Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, macam yang saya beritahu pada entry saya
sebelum ini, akhirnya Program Peningkatan Sahsiah Diri dan Keyakinan Diri (PESAK)
Murid Tahap 2 bersama bekas pelajar (batch 2003) berjalan dengan lancar semalam.
Program ni sebenarnya idea suka-suka daripada saya, Aina dan Dini. Mereka
berdua ialah sahabat saya sejak sekolah rendah. Kalau dulu beberapa bulan yang
lepas kami cuma merancang, alhamdulillah program ini telah pun dilaksanakan.
Sepatutnya ada 10 orang termasuk saya yang berkelapangan
untuk mengendalikan program PESAK, tetapi salah seorang daripada kami tidak
dapat hadir atas sebab yang saya sendiri tak pasti. Kami berpakat untuk
berkumpul di SK Sungai Ular pada jam 11, iaitu tiga jam awal daripada waktu
mula program. Awalnya ingat nak bermesyuarat di kantin, tetapi keadaan kantin
pada ketika itu tidak terurus, mungkin disebabkan baru tamat waktu rehat
pelajar. Saya menghubungi Cikgu Asmah, guru yang bertugas di perpustakaan untuk
meminjam perpustakaan sebentar. Kami berempat pun (masa tu baru sampai 4 orang)
berjalan ke perpustakaan sekolah, tetapi perpustakaan pun penuh kerana
digunakan oleh sebuah kelas. Jadi kami cuma menunggu dan melepak di hadapan
perpustakaan sambil berbual kerana masing-masing pun sudah lama tak berjumpa.
Tiba-tiba seorang kerani (saya tak pasti kerani atau cikgu)
datang dan menyuruh kami berjumpa guru besar. Kawan-kawan yang lain tu teruslah
menolak saya jalan dulu. Setelah sembang-sembang sikit, seorang guru pula
mengiringi kami ke bilik kaunseling untuk kami gunakan bagi mengadakan
mesyuarat. Wah, terasa begitu formal pula, padahal kami cuma mahu mengadakan
program santai. Tapi terima kasih kepada pihak pengurusan, kami dapat tempat
yang selesa untuk berbincang sambil disertai oleh Ustaz Fauzi. Sewaktu sesi
perbincangan kami pun jelaskan balik perincian program dan berlatih apa yang
patut.
Untuk slot pertama, saudara Zulhelmi merangkap bekas
penolong ketua pengawas tahun 2008 dulu (penolong saya) mengendalikan slot
ice-breaking. Disebabkan program ini adalah untuk pelajar sekolah rendah, kami
pun tidak mahu melakukan aktiviti berat-berat. Pelajar dipecahkan kepada 20
kumpulan dan setiap kumpulan disuruh melukis lambang untuk kumpulan
masing-masing. Slot pertama lebih kepada sesi suai kenal sahaja.
Slot kedua pula dikendalikan oleh saudara Azam, walaupun ideanya
daripada saya. Slot kedua adalah nyanyian semangat. Sewaktu di sekolah menengah
dulu kami didedahkan dengan lagu Fikirkan Boleh yang memberikan semangat, jadi
saya terfikir untuk berkongsi lagu yang sama dengan adik-adik ini. Setiap
pelajar diberikan lirik dan diajar sedikit gerakan untuk lagu tersebut.
Alhamdulillah, adik-adik di SKSU memang sporting. Sempat juga kami memanggil
beberapa peserta ke atas pentas untuk menyanyi bersama.
Slot ketiga dikendalikan oleh Aina. Aina ni boleh dikatakan
antara fasilitator yang paling famous, selain saya (uhuk). Sebabnya dia belajar
di Korea dan sekarang sedang cuti. Tapi tak lama lagi dia akan pulang ke sana.
Untuk slot Aina, dia telah menyediakan kertas mahjung yang telah ditebuk lubang
berlainan saiz. Kemudian setiap kumpulan, asing lelaki dan perempuan (ikhtilat
pun perlu dijaga juga) akan memegang setiap bucu kertas mahjung seorang
sedikit. Kiranya setiap peserta dalam kumpulan wajib memegang kertas mahjung
yang telah ditebuk lubang itu. Fasilitator akan meletakkan bola ping pong di
tengah kertas dan peserta perlu memasukkan bola ping pong ke dalam nombor yang
dipilih oleh Aina. Jadi kita boleh lihat aktiviti ini sangat memerlukan
kerjasama antara kumpulan.
Akhir sekali, slot yang dikendalikan oleh saya sendiri.
Aktiviti potret berantai. Saya dah banyak kali main aktiviti ini dalam beberapa
program yang berbeza jadi adalah rasa bosan sikit, tapi rasa bosan tersebut
serta merta hilang apabila mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sangat
berbeza dengan program kali terakhir ketika orientasi pelajar tingkatan 6 baru
di Mahsuri bulan Jun yang lalu. Waktu itu saya rasa macam tak sanggup sahaja
nak mengira seorang diri di hadapan.
Aktiviti potret berantai ini lebih kurang sama sahaja
seperti telefon buruk, cuma yang ini dalam bentuk lukisan. Peserta akan melukis
objek yang diminta oleh saya tanpa memberitahu kepada ahli-ahli kumpulan lain
di belakangnya. Mereka cuma akan menunjukkan lukisan masing-masing sahaja dan
orang seterusnya dalam barisan perlu menyiapkan lukisan dalam masa 10 saat.
Dalam aktiviti semalam, tak ada satu kumpulan pun yang mampu meneka dengan
betul. Apa yang paling melucukan apabila saya menyuruh lukis beg tangan, sampai
ke peserta-peserta belakang jadi ikan. Ikan cantik-cantik pula tu. Eheh. Jadi
kalau nak diaplikasikan aktiviti ini, semua orang perlu tahu betapa pentingnya
penyebaran maklumat kepada semua ahli kumpulan supaya tidak ada seorang pun
yang tertinggal. Komunikasi yang berkesan barulah dapat mewujudkan komitmen
dalam kumpulan.
Sebelum mengakhiri program, kami sempat memilih enam orang
peserta aktif. Saya hadiahkan kepada mereka novel-novel yang ditulis oleh saya
dengan harapan dapat memberikan inspirasi kepada mereka supaya terus bergerak
maju ke hadapan. Insya Allah. Kami masing-masing fasilitator pun mendapat
hadiah dan sijil penghargaan daripada pihak sekolah. Selesai program, apa lagi.
Sesi bergambarlah jawabnya. Banyak sangat kamera sampai penat berposing. Selfie
Ustaz Fauzi dengan fasilitator pun ada. Terima kasih kepada saudara Azim selaku
jurugambar untuk program PESAK. Saya rasa seorang jurugambar juga sangat
memainkan peranan yang penting dalam mana-mana majlis dan program.
Ringkasnya, saya rasa program semalam adalah satu kejayaan
buat kami. Boleh kira baguslah untuk kami semua yang pertama kali mengadakan
program bersama ini. Sambutan daripada para pelajar pun amat menggalakkan.
Insya Allah, saya rasa kami boleh lagi turun ke SKSU tahun hadapan pula. Silap
haribulan boleh jadi program tahunan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang menjayakan
program ini, khususnya rakan-rakan saya Aina, Dini, Salsabila, Najihah, Wani,
Zulhelmi, Azim dan Azam. Ustaz Fauzi dan guru-guru SKSU. Adik-adik tahun 4
& 5 2016.
No comments:
Post a Comment