Menuntut ilmu dan kefahaman islam
Sudah menjadi kewajiban kaum muslimin untuk mempelajari dan memahami ilmu islam kerana, tidak akan mungkin seorang muslim mengamalkan agamanya tanpa disertai mempelajari dan memahami ilmu tersebut dengan baik dan benar. Berbeza dengan ‘ilmu’ teknologi dan ICT, tidak semua kaum muslimin wajib untuk mempelajarinya. Ilmu yang telah Allah SWT turunkan melalui Rasul-Nya merupakan ilmu yang menyangkut keselamatan hidup seseorang di dunia mahupun di akhirat kelak. Maka, bila seorang muslim menghendaki kebaikan, hendaknya dia berupaya mempelajari dan memahami secara baik dan benar ilmu yang satu ini.
Sebagai imtihanya, sepanjang yang saya ketahui, berbanding blog islamik dan blog gosip atau blog yang lainnya, pemuda pemudi lebih memilih yang lain daripada blog islamik. Artikel-artikel islamik yang 'panjang menjela' dirasakan membosankan dan membuang waktu. Itu hakikat yang sebenar.
Saudara-saudaraku, bila dibicarakan tentang ilmu islam, ia bukanlah sesuatu yang baru sahaja didengari oleh telinga kita, sejak zaman Rasulullah SAW lagi semuanya telah bermula. Bayangkan Rasulullah yang terpaksa bersusah-payah dalam menyebarkan ilmu itu sehingga sampai kepada generasi kita hari ini, tetapi usaha para dai'e kini cuma dianggap enteng, padahal sebenarnya apa yang dikehendaki adalah kita sama-sama semuanya mendapat redha Allah dan ganjaran syurga, bukannya menunjuk-nunjuk ilmu yang baru dipelajari atau ingin memperlihatkan 'kealiman' seseorang itu. Hargailah usaha-usaha ulama, para pemimpin dan semua yang cuba membawa pemikiran islam yang sebenarnya selagi masih ada. Andai sahaja, manusia-manusia ini sudah tidak ada lagi di muka bumi ini, kita pastinya telah lama hanyut dan tidak mampu lagi mendapat bimbingan ilmu islam.
Muslimin muslimat yang saya kasihi, ketahuilah ilmu islam, atau islam itu sendiri sebenarnya bersifat komprehensif, menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Asas utama ajaran Islam ialah ke arah membina kehidupan manusia yang beriman, bertakwa dan cemerlang sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Kedatangan Islam sebenarnya membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Hargailah islam, agamamu, bukan?
Gejala mat rempit
Gejala ini merupakan salah satu gejala sosial yang agak mendapat perhatian umum, dan statistik mat rempit juga telah menaik. Yang saya hairankan, kebanyakan mat rempit terdiri daripada pemuda islam, dan jarang sekali saya lihat pemuda bukan islam melakukannya.
Akal manusialah menjadikan seseorang itu makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.
Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam. Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.
Penunggang motosikal di jalanan terdiri daripada penunggang motosikal biasa, mat rempit dan bikers. Bikers memakai pakaian yang berhemah, tidak melakukan aksi-aksi bodoh di jalanan, jauh berbeza dengan mat rempit. Jika pemuda menunggang motosikal untuk menunjukkan kehebatan dan kelasakan anda dalam merempit, cukuplah sekadar jadi bikers atau golongan penunggang motosikal biasa, tidak perlulah dikategorikan dalam golongan mat rempit. Insan yang beriman pada pandangan agama digelar orang mukmin.
Rukun iman yang keenam mampu melahirkan mat cemerlang seperti kehendak kepimpinan negara dalam usaha menangani gejala mat rempit. Menghasilkan remaja yang beriman adalah usaha semua yang dikepalai oleh kepimpinan negara. Negara mengharapkan yang terbaik daripada pemuda islami kini, pemudi islami pula mengharapkan pemuda yang menjadi khalifah, bukannya ayah rempit kepada anak-anak mereka nanti. Pemuda harapan negara, harapan semua. Janganlah mengecewakan harapan-harapan ini.
Pemikiran tentang buang bayi
Apa dosa bayi yang tidak berdosa dibuang sebenarnya? Betapa kejam dan tidak berhati perut manusia yang berbuat demikian. Sudahlah melakukan dosa besar dengan berzina kemudian membunuh pula anak hasil hubungan haram berkenaan.
Apa sudah jadi dengan pemudi kita pula tanpa segan silu melakukan perbuatan keji itu? Sanggup membunuh dan yang terbaru sanggup mereka membakar bayi. Tong sampah, kotak, masjid, depan rumah adalah antara tempat yang pernah menjadi pilihan untuk membuang bayi. Lebih menyedihkan lagi, media melaporkan ada bayi yang didagangkan semata-mata mahu mengejar kekayaan duniawi yang sementara ini.
Astaghfirullahalazim, bukanlah saya selayaknya menghukum, cuma Allah yang selayaknya. Cuma saya sedih, bayi merupakan permata jernih negara, bayilah yang akan membesar menjadi pemuda pemudi harapan kelak. Dengan membuang atau membunuh bayi, samalah ertinya dengan membunuh seorang pemuda atau pemudi negara. Menurut saya, apa yang berperanan penting di sini adalah nafsu. Nafsu duniawi semata. Nafsu untuk mendapatkan kasih sayang, cinta dan lafaz janji yang palsu. Tahukah anda sebenarnya anak kecil yang tidak berdosa juga perlukan perasaan seperti itu daripada ibu dan ayahnya?
Rasanya, apa yang bermain di fikiran ibu-ibu, cuma malu menconteng arang ke muka, tetapi langsung tidak terfikir, di akhirat nanti Allah akan menayangkan kembali apa yang telah kita lakukan di dunia ini. Dan tidak guna juga kita menyesali perkara yang telah berlaku, kerana kita perlu bertaubat untuk memohon kemaafan Allah semata.
Masalah pembuangan bayi juga adalah salah satu natijah buruk yang terhasil akibat pelbagai masalah masyarakat yang melanda dan kini menjadi barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita. Justeru, cara sewajarnya bagi menangani permasalahan buang bayi adalah membanteras segala punca yang menjadi sebab kepada permasalahan ini. Kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga harus diperbetulkan demi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai murni yang membawa kepada terlahirnya generasi muda yang mempunyai daya tahan tinggi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang di zaman yang serba canggih dan moden ini. Insya Allah.
Konklusi
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru para pemuda pemudi islam di luar sana agar bangkitlah! Majulah untuk negara dan islam! Kita perlu sama-sama menempuh duri dan ranjau yang tidaklah seberapa ini dibandingkan dengan ujian dan cubaan yang dihadapi Rasulullah dahulu. Janganlah mudah tertewas dengan bisikan syaitan dan nafsu, kerana kita harapan negara. Harapan islam. Mudah-mudahan penulisan saya yang masih mentah ini tiadalah melainkan ibadah untuk mendapat redhaNya semata.
*p/s: sengaja saya menukar-nukar font kali ini. =)
Klik like jika suka, jika tak suka, diam sahaja.
masa muda bukan untuk disiakan. itu mmg patut dipegang oleh semua remaja. :)
ReplyDeletep/s: ada di KL. ponteng sklh esok (ahad)..haha. dahla nak PMR.
@ariffah9
ReplyDeleteinsyaAllah.
eh? xpa, yang penting boleh fokus.
=)
Alhamdulillah.....semoga kita semua jadi pemuda yang soleh
ReplyDeletehttp://mudamudi-melayukita.blogspot.com/
Semoga pemuda pemudi insafkan diri.
ReplyDelete