Wednesday, 17 August 2016

Saya Hampir Menangis


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Petang tadi saya menemani rakan saya, Syafikah ke pejabat zakat. Sementara menunggu dia menyelesaikan urusannya, saya perhatikan mereka yang berada di situ. Seorang budak yang tangannya berbalut. Tak tahu kenapa. Dan seorang pak cik yang berumur dalam lingkungan 50-an, beruban yang hampir menutupi rambut hitamnya. Dia menuju ke kaunter zakat. Jalannya terketar-ketar. Memandangkan tidak ramai orang di pusat zakat itu, saya hampir dapat mendengar seluruh perbualannya dengan petugas kaunter yang dipanggilnya ustaz.

Dia ingin memohon zakat. Petugas yang dipanggilnya ustaz itu pun menyoalnya beberapa soalan. Saya tahu, mungkin itu satu prosedur yang perlu dilakukannya. Dan pertanyaan ustaz itu pun tak adalah salah pada pandangan saya, cuma saya rasa mungkin dia perlu lebih mengatur intonasi percakapannya supaya menjaga hati mereka yang ingin meminta bantuan zakat di situ.

“Pak cik dah tak kerja? Umur pak cik berapa?”

“Tak kerja dah. 56 tahun.”

“Kenapa pak cik dah tak kerja?”

“Masalah kesihatan. Badan pak cik pun dah tak kuat. Sakit-sakit.”

“56 tahun tu kuat lagi. Boleh lagi kerja ni. Kuat lagi.”

“Itulah. Pak cik dah tak larat. Pak cik tak minta banyak pun. Pak cik cuma nak minta ni untuk sara hidup pak cik.”

“Okey lah. Bagi IC pak cik.”

Pak cik itu pun mengeluarkan kad pengenalannya untuk diserahkan kepada ustaz. Ustaz bangun dan menyelesaikan urusan di belakang. Ketika itu, saya melihat pak cik itu mengesat kedua-dua belah matanya, menahan tangisan daripada terus mengalir.


Google


Saya tak bolehlah tengok situasi pak cik itu. Hampir menangis saya dibuatnya, tapi terpaksa ditahan kerana ada orang di sekeliling. Saya tak rasa yang pak cik itu menipu. Saya tahu, dalam urusan kerja terutamanya pemberian zakat ni kita kena tengok dulu dan pastikan pemohon tidak menipu untuk mendapatkan zakat. Zakat ni cuma untuk yang benar-benar berkeperluan. Kadang ada juga yang masih kuat bekerja, cuma malas. Tapi dalam situasi ini, saya tak rasa pak cik itu menipu. Jika dia menipu, dia tak akan menangis begitu.

Saya cuba bayangkan jika saya berada di posisinya. Kudrat sudah tak kuat. Tak larat lagi nak bekerja. Dan barangkali, tak ada keluarga yang sudi membantu? Atau keadaan keluarga yang benar-benar dhaif. Terpaksa pergi ke pusat zakat sendirian, semata-mata untuk memohon agar diberikan sedikit bantuan kewangan. Dengan bantuan yang ada pun, tak tentu lagi dapat menampung perbelanjaan hidup seharian. Saya tak boleh melihat situasi ini. Rasa sebak.

Doa saya, moga-moga pak cik itu dimurahkan rezeki oleh Allah. Moga segala urusannya dipermudahkan Allah. Moga diberikan kesihatan kudrat dan terus kuat. Terus kuatkan kaki melangkah dalam dunia yang penuh rintangan ini. Semoga terus kuat.


***


Selesai urusan di pejabat, saya dan Syafikah terfikir untuk singgah di kedai untuk membeli beberapa barang keperluan. Syafikah mencadangkan kami mencarinya di kedai RM2 kerana boleh didapati dengan harga murah. Masalahnya, saya tak ingat pun ada kedai dua ringgit di kawasan Kulim ini. Demi kedai dua ringgit itu, Syafikah pun sanggup memandu meredah jalan untuk mencarinya.

Tapi sampai di satu perhentian lampu isyarat, entah macam mana, enjin kereta Perodua Kancil miliknya itu termati. Termati begitu sahaja. Lampu isyarat merah. Syafikah mulai panik dan cuba menghidupkan enjinnya berkali-kali. Pagi itu dia sudah pun menceritakan tentang masalah Kancil itu. Ada masalah pada wayar starter katanya. Saya pun cuba berkali-kali menghidupkan enjinnya. Gagal. Lampu kecemasan dibuka. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Kedengaran juga beberapa bunyi hon daripada para pemandu di Kulim ini, walaupun lampu kecemasan sudah dinyalakan. Keadaan tetap sama untuk beberapa lamanya. Saya tak tahu kenapa, tapi saya lebih banyak ketawa dalam situasi genting itu.


Syafikah menghubungi ibunya untuk mendapatkan mekanik keretanya. Sementara menunggu mekanik, kami pun tak tahu nak berbuat apa. Lampu isyarat sudah tiga empat kali bertukar. Hendak keluar, kami berada di lampu isyarat. Terpaksalah tahan mendengar bunyi hon daripada rakyat Malaysia yang sibuk hendak menguruskan urusan dunia masing-masing.

Tiba-tiba, ada pak cik pemandu lori sampah lalu di sebelah kami, tanya masalah kereta. Saya memberitahunya kereta tak boleh start. Dan pak cik itu pun terus melintasi hadapan kami. Sangka saya dia sudah pergi. Tapi dalam beberapa minit kemudian, dia dan rakannya berjalan ke arah kami untuk membantu. Ya, saya sangat terharu.

Fitrah manusia, apabila berada dalam kesusahan, akan terbitnya perasaan ingin dibantu. Fitrah manusia. Sudah tentulah saya berharap ada yang akan memberhentikan kereta dan sebagainya untuk membantu. Dan dalam keramaian pemandu di jalan itu, pemandu lori sampah yang berhenti mendapatkan kami. Tapi jauh di sudut hati saya, saya sudah dapat mengagak perkara sebegini yang akan terjadi. Sebab tukang sapu sampah, tukang kebun, pengawal keselamatan atau pemandu lori sampah sebeginilah yang selalunya ada keprihatinan lebih tinggi terhadap masyarakat. Anda sendiri boleh mengakuinya.

Mereka membantu menolak kereta Syafikah ke tepi jalan. Periksa bonet hadapan. Tapi tak jumpa penyelesaian. Saya beritahu mereka bahawa kami sudah mendapatkan mekanik. Dan kedua-dua pekerja Indah Environment itu berlalu pergi. Ya, sengaja saya promosikan syarikat mereka. Kalian perlu tahu, syarikat Indah Environment mempunyai pekerja yang berhati baik.

Berdekatan kereta kami terdapat sebuah bengkel motosikal. Tapi hanya untuk motosikal. Seorang pak cik berbangsa India, mungkin pemilik bengkel itu turut prihatin dengan keadaan kami. Mana tidak, dah parking depan bengkel dia. Tapi pak cik itu pun tak dapat membantu. Nak tak nak, kami pun menunggu sehingga mekanik sampai. Dua orang mekanik India itu pun baik hati. Siap bawakan air Fanta oren untuk kami yang menunggu selama hampir satu jam setengah untuk membaiki kereta. Terima kasih. Dipendekkan cerita, alhamdulillah, kereta Syafikah berjaya dibaiki.




Saya cuma hendak cerita, bahawa jangan percaya apa yang anda lihat di kaca televisyen. Dalam drama Melayu. Apabila ada orang yang keretanya rosak di tepi jalan, akan ada lelaki kacak yang membantu. Jangan percaya. Itu semua hanya drama. Realitinya, apa yang saya lalui hari ini, hanya mereka yang benar-benar prihatin seperti pak cik pemandu lori sampah itu dan pak cik pemilik bengkel motosikal yang akan membantu. Hidup ini, tak semudah apa yang kita lihat di kaca televisyen.

Setelah selesai semua urusan, saya dan Syafikah terus pulang ke rumah. Tak berkesampaian hajat kami untuk ke kedai dua ringgit hari ini.

No comments:

Post a Comment