Monday, 8 August 2016

Tawaran Sambung Belajar ke IPTA dan United Kingdom


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Hari ini WhatsApp begitu rancak disebabkan keputusan UPU untuk program Ijazah Sarjana Muda sudah mula dihebahkan kepada orang ramai. Alhamdulillah, saya juga merupakan salah satu insan yang terpilih untuk menerima tawaran kemasukan ke universiti awam. Hendak berkongsi keputusan di group WhatsApp pun rasa serba salah sebenarnya kerana ada dalam kalangan ahli group yang tidak mendapat sebarang tawaran ke mana-mana universiti. Tapi mereka masih lagi berpeluang untuk membuat rayuan dan saya yakin Allah dah tetapkan rezeki masing-masing.

Kadang, rezeki mereka yang tak diterima hari ini mungkin akan jadi lebih berjaya daripada mereka yang berjaya mendapat tawaran universiti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hendak berkongsi di Twitter pun nanti mungkin akan ada yang menganggap sebagai riak padahal kita cuma mahu berkongsi. Jadi saya fikir lebih baik saya kongsikan di blog sahaja, di mana pembacanya adalah mereka yang benar-benar mahu membaca cerita saya.

1. University of Central Lancashire, United Kingdom

Baiklah. Saya berpatah balik kepada cerita beberapa bulan yang lepas. Disebabkan keputusan STPM saya yang bolehlah dikatakan agak memberansangkan, ibu saya menyuruh supaya memohon ke universiti luar negara. Jadi saya fikir kalau hendak ke negara seperti Jepun atau Korea saya akan memerlukan A-Level dahulu untuk mempelajari bahasa tersebut. Maka saya tidak memilihnya kerana itu bermakna saya perlu belajar semula daripada awal dan saya bukanlah pelajar yang layak untuk ditawarkan ke program A-Level. Saya mencuba untuk memohon ke United Kingdom kerana cuma memerlukan asas bahasa Inggeris.

Nak memohon ke United Kingdom ni kita boleh gunakan sistem UCAS yang memerlukan yuran mahal sehingga beratus-ratus ringgit. Cara kedua adalah berhubung terus melalui agen secara percuma. Jadi dipendekkan cerita, saya cuma berhubung dengan seorang agen UKUni melalui WhatsApp dan segala dokumen diserahkan melalui e-mel sahaja. Ramai yang kata untuk sambung belajar ke UK kita perlukan ujian IELTS, iaitu ujian yang lebih kurang macam MUET untuk membuktikan tahap penguasaan Bahasa Inggeris kita.

Tapi anda perlu tahu bahawa tidak semua universiti di UK memerlukan sijil tersebut. Untuk universiti yang saya pohon, cuma perlukan sijil English 1119 iaitu SPM English. Tapi sudah tentulah anda perlu mendapatkan gred A untuk melayakkan diri. Saya memohon pengajian dalam bidang psikologi dan agen saya memberitahu bahawa saya berpotensi untuk mendapat biasiswa daripada pihak universiti dengan keputusan STPM saya. Bila dengar perkataan biasiswa, sudah tentulah saya berasa teruja. Dan dipendekkan cerita, keputusan keluar sekitar penghujung bulan April yang lalu dan saya diterima masuk ke University of Central Lancashire (UCLAN).



Tapi apabila dihitung tambah tolak darab bahagi, kos pembiayaan di UK tersangatlah mahal. Berkali-kali ganda daripada kos pembiayaan universiti tempatan. Belum lagi dikira kos penginapan dan sebagainya. Jadi setelah berbincang dengan ibu bapa saya, saya putuskan untuk menolak tawaran tersebut. Ada daripada kalangan rakan-rakan yang mempersoalkan kenapa saya menolak. Anda perlu tahu yang kita hidup dalam kegawatan ekonomi. Kerajaan pun tak ada keluarkan biasiswa ke luar negara melainkan untuk kos yang meyakinkan seperti kejuruteraan. Sekian. Tutup cerita.


8 Ogos 2016


Jam di telefon bimbit sudah menunjukkan 12 tengah hari. Mesej di WhatsApp berpusu-pusu masuk. Dan saya yang sedang menjaga kaunter kedai buku, tak mampu bertindak apa-apa. Baki kredit saya cuma tinggal RM 0.72 sen dan talian saya tidak aktif. Saya baru teringat semalam saya menghabiskan kredit menelefon GoShop untuk membantu nenek saya membuat pesanan Al-Quran Wakaf Ibtida. Punyalah dia pujuk saya bersungguh-sungguh selepas terpengaruh dengan iklan GoShop di televisyen. Siap cerita secara terperinci kelebihan Wakaf Ibtida tu berulang kali.

Saya cuma boleh rehat pada jam 1, sebab jam 12 ramai murid-murid yang datang membeli barang di kedai buku SK Sungai Ular itu. Saya cuma boleh bergantung kepada Wifi sekolah yang sekejap ada sekejap tidak ada. Kawan-kawan di WhatsApp sudah mula bertanyakan keputusan UPU masing-masing. Saya nak kata gemuruh tu tak adalah sangat, cuma saya dah lama tunggu hari ini. Hampir tujuh bulan lebih saya menunggu detik ini jadi perasaan ketika itu cuma tak sabar nak tahu keputusan. Selesai menjual barang dan menghalau budak-budak nakal yang suka melepak, saya naik ke perpustakaan berjumpa Cikgu Asmah (guru yang mengajar saya Bahasa Melayu ketika darjah satu dulu) untuk menyelesaikan sedikit urusan.

“Nak balik dah ka, Na?” soalnya apabila nampak saya yang agak terburu-buru.

“Balik makan, solat. Lepas tu nak semak keputusan universiti. Hari ni keluar,” jawab saya dengan sopan. *Kononnya.

“Ouh, hari ni keputusan?” Dia tersenyum gembira. Mesti Cikgu Asmah faham perasaan saya.

Nervous ni cikgu.”

“InsyaAllah, mesti dapat tu mana-mana,” katanya sambil menepuk bahu saya lembut. Saya tersenyum. Keluar dari perpustakaan ada budak-budak sedang berdiri di koridor. Kena dendalah tu.

“Kak, tolong kami. Kami kena denda,” kata salah seorang budak perempuan di situ.

“Padan muka.” Saya menjawab ringkas sebab dah bergegas nak balik rumah. Bukannya apa, budak-budak itu memang suka bergurau dengan saya jadi saya pun berguraulah dengan mereka. Saya membiarkan Cikgu Asmah sahaja melayan kerenah budak-budak itu dan terus menuju ke mountain bike putih yang diparkir di hadapan kedai buku. Terus duduk dan pecut. Sempat melambai sambil tersenyum kepada pak cik-pak cik guard yang menunggu di pagar padahal darah gemuruh dah datang. Basikal pun dikayuh dengan kelajuan maksima.

Balik saja rumah, wifi memang langsung tidak boleh digunakan. Dalam banyak hari, hari ini jugalah dia pilih tak nak berfungsi. Nak pinjam telefon bimbit kakak, fon dia tak ada data. Nak sms tak ingat macam mana. Pinjam telefon bimbit ibu saya, tapi internet pun sangat lambat. Saya pun ambil kunci kereta Kancil, hidupkan enjen dan pecut ke kedai 7-Eleven taman perumahan sebelah untuk membeli topup. (Tak adalah pecut mana pun) Di pertengahan jalan pula, ada sebuah kereta di hadapan saya yang sangat lambat bergerak. Gara-gara kereta itu, saya tak sempat lepas lampu isyarat hijau. Kena tunggu lampu merah. Tapi saya sangat bersabar orangnya, jangan risau. Dipendekkan cerita, saya pulang ke rumah dan menyemak keputusan saya.

2. Universiti Utara Malaysia

Tak ada sebab spesifik kenapa saya memilih UUM. Mainly sebab ibu saya yang pilihkan. Ramai dalam kalangan rakan yang mendapat tawaran universiti yang sama dan mereka mengajak saya masuk UUM. Persoalannya, is this what I want?



3. Universiti Sains Malaysia

Kata mereka, universiti ini merupakan salah satu universiti terbaik di Malaysia. Dan saya juga seperti tertarik dengan USM. Cuma yuran dan tempoh pengajian yang membuatkan saya ragu-ragu untuk memilih. Doshio? (Japanese: Apa patut saya buat?)


Alhamdulillah, saya mendapat tawaran ke USM (Pengurusan) dan UUM (Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa). *Langsung tak ada kena mengena dengan bidang psikologi. Kedua-duanya adalah program pilihan pertama yang saya isi. Kedua-duanya adalah program yang lebih kurang sama, iaitu pengurusan. Tapi saya masih lagi belum dapat membuat keputusan untuk pilih yang mana. Saya akan fikir masak-masak dulu.


Siapa Kata Hidup Ini Mudah?


Guys, I messed up before. Saya gagal mendapatkan keputusan yang cemerlang untuk SPM. Saya bersyukur dengan keputusan saya cuma keputusan itu tidaklah mencapai standard seorang pelajar sekolah berprestasi tinggi. Saya tidak mendapat UPU selepas SPM. Kawan-kawan yang lain semuanya berjaya masuk ke universiti tempatan dan ramai juga universiti luar negara. Saya tahu apa rasanya kecewa. Apabila orang memandang rendah kepada kita. Saya tahu apa rasanya berada di posisi yang bawah. Tapi semua itu bukan alasan untuk kita mengalah. Belajar daripada kegagalan, dan terus percaya akan kejayaan.

Saya percaya, dalam satu tahap hidup ni kita perlu rasa perasaan berada di bawah sebagai persediaan berada di atas. Saya percaya ini baru permulaan untuk saya. (Ceh belum masuk lagi bolehlah sembang) Allah bukakan jalan dan permudahkan urusan ke universiti sebab Dia nak tunjukkan hikmah kepada kesilapan saya. Kalau nak cerita pasal benda-benda yang saya pernah messed up, saya rasa tak ada manfaatnya. Saya lebih suka cerita benda yang baik untuk perkongsian. Cuma saya nak kalian tahu, di sebalik kejayaan saya, ada benda yang saya struggle. Kalian cuma perlu tahu itu. Siapa kata hidup ini mudah?

Syukur Alhamdulillah. Terima kasih ibu dan ayah. Keluarga. Guru-guru. Rakan-rakan. Semua yang memberikan semangat kepada saya. Pembaca blog Nafas Baru. Terima kasih.

Tahniah kepada semua yang bergelar pejuang.

5 comments:

  1. Wahh...kptusan SPM xmncapai, tp kputusan STPM sgt cmerlang. Thniah ina...gdluck ye

    ReplyDelete
  2. Tahniah dapat tawaran ke Universiti. Tak sangka pejam celik pejam celik, dah besar dah adik nurina izzati.

    Fikir juga selepas habis belajar nanti, bidang yang adik pilih boleh bawa adik ke mana.

    Sarjana Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa boleh membawa adik pergi oversea tau. Jadi diplomat atau pegawai di kedutaan malaysia di seluruh dunia. hehe.

    apa-apapun, semoga apa-apapun yang adik pilih membawa kebaikan untuk diri adik sendiri dan keluarga.

    salam kunjungan dari saya.

    ReplyDelete