Sebagai hadiah, saya sediakan cerpen yang berjudul Hadirnya Dia Bersama Semangat. Ini merupakan cerpen terakhir saya untuk tahun 2012. Sob3. Selamat membaca. Jangan lupa komen ya.
Aku senang mendengar kisahnya. Aku bahagia mendengar
ceritanya. Dia selalu bercerita dengan penuh perasaan dan bersungguh-sungguh.
Aku selalu menongkat dagu dan hanyut dalam setiap butir bicaranya.
Semenjak tiga bulan dia ditugaskan ke sekolah ini, aku
jadi tertarik dengan peribadinya. Dia sabar melayan kerenah kami. Sepanjang dua
tahun ini, dialah guru pertama yang pecah rekod tidak minta untuk ditukarkan ke
kelas lain atau berhenti mengajar di kelas 4 Dahlia. Guru-guru yang lain
semuanya tidak mungkin mampu bertahan dengan kami selama lebih seminggu. Tetapi
guru yang ini lain. Semangatnya begitu mendalam untuk mengajar kami dan
membentuk kami supaya menjadi remaja harapan bangsa.
***
Mengajar di kelas 4
Dahlia bukanlah suatu perkara yang mudah. Kelas ini terdiri daripada remaja
enam belas tahun yang bermasalah, termasuklah aku. Aku mengakui hakikat itu
kerana aku pernah lari dari rumah dulu, namun abang berjaya menemuiku dan
membawaku pulang. Tetapi situasi di rumah masih tidak nyaman dan bahagia
seperti yang aku impikan.
Selama ini aku
menganggap bahawa sekolah itu adalah membosankan. Sekolah adalah institusi
untuk remaja yang pintar dan kaya, tidak seperti aku. Orang seperti aku tidak
punya lagi harapan untuk memacu negara kelak. Orang seperti aku layaknya cuma
berpeleseran di kompleks beli-belah dan mengganggu pengunjung yang datang.
Orang seperti aku cuma dianggap seperti sampah masyarakat.
Pernah satu ketika
aku ingin ponteng sekolah. Aku berjalan sehinggalah ke pintu pagar belakang
sekolah. Aku menyangka perbuatanku itu tidak dikesan oleh sesiapa, namun
sangkaanku meleset. Aku mendengar seseorang memanggil namaku. Aku terkejut dan
menoleh. Seorang lelaki berkaca mata dan bersongkok kemas berdiri tegak di situ.
Itulah kali pertama aku melihatnya dalam hidupku.
***
“Tak guna kau!”
kesabaranku sudah tidak ada hadnya lagi. Kali ini dia sudah sangat melampau.
Aku tidak akan memaafkan kesalahannya itu. Aku merenung pelajar lelaki di
hadapanku ini dalam-dalam. Dia juga membalas renunganku. Aku dapat melihat
pipinya bertukar merah kerana menahan marah namun tidak kuendahkan. Aku yakin
dialah pelakunya.
“Engkaulah tak
guna! Sudahlah sombong, miskin pula tu,” Zhafran meludah di atas lantai. Dia
menghinaku dan aku paling tidak tahan diperlakukan sebegitu. Kemarahanku sudah
tidak dapat dibendung lagi. Aku mengangkat penumbuk sulungku dan kusasarkan
pada kepalanya. Zhafran bergerak ke tepi untuk mengelak seranganku itu. Dengan
pantas, tangan kiriku segera mendarat pada perutnya.
Zhafran memegang
perutnya dan menatapku dengan amarah. Rakan-rakan yang lain semuanya tidak mahu
terlepas daripada menyaksikan pertarungan kami. Ada yang berteriak menyokong
aku tetapi Zhafran juga tidak kurang hebatnya. Semua orang tahu Zhafran anak
orang kaya yang bermasalah. Tetapi semua orang juga tahu aku kaki pukul dan
tidak mahu menerima kekalahan. Zhafran membalas tumbukanku, tepat mengenai dagu
aku. Saat itu, aku rasa kesakitan. Aku menyentuh hidungku, berdarah. Tumbukan
Zhafran begitu kuat sekali ditambah lagi dengan kemarahannya.
Kali ini, aku
mengangkat kaki dan menghayunkannya ke pinggang Zhafran dengan kuat. Zhafran
terdorong ke tepi namun dia juga tidak mahu mengalah. Dia menghampiriku dan
melancarkan tumbukan bertubi-tubi. Aku berjaya mengelak namun terkena juga satu
dua tumbukan. Tubuhku tergerak ke belakang. Kemudian, aku akhirnya memegang
kuat kepala Zhafran. Tangan kananku sudah bersiap sedia. Aku menarik tangan itu
ke belakang sedikit dan bersiap sedia untuk menumbuk kepalanya. Aku menolak
tanganku dan sedikit sahaja lagi untukku pecahkan kepalanya sebelum dihalang
oleh tangan yang lain.
Tangan itu
menghalang penumbukku daripada mendarat di kepala Zhafran. Aku mendengus geram
dan mencari gerangan penghalang kemenanganku itu. Dalam dua saat sahaja,
ekspresi mukaku bertukar terkejut tatkala melihat Cikgu Muiz menatapku dengan
wajah serius. Zhafran tersengih. Aku tidak tahu kenapa. Dia membuatku semakin
benci kepadanya. Namun benci itu terpaksa ditangguhkan dahulu kerana guru baru
itu menghalang.
Fazli selaku ketua
tingkatan memberi salam dengan gaya malas. Dia sendiri tidak tahu mengapa
rakan-rakan yang lain memilihnya sebagai ketua kelas. Mungkin kerana dia
mempunyai rekod disiplin yang paling sedikit di antara kami semua. Cikgu Muiz menyuruh
semua pelajar untuk duduk di tempat masing-masing. Aku dengan gaya protes duduk
di atas meja dan menghadap ke belakang. Aku tidak suka duduk di atas kerusi
apatah lagi menghadap guru yang sedang mengajar. Buat apa belajar jika apa yang
aku pelajari cuma seperti masuk angin keluar asap.
Amirul di sebelah
sudah buat gaya tidur. Tangannya dijadikan sebagai alas untuk kepalanya. Lain
pula dengan Zikri di belakangku. Dia memandang cikgu itu dengan pandangan
mengejek. Kedua-dua kakinya diletakkan ke atas kerusi aku dan kedua-dua
tangannya melekat di belakang kepalanya. Agaknya dia tertanya-tanya sampai bila
guru baru itu akan bertahan.
“Zakwan, kenapa
duduk atas meja? Pusing depan,” Cikgu Muiz memberikan arahan pertamanya.
Geramku terhadapnya masih tersisa. Aku kekal dengan posisiku.
“Wan, dia tahu nama
kaulah. Hebatnya,” Zikri yang masih dalam posisinya memuji. Dia tersengih
sinis.
“Aku pernah jumpa
dia sekali masa nak ponteng sekolah dulu. Dia bagi ceramah panjang,” aku
memberitahu seolah-olah Cikgu Muiz tidak ada di hadapan. Aku berpura-pura tidak
meminati Cikgu Muiz sedangkan di satu sudut hatiku, ada sesuatu yang berjaya
mencuri tumpuanku terhadap guru ini.
“Untunglah dapat
jumpa dulu cikgu muda yang kacak ni. Kenalkanlah aku kepadanya,” Zaharah mengeyit
matanya padaku.
Memang itulah rutin
yang akan dilakukan oleh semua orang setiap kali guru baru masuk ke dalam
kelas. Tujuannya adalah untuk menyakitkan hati guru tersebut sehinggalah dia
serik dan tidak mahu mengajar di situ lagi. Aku menoleh ke belakang seketika
untuk memerhatikan reaksi Cikgu Muiz. Dia kelihatan terkejut dan
terpinga-pinga. Mungkin taktik kami sudah berjaya. Beberapa minit lagi pasti
dia akan keluar dari kelas itu tanpa sebarang kata-kata. Tekaanku tersasar
kerana Cikgu Muiz masih bersabar. Dia menghampiri dan memerhatikan kami semua.
Dan yang paling lama, dia perhatikan aku.
“Kenapa cikgu?
Kacak sangatkah saya ni sampai cikgu perhatikan begitu sekali?” aku bersuara
kuat, sengaja mahu rakan-rakan yang lain mendengar. Kemarahanku terhadap
Zhafran tadi dilupakan seketika. Terhambur ketawa daripada mereka.
“Kacak, tapi tidak
sekacak cikgu,” Cikgu Muiz memberitahu, mengikuti permainanku. Kali ini,
rakan-rakan yang lain ketawa lebih kuat. Aku mengerutkan dahiku, pantang
dicabar. Cikgu Muiz mengukir senyum. Senyuman itu seolah-olah sedang mencabar
diriku.
“Cikgu, aku rasa
lebih baik cikgu pergi dari sini. Dalam kelas 4 Dahlia ni, tak ada tempat untuk
orang macam cikgu. Cuba cikgu perhatikan, semua orang di sini enam belas tahun,
tapi cikgu dah tua,” sinis sahaja ucapan itu kulontarkan.
“Siapa kata saya
dah tua? Saya muda lagi, bahkan saya boleh jadi lebih muda daripada yang kamu
semua sangka.” Pintar guru itu bermain kata-kata. Aku memandang Zikri. Zikri
juga terkejut. Kakinya sudah diturunkan ke bawah. Hebat juga guru baru ini.
“Dah tua tak sedar
diri pula,” Zaharah pula memainkan peranan. Gula-gula getah yang dikunyahnya
sejak tadi dikeluarkan dan dilekatkan di bawah meja. Dia tidak peduli langsung
sesiapa yang memerhatikan tindakannya itu. Pada fikiranku, boleh tahan juga si
Zaharah itu. Tahap kenakalannya tidak perlu dipertikaikan lagi.
Aku memerhatikan
Amirul pula yang baru tersedar setelah mejanya diketuk oleh Cikgu Muiz. Setelah
Cikgu Muiz berlalu, Amirul bergerak ke arah papan putih tanpa pengetahuannya.
Meskipun rakan-rakan yang lain melihat, sudah pastilah mereka tidak akan beritahu.
Amirul mencapai pemadam papan putih dan bersiap sedia untuk membalingnya. Lontaran
dilakukan. Pemadam papan putih itu melambung di udara dan akhirnya kepala Cikgu
Muiz. Kami semua bertepuk tangan termasuklah aku.
Aku kagum dengan
kehebatan Amirul. Dengan lagak selamba, Amirul kembali ke tempat duduknya.
Cikgu Muiz mengusap belakang kepalanya yang kesakitan. Dia menyembunyikan
senyumannya dan mahu kembali ke meja guru. Namun dalam perjalanan singkat itu
kakinya disadung oleh Zhafran dan mengakibatkan dia hampir-hampir terjatuh.
Nasib baiklah kedua-dua telapak tangannya menahan meja.
“Kenapa kamu buat
cikgu macam tu?” Cikgu Muiz memandang Zhafran.
Zhafran menguap di hadapan Cikgu Muiz. Aku tersengih. Mungkin Cikgu Muiz
tidaklah seperti yang aku sangkakan. Mungkin dia tidaklah sehebat mana.
Sebentar lagi dia pasti akan melangkah keluar dari kelas.
“Kau nak bertaruh
dengan aku tak? Cikgu Muiz mesti akan keluar kelas, aku jamin,” Amirul
bersuara.
“Yang tu memang
tidak dapat diragui lagi,” Ariffah bersetuju. Rakan-rakan ketawa.
Cikgu Muiz
mendapatkan bukunya. Dia berdiri di hadapan kelas dan berjaya mencuri tumpuan
semua orang. Nampaknya tiga puluh penghuni kelas 4 Dahlia ingin tahu
tindakannya yang selanjutnya.
“Baiklah
murid-murid. Nampaknya ramai yang sudah tidak sabar lagi mahu belajar. Belum
pernah lagi saya jumpa kelas yang begitu bersemangat seperti kelas ini. Sebelum
itu saya perkenalkan diri saya dahulu. Nama saya Muizuddin Saifullah. Kamu
semua boleh panggil saya Ustaz Muiz. Saya akan mengajar Pendidikan Islam untuk
kelas 4 Dahlia.”
“Apa?!” Kami semua
terkejut bercampur tidak percaya. Aku sangka guru ini hanyalah guru biasa
sahaja. Dia ada memberitahu namanya hari itu tetapi tidak pula dia ceritakan
bahawa dia seorang ustaz.
Ustaz Muiz menarik
senyum di hadapan. Bukunya sudah dibuka.
***
“Mana kau tahu nama
aku?” aku memandang lelaki di hadapanku itu dengan pandangan tidak rela.
Gara-gara dialah hasratku jadi terbantut untuk ponteng sekolah sebentar tadi.
“Tadi saya dah
nampak kamu ikut jalan belakang, jadi saya tanya dua pelajar yang kebetulan
lalu. Mereka beritahu saya nama kamu. Kata mereka kamu mesti nak ponteng
sekolah macam biasa. Nampaknya kamu terkenal juga ya di kalangan pelajar
sekolah ni,” dia memegang bahuku. Aku menepis pegangannya.
“Dahlah, tak perlu
nak berlagak mesra dengan aku. Kau ni siapa, tiba-tiba saja datang mengganggu?”
aku melepaskan hembusan kecil.
“Oh ya, maaf. Saya
terlupa pula perkenalkan diri. Saya Muizuddin Saifullah, guru baru di sekolah
ni. Saya akan mula masuk mengajar lusa. Kalau bernasib baik, mungkin saya akan
mengajar kelas kamu,” ujarnya sambil memerhatikan pekerja kantin yang datang
sambil membawa dua cawan minuman. Cikgu Muiz menolak cawan air teh ais ke
hadapanku. Aku masih merenungnya tajam.
“Minumlah, saya
belanja. Awaklah pelajar pertama yang saya belanja di sekolah ni tahu?”
“Dan mungkin yang
terakhir,” aku berkata sendiri namun kata-kataku itu berjaya ditangkap oleh
Cikgu Muiz. Dia kelihatan hairan namun tidak pula menyoalku tentang itu.
Aku meneguk minuman
yang telah disediakan. Rezeki jangan ditolak. Tetapi, adakah ini rasuah?
Mungkin Cikgu Muiz akan mengajar kelas 4 Dahlia nanti dan dia mahu meminta
pertolonganku nanti. Aku segera menolak air teh ais itu ke tepi. Cikgu Muiz
bertambah hairan.
“Kenapa kamu tolak
air tu?”
“Aku tak terima
rasuah,” ujarku pendek. Aku mengeluarkan sekotak rokok dan mengambil satu.
Setelah api dinyalakan, aku menghisapnya. Begitu nikmat sekali menghisap rokok.
Aku dapat melegakan sebarang tekanan yang menari-nari di dalam mindaku. Cikgu
Muiz diam dan mengamati tingkahku. Aku tidak peduli langsung terhadap reaksi
guru itu. Menurutku, lebih baik aku menjadi diri aku yang sendiri daripada
bersikap hipokrit. Aku menawarkan rokok kepada guru itu. Dia tersenyum.
“Tak apalah, saya
tak merokok.” Dia kelihatannya sedang memikirkan sesuatu dan kemudiannya
tertawa sendiri. Kali ini, aku pula yang aneh melihatnya.
“Kenapa cikgu
ketawa?” Aku mula memanggilnya dengan gelaran cikgu.
“Itu, kamu lihat
kotak rokok tu,” ujar Cikgu Muiz. Aku melakukan seperti yang disuruhnya.
“Kenapa? Tak ada
apa-apa pun,” aku mengeluh. Sudah hilang kewarasannya barangkali.
“Ada, cuba lihat
gambar itu,” Cikgu Muiz menunjuk ke arah gambar kanser-kanser yang dipaparkan.
Jadi kenapa? Aku masih lagi bingung.
“Apa yang lucunya?”
aku menggaru kepalaku yang tidak gatal.
“Pihak kerajaan
sudah buat bermacam-macam jenis iklan untuk menghalang rakyat daripada merokok.
Banyak papan tanda, iklan di akhbar, televisyen, bahkan mereka mengambil
tindakan yang lebih tegas dengan membuat kempen anti-merokok di kotak rokok itu
sendiri. Tetapi masih juga ramai yang membeli rokok walaupun mereka sudah tahu
kesannya yang bahaya. Lucu ya?”
Aku mengerutkan
keningku. Benar juga katanya, tetapi seorang perokok tegar seperti aku mana
mungkin boleh berhenti merokok dengan cuma melihat iklan-iklan seperti itu.
“Motif?” aku
menyoal Cikgu Muiz.
“Anak muda, erm,
begitulah dunia ini. Rokok itu cuma sebagai analogi. Walaupun seorang perokok
tegar tak akan berhenti merokok dengan melihat iklan-iklan begitu, tetapi
sekurang-kurangnya pihak kerajaan berusaha. Tidak semua orang akan berhenti,
tetapi sebahagian lagi mungkin.”
“Tak faham,” aku
melepaskan asap berkepul-kepul di udara.
“Dalam apa jua yang
kita kerjakan, kita tak boleh berputus asa sama sekali. Kita kena terus lakukan
apa yang kita percaya. Walaupun bukan semua orang akan menerima impaknya,
sekurang-kurangnya diri kita akan berasa puas kerana mencuba dan ada juga
segelintir pihak yang pasti akan menerima impak daripada usaha yang kita
kerjakan itu,” Cikgu Muiz masih senyum. Aku menatapnya dengan sedikit pandangan
teruja. Cikgu Muiz memandangku.
“Zakwan, walau apa
pun yang berlaku, jangan berhenti mencuba,” pesannya. Pesanan yang sungguh bererti
buatku. Namun ego masih menguasai diriku. Aku pergi meninggalkan Cikgu Muiz di
situ bersama teh ais yang sudah diminum sedikit.
***
“Hari ini kita akan
belajar dosa-dosa besar yang membawa kemurkaan Allah. Sesiapa yang ada buku
teks boleh buka halaman 86 ya,” pinta Ustaz Muiz. Namun yang pasti, semua
pelajar memandangnya dengan pandangan kosong. Beg sekolah pun tidak dibawa,
apatah lagi buku-bukunya. Jauh sekali alat tulis.
“Ada banyak dosa
besar yang mesti kita hindari dalam dunia ini, tapi yang disebut dalam buku
teks cuma empat iaitu menghina dan menderhaka ibu bapa, menipu dan berbohong,
mencuri dan merompak serta riba. Antara...” kata-kata ustaz itu dipotong oleh
Zhafran.
“Sudahlah pak
lebai. Kalau nak berceramah, pergi ke masjid saja. Sini bukannya masjid.”
Zhafran melakar-lakar sesuatu di atas buku skrapnya. Dia seorang yang pintar
melukis, lukisannya juga menarik. Aku pernah melihatnya sekali. Itu pun secara
curi-curi. Dia tidak suka aku melihat lukisannya. Dia selalu memperlakukan aku
dengan buruk. Itulah yang meyakinkanku bahawa dia yang mencurinya sehingga
mengakibatkan aku bergaduh dengannya sebentar tadi, sebelum Ustaz Muiz ini
masuk ke kelas dan mahu mengajar.
Seorang guru yang
mengajar di hadapan sudah cukup mengerikan. Aku dan rakan-rakan yang lain tahu
kami harus berbuat sesuatu untuk menghalau Ustaz Muiz pergi.
“Hurm, Zhafran ya?”
Ustaz Muiz membaca tanda namanya.
“Belajar agama ni
bukannya setakat di masjid sahaja. Agama ni meliputi setiap aspek hidup kita.
Kalau saya kena mengajar agama di masjid, habis tu orang yang tak pergi masjid
siapa nak ajar?” soal Ustaz Muiz membuatku terkesan sekali. Aku yakin Zhafran
dan yang lain-lain juga begitu. Kami memang bukan kelompok manusia yang pergi
ke masjid, jauh sekali untuk mendengar ceramah agama.
Amirul di sebelahku
bangkit dan berkata, “Aku nak keluar dari kelas. Siapa nak ikut aku jom.” Satu
per satu pelajar 4 Dahlia bangkit dan keluar. Aku menjadi yang terakhir.
Sebelum sempat aku keluar, Ustaz Muiz menahanku.
“Ada apa?”
“Zakwan, saya akan
pastikan kamu dan rakan-rakan yang lain mendapat pendidikan. Saya tak mahu
biarkan kamu semua begini sahaja,” ujarnya.
“Kenapa ustaz
beritahu semua ini kepada saya?” aku mengerutkan dahi.
“Sebab saya tahu,
jauh di sudut hati kamu, ada satu keinginan untuk mendapatkan hidup yang lebih
baik. Dan saya yakin kamu ni baik budaknya sebenarnya,” Ustaz Muiz berkata
begitu yakin.
“Kenapa ustaz
begitu yakin saya ni baik? Bukannya ustaz kenal pun saya. Ustaz cuma tahu nama
saya sahaja.”
“Buktinya, kamu
sanggup tawarkan rokok pada ustaz hari tu. Kamu seorang yang suka berkongsi
kan?”
Aku merenung Ustaz
Muiz dalam-dalam dan meninggalkannya. Ustaz itu berlagak seolah-olah dapat
memahami perangaiku. Masakan menawarkan rokok dianggap benda yang baik? Aneh.
“Zakwan,” Ustaz
Muiz mengejarku. Aku menoleh ke belakang. Apa lagi yang dimahukan oleh guru
baru ini?
“Kalau boleh saya
tahu, kenapa kamu bergaduh dengan Zhafran tadi?”
“Alah ustaz, kenapa
kau nak sibuk-sibuk jaga tepi kain orang lain? Jaga sajalah tepi kain sendiri.”
“Kenapa kamu
bergaduh dengan Zhafran tadi?” dia mengulangi pertanyaannya.
Akhirnya aku akur
dan menjawab pertanyaannya. Aku memberitahu bahawa tiga kotak rokokku sudah
hilang dan aku begitu yakin bahawa Zhafran yang mengambilnya. Tak mungkin ada orang
lain yang akan mengambilnya selain dia.
“Zhafran tu selalu
hina aku. Aku tahulah aku miskin, tapi tak payahlah sampai macam tu. Dah lama
aku tahan dengan perangai dia, tapi hari ni aku puas sebab dapat lepaskan,”
nadaku berbaur geram.
“Kata cikgu-cikgu
di sini, kelas kamu ialah kelas yang paling banyak masalah disiplin. Setiap
orang dalam kelas kamu ada masalah disiplin. Jadi kenapa nak tuduh Zhafran
sedangkan ada lagi 28 orang yang mungkin mencuri kotak rokok tu. Tak pun kamu
sendiri yang tersalah letak,” ujarnya. Pasti Ustaz Muiz sengaja mahu mengujiku.
Aku menghembus nafas.
“Ustaz, kalau ustaz
tak percaya juga aku boleh boleh buktikanlah. Takkan aku nak bohong pula,” aku
sudah mula bosan melayan Ustaz Muiz.
“Boleh ke? Baiklah,
jom,” Ustaz Muiz memegang pergelangan tanganku dan menarik aku masuk ke dalam
kelas semula. Aku terpaksa membuka begku dan aku menunjuk ruangan kosong di
dalam beg itu. Ustaz Muiz tertawa.
“Beg kamu kosong.”
“Mestilah, rokok
aku dicuri,” aku menjadi aneh.
“Kamu tak bawa buku
pun, jadi buat apa kamu bawa beg?” soalnya.
“Aku nak isi kotak
rokoklah,” aku membalas. Aku semakin tidak mengerti permainan Ustaz Muiz.
“Tahun lepas kamu
kelas mana?”
“3 Cempaka.”
“Saya hairan
bagaimana orang yang berasal dari kelas sederhana seperti kamu boleh masuk ke
dalam kelas ini. Saya boleh agak kamu ni sebenarnya suka menuntut ilmu, cuma
atas alasan tertentu kamu jadi begini,” Ustaz Muiz sudah mula dengan teorinya.
Aku memandangnya mengharapkan penjelasan. “Saya boleh lihat berdasarkan beg yang
kamu bawa. Kamu tengoklah, kawan-kawan kamu yang lain semuanya tak bawa beg
tetapi kamu seorang saja yang bawa. Dan kalau betul Zhafran yang curi, di mana
pula dia nak letakkan tiga kotak rokok tu?”
Aku ligat memerah
otak. Aku akui terdapat kebenaran yang terselit di celah-celah kata-kata itu.
Ustaz Muiz mengambil begku dan membeleknya.
“Kan aku dah cakap
beg tu kosong.”
“Zip ni letak apa?”
Ustaz Muiz menunjukkan satu zip di bahagian hadapan beg tersebut. Aku
menggeleng. Aku tidak meletakkan apa-apa di situ melainkan...
“Aha! Ni kan rokok
kamu?” Ustaz Muiz menunjukkan kepadaku. Ketika itu, pelbagai perasaan yang aku
rasakan. Rasa tak betul pun ada. Rasa bersalah pun ada kerana telah menuduh
Zhafran sebentar tadi.
Aku tiba-tiba
ketawa. Kali ini, aku pula yang mengikut jejak Ustaz Muiz yang suka ketawa
tiba-tiba. Aku terasa bagai orang yang nyanyuk pula.
***
Aku senang
mendengar kisahnya. Aku bahagia mendengar ceritanya. Dia selalu bercerita
dengan penuh perasaan dan bersungguh-sungguh. Aku selalu menongkat dagu dan
hanyut dalam setiap butir bicaranya.
Semenjak tiga bulan
dia ditugaskan ke sekolah ini, aku jadi tertarik dengan peribadinya. Dia sabar
melayan kerenah kami. Sepanjang dua tahun ini, dialah guru pertama yang pecah
rekod tidak minta untuk ditukarkan ke kelas lain atau berhenti mengajar di
kelas 4 Dahlia. Guru-guru yang lain semuanya tidak mungkin mampu bertahan
dengan kami selama lebih seminggu. Tetapi guru yang ini lain. Semangatnya
begitu mendalam untuk mengajar kami dan membentuk kami supaya menjadi remaja
harapan bangsa.
Aku sudah lama
perasan semua ini semenjak hari pertama Ustaz Muiz di sini lagi. Cuma
rakan-rakan yang lain belum menyedari semua itu. Setiap kali Ustaz Muiz masuk,
aku sudah tidak menoleh ke arah Zikri lagi tetapi aku mendengar dia mengajar di
hadapan. Cuma aku masih belum terbiasa untuk duduk di atas kerusi. Terpaksalah
aku meneruskan kelazimanku dengan duduk di atas meja.
|
Google |
Rakan-rakan yang
lain mungkin perasan dengan perubahanku namun aku tidak peduli. Terdapat satu
tarikan dari dalam diri Ustaz Muiz. Meskipun Ustaz Muiz masih dilempar dengan
sampah kadangkala, dia tetap bersemangat untuk mengajar kelas 4 Dahlia.
“Asal kau ni? Dah
terpikat dengan Ustaz Muiz pula? Ingatkan aku seorang saja,” Zaharah bersuara.
“Zaharah, kau tak rasa
pelik ke cikgu seorang ni dapat bertahan?” aku pula menyoal. Dan sudah pastilah
perbualan itu dapat didengari oleh Ustaz Muiz seperti biasanya.
“Peliklah juga, aku
pun tak tahu kenapa dia boleh tahan, padahal macam-macam aku dah cuba. Aku
letakakkan katak dalam beg dia pun dia tak takut,” Zaharah mengeluh sekaligus
membongkarkan rahsia. Kali ini, Ustaz Muiz berhenti bercakap.
“Jadi kamulah yang
letakkan katak dalam beg ustaz?”
“Kenapa? Ada
masalah?”
“Tak ada. Ustaz nak
ucapkan terima kasih saja. Ustaz memang suka pun dengan katak. Kadang-kadang,
ada juga ustaz simpan katak-katak di rumah tetapi kakak ustaz marah sebab dia
tak suka,” jelas Ustaz Muiz sambil tertawa.
Ustaz Muiz
membuatkan kami semua tidak percaya. Segala apa yang dirancang pasti tidak akan
menjadi, malah lain pula hasilnya.
“Ustaz, kenapa
ustaz tak nak pergi lagi?” Ariffah bertanya.
Ustaz Muiz menutup
bukunya. Dia memandang kami semua serius.
“Sebab ustaz
percayakan setiap seorang dari kamu. Ustaz tahu semua orang ada harapan. Jadi
ustaz mahu didik kamu supaya cintakan ilmu dan kembangkan segala kemahiran
kamu. Ustaz tahu Zakwan dulu suka baca buku.”
Aku terkejut. Ustaz
Muiz mula menyenaraikan beberapa kemahiran yang dimiliki oleh rakan-rakan
sekelasku. Dia memberitahu bahawa dia telah bercakap dengan guru-guru kami yang
terdahulu. Ya, memang benar. Ketika di tingkatan satu, perangai kami semua
tidaklah seteruk sekarang. Aku tidak merokok dulu sehinggalah selepas ayah
berkahwin lagi satu dan jarang pulang ke rumah.
“...dan ustaz tahu,
Zhafran pandai melukis. Kalau dia percaya dengan bakatnya itu, mungkin satu
hari nanti dia boleh menjadi seorang pelukis terkenal dan siapa tahu pelukis
komik dakwah pula? Tapi sayang, dia tak ada dalam kelas. Amirul, kamu tahu
Zhafran pergi mana?”
Amirul menggeleng.
Amirul juga nampaknya sudah mulai patuh pada Ustaz Muiz. Seketika kemudian,
Zhafran muncul di muka pintu dengan muka termengah-mengah. Dia seolah-olah baru
lepas berlari.
“Zhafran, ustaz
baru sahaja bercakap tentang kamu. Kenapa kamu macam baru lepas jumpa hantu?”
Ustaz Muiz bergurau.
“Ustaz.. kakak
ustaz...”
Kali ini, ekspresi
muka ustaz berubah total.
“Kakak ustaz
kemalangan, patah kaki. Dia ada di hospital sekarang,” ujar Zhafran. Aku
terkejut atas kejadian yang baru menimpa itu. Air mata ustaz mulai menitis. Air
mata pertama yang aku lihat keluar dari seorang ustaz. Pasti dia sangat
menyayangi kakaknya itu. Ustaz keluar dari kelas tanpa berkata apa-apa. Aku bertambah
risau. Sejurus sahaja ustaz keluar, Zhafran ketawa terbahak-bahak.
“Dah kenapa? Orang
kemalangan kau bukan main suka lagi,” Zikri memandang Zhafran curiga.
“Haha. Mana ada
orang yang kemalangan. Ustaz kena tipu! Lepas ni, dia mesti tak akan balik dah
ke sini,” ujar Zhafran.
Aku terkejut dan
naik berang. Aku meluru ke arah Zhafran dan menumbuk mukanya.
“Kenapa kau buat
ustaz begitu?” aku mengumpul amarah yang terpendam.
“Bukan kau orang
semua yang nak ustaz pindah? Aku cuma memudahkan kerja kita. Kau patut
berterima kasih kepada aku,” katanya.
“Tapi, aku dah mula
sukakan cikgu baru tu. Cara dia ajar macam menarik,” ujar Ariffah disokong
Zaharah.
“Ya lah, sejak dia
mengajar tak adalah bosan sangat aku datang ke sekolah ni,” ujar Amirul.
“Apa dah jadi
dengan kau semua? Dah berjangkit dengan si miskin ni?”
Ingin sahaja aku
melayangkan lagi penumbuk ke arahnya, namun aku teringat kata-kata Ustaz Muiz
yang menyuruh aku bersabar. Kata ustaz, jika bersabar pasti ada hikmahnya.
Namun aku tidak boleh bayangkan keadaan ustaz sekarang. Dia pasti sedih setelah
mengetahui segala pembohongan ini.
Keesokan harinya,
aku menunggu kedatangan Ustaz Muiz. Dia masuk agak lambat dari biasanya. Belum
pernah dia lambat begini. Aku bertambah risau. Adakah ustaz sudah pindah
seperti yang dikatakan Zhafran? Aku tidak mahu ustaz pindah. Aku sudah mula
menyayanginya.
Beberapa minit
kemudian Ustaz Muiz masuk ke dalam kelas. Fazli memberi salam dengan
bersemangat. Nampaknya dia juga tidak mahu Ustaz Muiz pindah. Ustaz Muiz
menjawab salam dengan muram, tidak seperti biasanya. Ustaz Muiz mengemaskan
buku-bukunya di atas meja guru. Aku sudah mulai panik.
“Ustaz, ustaz tak
nak pindah kan?” Zaharah menyoal. Rasa hormatnya terhadap guru muda itu telah
mulai terbit.
Ustaz Muiz
memandang semua orang. “Terima kasih kepada Zhafran. Selama ni, kamu semua
memang nak saya pindah kan? Cuma saya saja yang berlebihan. Saya percaya pada
kamu, tetapi kamu dah melampau. Orang kemalangan, bukan sesuatu yang boleh
dijadikan bahan lawak. Saya kesal. Terima kasih sebab luangkan masa selama ni.
Kamu menang.”
Ustaz Muiz
melangkah keluar. Semua terpana. ‘Kamu menang’. Aku terasa seperti seorang
pengalah. Aku tidak mahu ustaz pergi. Ariffah sudah mulai menangis. Saat itu,
aku merasakan suasana yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Kali ini,
rakan-rakanku sudah terkesan. Bererti, peribadi yangg ditunjukkan oleh Ustaz
Muiz sebelum ini memang menarik perhatian mereka. Cuma segelintir yang masih
lagi tidak terkesan.
Aku menunduk kesal.
Kalaulah sebelum ini aku bertindak lebih baik terhadap Ustaz Muiz. Aku teringat
analogi rokok yang diberikannya waktu pertama kali kami bertemu. Dan langsung
aku teringat satu ayat yang diberikannya kepadaku. Aku berlari keluar dari
kelas. Harap-harap masih sempat mengejar Ustaz Muiz.
Ustaz Muiz sudah
mahu masuk ke dalam kereta. Aku memanggil namanya. Ustaz Muiz memandangku.
Tidak ada senyuman di bibirnya seperti biasa. Namun aku tidak akan mengalah.
“Ustaz, kembalilah.
Jangan pindah,” pintaku. Ustaz Muiz kelihatan terkejut.
“Saya tahu saya
jahat terhadap ustaz selama ini, tetapi saya betul-betul harap ustaz dapat
terus bimbing saya dan rakan-rakan yang lain.”
Ustaz Muiz berfikir
seketika.
“Ustaz, seseorang
pernah berpesan kepada saya walau apa pun yang berlaku, jangan berhenti
mencuba.”
“Siapa yang pesan?”
dia memandangku.
“Ustaz.”
Ustaz Muiz senyum.
Senyumannya telah kembali. “Kamu memang budak yang pandai.”
Ustaz Muiz telah
mengajarku sesuatu yang cukup bermakna. Tidak ada istilah putus asa atau kecewa
dalam kehidupan ini kerana hidup ini indah. Sebarang peristiwa yang berlaku
pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Ustaz tidak serik mengajar kami. Dia
merupakan seorang guru yang istimewa dan pendidik seperti inilah yang
diperlukan oleh orang ramai.
Ustaz Muiz
merangkul bahuku dan kami sama-sama menuju ke kelas 4 Dahlia. Ustaz Muiz masih
ada misi untuk mendidik dan membentuk akhlak kami. Aku pasti akan mencuba yang
terbaik. Dan jika ustaz mahu pindah, aku tidak akan berputus asa melakukan
sebarang cara untuk menghalangnya pergi.