Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Baru-baru ini saya diberi peluang untuk mengikuti kem
bersama para pelajar SMK Taman Mahsuri. Ini merupakan kali kedua saya diberikan
peluang untuk menjadi fasilitator selain kem di Pantai Kerachut dahulu. Dan
bezanya kali ini, saya perlu mengendalikan satu slot bertemakan multimedia
selama satu jam setengah.
Jujurnya ketika kali pertama saya diberitahu tentang
hal ini, memang saya tak yakin dengan diri sendiri. Saya tak pernah mengajar
orang lain tentang multimedia. Maksud saya, saya tak pernah memberikan ceramah
tentang multimedia. Dan saya rasa saya bukanlah orang yang layak berceramah
dalam bidang ini pun. Tapi memandangkan ini merupakan satu amanah yang
diberikan oleh cikgu, maka saya cuba untuk menyahut cabaran.
Selamat datang ke Kem Kenari Nature Park |
Peserta sasaran untuk Kem Kenari terdiri daripada barisan Majlis Perwakilan Pelajar SMK Taman Mahsuri seramai 16 orang sahaja. Walaupun begitu, saya tetap tidak yakin dengan diri sendiri. Cikgu menyuruh saya agar memfokuskan kepada bahagian pembikinan video. Jadi, itu tidak menjadi sebarang masalah kerana bukan susah pun untuk hasilkan satu video. Saya memang ada menyediakan bahan untuk peserta tetapi saya langsung tidak menggunakan pun bahan tersebut. Eheh.
Bercakap tentang persiapan kem ini, ramai fasilitator lain
yang membantu bagi memastikan segala aktiviti yang akan dijalankan oleh peserta
berjalan dengan lancar. Saya tak banyak membantu pun. Sekadar sumbang dua tiga
idea sahaja. Tapi saya nampak effort yang dilakukan oleh para fasilitator.
Mereka memang bertungkus-lumus demi memastikan kem ni berjaya. Dan saya rasa
bersalah kerana tidak dapat membantu atas faktor-faktor tertentu. Mainly
disebabkan tak ada transport. Hmm. Sebelum kem bermula, kami juga telah
berpakat untuk mengenakan satu prank ke atas tiga orang pelajar yang menyambut
hari lahir pada bulan Disember. Nanti saya akan ceritakan tentang prank
tersebut.
Pagi yang dijanjikan, para fasilitator dan peserta kem
berkumpul di SMK Taman Mahsuri dan bertolak ke Yan menaiki sebuah bas. Anehnya,
bas itu cuma menyiarkan lagu-lagu klasik karaoke. Aneh lagi, ramai pula yang
menghafal lagu-lagu tersebut. Lagu yang saya tak pernah dengar pun mereka boleh
tahu. Perjalanan ke Yan memakan masa hampir sejam. Alhamdulillah, cuaca dan
keadaan sekeliling mengizinkan kami untuk tiba ke destinasi dengan selamat.
Kem Kenari ni memang tempat yang menarik. Ada kolam renang,
sungai, tempat memancing ikan, kedai makan, surau dan sebagainya. Pendek kata
fasiliti yang disediakan cukup lengkap. Oh ya, ada juga tempat untuk berkaraoke
di sana. Saya tak nampak ada sebab untuk mengatakan Kem Kenari tidak menarik.
Sungai tempat bermandi-manda |
Hari pertama, para peserta didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan oleh
fasilitator yang lain. Saya cuma memantau sahaja kerana slot saya jatuh pada
hari kedua. Dan bila saya kata pantau, maksudnya saya cuma memerhatikan sahaja
sambil duduk di atas kerusi. Eheh. Memang fasilitator yang tidak
bertanggungjawab. Apa yang penting, para peserta terhibur dengan slot-slot yang
dianjurkan dan mereka mendapat input yang berguna dari situ.
Pada waktu terluang, saya dan rakan-rakan yang lain pergi ke
tempat memancing ikan. Saya tak ingat bila kali terakhir saya memancing.
Mungkin masa kecil dahulu. Dan kalau ada pun, saya rasa tak dapat pun ikan.
Jadi bila saya cuba nasib, alhamdulillah berjaya menangkap seekor anak ikan
haruan. Mereka kata saya ni memang ong. Eheh. Entahlah. Tapi ikan itu
dilepaskan semula kerana masih kecil.
Setelah menghabiskan masa di situ, pada sebelah petang pula
kami semua bergerak ke kolam renang untuk aktiviti riadah. Petang-petang itu
jugalah hujan turun. Apa lagi, kami semua pun bersuka-ria sambil kehujanan.
Lebih tepat lagi, para fasilitator lelaki yang bersuka-ria memandikan peserta
dengan lumpur. Saya ada rakam video mereka jadi anda boleh menonton setelah
selesai membaca entry ini. Pada waktu malam pula, para peserta berkumpul semula
di dewan untuk slot nurani. Saya pula ditugaskan memotong sayur kobis yang
besar-besar belaka untuk membuat coleslaw. Malam itu, kami mengadakan barbeque
untuk semua. Dan di sinilah best partnya. Part prank orang.
Tiga orang pelajar
yang saya maksudkan ialah seorang peserta dan dua fasilitator. Salah seorang
fasilitator ialah rakan saya, Husna. Sejak awal lagi saya telah ditugaskan
untuk memastikan Husna langsung tidak tahu tentang rancangan jahat kami. Tapi
Husna ni memang tajam. Sejak awal pagi lagi di dalam bas katanya dia menghidu
sesuatu tentang prank yang mungkin akan dikenakan terhadapnya. Saya pun apa
lagi usaha menggoreng apa yang patut. Dan nampaknya malam itu dia tak saspek
apa-apa.
Rancangannya begini. Ketika slot nurani berlangsung, Husna
dan dua mangsa yang lain dipaksa melibatkan diri di dalam dewan. Sudah tentulah
Husna agak keberatan kerana dia mahu turut membantu fasilitator yang lain
menyediakan BBQ. Sepatutnya, sejurus selepas slot nurani akan dijalankan slot
burung hantu. Tapi slot burung hantu terpaksa dibatalkan kerana keadaan lopak
air yang bertakung dan jalan yang basah kerana hujan pada waktu petang.
Walaupun begitu, mereka tetap meyakinkan orang di dalam dewan bahawa slot
burung hantu akan dijalankan. Husna pun turut dipaksa menyertai slot burung
hantu dengan alasan mereka mahu mencukupkan kuota seramai 20 orang. Keluar dari
dewan, setiap peserta diikat matanya dengan kain penutup mata begitu juga Husna
dan 2 lagi mangsa prank. Husna bermati-matian menyangka slot burung hantu
dijalankan.
Dipendekkan cerita, sayalah yang membawa Husna berpusing-pusing di
kawasan dataran. Sementara itu, peserta lain semuanya dibuka penutup mata dan
disuruh menghasilkan separa bulatan. Cikgu pula menunggu dengan kek.
Agak awkward juga saya membawa Husna tanpa bersuara. Dan
memang Husna langsung tidak tahu saya yang membawanya. Husna memang clueless.
Boleh nampak dia tak berapa suka terlibat dengan aktiviti ini. Saya pun sengaja
bawa Husna langgar daun-daun pokok dan sebagainya. Konon dah masuk hutan. Bila
dapat isyarat dari kem komanden, maka ketiga-tiga mangsa prank pun dibawa ke
lokasi bulatan. Kain penutup mata ditanggalkan dan ramai-ramai menyanyikan lagu
hari lahir. Husna memang terkejut besar. Begitu juga 2 lagi mangsa prank yang
lain. Itu tandanya prank kami berjaya! Minta maaf Husna kerana membohongi anda.
Selepas itu, kami beramai-ramai menikmati kek dan BBQ. Alhamdulillah. Oh ya,
prank ini tidak berakhir di situ saja. Kebetulan, Cikgu Faziela memang takut
dengan katak. Dan ketika kami berjalan di dataran, kami ternampak seekor katak.
Saya dan rakan-rakan pun berpandangan antara satu sama lain…
Hari kedua di kem. Suasana subuh di Kem Kenari memang
nyaman. Pagi itu, para peserta dibawa keluar dari kawasan kem untuk
bersiar-siar.
Seronok mereka berjalan |
Saya tinggal di dewan untuk menyiapkan peralatan bagi slot
multimedia. Disebabkan masalah teknikal, slot multimedia terpaksa ditunda ke
slot yang terakhir. Tak apa, hidup ni memang penuh dengan cabaran.
Alhamdulillah, slot multimedia pun berjalan dengan lancar dan setiap kumpulan
peserta berjaya menghasilkan video untuk kumpulan masing-masing. Macam yang
saya kata, bukan susah pun buat video menggunakan Movie Maker. Mungkin lambat-laun mereka akan jauh lebih mahir membuat video berbanding saya kelak.
Bagi
saya, ada satu kepuasan bila dapat berkongsi sesuatu dengan orang lain.
Walaupun tak adalah banyak mana pun yang saya kongsi, tapi alhamdulillah mereka
berlapang dada menerimanya. Selesai slot multimedia, ada acara penyampaian
sijil dan hadiah. Dan setelah itu, kami pun menaiki bas untuk bertolak pulang.
Ringkasnya, ada banyak benda yang saya belajar, terutamanya
tentang pancing ikan. Apa yang penting saya dapat luangkan masa bersama
rakan-rakan dan orang lain. Dapat tambah dan berkongsi ilmu. Dapat experience
together. Dan saya harap akan ada banyak lagi experience macam ni yang saya
akan alami kelak. Terima kasih Puan Faziela yang menjemput saya menjadi
sebahagian daripada kem ini.
That’s all for now. Terima kasih kerana membaca. Jangan lupa
tonton vlog ini.
menarikk weii huhuhuhu
ReplyDelete:)
Delete