Pagi tadi saya berkesempatan
untuk mengikuti lawatan bersama Pertubuhan Mekar Budi Kulim ke Raudhatus
Sakinah yang menempatkan remaja bermasalah di Relau. Saya ingin berkongsi kisah di blog ini,
bukannya dengan niat mengaibkan mana-mana pihak tetapi sekadar ingin menjadikan
iktibar dan pengajaran buat diri sendiri dan juga para pembaca. Sama-sama kita
ambil ibrah. Remaja perempuan di situ berusia sekitar 16-22 tahun jika tak
salah saya.
Masuk sahaja ke dalam rumah
tersebut, saya melihat seorang bayi yang baru 16 hari dilahirkan. Ibunya
berusia 19 tahun dan sedang duduk di sebelah bayi lelaki itu. Alhamdulillah dia
masih sudi menjaga dan merawat anaknya kerana segelintir remaja selalunya tidak
mahu melihat muka anak yang dilahirkan. Dia menamakan bayi itu Muhammad
al-Fateh. Subhanallah, nama yang sungguh berkarisma. Mudah-mudahan bayi yang
dilahirkan itu mampu mewarisi semangat perjuangan Al-Fateh ketika memimpin
negara dan berjuang membebaskan Kota Konstantinopel.
Selain daripada ibu remaja
tadi, masih ada dua orang yang sedang hamil menunggu masa untuk melahirkan.
Katanya, ayah bayi tidak mahu bertanggungjawab. Mungkin malu memikirkan maruah
keluarga dan sebagainya. Entahlah.
Wajah-wajah penghuni Raudhatus
Sakinah suci, langsung tidak menunjukkan bahawa mereka pernah menjadi golongan
remaja yang bermasalah dulu. Mungkin ini semua merupakan hasil didikan dan
tarbiah yang diterima sepanjang ditempatkan di situ. Saya kagum tatkala
mendengar rutin harian mereka yang bangun seawal 4 pagi untuk menunaikan
Qiamullail. Aktiviti harian akan dipenuhi dengan tadarus al-Quran dan
kerja-kerja bermanfaat yang lain. Saya bertambah teruja mendengar pada bulan Ramadan
yang lalu, mereka sudah mengkhatamkan al-Quran sebanyak empat kali! Masya
Allah. Mereka sungguh beruntung mendapatkan tarbiah yang sedemikian rupa.
Warden atau pengurus di situ
berkongsi pelbagai cerita dengan kami. Ada penghuni rumah itu yang melarikan
diri dengan teman lelaki kerana tidak sanggup berlama-lamaan di situ. Ada yang sudah
keluar, tetapi akhirnya kembali dengan perangai lama mereka. Antara kes yang
sangat menyedihkan tentang kanak-kanak 12 tahun yang menghamilkan seorang
remaja 16 tahun. Astaghfirullah.
Bayangkan, usia yang belum pun
menginjak ke zaman remaja sudah dimusnahkan begitu sahaja. Padahal jika
difikir-fikirkan, masih jauh dan luas lagi perjalanan yang boleh ditempuhi
olehnya. Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke situ tidak sudi pun untuk
memandang mereka. Kadang, tangisan yang akan mengiringi wajah ibu bapa yang
hadir untuk berjumpa dengan pengurus. Secara peribadi, saya sendiri tak sanggup
untuk melihat ibu bapa saya menangis mengenangkan masa depan saya.
Mereka yang menghuni Raudhatus
Sakinah ni bukannya tak ada future. Semua orang pernah, sedang dan akan buat
salah dalam hidup masing-masing. Tak ada yang bersifat maksum melainkan Nabi.
Mungkin faktor persekitaran atau didikan yang menyebabkan kita menjadi siapa
diri kita pada hari ini.
Saya pernah bersekolah di tiga
buah sekolah menengah yang berbeza latar belakang. Sekolah pertama, sekolah kluster
yang terdiri daripada pelajar pandai, tetapi ada yang jelas tentang masa
hadapan mereka dan ada yang masih kabur. Sekolah kedua, sekolah berprestasi
tinggi. Pelajar di sekolah ini walaupun berbeza perangai, tetapi saya boleh
melihat hampir kesemuanya punya matlamat dan cita-cita yang tinggi dan jelas.
Mereka mampu berfikir jauh dan berusaha untuk menggapai masa depan
masing-masing. Sekolah ketiga pula, pelajar-pelajarnya memang mempunyai latar
belakang yang jauh berbeza. Ada yang punya cita-cita tinggi, tetapi majoriti
yang pernah saya soal cuma mahu bekerja sahaja.
Pokok pangkalnya saya pernah
jumpa remaja yang tinggi wawasan sampailah remaja yang tak ada wawasan.
Semuanya bergantung pada persekitaran kehidupan mereka. You see, tak ada siapa
pun yang pilih untuk jadi bermasalah. Bagi saya semua orang sebenarnya layak
untuk dapatkan masa depan yang cerah termasuklah remaja-remaja di Raudhatus
Sakinah ini. Saya tak tipu. Mereka memang ada cita-cita tersendiri.
Ada yang minat memasak, menjahit
dan kemahiran-kemahiran yang lain. Apabila kami menawarkan bantuan daripada
segi kemahiran, mereka menjadi teruja dan bersemangat. Tatkala ditanya tentang
menulis, lagi ramai yang mengangkat tangan. Mereka sangat berminat untuk
menceburkan diri dalam dunia penulisan. Saya pun duduk dalam satu kelompok
remaja (kebanyakannya lagi tua daripada saya) dan berkongsi tips penulisan.
Saya menceritakan serba-sedikit
proses menulis, menghantar proposal sehinggalah ke proses editing. Pelbagai
soalan yang diajukan kepada saya. Saya cuba menjawab satu per satu dan
mendorong mereka untuk menulis. Insya Allah, sekiranya saya berkesempatan dalam
masa yang terdekat saya akan ke sana lagi untuk memberikan bimbingan khusus
kepada mereka dalam bidang penulisan.
Apabila mereka menunjukkan minat
yang mendalam, sudah tentulah kita akan jadi lagi bersemangat untuk mencurahkan
ilmu di dada. Saya memang suka orang yang bertanya soalan kerana mereka ingin
tahu. Saya sempat menitipkan nombor telefon saya agar lebih mudah dihubungi. Kami
meluangkan masa bersama-sama menjamah hidangan hari raya. Terpampang pada wajah
mereka kegembiraan menyambut orang luar.
Sebelum mengundur diri, mereka sempat berpesan untuk datang lagi ke Raudhatus Sakinah. InsyaAllah, saya pasti akan ke sana lagi. Selagi boleh berbakti, kita berbakti. In my personal opinion, memanglah susah nak tangani remaja bermasalah. Saya dah cukup bersyukur dengan didikan yang diperoleh. Itu pun masih banyak yang perlu saya pelajari lagi.
Walau macam mana nakal atau jahat pun remaja, kita kena sentiasa
usaha untuk membantu mereka. Tak kisahlah pendekatan yang lembut, kasar,
bergantung pada kes masing-masing. Satu perkara yang paling penting ialah
jangan berputus asa dengan mereka. Kita kena tunjuk yang kita masih lagi peduli
tentang kebajikan mereka. InsyaAllah dengan berkat usaha kita, sekeras mana pun
hati manusia pasti akan dapat dilembutkan. Just never give up.
No comments:
Post a Comment