Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Halaman 365. Satu lagi tahun akan
berakhir. Satu tahun yang menyimpan banyak memori suka dan duka. Sangat banyak.
Jadi sama seperti tahun sebelum ni, saya akan berkongsi kembali refleksi momen
atau perkara menarik yang terjadi pada saya sepanjang tahun 2015. Saya ingin
mengingat kembali perkara-perkara menarik yang berlaku, dan berharap agar
perkara yang lebih besar akan berlaku pada tahun hadapan. Semoga semuanya
berjalan lancar tahun 2016 ni, insya-Allah. Kebanyakannya juga telah saya
kongsikan bersama anda dalam entry blog Nafas Baru.
Tahun 2014 saya tak berjaya pegang sebarang trofi. Jadi
apabila tahun ini saya berjaya pegang trofi, benda ni ibarat satu pencapaian
peribadi untuk diri saya sendiri. Sangat mengejutkan bila kita tak pernah pegang senapang sebelum ni, dan tiba-tiba diumumkan sebagai salah seorang pemenang. Sampai
hari ni pun saya masih tak percaya sebenarnya.
Aina ialah salah seorang rakan karib saya. Kami sudah
berkawan sejak umur 7 tahun lagi. Tahun ini, ketika usianya 19 tahun, dia
berjaya melanjutkan pelajarannya ke Korea. Dia mula belajar di sana sejak
Februari yang lalu. Saya tahu benda ni bukan pencapaian untuk diri saya, tapi
saya sangat kagum dan gembira bila dia dapat ke sana. Well I guess your friend’s
happiness is your happiness too.
Alhamdulillah, setelah sekian lamanya tidak mengunjungi
Cameron Highlands, akhirnya tahun ini saya dan keluarga berpeluang untuk bercuti
di sana. Saya sangat suka Cameron Highlands kerana banyak benda yang menarik di
situ. Dan sudah tentu kerana strawberi dan ais krim stawberi serta segala jenis
hidangan strawberi. Terdapat juga banyak bunga, ladang teh, dan pemandangan
indah yang mempesonakan. Saya sangat berharap dapat ke sana lagi. Cameron
Highlands memang terbaik!
Saya dan keluarga turut berpeluang bercuti di Ulu Legong.
Walaupun sudah banyak kali ke sana, pengalaman bercuti akan jadi lebih indah bila
kita luangkannya bersama keluarga dan saudara-mara. Dan saya dapati terdapat
juga beberapa perubahan berbanding kali terakhir saya ke sana dulu. Pemandangan
di sana juga indah. Tak rugi kalau anda ke sana.
Kebetulan, keputusan ujian MUET keluar pada tarikh yang sama
saya sedang bertanding dalam pertandingan pidato peringkat daerah 18 tahun ke
atas. Saya boleh ingat lagi debaran jantung saya ketika menyemak keputusan MUET
menerusi SMS sambil menunggu giliran persembahan saya. Alhamdulillah, saya
berjaya mendapat keputusan yang agak bagus dan saya pun mampu mempersembahkan
pidato dengan perasaan lega. Tapi saya tak sangka pula saya mendapat johan dan
mengalahkan peserta-peserta yang lain. Mungkin itu rezeki saya pada hari itu.
Kemudian saya turut mendapat pengalaman baru bertanding pidato di peringkat
negeri. Sudah tentulah kalah bila lawan dengan cikgu dan lain-lain peserta yang
sudah bertahun-tahun simpan pengalaman. Tapi saya tetap seronok dan bersyukur
diberikan peluang seperti itu.
Tahun ini ada 3 filem pendek yang saya postkan di YouTube,
hasil rakaman bersama rakan-rakan. Dan ada juga video-video sampingan yang
lain. Walaupun tak banyak viewer, tapi saya gembira sebab dapat hasilkan
sesuatu bersama rakan-rakan. Dan dalam masa yang sama kalau ada yang menonton,
saya harap mesejnya sampai kepada penonton. Filem-filem pendek tersebut ialah
Kelas Tambahan, Balik Raya dan Kotak Hadiah. Saya berharap dapat hasilkan lagi
dan perbaiki karya saya dari semasa ke semasa, insya-Allah.
7. VIETNAM
Alhamdulillah, percutian ke Vietnam merupakan hadiah
terhebat saya untuk tahun ini. Kalau tahun 2014 saya dapat menunaikan umrah,
tahun ini pula saya berpeluang bercuti di Vietnam. Dan banyak berbelanja di
sana. Eheh. So I’m really looking forward to 2016! Harapnya dapat peluang dan
rezeki lagi untuk mengembara di tempat-tempat yang belum pernah saya berpijak.
Insya-Allah.
Sebenarnya banyak lagi perkara menarik yang terjadi pada
saya tahun ini, tapi tidak mampu untuk saya kongsikan kesemuanya. Saya harap
(banyaknya harapan saya) saya akan terus menulis blog dan dapat mengimbas
kembali momen-momen dalam hidup supaya saya terus bersyukur dengan rezeki
Allah. Saya juga mahu berkongsi dan sebarkan kebaikan serta positiviti kepada
anda. Hargailah momen yang anda ada, kerana anda sendiri yang mampu membentuk
momen-momen itu menjadi indah.
BACA JUGA: Refleksi 2014