Alhamdulillah, syukur kerana saya dapat hidup dalam nikmat Islam, yang bukan semua orang di muka bumi ini dapat menerimanya. Syukur kerana masih diberikan peluang untuk dapat bersolat dan beribadat di atas bumi pinjaman ini. Terdapat juga sesetengah pihak yang susah untuk beribadat, dihalang, diseksa, dibunuh kiranya mereka bersolat. Alhamdulillah, Malaysia ini bukannya negara yang seperti itu.
Saya sekadar ingin berkongsi coretan hidup dan situasi yang dapat saya tangkap. Hari ini saya pergi ke kelas tuisyen untuk subjek Physics dan Additional Mathematics. Ya, memang saya sangat lemah. Hari ini buat ulang kaji tingkatan empat. Jam 6 petang sehingga 10.30 malam. Solat Maghrib dan Isyak di rumah cikgu tuisyen tersebut, tak perlulah susah payah berulang alik.
Sewaktu hendak menunaikan solat Maghrib berjemaah, tiba-tiba anak kecil Cikgu Nasrul keluar dari bilik dan memanggil ayahnya. Berdasarkan agakan saya, mungkin anak perempuan itu berusia sekitar tiga, empat tahun rasanya. Wajahnya comel, macam ada kacukan arab sikit. Entahlah, saya teka saja. Tak sempat tanya apa-apa pada Cikgu Nasrul. Berbalik kepada cerita, anak itu kecil itu keluar dari bilik sambil memeluk patung dan memegang beberapa alat permainannya yang lain. Dia memakai tudung. Subhanallah.
Terimbas kembali pula saya sewaktu kecil. Macam itu jugalah. Pakai tudung tak betul, peluk patung ke sana ke mari. Tapi sekarang tak adalah. Hehe. Anak Cikgu Nasrul itu kelihatan terkejut seketika melihat jemaah yang hendak bersolat. Selepas itu dia memanggil lagi ayahnya dan cakap, "Ayah, nak solat!"
Saya tersenyum. Cikgu Nasrul ambil sejadah kecil dan bentangkan di tepi. Sejadah itu rasanya memang khusus untuk dia. Selepas iqamat, anak itu melihat saja perbuatan kami dan ikut tadah tangan berdoa. Dia mengikuti pergerakan solat kami. Selesai solat, barulah dia bangun dan bermain kembali.
Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Alhamdulillah, rasanya Cikgu Nasrul telah mencorakkan anaknya dengan warna-warni Islam dari kecil. InsyaAllah, generasi-generasi seperti inilah yang akan membangunkan negara dan agama.
Saya jadi teringat pula petang tadi. Bilik saya dicat semula dengan warna coklat. Adik sayalah yang beria-ia mahu bilik itu dicat. Sewaktu tengah sibuk-sibuk, adik panggil. Rupa-rupanya, di rak buku sebelah meja belajar saya terselindung sarang semut. Geli saya ingat kembali. Sekali dengan telur-telurnya. Sarang itu dijumpai di bahagian rak yang paling bawah, tak bersentuh lama dah fail-fail di situ. Patutlah boleh dijadikan sarang.
Daripada semut-semut itu, saya perhatikan. Bagaimana mereka boleh membentuk sarang yang sangat besar? Dengan kerajaan yang besar? Macam manalah agaknya mereka berkomunikasi tanpa sebarang salah faham. Dan macam mana juga semut-semut itu bersetuju untuk bersarang di situ? Entahlah. Itulah rahsia semut. Alhamdulillah, semut itu menjadikan saya muhasabah. Kalau umat Islam di negara itu dapat bersatu dan ada matlamat, pastilah kita dapat membentuk kerajaan yang kuat. Bangsa yang hebat. Niat yang tekad.
Tapi, cuma satu pesan saya, kita kena rancang matlamat betul-betul. Tengok macam sarang semut tadi, terpaksa saya hapuskan. They should have tried better. Hehe. Maaflah, saya terpaksa hapuskan rumah mereka. Yalah, siapa yang sanggup hidup dengan semut yang banyak macam itu. Apa pun, bilik saya masih belum selesai lagi dicat. Baru alihkan rak buku dan meja komputer saya, belum lagi alihkan almari. Harap-harap tak adalah serangga lain yang bersarang. InsyaAllah tak ada pun. ^^
Sebenarnya, setiap orang merupakan harapan. Pemimpin. Setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin. Tak ada orang yang dilahirkan untuk menjadi kuli semata-mata. Serendah mana pun pangkat seseorang itu, saya percaya dia tetap diamanahkan untuk memimpin orang lain. Paling tidak keluarganya sendiri.
Dan semua orang perlu bergerak untuk menjadi pemimpin. Kalau saya imbas kembali tentang kepimpinan, saya telah bermula daripada menjadi seorang pengawas sewaktu sembilan tahun. Kemudian, waktu darjah enam, jadi ketua pengawas. Dari situlah, saya belajar pentingnya sifat kepemimpinan dalam diri setiap individu. Sesiapa sahaja boleh jadi pemimpin. Ya, anda yang sedang membaca, juga mungkin seorang pemimpin atau bakal pemimpin.
Saya paling suka kisah Sultan Muhammad al-Fateh yang saya pasti semua sudah tahu. Pada usia 21 tahun telah berjaya menakluk sebuah negara yang besar iaitu Konstantinopel meskipun tiada satu raja sebelumnya pun yang mampu melakukan perkara itu sebelumnya. MasyaAllah, dahsyatnya. Begitu juga kisah Usamah bin Zaid yang berjaya menjadi panglima perang termuda iaitu ketika baru berusia belasan tahun. Beliau selalu mengikuti perang Rasulullah dan akhirnya menjadi pemimpin yang hebat.
Walau siapa pun anda, berapa pun umur anda, anda semua pemimpin. Kita semua pemimpin. Saya selitkan satu kata-kata yang sering kita dengar untuk renungan semua. Jangan persoalkan apa yang Islam lakukan untuk anda, tetapi tanyalah apa yang anda sumbangkan untuk Islam.
No comments:
Post a Comment