Sunday, 30 January 2011

Diari#9: Rindu Tahun 2008!

Tiba-tiba sahaja saya jadi teringat pada tahun 2008 yang pernah saya lewati. Ada apa dengan tahun 2008? Tahun tersebut meninggalkan 1001 kenangan yang termanis buat saya. Sangat manis. Kenapa?

1. Tahun saya sebagai senior SK Sungai Ular. Saya akui, menjadi pelajar senior memang menyeronokkan, kerana menunjukkan kita yang lebih dewasa daripada adik-adik yang lain. Padahal, hakikatnya perbezaan usia antara saya dan junior bukanlah ketara pun. Waktu sekolah rendah saya bolehlah dikatakan agak nakal, suka lakukan apa sahaja ikut suka hati. Namun, saya tetap tidak akan menindas adik-adik junior, malah saya sayang pada mereka!

2. Saya dilantik menjadi ketua pengawas sekolah. Sampai hari ini, saya sendiri masih tidak percaya dengan hakikat itu. Diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguruskan sebuah sekolah bukanlah semudah yang dijangka. Hakikatnya, semuanya memerlukan kecekalan dan kesabaraan.

3. Dapat 5A dalam UPSR. Bagi seorang 'kanak-kanak' yang baru pertama kali menghadapi ujian besar pada waktu itu, kejayaan saya memang sangat menggembirakan. Jujur saya akui, saya hampir-hampir menitiskan air mata sejurus melihat slip keputusan peperiksaan saya. Terharulah katakan. Tahun ini pula, 2011, harus sekali lagi menghadapi ujian besar. PMR. Kadang-kadang rasa gentar pun ada, namun saya percaya Allah akan kurniakan balasan yang setimpal dengan usaha seseorang itu. Jadi, saya harus berusaha lebih kuat!

4. Dipuji oleh para guru. Wah, yang ini paling saya suka. Setiap kali peperiksaan atau setiap kali menyelesaikan sesuatu tugasan, saya pasti dipuji oleh guru. (Kembang sekejap) Kawan-kawan pun selalu mengadu, "Asyik-asyik Nurina ... asyik-asyik Nurina ..." "Nurina, Nurina, Nurina!" Saya cuma mampu tersenyum mendengar rungutan mereka. Ya, memang benar tahun 2008 saya bolehlah dikatakan agak terkenal di sekolah rendah. Tetapi itu dulu, sekarang, rasanya, tidak lagi.

5. Menguruskan sebuah majlis besar. Yang ini paling saya suka. Saya diberikan amanah oleh guru disiplin untuk menguruskan jamuan pengawas sekolah! Pada awalnya saya ragu-ragu juga, takut nanti semua perancangan saya tidak menjadi. Tetapi alhamdulillah, daripada segi persembahan, hiasan, makanan, sambutan, semuanya berjalan lancar! Saya senang melihat para guru yang hadir tersenyum. Paling tidak, saya mampu berbangga dengan hasil kerja saya.

Tahun 2008 merupakan tahun yang sangat bererti buat saya, terutamanya apabila diberi amanah untuk menjadi ketua pengawas sekolah. Biarlah saya berkongsi pengalaman saya sepanjang menjadi ketua pengawas. Apa yang paling menggembirakan dengan menjadi ketua pengawas ialah, semua keputusan ada di tangan kita. Maksud saya, setiap kali anak-anak buah saya kurang jelas tentang sesuatu, mereka akan mendapatkan saya.

Begitu juga ketika waktu mesyuarat. Saya bebas menyuarakan apa yang saya inginkan. Part yang paling saya suka ialah pada waktu rehat. Lazimnya, setiap pengawas akan diberikan kawasan jagaan masing-masing pada waktu rehat. Bagi saya, saya lebih gemar menjaga barisan di kantin. Kerana apa? Setiap kali saya menjaga para pelajar dan mereka berbaris dengan elok, pekerja kantin akan memberikan saya air secara percuma. Selalunya air teh ais. Niat saya yang ikhlas untuk bertugas tambah imbalan seperti itu, membuatkan saya lagi bersemangat untuk bekerja!

Pada waktu rehat juga, bangunan pelajar darjah lima dan enam yang mempunyai tiga tingkat tidak boleh dilalui oleh sesiapa pun kecuali saya dan penolong saya, xxxxxxxx. Oh ya, tahun itu, ketua pengawas perempuan dan penolongnya lelaki, ya. Tetapi, waktu rehat jugalah ramai murid-murid nakal yang cuba menyeludup masuk ke dalam kelas masing-masing. Penat saya terpaksa mengejar mereka ke sana ke sini. Namun, semua itu kini menjadi memori manis buat saya.

Pernah juga ada suatu kes di padang. Waktu itu saya sedang meronda di kawasan sekolah lain. Rakan saya, Aina namanya menceritakan ketika saya sedang meronda itu, ada murid-murid yang bermain sepak takraw di padang pada waktu rehat, yang jelas-jelas suatu kesalahan. Aina yang agak panas baran sedikit, (sampai sekarang sifat itu masih ada pada dia) mengugut untuk mengadu pada saya yang tidak ada di situ. Lantas Aina segera mencari kelibat saya dan menceritakan kesalahan budak-budak itu.

Saya segera berjalan menuju ke padang, dan akhirnya apa yang saya dapati ... kosong! Cuma desiran angin pagi menampar lembut wajah kami. Budak-budak itu menghilang. Saya cuma menggeleng kepala sambil tersenyum. Adakah mereka takut pada saya, ya? Sedangkan saya rasa saya tidaklah begitu garang pun.

Akhirnya budak-budak itu dapat juga ditangkap kerana Aina mengecam wajah-wajah mereka, dan kes itu akhirnya saya serahkan kepada cikgu disiplin untuk tindakan selanjutnya. Lucu!

Dahulu, setiap kali mesyuarat cikgu-cikgu diadakan, saya ditugaskan untuk membahagikan tugas kepada para pengawas untuk menjaga setiap kelas. Ya lah, cuba bayangkan, tak mungkin saya yang terpaksa mengawal semua kelas dari darjah satu hingga darjah enam? Semputlah saya! Setelah membahagikan kelas masing-masing, mereka akan bergerak lantas saya dan penolong saya itu akan meronda satu sekolah kerana kami tidak ada kelas tertentu untuk diperhatikan. Apa yang menariknya, saya sering mendengar kekecohan daripada banyak kelas, tetapi tatkala saya lintas di hadapan kelas itu sahaja semuanya menjadi diam. Aneh saya! Meskipun saya merindui darjah enam, saya tetap percaya setiap tahun mempunyai kelainan yang tersendiri.

Tahun 2009, saya memutuskan untuk menjadi pustakawan di sekolah hingga kini. Tahun 2010, part yang paling seronok adalah apabila saya dan keluarga sebelah ibu pergi bercuti di Pulau Pangkor. Memang seronok sangat. Tahun 2011 pula, saya bakal menghadapi PMR. Doakan saya berjaya mendapat 8A ya, semua? Allahumma ameen.


*Satu-satunya gambar kenangan di sekolah 2008 yang saya ada. Gambar yang dibulatkan adalah saya ketika merasmikan majlis pembukaan jamuan pengawas 2008.

*Gambar kenangan di Pulau Pangkor 2010.

2 comments:

  1. Salam,
    Belajar rajin2 ya...dah kerja nanti tak menyesal. Rajin2 menulis juga...bakat usah disia2kan. Ia bonus yang tak semua orang ada

    Memetik Anggur di Tasik Beris

    ReplyDelete
  2. @anyss
    waalaikumussalam,
    insyaAllah.
    saya anggap sebagai anugerah dan ujian Allah, doakan saya agar terus istiqamah.
    terima kasih.
    =)

    ReplyDelete