Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Secara rasminya, semalam merupakan kelas terakhir saya mengajar di Kg Tok Betok. Tak sangka sudah lapan bulan saya bekerja sebagai seorang cikgu kelas tuisyen. Saya mengajar subjek English, Matematik dan Sains untuk pelajar UPSR dan SPM. Anak murid saya tidaklah ramai, semua sekali ada tujuh orang sahaja. Empat pelajar UPSR dan tiga pelajar SPM.
Saya ingin berterus-terang. Saya memang tak suka menjadi cikgu. Bahkan, menjadi seorang cikgu tidak ada dalam opsyen karier saya. Sama sekali tidak saya memperlekehkan karier cikgu. Cuma setiap orang ada minat dan pilihan sendiri, dan minat saya tidak menjerumus ke arah pendidikan. Saya tak ada minat dan kesungguhan yang tinggi untuk menjadi seorang tenaga pengajar. Jadi, macam mana saya boleh menjadi seorang cikgu tuisyen?
Ceritanya begini. Dalam mesyuarat JKK Kampung kami, ada dicadangkan untuk membuka kelas tuisyen kepada pelajar-pelajar yang tinggal di kampung ini. Kebetulan ibu saya merupakan salah seorang JKKK. Ibu sayalah yang mencadangkan saya untuk menjadi cikgu tuisyen kerana kebetulan masa cuti saya panjang. Jadi mahu tidak mahu, saya pun menerima tawaran tersebut.
Pada awal permulaan kelas bulan Januari, hanya ada 3 orang perempuan sahaja yang mendaftar. Murid UPSR. Lama-kelamaan, beberapa murid yang lain turut serta termasuklah pelajar SPM menjadikan tujuh orang kesemuanya. Kelas diadakan pada malam Selasa hingga Khamis. Waktu siang saya bekerja sambilan di kedai buku SK Sungai Ular.
Susahnya Jadi Cikgu
Saya tak tipu. Ada banyak perkara yang saya keluhkan sepanjang bergelar ‘Teacher’ oleh anak-anak murid saya. Setiap kali hendak mengadakan kelas, sudah semestinya saya perlu ulangkaji semula subjek-subjek yang hendak diajar terlebih dahulu. Mungkin hal ini tidak mendatangkan masalah bagi sesetengah orang. Tapi saya memang sudah lupa kebanyakan pembelajaran untuk format UPSR dan SPM. Maka, saya wajib mengulangkaji dulu sebelum mengajar anak-anak murid saya. Dan kadang, banyak juga topik yang saya keliru dan lupa. Terutamanya untuk Sains SPM. Sebabnya saya tidak mengambil subjek Sains untuk SPM tetapi subjek Physics, Chemistry dan Biology. Memanglah hampir serupa, tapi pembelajarannya tidak sama. Atas ihsan sahabat, saya berjaya mendapatkan buku-buku teks berkaitan untuk bantuan pengajaran saya. Alhamdulillah, buku-buku teks sedikit sebanyak dapat membantu.
Masalah seterusnya, adalah cara untuk memahamkan anak murid yang lambat faham. Dalam setiap kelas, akan ada murid yang pantas, sederhana dan lemah. Sama juga dengan kelas saya. Ada juga anak murid yang perlu diajar secara teliti dan perlahan. Kita tak boleh expect anak murid untuk terus faham apa yang diajar, kerana tahap IQ individu adalah berbeza. Begitu juga tahap kerajinan individu.
Bila dah jadi cikgu ni (walaupun tak bertauliah), barulah saya faham betapa susahnya cikgu-cikgu hendak mengajar dan memahamkan saya dulu. Terutamanya untuk subjek Chemistry yang memang saya lemah. Terima kasih cikgu, sebab sudi bersabar dengan saya dulu. Tapi itulah, dengan masa kelas yang terhad, menjadikan saya sukar untuk fokus terhadap seorang anak murid sahaja. Saya perlu bersikap adil terhadap semua. Jadi di situlah banyak kekangan yang timbul. Dari segi pembahagian masa.
Seterusnya, masalah akan timbul apabila anda mendapat anak murid yang nakal dan agak malas untuk belajar. Maafkan saya jika ada anak murid yang membaca entry ini. Kalau ada. Eheh. Tapi saya tak adalah hendak memperkecilkan anak-anak murid saya, sama sekali tidak. Saya pun pernah muda. Cewah. Macam dah tua sangat. Malas itu mungkin perkara biasa, tetapi anak-anak murid saya nakalnya luar biasa. Pantang ada peluang, mulalah hendak bermain. Saya pun tak tahu apa yang seronok sangat. Main penyapu, pisau, pistol air, gasing, telefon bimbit, kayu, kerusi, ping pong, macam-macam lagilah kalau hendak saya senaraikan. Sebabnya kami belajar di dewan kampung, jadi ada banyak kemudahan disediakan di dalam dewan tersebut. Dan barang-barang itulah yang mereka suka main.
Itu baru masalah anak murid malas. Belum masalah cikgunya yang malas. Disebabkan saya bekerja siang, tipulah kalau saya kata tak penat bila hendak mengadakan kelas malam. Apabila sudah penat, maka perasaan malas itu secara automatik juga akan muncul. Jadi di situlah diri kita sendiri perlu bertindak untuk mempositifkan diri. Sebab tak seronoklah kalau ke kelas tuisyen sambil membawa aura negatif dan penat. Semuanya bergantung pada minda kita. Kalau kita boleh beri semangat pada diri, positifkan diri sendiri, insyaAllah aura positif itu akan dapat sampai kepada anak-anak murid. We are the boss of our minds.
Hikmah Seorang Pendidik
Menjadi seorang ‘Teacher’ selama hampir lapan bulan, banyak membuka minda saya kepada sesuatu yang baru. Banyak mengajar saya erti berpenat-lelah. Erti kesabaran. Bertolak-ansur. Dan juga memahami jiwa anak-anak muda zaman sekarang. Percayalah, kanak-kanak zaman sekarang sudah jauh berbeza dengan generasi yang lahir pada tahun 90-an. Serius. Dalam sifat keanak-anakan mereka, ada juga matangnya. Banyak kali juga anak-anak murid saya berjaya membuatkan saya berfikir sejenak.
Salah satu yang saya menyebabkan saya menganggap mereka matang adalah apabila bercakap tentang fesyen. Citarasa fesyen mereka jauh mengalahkan saya yang sudah berumur 20-an ini. Sebutlah sahaja jenis-jenis tudung, semua mereka boleh labelkan. Saya sendiri pun kadang tak tahu jenis tudung yang saya pakai. Yang saya tahu hanyalah tudung bawal dan shawl. Mereka pula boleh nyatakan jenis shawl secara terperinci. Okey. Yang itu membuatkan saya kagum seketika. Atau mungkin memang saya yang tidak peka tentang jenis-jenis tudung ni?
Satu kepuasan juga apabila mereka faham apa yang saya ajarkan. Dan bila mereka mempraktikkan ilmu tersebut. Rasa bahawa apa yang saya ajar selama ini tidak sia-sia, dan rasa lega kerana mereka faham. Ketahuilah, apabila kita sampaikan sedikit ilmu kepada orang lain, maka akan lagi banyak ilmu kita yang bertambah. Hanya ilmu pengetahuan sahajalah satu-satunya perkara yang tidak akan berkurang apabila diberikan kepada orang lain. Dalam masa yang sama, seorang pendidik pun akan mendapat pahala kerana berkongsi ilmu dengan orang lain.
Anak-anak murid saya pun, dalam nakal-nakal mereka, ada lucu dan comelnya juga. Jadi bila nak marah dan nampak mereka tersengih comel, terus tak jadi nak marah. Yalah, sebab mereka masih lagi kanak-kanak. Kalau orang dewasa mungkin dah lama kena marah.
Jadi cikgu ni juga, banyak mengingatkan saya kepada kenangan lama saya. Asal-usul saya. Banyak membuatkan saya lebih menghargai mereka yang pernah mengajar saya dulu. Don’t just take your teachers for granted. Banyak yang mereka perlu lalui untuk mendidik anda, terutamanya jika anda seorang yang nakal atau malas belajar dulu. Dan janganlah sakitkan hati seorang guru kerana saya percaya, keberkatan ilmu yang kita pelajari banyak terletak pada hubungan antara kita dan cikgu. Baik kita dengan seseorang cikgu itu, insyaAllah akan lebih mudah urusan kita dalam belajar. Buruk hubungan kita dengan cikgu, maka hati pun jadi tak tenang, ilmu pun susah nak masuk.
Buat Muridku
Saya tahu mungkin tak ada anak murid saya yang membaca entry ini. Cuma saya hendak berkogsi cebisan harapan saya buat mereka.
Belajarlah dengan rajin, dan tuntutlah ilmu selagi hidup.
Gembirakan hati ibu bapa, jangan sulitkan hari mereka.
Gembirakan hati cikgu-cikgumu dan Teacher dengan kejayaanmu.
Jangan nakal-nakal.
Jadi manusia yang berguna.
Dapat keputusan nanti, jangan lupa WhatsApp Teacher.
assalamualaikum ...teacher thank you ....insyaAllah saya akan buat dengan baik dlm spm ..amin thank you sbb ajar sains haritu mmg masuk dlm paper sains ....dan tak keliru dah ...hehe thankyou teacher nurina ....
ReplyDelete#zety