Friday, 21 July 2017

A Raya Story


Bismillahirrahmahirrahim.

Syawal bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Macam mana dengan raya anda? Raya saya kali ini agak simple sebab kami tak bercuti panjang. Kami menyambut hari raya di Johor, Melaka dan kemudian baru di Kedah. Hari raya ketiga, kami sudah pulang ke Kedah kerana kakak saya sudah masuk bekerja.

Bila usia sudah meningkat dewasa ini, mood raya itu sudah tidak sama lagi seperti zaman kanak-kanak dulu. Dulu, waktu kanak-kanak, bukan main teruja lagi hendak membuat persiapan raya. Malam raya, sibuk membantu ibu masukkan duit raya ke dalam sampul, berkumpul dengan sanak-saudara, main bunga api, mercun pop-pop, tengok orang bakar meriam (saya tak bakar sebab takut) dan macam-macam lagi. Not to mention, zaman kanak-kanak tak perlu lagi basuh pinggan mangkuk masa tu. Dulu, dengan semua orang kita main. Sepupu sepapat perempuan lelaki, main tak ingat dunia. Saya selalu suka mereka cerita hantu dan bercerita setiap malam kepada sepupu yang lebih muda daripada saya. Kalau di kampung tu, main lari-lari saja sepanjang masa. Kadang, bantu keluarga buat kuih raya. Dan macam-macam lagilah.

Tahun ini, dengan kesibukan belajar di universiti dan sebagainya, dua malam sebelum raya baru kami keluar untuk membeli tudung raya. Kampung saya di Johor juga sudah tidak ramai yang berkumpul pada hari raya pertama selepas arwah embah meninggal dunia. Tidak ada anak kecil yang bermain bunga api (sebab mak saya tertinggal bunga api di Shah Alam). Masukkan duit raya dalam sampul masih ada, cuma jumlahnya makin besar. Dulu, seringgit dua sudah cukup. Sekarang, kalau dapat seringgit dua budak-budak kecewa. Raya sekarang, anak dara banyak habiskan masa di dapur. Bukan nak mengungkit, cuma nak gambarkan suasana (yalah tu).

Sekarang, dengan sepupu lelaki dah perlu jaga batasan. Dalam rumah pun perlu bertudung. Raya, raya juga. Batasan tu masih harus dijaga. Sekarang, sudah tak boleh berlari-lari lagi di dalam rumah. Kalau buat juga, saya yakin mereka akan kata saya sudah buang tabiat. Buat kuih raya pula, sudah jarang sekarang. Tahun lepas ada rasanya, tahun ini tak sempat buat. Banyak lagilah perbezaan raya dulu dan raya sekarang.

Raya kedua: Melaka

Walaupun keterujaan untuk raya itu sudah berkurang, semangat raya masih ada. Sebab cuma pada hari rayalah dapat kita berjumpa semula dengan sanak saudara bagi yang tinggal berjauhan. Kalau yang tinggal berdekatan tu pun sama juga, selalunya suasana akan meriah sepanjang masa. Saya pernah singgah ke rumah seorang kawan, bukan pada hari raya. Tapi suasananya meriah seperti hari raya kerana kaum kerabatnya semua tinggal berdekatan dan berkumpul pada waktu petang. Saling bertukar juadah dan bertukar cerita. Seronok melihat suasana sebegitu. Saya pula, ibu berasal dari Selangor dan ayah dari Johor. Di Melaka pula, ramai juga sanak saudara atuk saya. Kira kampung halaman jugalah Melaka tu. Tahun ini, kami sempat berpuasa di Selangor tapi tak beraya di sana sebab sudah hampir setiap tahun beraya di Selangor. Kami jugalah salah satu keluarga yang menjadi punca tak ramai beraya di Johor pada hari raya pertama.

Tahun ini, baju raya keluarga saya tidak sedondon. Ibu saya sudah putuskan untuk tidak lagi memakai baju raya sedondon seperti dulu. Jadi nak kata tema tu, tak ada tema. Cuma baju raya saya berwarna hijau. Raya kedua di Melaka pula, saya memakai blaus hitam turquoise. Kami mengunjungi sanak saudara dan jiran tetangga di Johor dan Melaka.

Di Kedah pula, saya sekadar menjemput rakan-rakan untuk beraya di rumah. Rakan-rakan tingkatan enam sajalah pun yang rajin datang beraya sebab lebih rapat dengan mereka. Rakan universiti pula ramai yang tinggal berjauhan. Dan semalam pula, kami telah membuat “open house” sekali dengan Majlis Perasmian Pusat Kecantikan & Spa Alamku yang dikendalikan oleh ibu saya. Tahniah sebab buka spa baru.

Alhamdulillah, rakan saya dari sekolah rendah, sekolah menengah dan tingkatan enam pun hadir bagi memeriahkan majlis. Saya tidaklah menjemput ramai orang, yang mana masih contact dengan saya sahaja. Dan ada yang saya jemput last minute. Tapi saya rasa seronok bila mereka datang untuk memberikan sokongan. Walaupun mereka ada hal masing-masing, masih sanggup luangkan masa untuk kita. Saya juga baru membaca mesej di FB. Cikgu Fazeila dan cikgu-cikgu tingkatan enam yang lain hampir juga datang tapi disebabkan saya tak reply, mereka tak jadi hadir. Serba salah pula saya dibuatnya. Maafkan saya, cikgu. Saya tak install FB Messenger di telefon bimbit. Dan saya tak pegang pun phone sebab buat kerja.

Hari yang sama juga semalam, bekas rakan-rakan sekelas saya di SM Sains Kuala Selangor (Kusess) dulu buat reunion. Tapi sudah tentu saya tak dapat hadir sebab mereka di Selangor, saya di Kedah. Dan juga sebab open house kami. Rindu pula nak berjumpa mereka. Kalau dekat, mungkin sudah lama saya sertai.

Apa pun, saya harap raya tahun depan dapat berjumpa lagi dengan rakan-rakan. Kalau ada open house lagi, insyaAllah, jemputlah semua yang mengenali diri ini. It feels good to meet your friends and relatives and exchange stories with them. Terima kasih kerana membaca. Salam Syawal.

No comments:

Post a Comment