Sunday, 31 August 2014

Diari#53: Saya dan Malaysia

Diambil oleh ibu saya dalam penerbangan ke Sabah

Sejak kecil lagi saya sering dilabel oleh rakan-rakan sebagai bukan warganegara Malaysia, hanya kerana saya dilahirkan di United Kingdom. Dan setiap kali itu jugalah saya akan bermati-matian mengatakan bahawa saya seorang warganegara Malaysia yang sah. Dulu mungkinlah tak ada bukti sangat, tetapi sekarang saya sudah mempunyai kad pengenalan dan juga pasport Malaysia. Masih mahukan bukti lagi? Eheh. Saya tahu mereka sekadar mahu mengusik saya sahaja.

Saya serius cintakan Malaysia dan sangat bersyukur dapat menetap di negara ini. Kalau dari segi cuaca, memanglah Malaysia tak ada salji seperti United Kingdom. Tak boleh main luncur salji. Tak boleh main baling-baling salji. But think of the bright side, we really can save our expenses here.  Tak perlu susah-payah untuk membeli baju sejuk dan baju yang berlapis-lapis. Tapi itu tidak bermakna kita boleh pakai baju selapis yang tak cukup kain apabila berjalan di luar. Malaysia pun kaya dengan rakyatnya yang bersopan dan ada adat tersendiri. Well, most of us.

Bahagian yang paling menarik, Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa. Saya juga dapat berkawan dengan rakan-rakan berbangsa India dan Cina. Atas dasar ini jugalah, pelajar Malaysia yang belajar di luar negara lebih cepat menyesuaikan diri mereka berbanding pelajar dari negara yang lain. Kita patut berbangga dengan kelebihan ini.

Kalau dibacakan kisah-kisah perjuangan tokoh sebelum merdeka, saya terasa seolah-olah ingin berada sendiri pada zaman itu untuk menghayati perjuangan mereka. Saya ingin bersama-sama memperjuangkan negara. Tetapi sayang, semakin zaman berputar, generasinya sudah tidak lagi mempunyai penghayatan merdeka yang mendalam, termasuk saya sendiri. Kami sudah terbiasa dengan hidup di negara bebas, sebab itulah sukar untuk membayangkan keadaan Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.

Di sinilah munculnya filem-filem merdeka dan buku-buku sejarah yang berperanan untuk terus menyemarakkan semangat merdeka dalam diri pemuda pemudi Malaysia. Saya tabik dengan usaha segelintir pihak yang tidak mahu nilai merdeka luput dengan begitu sahaja.

Saya ingat, dulu setiap kali sambutan ulang tahun merdeka, saya suka membeli bendera yang ada gula-gula di dalam batangnya. Bendera dua puluh sen sahaja jika tidak salah saya. Dan setiap tahun juga di sekolah rendah wajib akan diadakan pertandingan melukis atau mewarna Jalur Gemilang. Paling susah apabila kita perlu melukis bulan dan bintang. Bulan perlu betul-betul jadi bulan. Bintang perlu ada empat belas bucu. Jika tak cukup, terpaksa padam dan lukis sekali lagi. Sekarang, semua itu sudah tidak dapat saya alami lagi. Kalau saja-saja hendak melukis Jalur Gemilang, memang taklah.

Nikmat utama yang patut kita syukuri ialah, Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Negara demokrasi. Rakyat bebas memilih pemerintah. Raja pula memerintah berdasarkan perlembagaan. Kita tak perlu risau dengan sebarang politik dalaman seperti negara luar yang lain. Kita... aman.

Saya doakan semoga keamanan Malaysia akan terus kekal sampai bila-bila. Semoga nilai kemerdekaan tak akan luput dimamah zaman. Semoga Tuhan merahmati perjuangan kita semua. Biidznillah.

Cerpen: Merdekakan Aku



Merdeka bukan sekadar membebaskan negara daripada penjajahan
tetapi juga membebaskan jiwa daripada dikuasai.
Aku berjuang untuk aku
juga berjuang untuk mereka
Tuhan bantulah aku, merdekakan aku.

Suasana sekeliling begitu gelap. Bintang di langit malam langsung tidak mahu memunculkan diri masing-masing. Terus bersembunyi untuk mendapatkan istirehat yang cukup. Udara dingin lembut menjilat pipiku dengan penuh asyik. Aku menelan liur, kegelisahan menyelubungi jiwaku. Malam ini bukan kali pertama aku terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu. Namun entah kenapa, jiwaku terpalit perasaan takut dan curiga. Wajah manusia di hadapanku itu ku perhatikan dalam gelap. Aku mampu melihat senyuman sinis yang diukir pada wajah lelaki berbadan tegap itu.

“Kau tahu prosedurnya, bukan? Tunjukkan aku bukti, dan aku akan berikan kau imbalannya,” si badan tegap itu akhirnya bersuara.

Mendengar kata-kata itu, lega sedikit hatiku. Aku menghela nafas pendek sambil tangan kiriku meraba-raba sesuatu di dalam poket seluar jeansku yang sudah koyak-rabak dan lusuh. Aha, setelah mendapatkan barang yang aku inginkan, aku mengeluarkan tangan kembali dan membuka sampul surat itu untuk membiarkan dia berpuas hati. Dia menyelukkan tangannya ke dalam sampul dan menyentuh sesuatu. Kemudian dia menjilat jari telunjuknya dan kembali tersenyum sinis. Betapa hodohnya wajahnya ketika itu, kalau boleh kukatakan padanya. Setelah itu, si badan tegap menukarkan sampulku dengan sampulnya yang lebih tebal.

“Macam mana aku nak pastikan semuanya cukup?” giliranku pula untuk menyoal. Bukan apa, aku sekadar mahu mengambil langkah berjaga-jaga. Aku tidak mahu tertipu seperti satu peristiwa yang pernah terjadi tidak lama dahulu. Aku masih mentah lagi ketika itu. Aku sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pembeli-pembeli bedebah yang licik. Aku tidak akan lupa saat aku dipukul dengan teruk oleh ahli-ahli kumpulanku sendiri. Mujur ketika itu Bang Joe menyelamatkanku. Jika tidak, aku mungkin telah lama mengucapkan selamat tinggal pada Bumi.

“Kau boleh periksa kalau kau masih ragu. Aku tak ada masa untuk bermain dengan kau sekarang. Kau cuma akan membazirkan masa aku.” Si badan tegap mengangkat sebelah keningnya, mungkin tidak senang dengan pertanyaanku itu.

“Baiklah.” Setelah menjenguk sebentar isi di dalam sampul yang diberikan, aku mengangkat tangan kanan ke hadapan paras pusat si badan tegap. Dia menjabat tanganku acuh tidak acuh. Si badan tegap masuk ke dalam keretanya dan aku pula menghidupkan enjin motosikalku. Kami mengambil haluan yang berbeza, membelah kedinginan malam.

***

“Bro... bro...” aku terasa badanku digoncang kuat. Aku memilih untuk tidak mahu memisahkan kedua-dua kelopak mataku. Badanku masih lagi digoncang kuat, kali ini sambil menyeru namaku.

“Shahril! Bro!” Suara itu menggegarkan minda separuh sedarku. Aku perlahan-lahan cuba memisahkan kelopak mata dan kembali memijak di alam nyata. Aha, aku hampir saja terlupa. Aku masih lagi berada di kafeteria dan selepas ini ada kelas dengan Sir Jaafar. Aku memandang muka si Iman yang mengejutkanku bangun. Aku tahu, Hakimi juga pasti sedang menatapku ketika itu.

“Dah lima belas minit kau tidur, bro. Ini mesti qiam malam tadi, kan?” Iman, sesuai dengan namanya, memang akan tanya soalan yang beriman sahaja.

Qiam? Aku tidak pernah bangun malam, apatah lagi untuk solat-solat sunat segala. Ya, aku akui, aku bukan seorang yang alim seperti Hakimi, juga bukan seorang yang warak seperti Iman. Entah macam mana aku boleh terjebak dengan golongan malaikat seperti mereka berdua ini.

Aha, kini aku sudah ingat kembali. Waktu itu, kami mula-mula masuk kolej. Ketika dalam perjalanan pulang, aku melihat dua orang pemuda yang sedang terpinga-pinga di tepi jalan. Melihat keadaan kereta mereka yang tersadai, aku sudah boleh mengagak sama ada masalah enjin, minyak atau tayar bocor. Selalunya aku memang tidak akan peduli jika ada orang yang berada dalam kesusahan, tetapi hari itu jiwaku terdetik pula untuk membantu pemuda-pemuda yang kasihan itu. Kebetulan, sewaktu menunggu keputusan SPM dulu, aku sempat bekerja dengan Ah Lee di sebuah bengkel kereta. Ah, aku teringat pula tentang si Ah Lee. Dulu aku rajin bekerja, kerja secara halal. Kini... ahh.

Setelah dua kali berfikir, aku memberhentikan motosikal di belakang kereta mereka berdua. Aku tak banyak bicara, langsung melihat dan membetulkan kerosakan kereta si Iman. Apabila Iman berjaya menghidupkan enjin kereta, dia teruja bukan main. Iman keluar dari kereta dan memelukku terharu. Perasaanku ketika dipeluk oleh Iman, sungguh luar biasa. Aku tidak pernah dipeluk mesra sedemikian rupa. Hakimi juga turut berterima kasih padaku kerana membantu mereka. Aku dilanda perasaan kencang seolah-olah sebuah magnet yang kuat sedang menarikku kepada mereka berdua. Atas dasar itulah, Iman dan Hakimi setia berkawan denganku sehingga hari ini. Seingatku, sudah hampir enam bulan kami berkawan.

Mereka berdua tahu, aku malas sembahyang. Mereka tahu, aku jarang berpuasa. Mereka tahu, aku tak suka ikut usrah. Mereka tidak kisah dengan semua itu. Mereka tetap berkawan denganku dan sentiasa cuba menasihatiku, walaupun tidak ada satu pun nasihat mereka yang aku hadam. Cuma ada satu perkara sahaja yang mereka masih belum ketahui, dan perkara itu adalah...

“Kau kerja malam, ya?” persoalan Hakimi itu menyerang tepat pada sasarannya. Aku tahu, akan sampai satu tahap, aku tidak akan mampu lagi untuk menyembunyikan kenyataan. Mungkin aku perlu berterus-terang pada Iman dan Hakimi. Mereka perlu menjauhiku. Aku tidak mahu mereka terlibat denganku lagi. Akan sampai satu tahap di mana aku terpaksa membahayakan nyawa rakan-rakanku.

“Iman, Kimi, aku sebenarnya ada sesuatu nak beritahu kau berdua. Aku... aku ada buat satu kerja ni. Aku keluar setiap malam. Aku...” aku teragak-agak memberitahu. Iman dan Hakimi sedang memerhatikanku dan menunggu sambungannya.

“Aku...” suaraku ragu-ragu.

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa dari belakangku, membantutkan hasratku untuk bersuara. Suara itu cukup ku kenali, cukup menggetarkan jiwa sesiapa yang mendengar, atau cuma menggetarkan jiwaku seorang sahaja? Aku menoleh wajahku, melihat dua wanita lengkap bertudung sedang berdiri. Nah, betul tekaanku. Pemilik suara itu ialah Nur Khalisah, atau mereka di sini menggelarnya Lisa. Nur Khalisah merupakan presiden yang mewakili penuntut wanita di kolej ini, manakala Iman merupakan presiden lelakinya. Mereka memang selalu berurusan, tetapi aku tidak pernah ambil tahu urusan apa. Paling tepat, aku tidak peduli mereka ada urusan apa.

Termasuk kali ini, hampir lima kali Nur Khalisah mengganggu perbualanku apabila aku sedang bercakap. Ah, mengganggu betul. Aku melihat dia menyerahkan fail hitam kepada Iman, dan berlalu pergi. Bagiku Nur Khalisah memang pengganggu kehidupan orang, tetapi mengapa apabila dia berlalu pergi jiwaku seolah-olah memanggilnya kembali? Adakah aku menyukainya? Tidak mungkin. Aku tahu dia menyukai Iman. Aku dapat melihat itu daripada pandangan matanya setiap kali melihat Iman. Iman seorang yang warak, pasti sesuai dengan Lisa.

“Bro, apa kau nak cakap tadi?” Hakimi menyoalku, dia pasti ingin tahu. Aku  memerhatikan manusia di sekeliling sudah ramai yang beredar. Aku mencuri tangan kiri Iman dan melihat jam tangannya.

“Aku dah terlambat untuk kelas Sir Jaafar. Nanti lain kali saja aku ceritakan,” aku cuba berdalih. Mungkin ini bukan masa yang sesuai lagi untuk menceritakan hal yang sebenar kepada mereka berdua. Aku akan mencari hari itu.

***

Aku memerhatikan Bang Joe dari atas ke bawah. Lelaki berjanggut kumis itu kelihatan tekun mengira jumlah wang di tangannya. Bang Joe merupakan orang kanan bos. Maksudnya, kalau aku rapat dengan Bang Joe, aku akan selamat. Tetapi bukan alasan itu yang membuatkan aku dekat dengannya. Bukan. Aku juga tidak tahu kenapa Bang Joe lebih mesra denganku daripada ahli-ahli kumpulan lain yang sudah lama bekerja dengannya. Tak tahu.

“Apa terjenguk-jenguk macam hilang anak! Nak cakap, cakap sajalah!” gertak Bang Joe kasar.

Memang begitulah gaya dia bercakap, tak pernah berlembut. Bang Joe menyangka aku sedang berkira-kira untuk mengatakan sesuatu padanya. Mungkin juga. Aku mengorak langkah ke hadapan, semakin mendekati mejanya. Aku menarik bangku merah dari bawah meja dan melabuhkan punggungku di atasnya. Mataku cuma memerhatikan tangan Bang Joe yang mengira wang dengan bersungguh-sungguh.

“Kau nak pinjam duit?” Bang  Joe menjelingku sambil melepaskan asap berkepul-kepul dari bibirnya yang hitam. Aku menggeleng.

“Mahu belanja makan?” Aku geleng lagi, kali ini sambil tersengih. “Habis tu apa yang kau nak?”

“Saja berbual dengan abang. Kalau kau tak kisah aku tanya, dulu kau kerja apa? Maksud aku, sebelum Bang Joe buat kerja-kerja begini,” aku cuma mengorek rahsia. Ku lihat Bang Joe memasukkan wang yang sudah selesai dikira ke dalam sampul berwarna coklat dan menyimpan di dalam poketnya. Dia memandangku tajam, mungkin sudah dapat mengagak percaturanku.

Bang Joe menghulurkan kotak rokoknya di hadapanku, tandanya dia mahu berbual-bual. Aku menggeleng. Aku tak merokok. Aku pernah juga beberapa kali mencuba untuk merokok. Kata mereka yang lain merokok mampu melegakan tekanan kita. Entahlah. Kalau aku yang merokok, kepalaku akan pening. Mungkin tidak tahan dengan bau asap rokok yang dihembus keluar melalui mulut dan hidungku sendiri. Ku perhatikan Bang Joe mengeluarkan pemetik api dan menyalakan batang rokoknya, kemudian menghisap rokok dengan penuh selamba.

“Aku dulu salesman,” Bang Joe memulakan ceritanya. Aku memasang telinga. “Jual produk kesihatan, rumah ke rumah. Aku bukan budak kolej macam kau, aku tak pandai. SPM aku dulu pun hancur. Enam bulan yang pertama aku bekerja, semuanya berjalan lancar. Walaupun kadang teruk dimarahi orang sebab mengganggu di rumah mereka, aku berjaya juga mendapat hasil jualan. Aku ingat, aku boleh berjaya dengan business aku.” Asap berkepul-kepul keluar dari bibir Bang Joe.

“Apa yang terjadi?” soalku ibarat kanak-kanak yang sedang mendengar kisah-kisah bukan fiksyen sebelum tidur.

“Akhirnya aku dapat tahu produk yang selama ini aku jual rupa-rupanya produk tiruan, bukan produk yang asli. Produk kesihatan yang tidak diiktiraf. Sampai masuk surat khabar tentang produk tu. Syarikat yang menggaji aku lingkup, bungkus balik rumah. Tinggallah aku terkapai-kapai macam kera hilang anak. Memang aku terkejut besar. Beberapa bulan lamanya aku tak dapat cari kerja. Iya lah, siapa yang nak terima orang tak ada kelulusan macam aku ni? Sijil SPM pun tak laku,” Bang Joe tersengih sinis. Berdasarkan riak wajahnya, aku tahu kenangan itu cukup pahit buat dirinya.

“Aku beruntung sebab dapat jumpa dengan Gan. Dia layan aku dengan sangat baik. Aku banyak terhutang budi pada Gan. Sebab itulah aku bersumpah pada diri aku sendiri untuk setia dan tak akan khianat pada kumpulan kita.” Gan. Itulah pengasas kumpulan kami. Aku belum pernah melihat wajahnya secara langsung. Bang Joe mempunyai pelindungnya iaitu Gan.

Aku? Pelindungku, Bang Joe sendiri. Dia yang membawaku ke sini. Dia yang membuatkanku memulakan segala-galanya. Mindaku kembali berputar pada pengalamanku sendiri, bagaimana aku boleh terjebak dengan semua ini. Ayahku kahwin lagi, dan itu merupakan satu hakikat yang tak mungkin dapat ku terima. Dia meninggalkan aku, adik-adikku dan ibuku untuk bersama dengan isteri barunya. Ibu menjadi hampir separuh gila memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya. Ibu begitu cinta dengan ayah, tetapi ayah langsung tidak mempedulikan kami lagi. Satu sen pun tidak dikirimkan ke rumah. Mujur ketika itu aku sudah tamat persekolahan, cuma tinggal keputusan SPM untuk diumumkan sahaja.

Aku perlu mencari kerja. Selama beberapa bulan aku bekerja dengan Ah Lee di bengkel kereta ayahnya, tetapi upah yang diterima masih belum cukup lumayan. Sewa rumah, duit minyak, ubat-ubatan untuk merawat ibuku, yuran sekolah adik-adik pula. Aku mempunyai tiga orang adik, dua kembar lelaki sekolah menengah dan seorang perempuan yang masih sekolah rendah. Ibuku sampai hari ini masih meratapi kehilangan ayah, dia masih trauma. Mujurlah adik perempuanku yang satu itu sudah pandai masak dan rajin menguruskan ibu. Kalau aku, mungkin tak sanggup.

Dalam keadaan ibu yang sakit itu pun, dia masih waras untuk menyuruhku sambung belajar di kolej. Aku terpaksa tidak menolak permintaannya. Aku buntu memikirkan masalah kewangan dan entah bagaimana aku boleh terserempak dengan Bang Joe. Bang Joe seolah-olah tahu aku dilanda krisis kewangan. Dia menawarkanku pekerjaan. Aku masih ingat lagi kata-katanya. “Kau boleh kerja dengan aku, tapi aku beri amaran awal. Kerja aku berbahaya dan mencabar. Kau mahu?”

“Paaappp!!” Bang Joe memukul meja dengan begitu kuat, membuatkanku serta-merta melayang dari masa lalu. Dia mengangkat sebelah keningnya, tanda kehairanan. “Kau dengar tak apa yang aku cerita dari tadi? Berangan kuat!”

Aku menarik sengih lebar.

***

“Shahril! Petang ni ada usrah, tempat biasa, lepas sembahyang Asar,” Iman memaklumkan. Tempat biasa? Manalah aku tahu tempat biasa. Aku tak pernah sekali pun menghadiri usrah. Yang aku tahu, usrah macam kerja kumpulan. Duduk dalam bulatan, sembang tentang akhirat. Ah, kemalasan yang melanda diriku semakin membuak-buak. “Kau nak pergi tak?” Iman menyambung soalannya.

“Aku ada assignment untuk disiapkan,” pendek aku membalas. Jus oren di hadapanku dihirup. Sejuk anak tekak. Sesekali aku memusingkan penyedut minuman di dalam gelas. Aku memerhatikan Hakimi yang sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, cuba tidak mahu bertentang mata dengan Iman.

“Bro, sepanjang kau di sini, aku tak pernah tengok kau ikut usrah. Apa kata hari ini kau ikut aku?” Iman masih cuba memujuk. “Bosanlah. Usrah, usrah, usrah. Apalah yang bagus sangat fasal usrah tu? Aku tak faham betul. Boleh tak kau berhenti ajak aku usrah lagi?” jujur aku meluahkan. Kali ini, aku melihat mata Iman dan Hakimi saling bertentang, seolah-olah aku baru sahaja mengisytiharkan Perang Dunia Ketiga sebentar tadi. Aku dapat melihat dengan jelas Iman sedang memikirkan sesuatu. Dia memang mempunyai akal yang panjang.

“Beginilah, Shahril. Apa kata sekali ini saja kau ikut aku datang usrah? Kalau usrah itu langsung tak menyentuh hati kau, aku tak akan ajak lagi kau datang usrah,” Iman membuat pertaruhan hebat.

“Sungguh?” aku sedikit tertarik dengan tawarannya. Selepas ini, tak perlulah lagi aku bersusah-payah mendengar bebelan budak berdua itu tentang usrah. Aku boleh bertoleransi terhadap semua perkara, kecuali yang melibatkan usrah ni.

Petang itu, seperti yang dijanjikan, aku membuntuti Iman untuk menuruti permintaannya. Aku cuma perlu bertahan untuk hari ini sahaja. Iman berjalan menuju ke Taman Rashidah yang terletak di dalam kawasan kolej. Aku sendiri tidak pernah menyedari kewujudan taman ini. Dalam perjalanan, Iman dan aku bertembung dengan orang yang paling cuba aku elakkan.

“Mahu ke mana, Iman?” soal Nur Khalisah dengan senyuman manisnya. Ah, sibuk sahaja hendak tahu urusan orang lain. Ku berdoa semoga Iman tidak lama-lama melayannya.

“Pergi usrah,” ringkas Iman menjawab. Aku dapat melihat ada reaksi terkejut yang terpapar pada wajahnya yang ayu. Wajahnya yang bereaksi macam mana sekalipun, tetap menggetarkan jiwaku. Apa yang dia hairankan sebenarnya kalau Iman pergi usrah? Mungkin dia hairan Iman berjaya membawa aku bersama-samanya. Ah, pedulikan sajalah apa yang difikirkan si Lisa ini.

“Oh, selamat berusrah!” Nur Khalisah kembali tersenyum dan berlalu pergi bersama rakan-rakannya. Aku menoleh ke belakang, memerhatikan Lisa berlalu pergi. Iman cepat-cepat menyinggung lenganku dan membawaku ke kumpulan usrah.

***

“Lambat kau hari ni,” sapa Bang Joe sebaik sahaja aku mematikan enjin motosikal. Bang Joe mempunyai parut di pipi kirinya. Katanya, dipukul orang dengan batang besi. Mungkin penampilannya itu yang membuatkan orang lain agak gentar dan menghormatinya.

“Biasalah bang. Budak kolej, banyak assignment. Eheh.” Aku berbohong meskipun aku tahu Bang Joe tidak akan termakan dengan umpanku. “Banyak assignment konon. Ha, ni bos kita nak tambah lagi assignment kau malam ni. Aku bagi kau amaran, kerja kita memang bahaya. Kalau kecut, baik kau bungkus saja balik rumah. Kumpulan kita tidak memerlukan pengecut bertopengkan manusia. Huh!” Bang Joe meludah ke tanah.

“Tengok kakilah bang! Kau bagi saja assignment, aku boleh siapkan. Tiada masalah! Kerja apa?” dengan lagak selambanya aku menjawab. Aku langsung tidak memikirkan bahaya yang mungkin menimpa. “Kau ingat tak lagi kumpulan Ular Putih yang pernah kenakan kita dulu?”

“Kumpulan bedebah tu? Mana boleh lupa, bang. Bukankah aku yang ditipu mereka sehingga teruk aku dibelasah yang lain?” Kotak ingatanku kembali membara. Sekiranya tubuhku boleh mengeluarkan api, pasti sudah rentung aku dibuatnya. Sungguh aku dendam. Aku tidak akan berpuas hati selagi dendamku tidak terbalas.

“Ah, aku lupa. Aku yang menyelamatkan kau daripada menjadi makanan ayam dulu. Ha, inilah masa yang tepat untuk kau membalas perbuatan Ular Putih. Salah seorang budak kita akan berurusan dengan mereka. Kita akan cuba merampas kembali maruah kita yang tercalar dulu!” berkobar-kobar Bang Joe dengan ucapannya. Bang Joe bergerak ke belakangku, membuka zip beg milikku dan aku dapat rasa dia memasukkan sesuatu ke dalamnya. Bang Joe kemudian menutup kembali zip beg.

“Apa tu?” aku mencapai beg dan menjenguk ke dalam. Aku terkejut bukan kepalang. Badanku seolah-olah baru dipanah petir, terketar-ketar. “P...pis...pistol?” Aku tidak pernah menduga semua ini akan berlaku. Aku tidak pernah mengagak akan sampai ke tahap ini. Aku tidak pernah memegang pistol sebelum ini. “Apa ni bang?” Aku masih ragu-ragu.

“Simpan sajalah. Itu hadiah aku untuk kau. Kalau kita bernasib baik, mungkin kau akan dapat terus menyimpannya dalam keadaan yang suci. Kalau keadaan jadi berbahaya, kau mungkin akan terpaksa menggunakannya. Kau sendiri yang bersetuju untuk sahut cabaran ini, bukan?” Kata-kata Bang Joe memang ada benarnya. Ah, tapi kalau sudah sampai ke peringkat ini, bererti aku mungkin akan terpaksa untuk bergadai nyawa. Adakah aku harus menarik balik apa yang telah kuucapkan sebentar tadi?

“Baiklah Bang Joe. Aku akan laksanakan. Kau cuma perlu beritahu aku apa yang perlu ku lakukan.”

***

Aku berjalan mundar-mandir. Iman dan Hakimi hanya memerhatikanku sejak dari tadi. Ah, terlalu banyak yang bermain di fikiranku saat ini. Serius, aku benar-benar buntu. Seolah-olah aku sedang mengalami komplikasi otak. Malam esok. Ya, malam esok aku akan bertarung. Bertarung untuk memperjuangkan maruah? Persetankan maruah. Aku lebih peduli tentang keselamatan nyawaku. Tetapi aku telah berjanji dengan Bang Joe untuk melaksanakan misi malam esok. Sudah beberapa hari aku memikirkan masalah ini. Semakin dekat dengan masa yang ditetapkan, semakin bergelodak jiwaku.

“Bro, kali ni aku betul-betul serius. Boleh tak kau ceritakan apa sebenarnya krisis yang sedang melanda diri kau sekarang ni?” Iman menyoal untuk kesekian kalinya. Aku masih mundar-mandir, sesekali memegang kepalaku lagak pengurus syarikat yang baru muflis. Kalau aku cerita sekalipun, mereka tetap tidak akan dapat membantu.

“Atau mungkin dia baru putus cinta?” Hakimi mula menembak yang jauh tersasar. Aku akhirnya cuba mententeramkan diriku sendiri. “Man, Kimi, aku memang ada masalah. Masalah yang sangat berat sehingga aku tak mampu untuk ceritakan. Masalah ini yang mengganggu aku sehingga hari ini.” Dan mungkin masalah terakhir yang aku alami di dunia ini sebelum aku pergi.

“Takkan sedikit pun kau tak mahu ceritakan?” Hakimi menduga. Aku menggeleng.

“Beginilah Shahril. Mungkin kami berdua dan kau sendiri tak dapat selesaikan masalah kau. Tapi aku kenal seseorang yang boleh selesaikan masalah kau,” kata-kata Iman sungguh membuatkan aku tertarik.

“Siapa, bro?”

“Allah SWT.” Nama itu menggegarkan jiwaku, sungguh gegarannya lebih kuat berbanding nama Nur Khalisah apabila disebut. Semacam timbul suatu perasaan aneh dalam jiwaku. Aku tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan itu. Sejuk, resah, tenang, gelisah, semuanya bercampur menjadi satu. Aku mengaku, semenjak Iman membawaku mengikuti usrah bulan lepas, aku mulai tertarik akan yang bernama usrah. Aku mulai kenal perkataan-perkataan Arab seperti dakwah, tarbiah, dan banyak lagi. Bukan sekali saja aku mengikuti usrah, tetapi dalam dua tiga kali selepas itu. Bezanya aku masih belum solat, aku masih malas berdoa. Doa yang ku hafal hanya doa makan dan al-Fatihah. Mungkin juga surah Qulhuwallahuahad.

“Allah?” Aku menuturkan nama itu perlahan, tetapi aku yakin dapat didengari oleh si Iman dan Hakimi. Aku dapat melihat muka Iman dan Hakimi yang berseri tatkala aku menyebut nama itu. Mungkin kerana sepanjang mereka menasihatiku, ini baru kali pertama aku memberikan respons yang positif. Positif? Mungkin.

“Bro, sandarkan hati pada Allah. Sesungguhnya Allah yang menciptakan masalah, dan hanya Dialah yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Kalau kau minta dengan bersungguh-sungguh, aku yakin Allah akan tunjukkan jalan keluar untuk masalah kau. Berdoalah pada Dia,” Hakimi semacam merayu padaku.

“Berdoa?”

“Malam ini, kau balik, buat solat taubat, solat istikharah. Minta bantuan Tuhan,” tambahnya lagi.

Solat? Doa? Adakah itu jalan terakhirku? Mungkin itu pilihan terakhirku. Aku jadi buntu. Adakah Tuhan akan memandang dan memakbulkan doa daripada aku? Atau segalanya hanya sia-sia? Aku mencapai beg di atas meja dan mahu bergerak pergi. Aku tidak tahu apa lagi yang perlu ku fikirkan. Sebelum aku menghilangkan diri, Iman menitipkanku sepucuk surat. Aku tidak segera membacanya di situ tetapi membukanya di tempat lain yang agak jauh dari mereka. Hairan juga, sejak bila Iman pandai berutus surat denganku.


Bismillahirrahmanirahim,

Assalamualaikum w.b.t., saudara atas dasar iman, saudara atas dasar Islam.

Di sebalik wajahmu yang sentiasa bersedih, di sebalik wajahmu yang sentiasa mengeluh, aku tahu ada sesuatu di dalam dirimu yang istimewa. Kau tidak banyak bicara. Kau tidak banyak menyusun kata. Kau memang pemuda biasa.

Entah kenapa, kebiasaanmu itu yang menjadikanmu luar biasa pada pandangan mataku. Aku sering berdoa supaya Tuhan menunjukkan aku jalan, tetapi aku melihat jalan yang menuju kepadamu. Oleh itu, aku cuma ingin tahu adakah wajar kiranya aku terus mengambil berat tentang dirimu, atau aku harus berhenti?

Tulus,
Nur Khalisah.


Sungguh aku terdiam membaca nama yang tertera pada penghujung surat ringkas itu. Aku tidak percaya. Sungguh tidak percaya. Lisa menaruh harapan padaku, dan bukannya Iman? Iman, dia pasti tahu semua ini tetapi tidak mahu memberitahuku. Ah, segalanya bertambah runsing lagi. Apa yang perlu ku balas? Apa yang perlu ku lakukan? Sungguh aku tidak setaraf dengan Nur Khalisah. Dia lebih layak dengan Iman yang berkarisma, atau si Hakimi yang pintar. Kenapa dia memilihku? Aku yang kosong, aku yang hina. Aku melipat surat itu dan menyimpannya di dalam poket.

Aku menghidupkan enjin motosikal dan pulang ke rumahku yang terletak tidak jauh dari kolej. Perjalanan ke rumah hanya memakan masa dua puluh minit. Ku lihat si Azlina sudah setia menungguku di hadapan pintu rumah. Tetapi, ada yang aneh pada wajahnya. Dia tidak ceria seperti selalu. Azlina mengambil tangan kananku dan mengucupnya. Tidak ada sepatah kata pun yang terbit dari bibirnya.

“Kenapa ni dik?”

“Ibu menjerit-jerit macam orang tak siuman tadi. Mungkin dia teringat fasal ayah. Adik cuba cari ubat ibu, tak jumpa. Sudah habis, bang. Semuanya sudah habis,” jelasnya. Ternyata itu yang membuatkan adik perempuanku yang satu itu bersedih. “Ibu di mana sekarang?” soalku. “Sudah tidur. Mungkin bila-bila masa dia akan mengamuk lagi.”

Aku membuka kasut dan masuk ke dalam bilikku. Aku membaringkan tubuhku yang keletihan di atas katil. Semuanya semakin menghimpit. Aku memang perlukan duit, tetapi aku teringat kata-kata naqib sewaktu kali terakhir aku menghadiri usrah. “Walau sebanyak mana pun duit yang digunakan untuk keluargamu, rakan-rakanmu, jika datangnya dari sumber yang haram, hidupmu tidak akan mendapat berkat Tuhan. Cepat atau lambat, banyak masalah akan menimpa dirimu. Oleh itu, sebaiknya kita cari wang, pekerjaaan yang halal sebagai punca rezeki. Barulah hidup akan lebih diberkati.” Ah, aku tidak dapat menghilangkan kata-kata yang terngiang-ngiang di telingaku itu. Aku terlalu runsing, sehingga akhirnya aku terlelap dan langsung tidak keluar dari bilik malam itu.

Setelah agak lama tidak ku sedarkan diri, aku terjaga dan mendapati jam menunjukkan 3.45 pagi. Secara automatik, aku bangkit dari perbaringanku. Masih dengan otak yang buntu. Sumpah, aku mahu bebas. Aku tidak mahu terus terbelenggu dengan masalah. Aku mahu larikan diri. Aku ingin sahaja mencampakkan pistol yang diberikan Bang Joe ke dalam sungai. Tetapi aku tidak mampu.

Ku buka jendela kamar perlahan-lahan, menghirup udara dingin yang menyapaku mesra. Aku mendongak memerhatikan langit gelap yang terbentang luas. Bunyi cengkerik menguasai bumi. Aku berjalan membuka beg. Ku keluarkan satu persatu bungkusan yang berada di dalam beg. Air mata kelelakian mulai berderai jatuh dari takungan kelopak mata. Lututku terasa longgar dan entah bagaimana aku melutut di atas lantai. Satu bungkusan dadah sedang ku genggam.

Ya, memang aku mahu membalas dendam. Memang aku mahu mengembalikan maruahku. Tetapi ke mana dendam itu akan membawaku? Maruahku? Memang sudah lama tergadai semenjak aku bersetuju menjadi seorang pengedar dadar. Apa yang akan terjadi andai aku terkorban esok malam? Siapa yang akan merawat ibu dan menjaga adik-adikku? Iman dan Hakimi juga pasti akan sangat kecewa. Nur Khalisah? Apa yang perlu ku katakan padanya? Aku mencampakkan bungkusan dadah ke tepi. Entah mengapa, kudratku menyuruh aku mengambil wuduk, dan mengingat kembali langkah-langkah solat. Ya, aku masih boleh ingat. Aku rajin solat ketika di asrama dulu. Pasti aku boleh ingat kembali.

Malam itu, aku merdeka. Merdeka daripada egoku terhadap Tuhan.

***

Malam itu, tepat seperti yang dijangka, jumlah ahli kumpulan Ular Putih yang hadir lebih sedikit berbanding jumlah kami yang menunggu ibarat helang menyambar. Cuma lima orang sahaja yang datang. Jumlah dadah yang diminta agak banyak, tetapi satu sen pun tidak dibawa oleh Bang Joe dan anak-anak buahnya untuk bayaran. Dua orang wakil tampil untuk menuntut dadah. Aku menjadi semakin berdebar memerhatikan rundingan mereka dari tempat persembunyianku. Sebenarnya tugasku agak senang, iaitu untuk mengacukan pistol pada Ular Putih sementara yang lain merampas dadah. Tetapi kita tak akan dapat menjangka apa yang boleh terjadi, bukan?

Aku memerhatikan bungkusan diberikan kepada orang suruhan Bang Joe. Suasana menjadi genting. Bang Joe akhirnya memberikan isyarat kepada aku dan yang lain untuk keluar dari tempat persembunyian. Masing-masing menyasarkan seorang mangsa. Meskipun tanganku agak menggigil memegang senjata haram itu, aku berjaya untuk menyasarkan kepala si botak yang tidak menyedari perangkap kami.

“Jangan gerak. Satu nafas, kau mati,” ugutku dengan separuh yakin. Si botak itu menuruti arahanku. Apabila keadaan menjadi terkawal, Bang Joe memberikan arahan untuk merampas semua dadah yang dibawa oleh Ular Putih. Mereka mula bertindak pantas. Namun begitu, ada sesuatu yang aneh menurutku. Si botak tiba-tiba sahaja ketawa persis Joker dalam cerita Batman. Hatiku mula tidak senang. “Senyap, bedebah!” Aku menekan pistol pada kepalanya, biar dia ingat posisinya sekarang. Aku tidak tahu apa yang begitu lucu pada fikirannya.

“Sekarang!!” si botak menjerit kuat. Sekarang? Apa yang sekarang? Dahiku berkerut seribu. Ketika itu, bunyi tembakan dilepaskan. Aku menoleh ke belakang dan melihat seorang ahli kumpulanku tumbang mencium tanah. Mataku membulat tidak percaya. Aku segera duduk, berlindung di sebalik kereta yang dipandu si botak sambil terus mengacukan pistol kepadanya. Si botak masih terus ketawa.

“Kau fikir Ular Putih terlalu bodoh untuk dipermainkan? Puhhh!” si botak meludah ke tanah. Aku cuma melihat belakang badannya, tetapi aku tahu dia pasti sedang tersenyum. Satu lagi das tembakan dilepaskan dan bunyi jeritan kedengaran. Sudah dua orang kami yang tewas. Bang Joe juga ku lihat begitu gelisah. Rupa-rupanya, ahli kumpulan Ular Putih yang lain sudah dapat menghidu rancangan Bang Joe sejak awal lagi dan mereka bersembunyi terlebih dahulu sebelum bertindak.

Aku perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Aku menyepak kaki si botak, mengharap dia akan jatuh dan mudah untuk ku tewaskan. Padahal, dia langsung tidak terjejas dengan sepakanku itu. Aku menelan liur. Dia mengeluarkan pistol dari poketnya yang sengaja tidak dikeluarkan awal-awal. Kali ini, pistol itu diacukan tepat pada wajahku. Adakah ini akan menjadi pengakhiran bagiku? Ya Allah, Ya Rabbi... tolonglah aku. Bantulah aku.

‘Poooommmmm!’ Kedengaran bunyi tembakan yang dilepaskan. Ku fikir aku yang ditembak, namun tubuh badanku langsung tidak terjejas. Si botak pula yang hampir terjatuh menghempapku. Mujur aku masih kuat untuk menolaknya ke tepi. Ku lihat Bang Joe yang berada di belakang si botak. Bang Joe jugalah yang membunuhnya. Membunuhnya untuk menyelamatkanku.

Di tengah kekalutan malam, kedengaran bunyi yang cukup mengganggu semua pihak yang sedang bergaduh di situ. Siren polis. Bang Joe mengamuk bukan kepalang.

“Ah, dasar pembelot! Pembelot dalam kalangan kita! Aku tak akan lepaskan si pembelot!”

Oh tidak. Allahu. Baru terlepas kandang buaya, masuk ke kandang harimau pula. Kini, pasti aku yang menjadi sasaran Bang Joe. Aku melihat Bang Joe bersedia untuk melepaskan tembakan sebelum anggota polis muncul.  Nafasku menjadi deras. Mataku ku pejam erat. Tak terbayang bagaimana peluru akan menembusi badanku nanti. Satu lagi tembakan dilepaskan.

Aku perlahan-lahan membuka mata. Tubuhku tidak apa-apa. Begitu juga dengan tubuh Bang Joe. Aku memandang sekeliling. Bang Joe membunuh anak buahnya yang lain. Nampaknya dia sangat mempercayaiku, padahal... padahal akulah sebenarnya yang menghubungi pihak polis untuk ke lokasi sebelum kejadian. Aku yang membocorkan segala-galanya.

“Pergi! Pergi cepat!” Bang Joe menghalauku pergi. Dia menyerahkan sesuatu padaku. Kertas kecil yang sedikit keras. “Kau masih punya masa depan, jangan jadi bodoh macam aku!”

Aku berlari sekuat hati, berlari dan terus berlari dalam kegelapan malam. Aku tahu saat ini Bang Joe sudah ditangkap polis, padahal aku yang mengkhianatinya. Maafkan aku. Aku harus melakukan semua ini untuk kebaikan semua, terutamanya diriku. Sejak azali lagi memang dadah merupakan musuh negara. Sesiapa yang terlibat dengan dadah, maka dia juga merupakan musuh negara. Aku juga begitu, tetapi aku tidak mahu lagi meneruskannya. Siren polis semakin lama tidak ku dengar lagi. Aku mendapatkan motosikalku dan terus membelah kedinginan malam. Juga membelah hatiku yang gusar.

***

Aku meneguk kopi yang dibancuh oleh Azlina. Pandangan mataku masih terlekat pada komputer riba di hadapanku. Seketika kemudian jari-jemariku rancak menari di atas papan kekunci. Aku perlu menyiapkan juga manuskrip novelku hari ini. Esok manuskrip yang sudah siap disemak perlu ku hantar ke kedai percetakan dan langsung pos laju ke syarikat penerbitan.

Azlina muncul lagi di dalam bilikku. Kali ini wajahnya berseri-seri daripada biasa. “Abang, teka!”

“Teka apa?” Aku memang malas mahu berteka-teki.

“Adik dapat masuk universiti sama dengan Angah dan Alang! Surat tawaran baru sampai tadi,” Azlina segera menunjukkan surat tawaran kemasukan ke universiti yang bau diterimanya. Alhamdulillah. Syukur aku panjatkan kepada Tuhan atas kejayaan adik-adikku, juga kejayaanku. Sungguh, duit yang halal memang ada keberkatannya. Tidak lama selepas penangkapan Ular Putih serta Bang Joe dan yang lain-lain, ibu meninggal dunia.

Setelah itu aku berpindah ke kolej dan tempat yang baru. Aku mula kerja secara halal dengan mengambil upah bekerja di stesyen minyak. Atas nasihat Iman dan Hakimi yang sering bertanyakan khabarku di Facebook, aku mengambil keputusan untuk menulis. Aku menulis novel Islamik dan buku-buku motivasi, yang banyak aku pelajari di kolej baru.

Buku pertamaku berjudul Merdekakan Aku, ku dedikasikan untuk keluarga dan rakan-rakanku, juga si dia yang pernah ku cinta. Entah apa khabarnya sekarang. Aku tidak membalas soalannya, sebaliknya ku kirimkan pesanan sahaja melalui Iman supaya Nur Khalisah melupakanku. Aku punya perjuangan yang lebih besar, iaitu untuk memperjuangkan Islam dalam diriku sendiri.

“Oh ya, bang. Ada satu lagi surat untuk abang,” Azlina menyerahkan sepucuk surat yang tertera namaku. Aku mengoyak hujung sampul, dan mengeluarkan isinya. Aku membaca isinya penuh khusyuk. Kemudian, aku ketawa sendiri. Aku menggeleng kepala sambil ketawa. Aku meletakkan kad kahwin itu di atas surat cinta yang pernah dia berikan padaku suatu ketika dahulu.


Walimatul urus

Muhammad Iman bin Ghazali
dan
Nur Khalisah binti Saiful Nizam


- TAMAT -

Saturday, 30 August 2014

Hijab Makes You Beautiful - MTAS and HAS


Assalamualaikum.

Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (an-Nur : 31)

Manusia merupakan makhluk yang sering beralasan. Macam-macam alasan yang diberikan untuk menutup kelemahan diri sendiri. Contoh paling mudah ialah aurat. Walaupun sudah dinyatakan dalam al-Quran tentang kewajipan menutup aurat, masih ada juga wanita Islam yang tidak menutup aurat. Namun begitu, kita tidak boleh seratus peratus menyalahkan orang lain dan memandang serong terhadap mereka yang masih belum menutup aurat.  Mungkin pintu hati mereka masih belum terbuka untuk berhijab dan melaksanakan perintah Allah yang satu ini.

Ada pihak yang masih mengambil berat tentang kepentingan kita, kaum wanita. Ada pihak yang masih peduli untuk menjaga dan mengingatkan kita tentang istimewanya kita dalam Islam. Atas dasar itulah, saya sangat mengagumi usaha yang dilakukan oleh Mr The All Shared (MTAS) dengan bantuan pihak-pihak yang lain. Mungkin ada yang sudah sedia maklum tentang klip video yang dihasilkan mereka di YouTube berjudul Hijab Makes You Beautiful.

Saya mengikuti perkembangan MTAS sejak awal-awal lagi. Kalau tak salah saya, video pertama mereka yang saya lihat ialah Kahwin vs Couple. Saya langgan MTAS di YouTube dan dapat melihat penambahbaikan dalam setiap video dari semasa ke semasa. Apabila saya tahu salah seorang ahli MTAS merupakan abang kepada rakan saya di KUSESS, lagilah saya bersemangat mengikuti perkembangan mereka. Alhamdulillah, saya tabik usaha mereka untuk serius dalam berdakwah. Mereka berani untuk mengambil pendekatan yang mampu menyentuh jiwa kita.

Menyentuh tentang klip video Hijab Makes You Beautiful, anda boleh lihat sendiri di YouTube apa yang membuatkan saya tergerak untuk menulis entry tentangnya. Ada empat video yang perlu anda saksikan iaitu official video, dance version, acapella version dan behind the scene. Kita akan dapat melihat mereka mencurahkan usaha gigih sepanjang pembikinan video. Lagu tersebut merupakan parody daripada kumpulan One Direction iaitu What Makes You Beautiful. Berikut saya lampirkan lirik lagu parody yang diambil daripada Facebook MTAS.

“Hijab Makes You Beautiful”

You're secure, i know what for
lower your heads when you walk through the thro-o-o-ongs
Don't need make-up - to cover up
Being the way u hijab that's eno-o-ough
Everyone else with imaan can see it Everyone else but you
oh girl you light up the world like nobody else
The way you hijab your self gets no overwhelmed
the way you smile at the ground, it ain't hard to tell You don't know Oh oh
You don't know you're beautiful!
If only you saw what I could see You'll understand why GOD wants you care of it
Right now HE's looking at you and you have to believe
You don't know Oh oh You don't know you're beautiful! Oh oh
Hijab makes you beautiful!
so c-come on!! you got it wrong! To prove I'm right I put it in a so-o-ong
cause I know why, you're being shy And turn away when they look into your eye eye eyes
Everyone else with imaan can see it Everyone else but yo-ouuu
oh girl you light up the world like nobody else
The way you hijab your self gets no overwhelmed
the way you smile at the ground, it ain't hard to tell You don't know Oh oh
You don't know you're beautiful!
If only you saw what I can see You'll understand why GOD wants you care of it
Right now HE's looking at you and you have to believe
you don't know Oh oh
You don't know you're beautiful! Oh oh Hijab makes you beautiful!
Na na na na na na naaaa na na, Na na na na na na. Na na na na na na naaaa na na, Na na na na na na
.oh girl you light up the world like nobody else
The way you hijab your self gets no overwhelmed
But when you smile at the ground, it ain't hard to tell You don't know Oh oh
You don't know you're beautiful!
oh girl you light up the world like nobody else The way you hijab your hair gets no one overwhelmed
But when you smile at the ground, it ain't hard to tell You don't know No Oh oh You don't know you're beautiful!
If only you saw what I can see You'll understand why GOD wants you care of it
Right now HE's looking at you and you have to believe You don't know No Oh oh
You don't know you're beautiful! No Oh oh You don't know you're beautiful! No Oh oh Hijab makes you beautiful!

Lyrics by :
Mr The All Shared, Azfar Ibni Hamzah, Aisyah Shakirah


Komen saya, video ini memang gempak, subhanallah. Lirik yang cuba disampaikan mampu menyentuh jiwa pendengar. Memperlihatkan betapa indahnya wanita muslim apabila dia menutup aurat dan berhijab dengan sempurna. Nampak manis sahaja apabila semua wanita di dalam klip itu bertudung. Nampak macam ada kesatuan. 

Sebagai seorang muslimah, saya rasa video ini seolah-olah suatu penghargaan untuk semua muslimah yang berhijab. Dalam rap lagu ini menjelaskan lagi kepada umum kenapa wanita Islam berhijab. Saya hairan apabila ada juga individu yang dislike video ini di YouTube. Secara peribadi, saya berikan lima bintang kepada mereka atas penghasilan video yang sangat menarik ini. Parody MTAS bukan sekadar parody biasa, tetapi sesuatu yang sangat bermakna. Mungkin selepas ini MTAS dan HAS boleh terus berkolaborasi untuk menghasilkan kombinasi dakwah yang luar biasa lagi. 





Friday, 29 August 2014

Matang - Idealistik atau Realistik?



Kami pernah disoal tentang definisi matang dalam kelas. Matang. Walaupun nampak macam klise, bagi saya matang ni sesuatu yang subjektif. Hanya penilai itu sendiri yang mampu menginterpretasikan sama ada seseorang itu sudah matang atau tidak. Kita sendiri tak mampu nak menilai diri kita. Skop menilai kematangan memang luas. Matang, mungkin merujuk kepada seseorang yang sudah melepasi garis usia yang tertentu. Matang juga mungkin merujuk kepada mereka yang sudah baligh. Bagi saya, saya ada cara tersendiri untuk mendefinisikan matang.

Pertamanya, seseorang yang matang ialah apabila dia tidak membataskan pemikirannya pada tahap yang biasa. Ertinya, dia cuba dan sentiasa berusaha untuk berfikir dengan lebih jauh. Minda manusia mampu mencipta banyak imaginasi dan kreativiti sebelum melakukan sesuatu tindakan. Saya teringat ketika saya sedang melaksanakan tugas dalam kumpulan yang memerlukan idea daripada semua pihak. Ketika sedang berbincang, salah seorang ahli kumpulan dengan sewenang-wenangnya menyerah kalah dan tidak mahu berfikir lagi. Saya masih ingat lagi kata-katanya, “Tahap pemikiran saya cuma sampai di sini.” Maaf saya katakan, perbuatannya itu jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang masih belum cukup matang meskipun usianya sudah dewasa.  Kita tak sepatutnya berputus asa, sebaliknya cuba menyelesaikan sebarang masalah atau konflik yang melanda. 

Seterusnya, seseorang itu boleh dikatakan matang apabila dia mampu membezakan yang hak dan batil. Yang benar dan yang salah, terutamanya dari aspek agama. Contoh paling mudah dan jelas saya berikan, isu couple. Majoriti umat Islam memang sudah sedia maklum bahawa tidak ada istilah couple dalam Islam, kecuali setelah kahwin. Namun begitu, kita masih sahaja melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT. Bonceng motor si dia, berpeluk-pelukan dan sebagainya. We choose to be who we are. Menyalahkan yang betul dan membetulkan yang betul. Tanpa kita sedari, ego kita sendiri yang menutup kematangan diri kita. 

Kematangan juga akan hadir apabila kita mampu menerima pendapat dan kritikan orang lain. Dalam sesetengah situasi, kita akan rasa bahawa keputusan kita tepat dan tidak patut disangkal lagi. Tetapi itu tidak bermakna keputusan orang lain boleh disangkal seratus peratus. Kita boleh cuba berunding dan menggunakan kedua-dua pendapat supaya idea menjadi lebih bernas. Kadang, kita juga sukar untuk menerima kritikan orang lain kepada diri kita.


Secara peribadinya, saya memang suka jika ada orang yang mengkritik atau memberi teguran kepada saya secara berhadapan. Saya tak menggemari pujian dan saya tidak selesa dengan orang memandang tinggi kepada diri saya. Macam yang Umar Al-Khattab kata, “Orang yang paling aku sukai adalah dia yang menunjukkan kesalahanku.” Kritikan itulah yang sebenarnya boleh membina dalaman seseorang menjadi lebih kental berbanding sebelumnya. Percayalah, melalui kritikan barulah seseorang itu boleh memperbaiki kesalahannya. 

Mereka yang tenang dalam kebanyakan waktu barulah boleh membuat keputusan yang tepat. Menurut Biology, apabila seseorang itu berada dalam keadaan cemas, adrenalin dalam badan akan menyebabkan kadar degupan jantung semakin laju dan tekanan darah meningkat. Situasi ini boleh menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk fokus banyak perkara. Sebaiknya kita belajar cara untuk menenangkan diri sendiri dan cuba biasakan diri untuk tidak mudah melatah walaupun sedang berada dalam situasi yang genting. Namun begitu, tidak bermakna kita perlu tenang dalam semua perkara. Maksud saya, ada masa yang memerlukan kita untuk bertindak pantas contohnya apabila ada kemalangan atau kebakaran dan sebagainya. Begitu juga jika ada tugasan yang perlu diselesaikan dengan segera. 


Matang yang Idealistik atau Realistik?


Bagi saya, kedua-dua elemen ini diperlukan dalam kematangan. Kita juga perlu menjadi seorang yang realistik, bukannya idealistik semata-mata. Saya lebih faham tentang maksud idealistik dan realistik setelah mempelajari satu drama Kesusateraan Melayu Komunikatif yang memperlihatkan perbezaan pemikiran masyarakat dari aspek romantis, realis dan idealis. Idealistik ialah pemikiran atau cita-cita yang tinggi, manakala realistik ialah pemahaman berdasarkan kenyataan.

Mengapa saya katakan kedua-duanya perlu seimbang? Saya berikan contoh termudah, isu couple juga. Ya, saya akui, di sekeliling saya pun memang ramai dalam kalangan rakan-rakan yang bercouple. Mungkin juga ada yang tahap bercinta sehingga berjanji ke jinjang pelamin. Semuanya sibuk memperjuangkan hak masing-masing. Cuma memikirkan tentang keseronokan dan kebahagiaan ketika bercouple. 

Sebenarnya, kita perlu berfikir secara rasional dan realistik juga. Adakah dengan couple sebelum nikah ini akan memberikan nilai yang lebih bermakna setelah bernikah nanti? Kahwin bukannya semudah apa yang kita fikirkan. Banyak cabaran yang perlu ditangani, lebih banyak daripada masa bercouple dulu. Sedangkan apabila bergaduh waktu couple pun masing-masing saling merajuk, apatah lagi kalau berselisih faham setelah kahwin nanti. Apabila kita berfikir secara idealistik dan realistik, barulah kita akan betul-betul melihat dan memahami tanggungjawab setelah kahwin jauh lebih besar daripada angan fantasi yang dibina sewaktu couple. Barulah kita akan lebih banyak berfikir sebelum mengambil sesuatu keputusan.

Percayalah, semakin meningkat umur, semakin banyak tanggungjawab kita. Kita memang perlu mempunyai cita-cita yang tinggi, tetapi perlu diiringi oleh daya pemikiran yang matang dan rasional. Tanggungjawab terhadap diri, keluarga, pelajaran, agama, rakan-rakan, kerja, semuanya akan bertambah dengan banyak. Di sinilah kematangan amat diperlukan dalam diri setiap individu. Kalau kita selama-lamanya hidup dengan dunia yang tak matang, mungkin kita akan berjaya menjadi orang yang gagal. 

Saya tak kata saya seorang yang matang, saya juga tak kata saya seorang yang tidak matang. Seperti yang saya beritahu awal-awal tadi, kematangan merupakan satu perkara yang subjektif. Hanya orang lain yang mampu menilai diri kita. Namun begitu, kita sendiri juga yang boleh mengubah penilaian orang lain terhadap diri kita. Maksudnya, kitalah yang menentukan kematangan kita.


Monday, 25 August 2014

Short Entry: Malang Tidak Berbau



Assalamualaikum.

Pagi tadi salah seorang rakan saya tidak kelihatan seperti biasanya di kampus. Saya tertanya-tanya sama ada dia tidak hadir atau datang lewat. Dia jarang tidak menghadirkan diri, melainkan dengan alasan tertentu yang akan dimaklumkan terlebih dahulu. Tidak lama setelah itu, barulah kami mendapat berita bahawa dia ditimpa kemalangan kecil ketika dalam perjalanan ke kampus.

Apa lagi, seorang rakan saya langsung menelefon untuk bertanya akan keadaannya. Dia memaklumkan kecederaannya ringan sahaja. Mak cik yang melanggarnya juga memberikan bantuan. Legalah sedikit apabila mendengar kisahnya. Semoga dia cepat sembuh dengan izin Allah.

Petang tadi pula, seperti biasa saya menunggang mountain bike untuk riadah petang. Balik rumah, saya mendapat pula khabar kenalan sekolah lama saya kini sedang koma akibat kemalangan. Setahu saya, dia memang seorang penunggang basikal. Mungkin dia kemalangan ketika sedang menunggang basikal. Saya masih belum mendapat khabar lanjut tentangnya. Semoga dia juga cepat sedar dan sembuh. Saya jadi bimbang pula hendak menunggang basikal petang-petang.

Sekarang ni, malang memang tidak dapat dibau. Tak kisahlah jalan kaki, tunggang basikal, naik bas, kereta, bahkan kapal terbang pun semuanya berisiko untuk kemalangan. Oleh itu, sebelum keluar rumah atau ke mana-mana, bacalah doa terlebih dahulu untuk mendapat keberkatan. Ambil langkah jaga-jaga. Peringatan untuk diri saya juga.

p/s: Semoga ibu saya selamat dalam perjalanannya ke Sabah. 

Sunday, 24 August 2014

Diary#52: Open House Story



Assalamualaikum.

Menghitung detik yang berlalu, kini Syawal sudah hampir tiba ke penghujungnya. Ogos pun hampir melabuhkan tirainya untuk bergerak pergi. Di hujung-hujung bulan ini, ramai juga yang masih sempat mengadakan rumah terbuka untuk sama-sama meraikan bersama keluarga dan kenalan. Salah satunya ialah saya.

Alhamdulillah, ramai juga yang datang berkunjung ke rumah terbuka saya semalam untuk memenuhi jemputan. Dan respons yang saya terima, makanan  yang dihidangkan sedap-sedap belaka. Memanglah sedap, sebab... semuanya ditempah melalui katering. Eheh. Kami pilih katering sebab senang dan tak perlu buat banyak benda. Bukannya selalu kami dapat mengadakan rumah terbuka atau kenduri untuk kenalan. Hendak tunggu kenduri kahwin, memang lambat lagilah abang dan kakak saya tu.


Ibu saya memilih pelbagai jenis juadah yang berbeza antaranya seperti kambing golek, arnab bakar, kambing masak kicap, ayam panggang, ketupat, rendang, satay dan macam-macam lagi. Menu utama kami ialah kambing golek. Dari urusan membakar sehingga memotong, semuanya disiapkan oleh mereka. Saya tak suka makan kambing, jadi tak dapatlah nak beritahu kepada anda bagaimana kesedapannya. 

Dalam pukul 10 lebih, kami mengadakan kenduri cukur jambul untuk sepupu saya, Mikael Chu Wen Arn yang berusia sebulan lebih. Sepanjang majlis, Mika langsung tidak berbunyi. Selesai sahaja majlis, barulah budak tu bising. Pandai betul kan cover line. Sekitar jam 12 tengah hari, barulah kambing golek dan makanan yang lain dihidangkan kepada tetamu. 

Sangat seronok apabila kita dapat meluangkan masa dengan sanak-saudara yang jarang dapat berjumpa. Cikgu-cikgu yang hadir antaranya ialah Cikgu Zuki dan Cikgu Zainol Abidin dari SMK Sultan Badlishah, sekolah saya ketika di tingkatan satu hingga tiga. I’m very excited just by seeing their faces at my home. 

Terima kasih juga kepada rakan-rakan saya yang hadir ke rumah semalam, rakan-rakan dari sekolah rendah dan sekolah menengah pun ada. Kecuali yang dari KUSESS (Kuala Selangor). Memanglah tak dapat datang sebab jauh. Apa pun terima kasih sekali lagi kepada ibu bapa saya (sudah tentunya) dan semua yang menjayakan rumah terbuka kami semalam. Semoga simpulan silaturahim kita akan menjadi semakin erat, biidznillah.

Wednesday, 20 August 2014

Jemputan ke Rumah Terbuka



Assalamualaikum.

Akhirnya exam yang berat sudah pun selesai, subjek terakhir hari ini benar-benar mengecewakan saya kerana saya tidak pandai membuat esei. Ya, apabila saya beritahu kepada rakan-rakan saya, memang tak ada siapa yang akan percaya saya lemah membuat esei. Pada hakikatnya, saya cuma tahu menulis imaginasi dan bukannya fakta. Imaginasi dan fakta merupakan dua perkara yang sangat jauh berbeza. Jadi kita tunggu dan lihat sahajalah bagaimana keputusannya nanti. InsyaAllah, walau apa pun keputusannya, sentiasa akan ada ruang dan masa untuk kita perbaiki. I’m just praying for the best right now. Biidznillah.

Oh ya. Saya ada satu pengumuman yang hendak diberitahu kepada kalian. Eheh. Tengok tajuk entry kali ni pun dah boleh agak. So yeah, jika tidak ada aral yang melintang, hari Sabtu ini saya akan mengadakan rumah terbuka. Walaupun macam dah agak terlambat, tetapi masih dalam bulan Syawal, bukan? Jadi kepada sesiapa yang mengenali saya, mungkin rakan-rakan saya dari sekolah rendah, sekolah menengah dan rakan-rakan kampus, kehadiran anda amatlah dihargai (itu pun kalau ada yang membaca entry ini). Rumah saya terletak di Kulim.

Sebarang kemusykilan bolehlah hubungi nombor telefon saya. Mungkin juga ada anonymous reader Nafas Baru yang berminat untuk datang ke rumah saya? Jemputlah datang. Bukan senang nak dapat peluang mengadakan rumah terbuka ni. Dan bukannya semua orang yang dijemput akan hadir (obviously). Dalam masa yang sama, hari Sabtu jugalah pihak kampus hendak mengadakan gotong-royong dan terdapat pertandingan sukan di UUM. Erm. But let’s just not make that as an excuse. Anda perlu datang juga ke rumah saya.

Sepanjang minggu ini, banyak perkara baru yang saya peroleh. Dan sudah tentunya, segala yang akan ditulis oleh saya bukannya berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak. Petang Ahad yang lepas saya sempat beraya ke rumah seorang rakan untuk memenuhi undangan rumah terbukanya. Sudah tentulah rumahnya dipenuhi oleh orang yang langsung tidak dikenali oleh saya. 

Saya memerhatikan tetamu yang hadir, semuanya berborak dan menikmati hidangan seperti biasa. Ada bihun sup, ketupat, rendang dan beberapa jenis juadah yang lain. Kemudian pandangan mata saya menangkap figura seseorang yang lain daripada yang lain. Dia berambut pendek, berpakaian kemeja dan seluar. Saya melihat dia menyalami ayah rakan saya. Dia duduk di satu sudut ruangan bersama rakan-rakannya. Mungkin salah seorang jemputan adik-beradik rakan saya tadi.

Sambil makan, sesekali pandangan mata saya meliar padanya kerana ada sesuatu yang berjaya menangkap perhatian saya pada dirinya. Setelah lama diamati, barulah rakan saya memberitahu bahawa figura itu merupakan seorang wanita. Terpana saya seketika. Memanglah di Kuala Lumpur dan Selangor dulu sudah beberapa kali saya menemui insan ‘separuh siap’ sepertinya, tetapi kali ini lebih hampir dengan saya. Gaya dan kelakuannya langsung tidak ubah seperti seorang lelaki. Serius. Tetapi di kelilingnya memang cuma ada wanita sahaja.

Saya tertanya-tanya sendiri lagi (seperti biasa), apa yang sebenarnya menyebabkan seseorang itu boleh bertukar sedemikian rupa. Melanggar fitrah yang sudah diberikan Allah kepada kita. Sekali lagi saya tegaskan, niat saya menulis bukannya untuk mengaibkan mana-mana pihak. Sama sekali tidak. Saya cuma ingin berfikir, dan sama-sama membawa anda berfikir tentang insan-insan yang hidup di sekeliling kita. Insan yang mungkin bermasalah. Insan yang mungkin tersasar dari landasan. Apa pula tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh kita? 

Perkara ini seolah-olah sudah jadi satu kebiasaan untuk kita menerima diri seseorang itu seadanya. Kadang kita dah terbiasa hidup dalam satu suasana, sehingga kita sendiri tak sedar maksiat dan kemungkaran yang berlaku di hadapan mata sendiri. Memang susah nak tegur dan ambil apa-apa tindakan. Ya, saya sendiri pun seorang pengecut. Kita boleh cuba perlahan-lahan, bermula daripada mencegah dalam hati sehinggalah secara teguran.

Kepada individu itu, saya doakan semoga Allah membuka pintu hidayahnya untuk kembali kepada fitrah. Sebab kita, manusia, walau macam mana pun cuba untuk mengubah fitrah, akhirnya tetap akan kembali kepada fitrah. Ibrahnya, sama-samalah kita; saya dan anda, bersyukur sekiranya kita masih boleh menggunakan kewarasan akal untuk berfikir dalam kehidupan. Tidak melanggar perintah Tuhan. Tapi takkan selama-lamanya kita nak jadi golongan yang melihat sahaja? Erm.


p/s: Jangan lupa janji temu kita Sabtu ini!

Saturday, 16 August 2014

Melawat ke Raudhatus Sakinah


Pagi tadi saya berkesempatan untuk mengikuti lawatan bersama Pertubuhan Mekar Budi Kulim ke Raudhatus Sakinah yang menempatkan remaja bermasalah di Relau.  Saya ingin berkongsi kisah di blog ini, bukannya dengan niat mengaibkan mana-mana pihak tetapi sekadar ingin menjadikan iktibar dan pengajaran buat diri sendiri dan juga para pembaca. Sama-sama kita ambil ibrah. Remaja perempuan di situ berusia sekitar 16-22 tahun jika tak salah saya.

Masuk sahaja ke dalam rumah tersebut, saya melihat seorang bayi yang baru 16 hari dilahirkan. Ibunya berusia 19 tahun dan sedang duduk di sebelah bayi lelaki itu. Alhamdulillah dia masih sudi menjaga dan merawat anaknya kerana segelintir remaja selalunya tidak mahu melihat muka anak yang dilahirkan. Dia menamakan bayi itu Muhammad al-Fateh. Subhanallah, nama yang sungguh berkarisma. Mudah-mudahan bayi yang dilahirkan itu mampu mewarisi semangat perjuangan Al-Fateh ketika memimpin negara dan berjuang membebaskan Kota Konstantinopel. 

Selain daripada ibu remaja tadi, masih ada dua orang yang sedang hamil menunggu masa untuk melahirkan. Katanya, ayah bayi tidak mahu bertanggungjawab. Mungkin malu memikirkan maruah keluarga dan sebagainya. Entahlah.

Wajah-wajah penghuni Raudhatus Sakinah suci, langsung tidak menunjukkan bahawa mereka pernah menjadi golongan remaja yang bermasalah dulu. Mungkin ini semua merupakan hasil didikan dan tarbiah yang diterima sepanjang ditempatkan di situ. Saya kagum tatkala mendengar rutin harian mereka yang bangun seawal 4 pagi untuk menunaikan Qiamullail. Aktiviti harian akan dipenuhi dengan tadarus al-Quran dan kerja-kerja bermanfaat yang lain. Saya bertambah teruja mendengar pada bulan Ramadan yang lalu, mereka sudah mengkhatamkan al-Quran sebanyak empat kali! Masya Allah. Mereka sungguh beruntung mendapatkan tarbiah yang sedemikian rupa.

Warden atau pengurus di situ berkongsi pelbagai cerita dengan kami. Ada penghuni rumah itu yang melarikan diri dengan teman lelaki kerana tidak sanggup berlama-lamaan di situ. Ada yang sudah keluar, tetapi akhirnya kembali dengan perangai lama mereka. Antara kes yang sangat menyedihkan tentang kanak-kanak 12 tahun yang menghamilkan seorang remaja 16 tahun. Astaghfirullah.

Bayangkan, usia yang belum pun menginjak ke zaman remaja sudah dimusnahkan begitu sahaja. Padahal jika difikir-fikirkan, masih jauh dan luas lagi perjalanan yang boleh ditempuhi olehnya. Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke situ tidak sudi pun untuk memandang mereka. Kadang, tangisan yang akan mengiringi wajah ibu bapa yang hadir untuk berjumpa dengan pengurus. Secara peribadi, saya sendiri tak sanggup untuk melihat ibu bapa saya menangis mengenangkan masa depan saya.

Mereka yang menghuni Raudhatus Sakinah ni bukannya tak ada future. Semua orang pernah, sedang dan akan buat salah dalam hidup masing-masing. Tak ada yang bersifat maksum melainkan Nabi. Mungkin faktor persekitaran atau didikan yang menyebabkan kita menjadi siapa diri kita pada hari ini.

Saya pernah bersekolah di tiga buah sekolah menengah yang berbeza latar belakang. Sekolah pertama, sekolah kluster yang terdiri daripada pelajar pandai, tetapi ada yang jelas tentang masa hadapan mereka dan ada yang masih kabur. Sekolah kedua, sekolah berprestasi tinggi. Pelajar di sekolah ini walaupun berbeza perangai, tetapi saya boleh melihat hampir kesemuanya punya matlamat dan cita-cita yang tinggi dan jelas. Mereka mampu berfikir jauh dan berusaha untuk menggapai masa depan masing-masing. Sekolah ketiga pula, pelajar-pelajarnya memang mempunyai latar belakang yang jauh berbeza. Ada yang punya cita-cita tinggi, tetapi majoriti yang pernah saya soal cuma mahu bekerja sahaja.

Pokok pangkalnya saya pernah jumpa remaja yang tinggi wawasan sampailah remaja yang tak ada wawasan. Semuanya bergantung pada persekitaran kehidupan mereka. You see, tak ada siapa pun yang pilih untuk jadi bermasalah. Bagi saya semua orang sebenarnya layak untuk dapatkan masa depan yang cerah termasuklah remaja-remaja di Raudhatus Sakinah ini. Saya tak tipu. Mereka memang ada cita-cita tersendiri.

Ada yang minat memasak, menjahit dan kemahiran-kemahiran yang lain. Apabila kami menawarkan bantuan daripada segi kemahiran, mereka menjadi teruja dan bersemangat. Tatkala ditanya tentang menulis, lagi ramai yang mengangkat tangan. Mereka sangat berminat untuk menceburkan diri dalam dunia penulisan. Saya pun duduk dalam satu kelompok remaja (kebanyakannya lagi tua daripada saya) dan berkongsi tips penulisan.

Saya menceritakan serba-sedikit proses menulis, menghantar proposal sehinggalah ke proses editing. Pelbagai soalan yang diajukan kepada saya. Saya cuba menjawab satu per satu dan mendorong mereka untuk menulis. Insya Allah, sekiranya saya berkesempatan dalam masa yang terdekat saya akan ke sana lagi untuk memberikan bimbingan khusus kepada mereka dalam bidang penulisan.

Apabila mereka menunjukkan minat yang mendalam, sudah tentulah kita akan jadi lagi bersemangat untuk mencurahkan ilmu di dada. Saya memang suka orang yang bertanya soalan kerana mereka ingin tahu. Saya sempat menitipkan nombor telefon saya agar lebih mudah dihubungi. Kami meluangkan masa bersama-sama menjamah hidangan hari raya. Terpampang pada wajah mereka kegembiraan menyambut orang luar.

Sebelum mengundur diri, mereka sempat berpesan untuk datang lagi ke Raudhatus Sakinah. InsyaAllah, saya pasti akan ke sana lagi. Selagi boleh berbakti, kita berbakti. In my personal opinion, memanglah susah nak tangani remaja bermasalah. Saya dah cukup bersyukur dengan didikan yang diperoleh. Itu pun masih banyak yang perlu saya pelajari lagi. 

Walau macam mana nakal atau jahat pun remaja, kita kena sentiasa usaha untuk membantu mereka. Tak kisahlah pendekatan yang lembut, kasar, bergantung pada kes masing-masing. Satu perkara yang paling penting ialah jangan berputus asa dengan mereka. Kita kena tunjuk yang kita masih lagi peduli tentang kebajikan mereka. InsyaAllah dengan berkat usaha kita, sekeras mana pun hati manusia pasti akan dapat dilembutkan. Just never give up. 

Friday, 15 August 2014

Penggigit


Feb 26, 2014 | she loves to bite by nims24 on Keek.com


Keek yang dah lama saya post dulu. Saya tak aktif sangat pun pakai Keek ni, saja cuba-cuba. Kucing ni yang paling saya sayang, namanya London, sempena tempat kelahiran saya. London memang suka gigit-gigit manja. Bila saya duduk dan usap dia, nanti dia akan naik atas riba dan bermanja-manja.  

Thursday, 14 August 2014

Jom Jadi Muslimah Bitrovert!



A bitovert is an individual who is a mixture of both parts, introvert and extrovert. Pertama kali saya ternampak perkataan ini di kulit belakang majalah Tunas Cipta yang mempromosikan sebuah buku dengan judul bitrovert. Dua saat berfikir, baru saya tahu perkataan ini ada kaitannya dengan perkataan introvert yang selalu kita guna. Kepada mereka yang mungkin tidak tahu maksud introvert, perkataan ini merujuk kepada seorang yang mempunyai karakter pendiam. Extrovert pula membawa maksud sebaliknya. Jadi sudah tentulah bitrovert menggabungkan kedua-dua elemen tersebut.

Saya memang suka mengenal pasti personaliti diri sendiri. I mean, macam mana kita nak kenal orang lain kalau tak bermula dengan diri kita sendiri kan? Tetapi saya cukup yakin, mungkin ramai yang akan bersetuju jika saya katakan bahawa proses mengenali diri sendiri kadang lebih rumit daripada mengenali orang lain.

So what does this have to do with muslimah? Senang ceritanya begini, sebagai muslimah tak bermakna kita tak boleh jadi extrovert iaitu peramah dan senang bergaul dengan orang lain. Dalam masa yang sama, tak salah juga untuk kita jadi introvert; pendiam, tetapi cuba kita tengok balik kedua-dua situasi tersebut. Dua-dua ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Saya bagi contoh untuk memudahkan pemahaman kalian.

Situasi 1

A merupakan seorang muslimah extrovert yang mempunyai ramai rakan perempuan. A cukup mudah untuk bergaul dengan semua orang. Sikap A yang mesra ini membuatkan dia terpaksa berkomunikasi dengan semua pihak, termasuklah kaum lelaki. Oleh itu, lelaki boleh mengenali peribadi A hanya berdasarkan sikap extrovertnya yang terlalu mudah untuk berkongsi cerita dengan semua orang. 

Sikap A yang peramah ini juga membuatkan A agak dikenali dalam kalangan masyarakat sekitar (rakan kolej, rakan sepejabat dan sebagainya). Secara tidak langsung, ada beberapa ikhwah yang jatuh cinta dengan peribadi A secara diam-diam. Mulalah A dapat konflik dalam percintaan. Dalam masa yang sama juga, A boleh juga wujudkan musuh yang tidak menyukai peribadinya. Tambahlah satu lagi konflik buat si A. 

Situasi 2

B merupakan seorang muslimah introvert yang cukup menjaga ikhtilat. Baguslah, si B tak perlu susah-payah memikirkan masalah ikhtilat dengan lelaki. Cukup hanya sekadar komunikasi dengan perempuan sahaja. Tetapi ketika di dalam kuliah, B susah untuk belajar disebabkan sikapnya yang pendiam. B hendak tanya soalan, segan pula. Takut apabila dia angkat tangan, banyak mata-mata yang memandangnya aneh. B hendak tanya soalan langsung pada penceramah, penceramahnya itu pula seorang lelaki. 

Apabila ditugaskan membuat tugasan berkumpulan dengan lelaki, lagilah susah untuk B berkomunikasi. B tertekan kerana kehadirannya seolah-olah tidak disedari dan sukar untuk dia mendapatkan apa yang dimahukannya.


See. Nampak tak kedua-dua situasi di atas? Kalau dulu, saya mungkin lebih termasuk ke dalam situasi yang hampir sama dengan si B. Nak jadi extrovert susah, jadi introvert pun susah. Jadi macam mana nak selesaikan masalah sikap kita? Sebagai muslimah, mestilah nak kena jaga syarak dan ikhtilat. Jadi adakah kita tidak boleh menyuarakan pendapat di khalayak umum?

Nope, Islam is simple. Cuma kita sendiri yang memilih jalan rumit. Kita yang buatkan Islam ni nampak macam kompleks. Seiring dengan zaman kita yang semakin maju ini, perhubungan lelaki dan perempuan sudah menjadi seakan-akan suatu keperluan dalam situasi dan masa yang tertentu. Tidak kiralah sama ada kita belajar atau bekerja, our surrounding involves both men and women.  Menjadi seorang bitrovert merupakan suatu bonus kepada muslimah sekiranya kita boleh mengawal peribadi kita dalam situasi tertentu.

Contoh macam si A tadi, dia perlulah belajar untuk kawal sikap peramahnya itu. Kenal pasti bila, siapa, kenapa dan bagaimana kondisi yang membolehkan komunikasi dengan lelaki. Kalau rasa benda-benda yang hendak kita cakap itu tidak penting, sebaiknya tak perlu cakap. Cukuplah kita ceritakan kisah harian kita hanya pada kaum sejenis kita sahaja. Cuba kurangkan bercakap dengan lelaki sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan, insyaAllah, keperluan untuk bercakap dengan lelaki akan terhakis begitu saja. Mula-mula cuba memanglah agak janggal dan kita mungkin takut lukakan hati orang lain, tetapi lebih baik begitu daripada tercetusnya sesuatu yang lebih complicated di kemudian hari.

Kalau anda berada dalam situasi si B pula, nak buat macam mana? Believe me, I’ve been in that situation before. Lagi-lagi kalau nak menuntut ilmu, memang susah kalau kita ada terlebih banyak dos pemalu. Negara kita negara demokrasi, rakyat bebas bersuara. Eheh. Dalam menuntut ilmu, kita tak boleh bersikap pemalu sangat. Ingat tak apa yang cikgu-cikgu wajib pesan dulu? Kalau hendak berjaya, kena rajin bertanya.  We, muslimah, need to speak up! 

Kalau kita senyap saja, diri kita sendiri yang akan rugi. Pertanyaan yang membelenggu cuma mampu tersimpan rapi di dalam diri. Dalam kelas atau kuliah, apa kata kalau kita cuba jadikan diri kita seorang pelajar yang proaktif. Sekiranya ada perkara yang tidak difahami, angkat sahaja tangan untuk bertanya.

Kalau malu pun, selepas kelas kita beranikan diri untuk jumpa pensyarah dan selesaikan persoalan yang menari-nari rancak di minda kita. Apa yang penting, kita sentiasa tajdid (perbaharui) niat untuk menuntut ilmu kerana Allah SWT.  InsyaAllah Tuhan pasti akan mempermudahkan urusan mereka yang ingin menuntut ilmu kerana-Nya. Yakinlah dengan itu.

Jom jadi muslimah bitrovert, yang extrovert dan introvert dalam masa yang sama. Apa yang paling penting ialah sikap dan pembawaan diri kita perlulah sentiasa bercirikan muslimah dan tidak melanggar syariat Islam. Ada masanya kita perlu diam, ada masanya kita perlu bersuara. Tak bermakna kita muslimah, perlu duduk diam sahaja tanpa berbuat apa-apa. Muslimah pun kena siapkan diri juga untuk berjuang demi bangsa dan agama. Bukankah begitu?

Friday, 8 August 2014

Hilangnya Tradisi Berbalas Kad Raya



Sebenarnya hari ini saya bercadang untuk post sebuah cerpen disebabkan sudah sekian lamanya saya tidak paparkan cerpen di Nafas Baru. Tetapi cerpen saya itu masih belum selesai sepenuhnya dan terpaksa saya simpan dulu (macam cerpen-cerpen yang lain). Harapnya dalam masa terdekat saya boleh kongsikan dengan anda semua dan cerpen tidak tergendala separuh jalan sahaja. Jadi saya gantikan cerpen dengan entry tentang kad raya. Ada apa pula dengan kad raya?

Seperti yang kita semua tahu, orang Melayu kita memang kaya dengan pelbagai adat dan tradisi. Memandangkan kita masih lagi berada dalam bulan Syawal, saya nak sentuh tentang salah satu tradisi kita yang semakin terhakis dek kerana kemodenan yang melanda, iaitu kiriman kad raya. 

Saya tak pastilah sama ada mereka di luar sana masih lagi berbalas kiriman kad raya atau tidak. Secara peribadinya saya memang suka memberikan kad raya kepada rakan-rakan bermula dari zaman sekolah rendah lagi dengan harapan kad raya tersebut akan dibalas. Eheh. Biasalah zaman tak matang dan hingusan lagi. Dalam setiap kad raya pula tak sah kalau tak ada pantun ‘Pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas.’ Saya suka beri kad raya kepada rakan-rakan kerana semakin banyak kad yang diberi, semakin banyak balasan yang akan diterima. Excited bukan main.


Pernah sekali seorang kawan saya balas kad raya dalam kad yang saya bagi (maksudnya kembalikan balik kad raya saya dengan ucapan balas) dan menyebabkan saya sangat frust pada waktu itu. Saya juga akan terkilan kalau ada yang menghilangkan kad raya saya atau terlupa mereka simpan di mana. Ya lah, penat-penat saya tulis dengan tulisan yang konon cantik pada waktu itu.


Saya akan bagi kad raya setiap tahun pada semua rakan perempuan dalam kelas menyebabkan pelajar lelaki yang lain cemburu sebab tak dapat kad raya. Saya bukannya rapat sangat dengan pelajar lelaki pun. Waktu itu nilai kad raya itu sendiri sangat berharga kerana teknologi seperti WeChat dan WhatsApp segala masih belum wujud. Telefon bimbit pun rasanya paling otai pun budak darjah lima yang ada. Sekarang, saya rasa budak darjah satu pun sudah mempunyai telefon bimbit masing-masing.

Masuk sekolah menengah, kawan-kawan dah tak berapa main sangat berbalas kad raya ni. Ketika di tingkatan satu, saya bagi kad raya satu kelas pun rasanya dapat balasan cuma empat lima kad sahaja. Saya mula mengerti kad raya pada waktu itu sudah tidak dianggap bernilai sangat. Tetapi saya tetap berikan kad raya kepada semua orang dalam kelas setiap tahun. 

Cuma ketika di tingkatan lima saya buat kad kecil sahaja dan berikan kepada semua rakan perempuan dalam kelas sebab tidak ada masa untuk membelinya di kedai. Kalau tak salah saya, cuma dapat dua sahaja balasan kad raya pada waktu itu. 

Tahun ini pula, memang tak sempatlah nak beli kad raya dan berikan kepada rakan-rakan. Tetapi alhamdulillah, walaupun jumlah kad raya semakin berkurangan dari tahun ke tahun, saya masih menerima kad raya daripada rakan-rakan blogger iaitu blogger Tasha Aqisha dan Khairil Mazri. Mereka sungguh baik hati mengirimkan kad raya dan juga blogger namecard masing-masing. Terima kasih saya ucapkan!

Dan satu lagi, entah kenapa saya juga menerima kad raya daripada Kolej Universiti Islam Sains & Teknologi (KUIST). Terima kasih pihak KUIST yang sudi mengirimkan kad raya sekaligus menjemput ke hari terbuka KUIST iaitu esok. Kiranya, tahun 1435H setakat ini saya dapatlah juga tiga keping kad raya. Jadilah daripada tak ada.


Buat saya nilai kad raya itu sangat tinggi tetapi mungkin saban tahun akan semakin terhakis. Manakan tidak, semakin hari laman-laman sosial semakin bersaing sesama sendiri untuk mempengaruhi kehidupan masyarakat. Sekarang SMS pun orang dah tak layan sangat, kirim pesanan hari raya melalui WeChat dan WhatsApp sahaja. Yang terbaru apa ya, BeeTalk? Saya pun tak tahu sangat. Saya cuma pengguna WeChat sahaja. Eheh. 

Mengirim kad raya ni, bukanlah sunnah atau suatu ketetapan syarak, tetapi satu perkara yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Saya yakin masyarakat sebenarnya akan lebih menghargai kad yang diterima oleh keluarga atau sanak-saudara berbanding kiriman mesej kerana mesej boleh dihapus bila-bila masa sahaja berbanding kad raya. 

Kad  raya ni, kita boleh gantung atau simpan buat kenang-kenangan. Nanti bila dah tua sikit (ehem) boleh buka balik dan baca apa yang ditulis oleh kawan-kawan kita. Mungkin juga alamat atau nombor telefon yang tertera dalam kad raya tersebut masih boleh diguna pakai. Pokok-pangkalnya, kad raya ni boleh memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama kita umat Islam. Apa pula nilai kad raya bagi anda?