“Nurina, boleh ke kalau kita lalu depan orang solat?”
Persoalan itu membuatkan saya
teringat kembali kepada kehidupan di asrama. Kalau di surau ataupun musolla,
ada waktu-waktu tertentu yang penuh dengan jemaah. Waktu Subuh, Maghrib dan
Isyak memang semua pelajar diwajibkan untuk sembahyang berjemaah di surau.
Berbeza dengan waktu Zuhur dan Asar. Waktu Zuhur para pelajar baru pulang dari
sekolah, waktu tak sama. Kalau Asar pula baru balik dari prep petang (kelas
persediaan petang). Ada yang akan balik ke asrama dulu atau minum petang dulu.
Selalunya saya lihat waktu Zuhur
yang sedikit tidak terurus. Maksud saya, pelajar keluar masuk surau. Pernah
sekali, saya lihat ada pelajar yang sedang solat. Seorang lagi melintas dengan
selamba di hadapan orang yang sedang menunaikan ibadah itu dan terus
menghilang. Nak tegur pun tak sempat.
Kalau ditegur, nanti lain pula jadinya. Maklumlah, bukan semua orang dapat
menerima teguran.
Apa pun, perkara sebegini memang
selalu terjadi di mana-mana surau ataupun masjid berhampiran kita. Sebelum saya
menjawab persoalan tersebut, saya cuma mahu memberi saran. Sebaiknya,
elakkanlah solat di tempat yang menjadi laluan orang ramai. Misalnya, di
tengah-tengah surau. Melainkan, anda rasa tempat yang akan anda dirikan solat
itu tidak akan dilalui dan aman.
Kalau kita ada ilmu, tak salah nak disebarkan. Kata nabi, sampaikanlah walaupun sepotong ayat. Dengan bantuan tambahan daripada buku Mencari Redha-Mu tulisan Ustaz Noor Hisham Ismail, insyaAllah saya akan cuba jawab. Ustaz yang menulis buku ni merupakan seorang Timbalan Presiden Persatuan Kakitangan Islam Affin Banking
Group untuk pengetahuan anda.
Baiklah. Straight to the point. Syarak mengajar sesiapa yang
hendak bersolat di tempat yang mungkin dilalui orang ramai supaya meletakkan
sutrah di depannya. Sutrah ni bermaksud penghadang atau sekatan contohnya
tiang, dinding, langsir, beg, kerusi atau apa-apa sahaja yang tingginya
melebihi 2 hingga 3 kaki yang tidak bergerak. Tetapi dalam keadaan orang yang
berjemaah, belakang makmum juga boleh dijadikan sebagai sutrah. Dalam erti kata
lain, belakang badan kawan yang sedang bersolat di depan kita itu merupakan
penghadang sebab semasa bersolat, dia tidak bergerak dan boleh dianggap sutrah.
Kalau dalam solat jemaah, imam itu sendiri merupakan sutrah untuk makmum.
Contoh sutrah |
Rasulullah pun pernah
melintangkan haiwan tunggangan baginda di depan baginda lalu solat menghadap
haiwan tersebut. Tujuan meletakkan sutrah adalah untuk menjaga kekhusyukan
orang yang sedang bersolat. Misalnya, kita sedang menunaikan solat dan
tiba-tiba ada orang yang melintas. mestilah kita akan terganggu dengan
kehadiran orang tu.
Kalau seseorang tu melintas di
antara tempat sujud dan berdiri, perbuatan itu adalah haram dan membawa kepada
dosa.
“Jika seseorang tahu balasan yang
akan diterimanya akibat melintas di hadapan orang yang sedang solat, berdiri
sambil menunggu selama 40 tahun adalah lebih baik daripada dia melintas di
hadapan seseorang yang sedang solat itu,” –Hadis riwayat Bukhari: 510 &
Muslim: 507
Kakak saya pernah beritahu
tindakan yang sepatutnya kita lakukan kalau ada orang yang cuba hendak melintas
di depan kita ketika bersolat. Halang dengan menggunakan tangan ataupun
merapati hadapan sutrah jika perlu. Kita perlu halang orang dan tolak mereka
dengan kemampuan. Kalau dia berkeras juga untuk melintas di hadapan kita,
hendaklah kita melawannya kerana dia adalah syaitan.
Cara menghalang orang yang hendak melintas di hadapan kita ketika sedang bersolat. |
Masalah yang kerap dialami adalah
jika terlewat solat berjemaah sehingga imam tersebut sudah selesai bersolat.
Maka tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum tersebut ialah, dia boleh
bergerak ke arah sutarh yang berdekatan. Misalnya kalau ada tiang di hadapan
sebelah kanan, maka bergeraklah ke sebelah kanan dan jadikan tiang itu sebagai
sutrah. Kata Imam Malik, jika tiang itu jauh maka dia hendaklah tetap berada di
posisinya dan cuba untuk menghalang orang yang melintas dengan sedaya upaya.
Jadi, kesimpulannya melintas di
depan orang solat itu boleh, jika ada sutrah yang membatasinya. Dan akan jatuh
haram jika melintas di antara kawasan sujud dan tempat berdiri orang yang
sedang bersolat itu. Mudah-mudahan ilmu ini membawa manfaat kepada kita semua, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment