Thursday, 31 December 2015

Refleksi 2015


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.


Halaman 365. Satu lagi tahun akan berakhir. Satu tahun yang menyimpan banyak memori suka dan duka. Sangat banyak. Jadi sama seperti tahun sebelum ni, saya akan berkongsi kembali refleksi momen atau perkara menarik yang terjadi pada saya sepanjang tahun 2015. Saya ingin mengingat kembali perkara-perkara menarik yang berlaku, dan berharap agar perkara yang lebih besar akan berlaku pada tahun hadapan. Semoga semuanya berjalan lancar tahun 2016 ni, insya-Allah. Kebanyakannya juga telah saya kongsikan bersama anda dalam entry blog Nafas Baru.


Tahun 2014 saya tak berjaya pegang sebarang trofi. Jadi apabila tahun ini saya berjaya pegang trofi, benda ni ibarat satu pencapaian peribadi untuk diri saya sendiri. Sangat mengejutkan bila kita tak pernah pegang senapang sebelum ni, dan tiba-tiba diumumkan sebagai salah seorang pemenang. Sampai hari ni pun saya masih tak percaya sebenarnya.



Aina ialah salah seorang rakan karib saya. Kami sudah berkawan sejak umur 7 tahun lagi. Tahun ini, ketika usianya 19 tahun, dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke Korea. Dia mula belajar di sana sejak Februari yang lalu. Saya tahu benda ni bukan pencapaian untuk diri saya, tapi saya sangat kagum dan gembira bila dia dapat ke sana. Well I guess your friend’s happiness is your happiness too.



Alhamdulillah, setelah sekian lamanya tidak mengunjungi Cameron Highlands, akhirnya tahun ini saya dan keluarga berpeluang untuk bercuti di sana. Saya sangat suka Cameron Highlands kerana banyak benda yang menarik di situ. Dan sudah tentu kerana strawberi dan ais krim stawberi serta segala jenis hidangan strawberi. Terdapat juga banyak bunga, ladang teh, dan pemandangan indah yang mempesonakan. Saya sangat berharap dapat ke sana lagi. Cameron Highlands memang terbaik!



Saya dan keluarga turut berpeluang bercuti di Ulu Legong. Walaupun sudah banyak kali ke sana, pengalaman bercuti akan jadi lebih indah bila kita luangkannya bersama keluarga dan saudara-mara. Dan saya dapati terdapat juga beberapa perubahan berbanding kali terakhir saya ke sana dulu. Pemandangan di sana juga indah. Tak rugi kalau anda ke sana.



Kebetulan, keputusan ujian MUET keluar pada tarikh yang sama saya sedang bertanding dalam pertandingan pidato peringkat daerah 18 tahun ke atas. Saya boleh ingat lagi debaran jantung saya ketika menyemak keputusan MUET menerusi SMS sambil menunggu giliran persembahan saya. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat keputusan yang agak bagus dan saya pun mampu mempersembahkan pidato dengan perasaan lega. Tapi saya tak sangka pula saya mendapat johan dan mengalahkan peserta-peserta yang lain. Mungkin itu rezeki saya pada hari itu. Kemudian saya turut mendapat pengalaman baru bertanding pidato di peringkat negeri. Sudah tentulah kalah bila lawan dengan cikgu dan lain-lain peserta yang sudah bertahun-tahun simpan pengalaman. Tapi saya tetap seronok dan bersyukur diberikan peluang seperti itu.



Tahun ini ada 3 filem pendek yang saya postkan di YouTube, hasil rakaman bersama rakan-rakan. Dan ada juga video-video sampingan yang lain. Walaupun tak banyak viewer, tapi saya gembira sebab dapat hasilkan sesuatu bersama rakan-rakan. Dan dalam masa yang sama kalau ada yang menonton, saya harap mesejnya sampai kepada penonton. Filem-filem pendek tersebut ialah Kelas Tambahan, Balik Raya dan Kotak Hadiah. Saya berharap dapat hasilkan lagi dan perbaiki karya saya dari semasa ke semasa, insya-Allah.



Alhamdulillah, percutian ke Vietnam merupakan hadiah terhebat saya untuk tahun ini. Kalau tahun 2014 saya dapat menunaikan umrah, tahun ini pula saya berpeluang bercuti di Vietnam. Dan banyak berbelanja di sana. Eheh. So I’m really looking forward to 2016! Harapnya dapat peluang dan rezeki lagi untuk mengembara di tempat-tempat yang belum pernah saya berpijak. Insya-Allah.




Sebenarnya banyak lagi perkara menarik yang terjadi pada saya tahun ini, tapi tidak mampu untuk saya kongsikan kesemuanya. Saya harap (banyaknya harapan saya) saya akan terus menulis blog dan dapat mengimbas kembali momen-momen dalam hidup supaya saya terus bersyukur dengan rezeki Allah. Saya juga mahu berkongsi dan sebarkan kebaikan serta positiviti kepada anda. Hargailah momen yang anda ada, kerana anda sendiri yang mampu membentuk momen-momen itu menjadi indah.


BACA JUGA: Refleksi 2014

4 comments:

  1. wahh. excellent achievement.
    tahniah ! ^^

    ReplyDelete
  2. wah bestnya dapat travel kan? and congrats kpd kawan awak yg dapat sambung study ke korea tu hehe bestnyaaa -.-

    ReplyDelete
  3. I'm kinda impress with your achievement ! Good job ! . I believe you'll be successful in the future . Keep it up and keep maintaining 2015 aura till this new year of 2016 ! :)

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah..banyak pencapaian tahun 2015.Semoga terus sucess di masa akan datang

    ReplyDelete