Adakah kau sudah bersiap-sedia menghadapi kematianmu?”

“Yulovio, hari-hari aku bersedia menghadapi kematianku, kerana aku percaya ajal dan maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa bukan di tangan kau!”

“Hei manusia tak berguna! Allah itu tidak wujud, buktinya di mana Dia sekarang? Dia pasti tidak mampu menyelamatkan engkau daripada mati di tanganku.”

Zhafran beristighfar, “Yulovio, kau telah melakukan dosa yang besar. Bertaubatlah engkau sementara masih ada peluang. Allah itu Maha Pengampun.”

“Celaka engkau!” Yulovio menghayunkan pedangnya ke udara. “Serang!”

“Sebentar!” satu suara menghentikan semua aksi. Yulovio dan Zhafran terkejut.

Kira-kira lima puluh penunggang kuda dari Kota Zyria muncul di situ. Masing-masing membawa senjata. Rifqi yang mengetuai barisan pertahanan tersebut.

“Rifqi?” Zhafran mengangkat kening kehairanan. 

“Celaka kau Zhafran. Bukankah kau telah berjanji untuk tidak membawa pengikut. Aku akan menyuruh pengikut-pengikutku meruntuhkan masjid itu!”

“Memang, Zhafran telah berjanji sebegitu. Dan dia telah menunaika janjinya. Zhafran langsung tidak mengkhabarkan kepada sesiapa tentang pertarungan ini. Kami sendiri yang ingin turut serta. Jadi kau, Yulovio, tidak ada hak untuk berbuat apa-apa. Zhafran telah pun menunaikan janjinya!” Rifqi bersuara.

Yulovio meludah ke atas pasir. “Ah! Apa sangatlah penjual di pasar serta pekebun berbanding pahlawan-pahlawanku yang gagah perkasa.”

“Kami mungkin tidak kuat dari segi fizikal, tetapi kami kuat dari segi kerohanian.” Qasim pula berkata-kata.
“Ahhhh! Seraaaaaaaaaaaannnnnngggggg!” Yulovio mengisytiharkan peperangan.

Masing-masing mencari sasaran. Pahlawan-pahlawan yang gagah berani menyerang dengan gagah. Pedang mereka mencederakan pejuang Kota Zyria. Ada yang terjatuh dari kuda masing-masing, namun ada juga yang mampu menumbangkan pahlawan Aifel.

Zhafran meredah pahlawan-pahlawan Aifel untuk menyerang Yulovio yang angkuh itu. Namun pertahanannya terlalu ramai. Sebahagian anggota tubuh Zhafran telah pun dicederakan. Tangannya luka dan berdarah. Perutnya kesakitan akibat terkena pedang pahlawan-pahlawan Aifel.

Rifqi dan Qasim pula berjuang mati-matian untuk mempertahankan Kota Zyria. Tidak mungkin mereka akan membiarkan kota itu jatuh ke tangan Yulovio dan pengikut-pengikutnya. Rifqi bertemu dengan seorang pahlawan yang bertubuh sasa dan berbadan tegap. Mereka meludah ke wajahnya. Rifqi mengesat wajahnya.
Pahlawan itu bersuara sombong, “Penduduk Zyria yang tidak berguna! Mana mungkin kau boleh tewaskan kami pahlawan Aifel yang gagah lagi perkasa!” Pahlawan itu menumbuk pipi Rifqi.

“Heh!” Rifqi mengesat darah di mulutnya. Mereka berlawan satu sama satu. Rifqi berjaya mencederakan lengan pahlawan itu. Akibat amarahnya, Rifqi ditolak kasar sehingga terjatuh ke bawah. Kemudian pahlawan itu turut turun dari kudanya mendapatkan Rifqi. Dia telah bersiap-sedia untuk membunuhnya.

Zhafran yang kebetulan melihat peristiwa itu segera menukar arah kudanya. Sahabat baiknya berada dalam keadaan bahaya. “Rifqi!!!”

Zappppp! Tangan kanan Rifqi dipotong. Rifqi mengerang kesakitan. Zhafran cuba melajukan kirinya. Tanpa membuang masa, pedang itu terhunus ke perut Rifqi. Pahlawan itu kemudiannya pergi meneruskan tugasnya untuk membunuh yang lain. Zhafran turun dari kudanya sambil menggenggam tangan kiri Rifqi.

“Rifqi!!”

“Zhafran, selamatkan kota ini. Selamatkan Islam,” nadanya tersekat-sekat.

“Rifqi, kenapa kau buat semua ini? Kau tak perlu lakukannya!”

“Zhafran, sahabat yang baik adalah sahabat yang sanggup menemani sahabatnya sehingga ke nafas yang terakhir. Aku cuba menjadi sahabat seperti itu.”

“Walaupun kau tak lakukan semua ini, kau tetap sahabat baik aku. Kau sahabat dunia akhirat aku.” Zhafran melihat Rifqi dalam kondisi nyawa-nyawa ikan. Dia membisikkan kalimah syahadah ke telinga Rifqi. Usai mengucap kalimah tersebut, Rifqi telah dijemput oleh malaikat maut sebagai pejuang syahid.

“Argh!” Zhafran menggenggam erat pedangnya dan menunggang kembali kudanya. Dia segera mendapatkan pahlawan yang membunuh Rifqi tadi.

“Mahu membalas dendam?” pahlawan itu terkekeh-kekeh ketawa.

“Tidak. Aku mahu menegakkan Islam. Aku beri kau peluang, adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

“Gila. Aku bersumpah aku tidak akan melakukan walaupun salah satu daripada kedua-dua itu!”

“Aku memberimu satu lagi peluang. Adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

“Benar aku kata kau gila. Mati hidup semula pun aku tidak akan melakukan salah satu daripada kedua-dua itu!” Dan sepantas kilat pedang Zhafran tertusuk pada perut pahlawan itu. Pahlawan tersebut jatuh tersungkur dari kudanya.

Setelah itu, Zhafran kembali mencari Yulovio. Setelah mengalahkan pahlawan-pahlawan yang lain, akhirnya dia berjaya mendapartkan lelaki itu.

“Akhirnya, Zhafran yang ditunggu-tunggu. Sudah bersedia untuk mati di tanganku? Hahaha.”

“Aku tidak takut kepada selain Allah. Ajal dan mautku di tanganNya, bukan di tanganmu.”

“Celaka engkau.” Yulovio menghayunkan pedangnya tetapi berjaya dielak oleh Zhafran. Pedang Yulovio dilibas-libas ke kanan dan kiri tubuh Zhafran. Zhafran mengelak dan bertahan. Kemudian, tiba gilirannya. Zhafran melibaskan pedangnya ke tubuh Yulovio tetapi berjaya dielak. Setelah beberapa minit pergelutan berlaku, kuda yang ditunggangi Yulovio tiba-tiba rebah ke atas pasir. Yulovio jatuh tertiarap. Zhafran segera mengambil kesempatan itu untuk menewaskan Yulovio. Yulovio terduduk lemah.

Desiran pasir di padang yang tandus itu sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan Zhafran. Pedangnya terhunus tepat ke hidung Yulovio yang separuh terduduk itu. Peluh mula menitis membasahi pipi hitam lelaki yang keresahan itu. Mungkin bila-bila masa lagi nyawanya bakal ditamatkan di tangan pahlawan Islam Kota Zyria itu. Yulovio mengetap bibirnya, hatinya bercampur baur.

Kemudian Zhafran tersengih. “Heh. Inikah yang dikatakan Yulovio yang terhebat itu? Saat ini, kau sedang terduduk di hadapan aku. Di manakah kehebatan yang kau bangga-banggakan selama ini?” Zhafran menduga. Pandangan matanya bertemu pandangan mata Yulovio.

“Kau.. jangan bunuh aku. Aku ada isteri dan anak-anak di rumah!”

“Sekarang aku hendak tanya, siapakah yang memegang nyawamu kini?”

“Pastilah engkau. Aku mohon, jangan bunuh aku.”

“Engkau salah. Nyawa engkau berada di tangan Allah. Sekiranya aku mengkehendaki, sudah bila-bila masa sahaja kau mati. Namun atas dasar keimananku pada Allah, aku belum membunuhmu, kerana ada pertanyaan yang belum aku lontarkan.”

“Apakah pertanyaan itu?” Yulovio sangat bimbang.

“Aku beri kau peluang, adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

“Tidak mungkin! Aku tidak mungkin melakukan salah satu daripada kedua-dua itu!”

“Yulovio, aku memberimu satu lagi peluang. Adakah kau mahu dijadikan tebusan dan mengajar anak-anak membaca serta mengira ataupun masuk Islam? Jika begitu, aku akan memaafkanmu dan berjanji tidak membunuhmu.”

Yulovio terdiam. Peperangan  sudah berhenti. Pahlawan-pahlawan Aifel serta pejuang-pejuang Zyria memerhatikan tindakan yang melibatkan pemimpin-pemimpin mereka itu. Tewasnya Yulovio, bererti tewaslah pasukan mereka.

“Baiklah. Aku sanggup menjadi tebusanmu dan mengajar anak-anak membaca serta mengira. Namun aku belum bersedia memeluk Islam.”

Zhafran mengalihkan pedangnya dari hidung Yulovio. Takbir memenuhi angkasa. Pejuang-pejuang Islam sudah menang. Allahuakbar! Allahuakbar!

Zhafran menoleh belakang untuk melihat sahabat-sahabatnya. Pada masa itulah, Yulovio mengambil pedangnya untuk menghapuskan riwayat Zhafran. Zhafran tidak menyedari perbuatan itu.

Bunyi tusukan pedang kedengaran. Zhafran menoleh belakang. Yulovio terkejut. Bukan Zhafran yang ditusuknya, tetapi orang lain. Qayyum telah menghalang dan menggantikan dirinya ke dalam posisi itu. Suasana sepi. Semua orang terkejut dengan tindakan Yulovio dan Qayyum yang muncul entah dari mana.

“Hei, kenapa setiap kali suasana sepi aku yang kena pecahkan kesunyian?” Qayyum bersuara.

“Qayyum? Kau tak apa-apa?”

“Heh. Aku pakai baju besilah! Kau tengok, pedang ni bukannya tertusuk betul-betul pun!” Qayyum mencabut pedang di perutnya.

“Pemecah Kesunyian! Memang sesuailah gelaran kau tu!” Abu Harith mendakap sahabatnya itu. Semua pahlawan-pahlawan Islam melakukan sujud syukur. Yulovio terpaksa akur pada kekalahannya. Pahlawan Aifel yang tewas semuanya diberi pilihan untuk dijadikan tebusan ataupun masuk Islam. Sebahagian daripada mereka yang kagum dengan cerita kuda Yulovio yang tiba-tiba rebah berminat untuk memeluk Islam. Mereka dibenarkan untuk tinggal di Kota Zyria untuk mendalami ilmu Islam. Manakala pahlawan yang berkeras seperti Yulovio dijadikan tawanan penduduk Zyria.

“Zhafran, kau tak apa-apa?” Qasim memeluk abang iparnya. “Alhamdulillah, kemenangan berada di pihak kita. Allah itu Maha Adil.”

“Tapi Rifqi…”

“Tidak mengapa. Allah sudah menjanjikan syurga baginya. Dia beruntung kerana syahid. Ayuhlah kita uruskan pengebumian para syuhada kita. Beritahu kepada ahli keluarga masing-masing.”

“Baiklah. Tapi, ada yang ingin menemuimu.”

Zhafran mengangkat kening tanda hairan.

“Ayaaahhhhh!” Asra yang comel dan cerdas itu mendapatkan ayahnya. Aishah membuntuti anaknya dari belakang. Zhafran mendakap Asra.

“Ayah, saya tahu ayah akan pulang. Saya tahu Allah memihak pada kita. Barangsiapa yang ingin membantu agama Allah, maka Allah pasti akan mebantunya, kan?”

“Pandai anakku. Alhamdulillah. Tidak sia-sia kau mendidiknya, Aishah.”


“Eh. Abang pun didik dia juga, kan?” Zhafran tersenyum syukur. Aishah menyambung bicaranya, “Sampai hati abang pergi tanpa mengkhabarkan dulu kepada saya. Abang buat saya risau.”

“Abang minta maaf. Tetapi selepas ini, insyaAllah, kehidupan kita akan menjadi lebih baik. Abang akan menyebarkan dakwah Islam kepada penduduk Kota Aifel. Semakin ramai yang memeluk Islam, harapnya agama ini akan terus berkembang. Allah telah menunjukkan kekuasaanNya pada hari ini, agama Islam adalah agama yang benar.”

“Harap-harap suatu hari pahlawan-pahlawan Aifel serta Yulovio itu akan terbuka hati untuk memeluk Islam.”
“InsyaAllah. Jika kita menunjukkan kelembutan dan akhlak Islamiah yang kukuh, pasti berhasil menambat hati mereka untuk memeluk Islam. Sama-sama kita doakan.”

Asra pula menyampuk, “Ayah, jangan lupa doakan saya menjadi seorang hafiz ya?”

Zhafran tersenyum sambil mengusap ubun-ubun anaknya.


-TAMAT-


"Sekiranya kamu membantu (agama) Allah, maka Allah akan membantu (urusan) kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu." Surah Muhammad ayat 7.


Facebook : www.facebook.com/nurinaizzati

Friday, 13 January 2012

Diari#29: 7 Hari

7 hari? 7 hari bersekolah sebagai pelajar tingkatan empat. Banyak subjek baru yang diperkenalkan. Walaupun tidak ada lagi subjek sains, tetapi telah digantikan dengan Physics, Biology dan Chemistry. Kemahiran Hidup pula bertukar kepada Prinsip Perakaunan. 


Dalam banyak-banyak subjek ini, subjek yang benar-benar menekan perasaan adalah Additional Mathematics. Walaupun baru belajar, telah pun memeningkan kepala saya. Padahal banyak lagi topik-topik yang akan datang. Prinsip Perakaunan, setakat ini menarik bagi saya. Tetapi bila bersembang dengan para senior, semuanya ada perancangan untuk drop Prinsip Perakaunan. Mereka buat saya risau. Adakah keputusan saya tepat?


Gambar Wikipedia

7 hari di SMK Sultan Badlishah untuk tahun 2012 juga, boleh dikatakan menarik dan mencabar. Setakat ini, saya menjadi AJK Prinsip Perakaunan di kelas, alhamdulillah setelah mendapat kepercayaan untuk kutip duit dari Cikgu Norlia. Dilantik juga sebagai AJK Persatuan Matematik, dan sekali lagi mendapat kepercayaan untuk pendaftaran ahli baru. Bayaran pendaftaran cuma RM2. InsyaAllah jika ada sebarang perjumpaan pasti akan dimaklumkan. Tetapi setakat ini, baru dua orang yang mendaftar. Mungkin semua sudah ada persatuan sendiri, kan?

Ramai juga yang terkejut, kenapa tiba-tiba saya jadi AJK Persatuan Matematik. Biar saya berterus terang, saya cuma ingin menggalas tanggungjawab yang diberikan. Bila sudah ada peluang, ertinya orang sudah beri kepercayaan kepada saya. InsyaAllah, saya akan laksanakan tanggungjawab sebagai AJK dengan sebaik mungkin. Walau apa pun, persatuan Bahasa Melayu tetap utama di hati saya berbanding yang lain. 

Kemudian, saya turut dilantik sebagai AJK Disiplin Pusat Sumber Al-Hikmah. Alhamdulillah, mendapat kepercayaan daripada Cikgu El. Tapi AJK Disiplin? Woh. Maka selepas ini, saya akan lebih mengetatkan pengawasan dalam pusat sumber. Jangan pula marah saya sekiranya anda ditegur. Saya cuma menjalankan tugas, ya.

Dan baru-baru ini, saya dilantik sebagai Penolong Setiausaha PBSM (Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia) di sekolah. Alhamdulillah. Kak Fatimah Jamaludin , selaku senior saya yang mencalonkan. Selepas bertanding dengan rakan-rakan sendiri, alhamdulillah takdir menyebelahi saya. Mungkin undian atas nama saya lebih sedikit berbanding yang lain. Pengerusi untuk tahun ini pula, Kak Atiqah Azlan. Tahniah kepadanya.

Lagi satu, sebenarnya saya tidak ada keputusan yang tetap untuk menyertai kelab sukan di sekolah. Pada awalnya, saya memilih bowling sahaja. Tetapi blogger Little Muslimah a.k.a Nurul Ain Farhana mencalonkan nama saya untuk pemilihan bola jaring. Jadi saya memutuskan untuk menyertai kelab bola jaring.

Suasana di kelas juga sudah berubah. Tidak sama lagi seperti dahulu. InsyaAllah, saya akan belajar menyesuaikan diri di kelas baru. Alhamdulillah ada rakan berbual yang baik itu Nurul Nabila. 

Mudah-mudahan, jika ada lagi hari-hari yang seterusnya di SMK Sultan Badlishah, pasti akan saya jalankan dengan baik dan bermakna. Rancang mahu menjadi pelajar yang bertanggungjawab. Tetapi jika terlalu banyak tugasan sekolah, terutamanya Add Math, saya tidak boleh berjanji. Hehe.

Motivasi: Di Sebalik Ujian

Bahagian yang termanis dalam kehidupan ini adalah cabarannya. Hidup tanpa cabaran, sudah pasti membosankan. Semakin banyak cabaran diterima, kita harus semakin kuat kerana Allah melihat bagaimana kita mengatasi dugaan-dugaan yang diberikanNya.

Namun bukan semua yang kita sangka buruk itu adalah ujian. Misalnya kita mempunyai wajah yang kurang cantik dan tertanya-tanya mengapa Allah menjadikan sebegitu. Mungkin itu adalah ujianNya. Tetapi boleh jadi juga Allah sedang melindungi kita daripada kemaksiatan di dunia. Cuba fikirkan yang positif. Allah tidak mahu kita terjebak dengan dosa bercampur gaul dengan bukan mahram.

Bila seseorang itu cantik, kacak, berkemungkinan besar dia bangga dengan keelokan parasnya. Dan tentu sekali ramai peminat. Maka bermula dari situlah terjadinya ikhtilat (pergaulan bebas lelaki dan perempuan) dan macam-macam lagi. Kadang-kadang kita tidak menyedari Allah selalu membantu kita dan melindungi kita.




Gambar DeviantArt


Contoh yang kedua, dikhianati atau dimusuhi seseorang yang sangat dipercayai. Mungkin ada sesetengah pembaca blog ini yang pernah rasa sedemikian. Boleh jadi ini merupakan ujian besar Allah buat kita, dan boleh jadi juga Allah sedang cuba melindungi dan menunjukkan kita sifat sebenar seseorang itu. Melalui pengkhianatan atau perbuatan buruk yang ditunjukkannya, Allah mahu kita berhati-hati dan tahu yang mana benar yang mana salah. Allah itu Maha Adil. Subhanallah.

Oleh sebab itu, ayuhlah kita sentiasa berfikiran positif dan kurangkan mengeluh. Marilah menjadi hambaNya yang lebih baik. Allah sentiasa tahu apa yang dilakukannya.