Sunday, 31 August 2014

Diari#53: Saya dan Malaysia

Diambil oleh ibu saya dalam penerbangan ke Sabah

Sejak kecil lagi saya sering dilabel oleh rakan-rakan sebagai bukan warganegara Malaysia, hanya kerana saya dilahirkan di United Kingdom. Dan setiap kali itu jugalah saya akan bermati-matian mengatakan bahawa saya seorang warganegara Malaysia yang sah. Dulu mungkinlah tak ada bukti sangat, tetapi sekarang saya sudah mempunyai kad pengenalan dan juga pasport Malaysia. Masih mahukan bukti lagi? Eheh. Saya tahu mereka sekadar mahu mengusik saya sahaja.

Saya serius cintakan Malaysia dan sangat bersyukur dapat menetap di negara ini. Kalau dari segi cuaca, memanglah Malaysia tak ada salji seperti United Kingdom. Tak boleh main luncur salji. Tak boleh main baling-baling salji. But think of the bright side, we really can save our expenses here.  Tak perlu susah-payah untuk membeli baju sejuk dan baju yang berlapis-lapis. Tapi itu tidak bermakna kita boleh pakai baju selapis yang tak cukup kain apabila berjalan di luar. Malaysia pun kaya dengan rakyatnya yang bersopan dan ada adat tersendiri. Well, most of us.

Bahagian yang paling menarik, Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa. Saya juga dapat berkawan dengan rakan-rakan berbangsa India dan Cina. Atas dasar ini jugalah, pelajar Malaysia yang belajar di luar negara lebih cepat menyesuaikan diri mereka berbanding pelajar dari negara yang lain. Kita patut berbangga dengan kelebihan ini.

Kalau dibacakan kisah-kisah perjuangan tokoh sebelum merdeka, saya terasa seolah-olah ingin berada sendiri pada zaman itu untuk menghayati perjuangan mereka. Saya ingin bersama-sama memperjuangkan negara. Tetapi sayang, semakin zaman berputar, generasinya sudah tidak lagi mempunyai penghayatan merdeka yang mendalam, termasuk saya sendiri. Kami sudah terbiasa dengan hidup di negara bebas, sebab itulah sukar untuk membayangkan keadaan Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.

Di sinilah munculnya filem-filem merdeka dan buku-buku sejarah yang berperanan untuk terus menyemarakkan semangat merdeka dalam diri pemuda pemudi Malaysia. Saya tabik dengan usaha segelintir pihak yang tidak mahu nilai merdeka luput dengan begitu sahaja.

Saya ingat, dulu setiap kali sambutan ulang tahun merdeka, saya suka membeli bendera yang ada gula-gula di dalam batangnya. Bendera dua puluh sen sahaja jika tidak salah saya. Dan setiap tahun juga di sekolah rendah wajib akan diadakan pertandingan melukis atau mewarna Jalur Gemilang. Paling susah apabila kita perlu melukis bulan dan bintang. Bulan perlu betul-betul jadi bulan. Bintang perlu ada empat belas bucu. Jika tak cukup, terpaksa padam dan lukis sekali lagi. Sekarang, semua itu sudah tidak dapat saya alami lagi. Kalau saja-saja hendak melukis Jalur Gemilang, memang taklah.

Nikmat utama yang patut kita syukuri ialah, Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Negara demokrasi. Rakyat bebas memilih pemerintah. Raja pula memerintah berdasarkan perlembagaan. Kita tak perlu risau dengan sebarang politik dalaman seperti negara luar yang lain. Kita... aman.

Saya doakan semoga keamanan Malaysia akan terus kekal sampai bila-bila. Semoga nilai kemerdekaan tak akan luput dimamah zaman. Semoga Tuhan merahmati perjuangan kita semua. Biidznillah.

1 comment: