Merdeka bukan sekadar membebaskan negara daripada penjajahan
tetapi juga membebaskan jiwa daripada dikuasai.
Aku berjuang untuk aku
juga berjuang untuk mereka
Tuhan bantulah aku, merdekakan aku.
Suasana sekeliling begitu gelap.
Bintang di langit malam langsung tidak mahu memunculkan diri masing-masing.
Terus bersembunyi untuk mendapatkan istirehat yang cukup. Udara dingin lembut
menjilat pipiku dengan penuh asyik. Aku menelan liur, kegelisahan menyelubungi
jiwaku. Malam ini bukan kali pertama aku terpaksa berhadapan dengan situasi
seperti itu. Namun entah kenapa, jiwaku terpalit perasaan takut dan curiga.
Wajah manusia di hadapanku itu ku perhatikan dalam gelap. Aku mampu melihat
senyuman sinis yang diukir pada wajah lelaki berbadan tegap itu.
“Kau tahu prosedurnya, bukan?
Tunjukkan aku bukti, dan aku akan berikan kau imbalannya,” si badan tegap itu
akhirnya bersuara.
Mendengar kata-kata itu, lega
sedikit hatiku. Aku menghela nafas pendek sambil tangan kiriku meraba-raba
sesuatu di dalam poket seluar jeansku yang sudah koyak-rabak dan lusuh. Aha,
setelah mendapatkan barang yang aku inginkan, aku mengeluarkan tangan kembali
dan membuka sampul surat itu untuk membiarkan dia berpuas hati. Dia menyelukkan
tangannya ke dalam sampul dan menyentuh sesuatu. Kemudian dia menjilat jari
telunjuknya dan kembali tersenyum sinis. Betapa hodohnya wajahnya ketika itu,
kalau boleh kukatakan padanya. Setelah itu, si badan tegap menukarkan sampulku
dengan sampulnya yang lebih tebal.
“Macam mana aku nak pastikan semuanya
cukup?” giliranku pula untuk menyoal. Bukan apa, aku sekadar mahu mengambil
langkah berjaga-jaga. Aku tidak mahu tertipu seperti satu peristiwa yang pernah
terjadi tidak lama dahulu. Aku masih mentah lagi ketika itu. Aku
sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pembeli-pembeli bedebah yang licik. Aku
tidak akan lupa saat aku dipukul dengan teruk oleh ahli-ahli kumpulanku
sendiri. Mujur ketika itu Bang Joe menyelamatkanku. Jika tidak, aku mungkin
telah lama mengucapkan selamat tinggal pada Bumi.
“Kau boleh periksa kalau kau
masih ragu. Aku tak ada masa untuk bermain dengan kau sekarang. Kau cuma akan
membazirkan masa aku.” Si badan tegap mengangkat sebelah keningnya, mungkin
tidak senang dengan pertanyaanku itu.
“Baiklah.” Setelah menjenguk
sebentar isi di dalam sampul yang diberikan, aku mengangkat tangan kanan ke
hadapan paras pusat si badan tegap. Dia menjabat tanganku acuh tidak acuh. Si
badan tegap masuk ke dalam keretanya dan aku pula menghidupkan enjin
motosikalku. Kami mengambil haluan yang berbeza, membelah kedinginan malam.
***
“Bro... bro...” aku terasa
badanku digoncang kuat. Aku memilih untuk tidak mahu memisahkan kedua-dua
kelopak mataku. Badanku masih lagi digoncang kuat, kali ini sambil menyeru
namaku.
“Shahril! Bro!” Suara itu
menggegarkan minda separuh sedarku. Aku perlahan-lahan cuba memisahkan kelopak
mata dan kembali memijak di alam nyata. Aha, aku hampir saja terlupa. Aku masih
lagi berada di kafeteria dan selepas ini ada kelas dengan Sir Jaafar. Aku
memandang muka si Iman yang mengejutkanku bangun. Aku tahu, Hakimi juga pasti
sedang menatapku ketika itu.
“Dah lima belas minit kau tidur,
bro. Ini mesti qiam malam tadi, kan?” Iman, sesuai dengan namanya, memang akan
tanya soalan yang beriman sahaja.
Qiam? Aku tidak pernah bangun
malam, apatah lagi untuk solat-solat sunat segala. Ya, aku akui, aku bukan
seorang yang alim seperti Hakimi, juga bukan seorang yang warak seperti Iman.
Entah macam mana aku boleh terjebak dengan golongan malaikat seperti mereka
berdua ini.
Aha, kini aku sudah ingat
kembali. Waktu itu, kami mula-mula masuk kolej. Ketika dalam perjalanan pulang,
aku melihat dua orang pemuda yang sedang terpinga-pinga di tepi jalan. Melihat
keadaan kereta mereka yang tersadai, aku sudah boleh mengagak sama ada masalah
enjin, minyak atau tayar bocor. Selalunya aku memang tidak akan peduli jika ada
orang yang berada dalam kesusahan, tetapi hari itu jiwaku terdetik pula untuk
membantu pemuda-pemuda yang kasihan itu. Kebetulan, sewaktu menunggu keputusan
SPM dulu, aku sempat bekerja dengan Ah Lee di sebuah bengkel kereta. Ah, aku
teringat pula tentang si Ah Lee. Dulu aku rajin bekerja, kerja secara halal.
Kini... ahh.
Setelah dua kali berfikir, aku
memberhentikan motosikal di belakang kereta mereka berdua. Aku tak banyak
bicara, langsung melihat dan membetulkan kerosakan kereta si Iman. Apabila Iman
berjaya menghidupkan enjin kereta, dia teruja bukan main. Iman keluar dari
kereta dan memelukku terharu. Perasaanku ketika dipeluk oleh Iman, sungguh luar
biasa. Aku tidak pernah dipeluk mesra sedemikian rupa. Hakimi juga turut
berterima kasih padaku kerana membantu mereka. Aku dilanda perasaan kencang
seolah-olah sebuah magnet yang kuat sedang menarikku kepada mereka berdua. Atas
dasar itulah, Iman dan Hakimi setia berkawan denganku sehingga hari ini. Seingatku,
sudah hampir enam bulan kami berkawan.
Mereka berdua tahu, aku malas
sembahyang. Mereka tahu, aku jarang berpuasa. Mereka tahu, aku tak suka ikut
usrah. Mereka tidak kisah dengan semua itu. Mereka tetap berkawan denganku dan
sentiasa cuba menasihatiku, walaupun tidak ada satu pun nasihat mereka yang aku
hadam. Cuma ada satu perkara sahaja yang mereka masih belum ketahui, dan
perkara itu adalah...
“Kau kerja malam, ya?” persoalan
Hakimi itu menyerang tepat pada sasarannya. Aku tahu, akan sampai satu tahap,
aku tidak akan mampu lagi untuk menyembunyikan kenyataan. Mungkin aku perlu
berterus-terang pada Iman dan Hakimi. Mereka perlu menjauhiku. Aku tidak mahu
mereka terlibat denganku lagi. Akan sampai satu tahap di mana aku terpaksa membahayakan
nyawa rakan-rakanku.
“Iman, Kimi, aku sebenarnya ada
sesuatu nak beritahu kau berdua. Aku... aku ada buat satu kerja ni. Aku keluar
setiap malam. Aku...” aku teragak-agak memberitahu. Iman dan Hakimi sedang
memerhatikanku dan menunggu sambungannya.
“Aku...” suaraku ragu-ragu.
“Assalamualaikum,” satu suara
menyapa dari belakangku, membantutkan hasratku untuk bersuara. Suara itu cukup
ku kenali, cukup menggetarkan jiwa sesiapa yang mendengar, atau cuma
menggetarkan jiwaku seorang sahaja? Aku menoleh wajahku, melihat dua wanita
lengkap bertudung sedang berdiri. Nah, betul tekaanku. Pemilik suara itu ialah
Nur Khalisah, atau mereka di sini menggelarnya Lisa. Nur Khalisah merupakan
presiden yang mewakili penuntut wanita di kolej ini, manakala Iman merupakan
presiden lelakinya. Mereka memang selalu berurusan, tetapi aku tidak pernah
ambil tahu urusan apa. Paling tepat, aku tidak peduli mereka ada urusan apa.
Termasuk kali ini, hampir lima
kali Nur Khalisah mengganggu perbualanku apabila aku sedang bercakap. Ah,
mengganggu betul. Aku melihat dia menyerahkan fail hitam kepada Iman, dan
berlalu pergi. Bagiku Nur Khalisah memang pengganggu kehidupan orang, tetapi
mengapa apabila dia berlalu pergi jiwaku seolah-olah memanggilnya kembali? Adakah
aku menyukainya? Tidak mungkin. Aku tahu dia menyukai Iman. Aku dapat melihat
itu daripada pandangan matanya setiap kali melihat Iman. Iman seorang yang
warak, pasti sesuai dengan Lisa.
“Bro, apa kau nak cakap tadi?”
Hakimi menyoalku, dia pasti ingin tahu. Aku
memerhatikan manusia di sekeliling sudah ramai yang beredar. Aku mencuri
tangan kiri Iman dan melihat jam tangannya.
“Aku dah terlambat untuk kelas
Sir Jaafar. Nanti lain kali saja aku ceritakan,” aku cuba berdalih. Mungkin ini
bukan masa yang sesuai lagi untuk menceritakan hal yang sebenar kepada mereka
berdua. Aku akan mencari hari itu.
***
Aku memerhatikan Bang Joe dari
atas ke bawah. Lelaki berjanggut kumis itu kelihatan tekun mengira jumlah wang
di tangannya. Bang Joe merupakan orang kanan bos. Maksudnya, kalau aku rapat
dengan Bang Joe, aku akan selamat. Tetapi bukan alasan itu yang membuatkan aku
dekat dengannya. Bukan. Aku juga tidak tahu kenapa Bang Joe lebih mesra
denganku daripada ahli-ahli kumpulan lain yang sudah lama bekerja dengannya.
Tak tahu.
“Apa terjenguk-jenguk macam
hilang anak! Nak cakap, cakap sajalah!” gertak Bang Joe kasar.
Memang begitulah gaya dia
bercakap, tak pernah berlembut. Bang Joe menyangka aku sedang berkira-kira
untuk mengatakan sesuatu padanya. Mungkin juga. Aku mengorak langkah ke
hadapan, semakin mendekati mejanya. Aku menarik bangku merah dari bawah meja
dan melabuhkan punggungku di atasnya. Mataku cuma memerhatikan tangan Bang Joe
yang mengira wang dengan bersungguh-sungguh.
“Kau nak pinjam duit?” Bang Joe menjelingku sambil melepaskan asap
berkepul-kepul dari bibirnya yang hitam. Aku menggeleng.
“Mahu belanja makan?” Aku geleng
lagi, kali ini sambil tersengih. “Habis tu apa yang kau nak?”
“Saja berbual dengan abang. Kalau
kau tak kisah aku tanya, dulu kau kerja apa? Maksud aku, sebelum Bang Joe buat
kerja-kerja begini,” aku cuma mengorek rahsia. Ku lihat Bang Joe memasukkan
wang yang sudah selesai dikira ke dalam sampul berwarna coklat dan menyimpan di
dalam poketnya. Dia memandangku tajam, mungkin sudah dapat mengagak percaturanku.
Bang Joe menghulurkan kotak
rokoknya di hadapanku, tandanya dia mahu berbual-bual. Aku menggeleng. Aku tak
merokok. Aku pernah juga beberapa kali mencuba untuk merokok. Kata mereka yang
lain merokok mampu melegakan tekanan kita. Entahlah. Kalau aku yang merokok,
kepalaku akan pening. Mungkin tidak tahan dengan bau asap rokok yang dihembus
keluar melalui mulut dan hidungku sendiri. Ku perhatikan Bang Joe mengeluarkan
pemetik api dan menyalakan batang rokoknya, kemudian menghisap rokok dengan
penuh selamba.
“Aku dulu salesman,” Bang Joe
memulakan ceritanya. Aku memasang telinga. “Jual produk kesihatan, rumah ke
rumah. Aku bukan budak kolej macam kau, aku tak pandai. SPM aku dulu pun
hancur. Enam bulan yang pertama aku bekerja, semuanya berjalan lancar. Walaupun
kadang teruk dimarahi orang sebab mengganggu di rumah mereka, aku berjaya juga
mendapat hasil jualan. Aku ingat, aku boleh berjaya dengan business aku.” Asap
berkepul-kepul keluar dari bibir Bang Joe.
“Apa yang terjadi?” soalku ibarat
kanak-kanak yang sedang mendengar kisah-kisah bukan fiksyen sebelum tidur.
“Akhirnya aku dapat tahu produk
yang selama ini aku jual rupa-rupanya produk tiruan, bukan produk yang asli.
Produk kesihatan yang tidak diiktiraf. Sampai masuk surat khabar tentang produk
tu. Syarikat yang menggaji aku lingkup, bungkus balik rumah. Tinggallah aku
terkapai-kapai macam kera hilang anak. Memang aku terkejut besar. Beberapa
bulan lamanya aku tak dapat cari kerja. Iya lah, siapa yang nak terima orang
tak ada kelulusan macam aku ni? Sijil SPM pun tak laku,” Bang Joe tersengih
sinis. Berdasarkan riak wajahnya, aku tahu kenangan itu cukup pahit buat
dirinya.
“Aku beruntung sebab dapat jumpa
dengan Gan. Dia layan aku dengan sangat baik. Aku banyak terhutang budi pada
Gan. Sebab itulah aku bersumpah pada diri aku sendiri untuk setia dan tak akan
khianat pada kumpulan kita.” Gan. Itulah pengasas kumpulan kami. Aku belum
pernah melihat wajahnya secara langsung. Bang Joe mempunyai pelindungnya iaitu
Gan.
Aku? Pelindungku, Bang Joe sendiri.
Dia yang membawaku ke sini. Dia yang membuatkanku memulakan segala-galanya.
Mindaku kembali berputar pada pengalamanku sendiri, bagaimana aku boleh
terjebak dengan semua ini. Ayahku kahwin lagi, dan itu merupakan satu hakikat
yang tak mungkin dapat ku terima. Dia meninggalkan aku, adik-adikku dan ibuku
untuk bersama dengan isteri barunya. Ibu menjadi hampir separuh gila memikirkan
nasib malang yang menimpa dirinya. Ibu begitu cinta dengan ayah, tetapi ayah
langsung tidak mempedulikan kami lagi. Satu sen pun tidak dikirimkan ke rumah.
Mujur ketika itu aku sudah tamat persekolahan, cuma tinggal keputusan SPM untuk
diumumkan sahaja.
Aku perlu mencari kerja. Selama
beberapa bulan aku bekerja dengan Ah Lee di bengkel kereta ayahnya, tetapi upah
yang diterima masih belum cukup lumayan. Sewa rumah, duit minyak, ubat-ubatan
untuk merawat ibuku, yuran sekolah adik-adik pula. Aku mempunyai tiga orang
adik, dua kembar lelaki sekolah menengah dan seorang perempuan yang masih
sekolah rendah. Ibuku sampai hari ini masih meratapi kehilangan ayah, dia masih
trauma. Mujurlah adik perempuanku yang satu itu sudah pandai masak dan rajin
menguruskan ibu. Kalau aku, mungkin tak sanggup.
Dalam keadaan ibu yang sakit itu
pun, dia masih waras untuk menyuruhku sambung belajar di kolej. Aku terpaksa
tidak menolak permintaannya. Aku buntu memikirkan masalah kewangan dan entah
bagaimana aku boleh terserempak dengan Bang Joe. Bang Joe seolah-olah tahu aku
dilanda krisis kewangan. Dia menawarkanku pekerjaan. Aku masih ingat lagi kata-katanya.
“Kau boleh kerja dengan aku, tapi aku
beri amaran awal. Kerja aku berbahaya dan mencabar. Kau mahu?”
“Paaappp!!” Bang Joe memukul meja
dengan begitu kuat, membuatkanku serta-merta melayang dari masa lalu. Dia
mengangkat sebelah keningnya, tanda kehairanan. “Kau dengar tak apa yang aku
cerita dari tadi? Berangan kuat!”
Aku menarik sengih lebar.
***
“Shahril! Petang ni ada usrah,
tempat biasa, lepas sembahyang Asar,” Iman memaklumkan. Tempat biasa? Manalah
aku tahu tempat biasa. Aku tak pernah sekali pun menghadiri usrah. Yang aku
tahu, usrah macam kerja kumpulan. Duduk dalam bulatan, sembang tentang akhirat.
Ah, kemalasan yang melanda diriku semakin membuak-buak. “Kau nak pergi tak?”
Iman menyambung soalannya.
“Aku ada assignment untuk
disiapkan,” pendek aku membalas. Jus oren di hadapanku dihirup. Sejuk anak
tekak. Sesekali aku memusingkan penyedut minuman di dalam gelas. Aku
memerhatikan Hakimi yang sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, cuba
tidak mahu bertentang mata dengan Iman.
“Bro, sepanjang kau di sini, aku
tak pernah tengok kau ikut usrah. Apa kata hari ini kau ikut aku?” Iman masih
cuba memujuk. “Bosanlah. Usrah, usrah, usrah. Apalah yang bagus sangat fasal
usrah tu? Aku tak faham betul. Boleh tak kau berhenti ajak aku usrah lagi?”
jujur aku meluahkan. Kali ini, aku melihat mata Iman dan Hakimi saling
bertentang, seolah-olah aku baru sahaja mengisytiharkan Perang Dunia Ketiga
sebentar tadi. Aku dapat melihat dengan jelas Iman sedang memikirkan sesuatu.
Dia memang mempunyai akal yang panjang.
“Beginilah, Shahril. Apa kata
sekali ini saja kau ikut aku datang usrah? Kalau usrah itu langsung tak
menyentuh hati kau, aku tak akan ajak lagi kau datang usrah,” Iman membuat
pertaruhan hebat.
“Sungguh?” aku sedikit tertarik
dengan tawarannya. Selepas ini, tak perlulah lagi aku bersusah-payah mendengar
bebelan budak berdua itu tentang usrah. Aku boleh bertoleransi terhadap semua
perkara, kecuali yang melibatkan usrah ni.
Petang itu, seperti yang
dijanjikan, aku membuntuti Iman untuk menuruti permintaannya. Aku cuma perlu
bertahan untuk hari ini sahaja. Iman berjalan menuju ke Taman Rashidah yang
terletak di dalam kawasan kolej. Aku sendiri tidak pernah menyedari kewujudan
taman ini. Dalam perjalanan, Iman dan aku bertembung dengan orang yang paling
cuba aku elakkan.
“Mahu ke mana, Iman?” soal Nur
Khalisah dengan senyuman manisnya. Ah, sibuk sahaja hendak tahu urusan orang
lain. Ku berdoa semoga Iman tidak lama-lama melayannya.
“Pergi usrah,” ringkas Iman
menjawab. Aku dapat melihat ada reaksi terkejut yang terpapar pada wajahnya
yang ayu. Wajahnya yang bereaksi macam mana sekalipun, tetap menggetarkan
jiwaku. Apa yang dia hairankan sebenarnya kalau Iman pergi usrah? Mungkin dia
hairan Iman berjaya membawa aku bersama-samanya. Ah, pedulikan sajalah apa yang
difikirkan si Lisa ini.
“Oh, selamat berusrah!” Nur
Khalisah kembali tersenyum dan berlalu pergi bersama rakan-rakannya. Aku
menoleh ke belakang, memerhatikan Lisa berlalu pergi. Iman cepat-cepat
menyinggung lenganku dan membawaku ke kumpulan usrah.
***
“Lambat kau hari ni,” sapa Bang
Joe sebaik sahaja aku mematikan enjin motosikal. Bang Joe mempunyai parut di
pipi kirinya. Katanya, dipukul orang dengan batang besi. Mungkin penampilannya
itu yang membuatkan orang lain agak gentar dan menghormatinya.
“Biasalah bang. Budak kolej,
banyak assignment. Eheh.” Aku berbohong meskipun aku tahu Bang Joe tidak akan
termakan dengan umpanku. “Banyak assignment konon. Ha, ni bos kita nak tambah
lagi assignment kau malam ni. Aku bagi kau amaran, kerja kita memang bahaya.
Kalau kecut, baik kau bungkus saja balik rumah. Kumpulan kita tidak memerlukan
pengecut bertopengkan manusia. Huh!” Bang Joe meludah ke tanah.
“Tengok kakilah bang! Kau bagi
saja assignment, aku boleh siapkan. Tiada masalah! Kerja apa?” dengan lagak
selambanya aku menjawab. Aku langsung tidak memikirkan bahaya yang mungkin
menimpa. “Kau ingat tak lagi kumpulan Ular Putih yang pernah kenakan kita
dulu?”
“Kumpulan bedebah tu? Mana boleh
lupa, bang. Bukankah aku yang ditipu mereka sehingga teruk aku dibelasah yang
lain?” Kotak ingatanku kembali membara. Sekiranya tubuhku boleh mengeluarkan
api, pasti sudah rentung aku dibuatnya. Sungguh aku dendam. Aku tidak akan
berpuas hati selagi dendamku tidak terbalas.
“Ah, aku lupa. Aku yang
menyelamatkan kau daripada menjadi makanan ayam dulu. Ha, inilah masa yang
tepat untuk kau membalas perbuatan Ular Putih. Salah seorang budak kita akan
berurusan dengan mereka. Kita akan cuba merampas kembali maruah kita yang
tercalar dulu!” berkobar-kobar Bang Joe dengan ucapannya. Bang Joe bergerak ke
belakangku, membuka zip beg milikku dan aku dapat rasa dia memasukkan sesuatu
ke dalamnya. Bang Joe kemudian menutup kembali zip beg.
“Apa tu?” aku mencapai beg dan
menjenguk ke dalam. Aku terkejut bukan kepalang. Badanku seolah-olah baru
dipanah petir, terketar-ketar. “P...pis...pistol?” Aku tidak pernah menduga
semua ini akan berlaku. Aku tidak pernah mengagak akan sampai ke tahap ini. Aku
tidak pernah memegang pistol sebelum ini. “Apa ni bang?” Aku masih ragu-ragu.
“Simpan sajalah. Itu hadiah aku
untuk kau. Kalau kita bernasib baik, mungkin kau akan dapat terus menyimpannya
dalam keadaan yang suci. Kalau keadaan jadi berbahaya, kau mungkin akan
terpaksa menggunakannya. Kau sendiri yang bersetuju untuk sahut cabaran ini, bukan?”
Kata-kata Bang Joe memang ada benarnya. Ah, tapi kalau sudah sampai ke
peringkat ini, bererti aku mungkin akan terpaksa untuk bergadai nyawa. Adakah
aku harus menarik balik apa yang telah kuucapkan sebentar tadi?
“Baiklah Bang Joe. Aku akan
laksanakan. Kau cuma perlu beritahu aku apa yang perlu ku lakukan.”
***
Aku berjalan mundar-mandir. Iman
dan Hakimi hanya memerhatikanku sejak dari tadi. Ah, terlalu banyak yang
bermain di fikiranku saat ini. Serius, aku benar-benar buntu. Seolah-olah aku
sedang mengalami komplikasi otak. Malam esok. Ya, malam esok aku akan
bertarung. Bertarung untuk memperjuangkan maruah? Persetankan maruah. Aku lebih
peduli tentang keselamatan nyawaku. Tetapi aku telah berjanji dengan Bang Joe untuk
melaksanakan misi malam esok. Sudah beberapa hari aku memikirkan masalah ini.
Semakin dekat dengan masa yang ditetapkan, semakin bergelodak jiwaku.
“Bro, kali ni aku betul-betul
serius. Boleh tak kau ceritakan apa sebenarnya krisis yang sedang melanda diri
kau sekarang ni?” Iman menyoal untuk kesekian kalinya. Aku masih mundar-mandir,
sesekali memegang kepalaku lagak pengurus syarikat yang baru muflis. Kalau aku
cerita sekalipun, mereka tetap tidak akan dapat membantu.
“Atau mungkin dia baru putus
cinta?” Hakimi mula menembak yang jauh tersasar. Aku akhirnya cuba
mententeramkan diriku sendiri. “Man, Kimi, aku memang ada masalah. Masalah yang
sangat berat sehingga aku tak mampu untuk ceritakan. Masalah ini yang
mengganggu aku sehingga hari ini.” Dan mungkin masalah terakhir yang aku alami
di dunia ini sebelum aku pergi.
“Takkan sedikit pun kau tak mahu
ceritakan?” Hakimi menduga. Aku menggeleng.
“Beginilah Shahril. Mungkin kami
berdua dan kau sendiri tak dapat selesaikan masalah kau. Tapi aku kenal
seseorang yang boleh selesaikan masalah kau,” kata-kata Iman sungguh membuatkan
aku tertarik.
“Siapa, bro?”
“Allah SWT.” Nama itu
menggegarkan jiwaku, sungguh gegarannya lebih kuat berbanding nama Nur Khalisah
apabila disebut. Semacam timbul suatu perasaan aneh dalam jiwaku. Aku tidak
tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan itu. Sejuk, resah, tenang, gelisah,
semuanya bercampur menjadi satu. Aku mengaku, semenjak Iman membawaku mengikuti
usrah bulan lepas, aku mulai tertarik akan yang bernama usrah. Aku mulai kenal
perkataan-perkataan Arab seperti dakwah, tarbiah, dan banyak lagi. Bukan sekali
saja aku mengikuti usrah, tetapi dalam dua tiga kali selepas itu. Bezanya aku
masih belum solat, aku masih malas berdoa. Doa yang ku hafal hanya doa makan
dan al-Fatihah. Mungkin juga surah Qulhuwallahuahad.
“Allah?” Aku menuturkan nama itu
perlahan, tetapi aku yakin dapat didengari oleh si Iman dan Hakimi. Aku dapat
melihat muka Iman dan Hakimi yang berseri tatkala aku menyebut nama itu.
Mungkin kerana sepanjang mereka menasihatiku, ini baru kali pertama aku
memberikan respons yang positif. Positif? Mungkin.
“Bro, sandarkan hati pada Allah.
Sesungguhnya Allah yang menciptakan masalah, dan hanya Dialah yang boleh
menyelesaikan masalah tersebut. Kalau kau minta dengan bersungguh-sungguh, aku
yakin Allah akan tunjukkan jalan keluar untuk masalah kau. Berdoalah pada Dia,”
Hakimi semacam merayu padaku.
“Berdoa?”
“Malam ini, kau balik, buat solat
taubat, solat istikharah. Minta bantuan Tuhan,” tambahnya lagi.
Solat? Doa? Adakah itu jalan
terakhirku? Mungkin itu pilihan terakhirku. Aku jadi buntu. Adakah Tuhan akan
memandang dan memakbulkan doa daripada aku? Atau segalanya hanya sia-sia? Aku
mencapai beg di atas meja dan mahu bergerak pergi. Aku tidak tahu apa lagi yang
perlu ku fikirkan. Sebelum aku menghilangkan diri, Iman menitipkanku sepucuk
surat. Aku tidak segera membacanya di situ tetapi membukanya di tempat lain
yang agak jauh dari mereka. Hairan juga, sejak bila Iman pandai berutus surat
denganku.
Bismillahirrahmanirahim,
Assalamualaikum w.b.t., saudara atas dasar iman, saudara atas dasar
Islam.
Di sebalik wajahmu yang sentiasa bersedih, di sebalik wajahmu yang
sentiasa mengeluh, aku tahu ada sesuatu di dalam dirimu yang istimewa. Kau
tidak banyak bicara. Kau tidak banyak menyusun kata. Kau memang pemuda biasa.
Entah kenapa, kebiasaanmu itu yang menjadikanmu luar biasa pada
pandangan mataku. Aku sering berdoa supaya Tuhan menunjukkan aku jalan, tetapi
aku melihat jalan yang menuju kepadamu. Oleh itu, aku cuma ingin tahu adakah
wajar kiranya aku terus mengambil berat tentang dirimu, atau aku harus
berhenti?
Tulus,
Nur Khalisah.
Sungguh aku terdiam membaca nama
yang tertera pada penghujung surat ringkas itu. Aku tidak percaya. Sungguh
tidak percaya. Lisa menaruh harapan padaku, dan bukannya Iman? Iman, dia pasti
tahu semua ini tetapi tidak mahu memberitahuku. Ah, segalanya bertambah runsing
lagi. Apa yang perlu ku balas? Apa yang perlu ku lakukan? Sungguh aku tidak
setaraf dengan Nur Khalisah. Dia lebih layak dengan Iman yang berkarisma, atau
si Hakimi yang pintar. Kenapa dia memilihku? Aku yang kosong, aku yang hina.
Aku melipat surat itu dan menyimpannya di dalam poket.
Aku menghidupkan enjin motosikal
dan pulang ke rumahku yang terletak tidak jauh dari kolej. Perjalanan ke rumah
hanya memakan masa dua puluh minit. Ku lihat si Azlina sudah setia menungguku
di hadapan pintu rumah. Tetapi, ada yang aneh pada wajahnya. Dia tidak ceria
seperti selalu. Azlina mengambil tangan kananku dan mengucupnya. Tidak ada
sepatah kata pun yang terbit dari bibirnya.
“Kenapa ni dik?”
“Ibu menjerit-jerit macam orang
tak siuman tadi. Mungkin dia teringat fasal ayah. Adik cuba cari ubat ibu, tak
jumpa. Sudah habis, bang. Semuanya sudah habis,” jelasnya. Ternyata itu yang
membuatkan adik perempuanku yang satu itu bersedih. “Ibu di mana sekarang?”
soalku. “Sudah tidur. Mungkin bila-bila masa dia akan mengamuk lagi.”
Aku membuka kasut dan masuk ke
dalam bilikku. Aku membaringkan tubuhku yang keletihan di atas katil. Semuanya
semakin menghimpit. Aku memang perlukan duit, tetapi aku teringat kata-kata
naqib sewaktu kali terakhir aku menghadiri usrah. “Walau sebanyak mana pun duit
yang digunakan untuk keluargamu, rakan-rakanmu, jika datangnya dari sumber yang
haram, hidupmu tidak akan mendapat berkat Tuhan. Cepat atau lambat, banyak
masalah akan menimpa dirimu. Oleh itu, sebaiknya kita cari wang, pekerjaaan
yang halal sebagai punca rezeki. Barulah hidup akan lebih diberkati.” Ah, aku
tidak dapat menghilangkan kata-kata yang terngiang-ngiang di telingaku itu. Aku
terlalu runsing, sehingga akhirnya aku terlelap dan langsung tidak keluar dari
bilik malam itu.
Setelah agak lama tidak ku
sedarkan diri, aku terjaga dan mendapati jam menunjukkan 3.45 pagi. Secara
automatik, aku bangkit dari perbaringanku. Masih dengan otak yang buntu.
Sumpah, aku mahu bebas. Aku tidak mahu terus terbelenggu dengan masalah. Aku
mahu larikan diri. Aku ingin sahaja mencampakkan pistol yang diberikan Bang Joe
ke dalam sungai. Tetapi aku tidak mampu.
Ku buka jendela kamar
perlahan-lahan, menghirup udara dingin yang menyapaku mesra. Aku mendongak
memerhatikan langit gelap yang terbentang luas. Bunyi cengkerik menguasai bumi.
Aku berjalan membuka beg. Ku keluarkan satu persatu bungkusan yang berada di
dalam beg. Air mata kelelakian mulai berderai jatuh dari takungan kelopak mata.
Lututku terasa longgar dan entah bagaimana aku melutut di atas lantai. Satu
bungkusan dadah sedang ku genggam.
Ya, memang aku mahu membalas
dendam. Memang aku mahu mengembalikan maruahku. Tetapi ke mana dendam itu akan
membawaku? Maruahku? Memang sudah lama tergadai semenjak aku bersetuju menjadi
seorang pengedar dadar. Apa yang akan terjadi andai aku terkorban esok malam?
Siapa yang akan merawat ibu dan menjaga adik-adikku? Iman dan Hakimi juga pasti
akan sangat kecewa. Nur Khalisah? Apa yang perlu ku katakan padanya? Aku
mencampakkan bungkusan dadah ke tepi. Entah mengapa, kudratku menyuruh aku
mengambil wuduk, dan mengingat kembali langkah-langkah solat. Ya, aku masih
boleh ingat. Aku rajin solat ketika di asrama dulu. Pasti aku boleh ingat
kembali.
Malam itu, aku merdeka. Merdeka
daripada egoku terhadap Tuhan.
***
Malam itu, tepat seperti yang
dijangka, jumlah ahli kumpulan Ular Putih yang hadir lebih sedikit berbanding
jumlah kami yang menunggu ibarat helang menyambar. Cuma lima orang sahaja yang
datang. Jumlah dadah yang diminta agak banyak, tetapi satu sen pun tidak dibawa
oleh Bang Joe dan anak-anak buahnya untuk bayaran. Dua orang wakil tampil untuk
menuntut dadah. Aku menjadi semakin berdebar memerhatikan rundingan mereka dari
tempat persembunyianku. Sebenarnya tugasku agak senang, iaitu untuk mengacukan
pistol pada Ular Putih sementara yang lain merampas dadah. Tetapi kita tak akan
dapat menjangka apa yang boleh terjadi, bukan?
Aku memerhatikan bungkusan
diberikan kepada orang suruhan Bang Joe. Suasana menjadi genting. Bang Joe
akhirnya memberikan isyarat kepada aku dan yang lain untuk keluar dari tempat
persembunyian. Masing-masing menyasarkan seorang mangsa. Meskipun tanganku agak
menggigil memegang senjata haram itu, aku berjaya untuk menyasarkan kepala si
botak yang tidak menyedari perangkap kami.
“Jangan gerak. Satu nafas, kau
mati,” ugutku dengan separuh yakin. Si botak itu menuruti arahanku. Apabila
keadaan menjadi terkawal, Bang Joe memberikan arahan untuk merampas semua dadah
yang dibawa oleh Ular Putih. Mereka mula bertindak pantas. Namun begitu, ada
sesuatu yang aneh menurutku. Si botak tiba-tiba sahaja ketawa persis Joker
dalam cerita Batman. Hatiku mula tidak senang. “Senyap, bedebah!” Aku menekan
pistol pada kepalanya, biar dia ingat posisinya sekarang. Aku tidak tahu apa
yang begitu lucu pada fikirannya.
“Sekarang!!” si botak menjerit
kuat. Sekarang? Apa yang sekarang? Dahiku berkerut seribu. Ketika itu, bunyi
tembakan dilepaskan. Aku menoleh ke belakang dan melihat seorang ahli
kumpulanku tumbang mencium tanah. Mataku membulat tidak percaya. Aku segera
duduk, berlindung di sebalik kereta yang dipandu si botak sambil terus
mengacukan pistol kepadanya. Si botak masih terus ketawa.
“Kau fikir Ular Putih terlalu
bodoh untuk dipermainkan? Puhhh!” si botak meludah ke tanah. Aku cuma melihat
belakang badannya, tetapi aku tahu dia pasti sedang tersenyum. Satu lagi das
tembakan dilepaskan dan bunyi jeritan kedengaran. Sudah dua orang kami yang
tewas. Bang Joe juga ku lihat begitu gelisah. Rupa-rupanya, ahli kumpulan Ular
Putih yang lain sudah dapat menghidu rancangan Bang Joe sejak awal lagi dan
mereka bersembunyi terlebih dahulu sebelum bertindak.
Aku perlu mengambil langkah
berjaga-jaga. Aku menyepak kaki si botak, mengharap dia akan jatuh dan mudah
untuk ku tewaskan. Padahal, dia langsung tidak terjejas dengan sepakanku itu.
Aku menelan liur. Dia mengeluarkan pistol dari poketnya yang sengaja tidak
dikeluarkan awal-awal. Kali ini, pistol itu diacukan tepat pada wajahku. Adakah
ini akan menjadi pengakhiran bagiku? Ya Allah, Ya Rabbi... tolonglah aku.
Bantulah aku.
‘Poooommmmm!’ Kedengaran bunyi
tembakan yang dilepaskan. Ku fikir aku yang ditembak, namun tubuh badanku
langsung tidak terjejas. Si botak pula yang hampir terjatuh menghempapku. Mujur
aku masih kuat untuk menolaknya ke tepi. Ku lihat Bang Joe yang berada di
belakang si botak. Bang Joe jugalah yang membunuhnya. Membunuhnya untuk
menyelamatkanku.
Di tengah kekalutan malam,
kedengaran bunyi yang cukup mengganggu semua pihak yang sedang bergaduh di
situ. Siren polis. Bang Joe mengamuk bukan kepalang.
“Ah, dasar pembelot! Pembelot
dalam kalangan kita! Aku tak akan lepaskan si pembelot!”
Oh tidak. Allahu. Baru terlepas
kandang buaya, masuk ke kandang harimau pula. Kini, pasti aku yang menjadi
sasaran Bang Joe. Aku melihat Bang Joe bersedia untuk melepaskan tembakan
sebelum anggota polis muncul. Nafasku
menjadi deras. Mataku ku pejam erat. Tak terbayang bagaimana peluru akan
menembusi badanku nanti. Satu lagi tembakan dilepaskan.
Aku perlahan-lahan membuka mata.
Tubuhku tidak apa-apa. Begitu juga dengan tubuh Bang Joe. Aku memandang
sekeliling. Bang Joe membunuh anak buahnya yang lain. Nampaknya dia sangat
mempercayaiku, padahal... padahal akulah sebenarnya yang menghubungi pihak
polis untuk ke lokasi sebelum kejadian. Aku yang membocorkan segala-galanya.
“Pergi! Pergi cepat!” Bang Joe
menghalauku pergi. Dia menyerahkan sesuatu padaku. Kertas kecil yang sedikit
keras. “Kau masih punya masa depan, jangan jadi bodoh macam aku!”
Aku berlari sekuat hati, berlari
dan terus berlari dalam kegelapan malam. Aku tahu saat ini Bang Joe sudah
ditangkap polis, padahal aku yang mengkhianatinya. Maafkan aku. Aku harus
melakukan semua ini untuk kebaikan semua, terutamanya diriku. Sejak azali lagi
memang dadah merupakan musuh negara. Sesiapa yang terlibat dengan dadah, maka
dia juga merupakan musuh negara. Aku juga begitu, tetapi aku tidak mahu lagi
meneruskannya. Siren polis semakin lama tidak ku dengar lagi. Aku mendapatkan
motosikalku dan terus membelah kedinginan malam. Juga membelah hatiku yang
gusar.
***
Aku meneguk kopi yang dibancuh
oleh Azlina. Pandangan mataku masih terlekat pada komputer riba di hadapanku.
Seketika kemudian jari-jemariku rancak menari di atas papan kekunci. Aku perlu
menyiapkan juga manuskrip novelku hari ini. Esok manuskrip yang sudah siap
disemak perlu ku hantar ke kedai percetakan dan langsung pos laju ke syarikat
penerbitan.
Azlina muncul lagi di dalam
bilikku. Kali ini wajahnya berseri-seri daripada biasa. “Abang, teka!”
“Teka apa?” Aku memang malas mahu
berteka-teki.
“Adik dapat masuk universiti sama
dengan Angah dan Alang! Surat tawaran baru sampai tadi,” Azlina segera
menunjukkan surat tawaran kemasukan ke universiti yang bau diterimanya.
Alhamdulillah. Syukur aku panjatkan kepada Tuhan atas kejayaan adik-adikku,
juga kejayaanku. Sungguh, duit yang halal memang ada keberkatannya. Tidak lama
selepas penangkapan Ular Putih serta Bang Joe dan yang lain-lain, ibu meninggal
dunia.
Setelah itu aku berpindah ke
kolej dan tempat yang baru. Aku mula kerja secara halal dengan mengambil upah bekerja
di stesyen minyak. Atas nasihat Iman dan Hakimi yang sering bertanyakan
khabarku di Facebook, aku mengambil keputusan untuk menulis. Aku menulis novel
Islamik dan buku-buku motivasi, yang banyak aku pelajari di kolej baru.
Buku pertamaku berjudul Merdekakan Aku, ku dedikasikan untuk keluarga dan rakan-rakanku, juga si dia yang pernah ku cinta. Entah apa khabarnya sekarang. Aku tidak membalas soalannya, sebaliknya ku kirimkan pesanan sahaja melalui Iman supaya Nur Khalisah melupakanku. Aku punya perjuangan yang lebih besar, iaitu untuk memperjuangkan Islam dalam diriku sendiri.
Buku pertamaku berjudul Merdekakan Aku, ku dedikasikan untuk keluarga dan rakan-rakanku, juga si dia yang pernah ku cinta. Entah apa khabarnya sekarang. Aku tidak membalas soalannya, sebaliknya ku kirimkan pesanan sahaja melalui Iman supaya Nur Khalisah melupakanku. Aku punya perjuangan yang lebih besar, iaitu untuk memperjuangkan Islam dalam diriku sendiri.
“Oh ya, bang. Ada satu lagi surat
untuk abang,” Azlina menyerahkan sepucuk surat yang tertera namaku. Aku
mengoyak hujung sampul, dan mengeluarkan isinya. Aku membaca isinya penuh
khusyuk. Kemudian, aku ketawa sendiri. Aku menggeleng kepala sambil ketawa. Aku
meletakkan kad kahwin itu di atas surat cinta yang pernah dia berikan padaku
suatu ketika dahulu.
Walimatul urus
Muhammad Iman bin Ghazali
dan
Nur Khalisah binti Saiful Nizam
- TAMAT -
- TAMAT -
wahh.. best! walaupun tgh mgntok.. pulun baca jugak.. ahaha
ReplyDeleteTerima kasih sebab baca! ^^
Delete