Air mata merembes perlahan dari kelopak mata gadis itu. Wajahnya sesekali ditiup angin dingin, menyebabkan tudungnya yang lembut berubah bentuk. Wajah yang dahulunya ceria dan sentiasa tersenyum itu disulami keredupan dan diiringi kelesuan.
Izzah. Seorang gadis berusia tiga belas tahun yang berkulit sawo matang. Wajahnya manis dan tuturnya lembut. Tingkahnya sopan serta pandangannya menenangkan. Entah kenapa, di suatu sudut, gadis itu terduduk di bawah pohon yang redup, sesuai dengan kondisi hatinya.
Sesekali Izzah menguis-nguis tanah dengan kaki kanannya. Sesekali dia menyeka air mata yang lembut berlinangan. Namun semua tindakannya itu tetap sahaja, tidak mampu mengurangkan walau sedikit pun kedukaan hatinya.
“Izzah …” suara itu lembut memanggil. Izzah mendongak. Segera diseka air matanya lagi. Abdul Fattah. Izzah kembali menunduk ke tanah.
“Apa yang kau lakukan di sini?”
Izzah menggeleng. Pandangan matanya menyoroti tingkah teman-teman persekolahan yang lalu-lalang.
“Kenapa kau menangis?”
Sekali lagi persoalan lelaki itu dibiarkannya tergantung. Biarlah dia tidak mengetahui apa-apa. Biarlah dia tertanya-tanya!
“Hoi!” Sapaan dalam sapaan. Suara ganas itu meninggi. Kamil dan teman-temannya muncul. Izzah tetap dengan keredupannya, tidak mempedulikan.
“Apa yang kau lakukan hingga Izzah menjadi begini?” bentak anak muda itu keras pada Abdul Fattah yang kebuntuan. Abdul Fattah membetulkan anak rambut yang terjuntai di dahinya yang membuatkan dia kelihatan bersahaja.
“Aku tidak lakukan apa-apa! Sungguh!”
“Ah, kau berdusta!” Kamil membuka langkah pertamanya dan menyerang Abdul Fattah. Kamil memang seorang yang panas baran, sering bertindak terburu-buru tanpa mengetahui pokok pangkal sesuatu perkara. Tendangan Kamil, jaguh silat itu hinggap tepat di perut Abdul Fattah. Abdul Fattah mengerekot ke tanah sambil memegang perutnya. Dia perlahan-lahan bangkit dan cuba menjelaskan.
“Mil, aku tidak mahu bergaduh dengan kau. Sungguh aku tidak tahu apa-apa! Aku juga tidak tahu mengapa Izzah bersedih begini!”
Izzah rasa bersalah. Wajahnya sedikit terdongak, terkejut dengan tindakan spontan Kamil tadi. Dia masih belum bersuara. Dia sudah tidak percaya lagi dengan sandiwara atau apa sahaja yang berlaku di hadapannya kini. Dia tidak terkata-kata.
Kamil menghampiri Izzah. Wajahnya yang dahulunya sentiasa diulit senyuman itulah yang membuatkan Kamil dan Abdul Fattah jatuh hati padanya. Dia tidak meminta semua itu, dan dia juga tidak memerlukan kasih daripada mana-mana lelaki, walaupun kadang-kadang naluri remajanya memberontak.
Kamil. Lelaki pertama yang dia kenal di sekolah rendah. Izzah memang agak pemalu dahulu, tetapi Kamil yang peramah sentiasa membantunya tidak kira masa. Dia tidak tahu pertolongan Kamil itu adalah semata-mata kerana perasaan terlanjur yang terbuku di hatinya. Abdul Fattah. Ketua pelajar di sekolah rendah waktu tahun enam dahulu. Mereka bertiga belajar di sekolah yang sama, tetapi Abdul Fattah agak jauh berbeza perangai daripada Kamil. Penyabar, bersopan dan rajin.
Kamil dan Abdul Fattah sebenarnya berkawan rapat, namun atas konflik percintaan kosong yang cuba direbuti masing-masing, sebuah persahabatan bertukar menjadi kebencian, dan lama-kelamaan bertukar menjadi musuh. Kamil yang mengisytiharkan.
Izzah sama sekali tidak menyangka yang mereka bertiga akhirnya akan bersekolah di sekolah yang sama. Persekolahan di sekolah menengah baru itu baru sahaja berjalan tidak hampir sebulan, dan Izzah telah pun kecewa.
Mungkin kerana Kamil atau Abdul Fattah, tetapi lebih kepada orang tuanya sendiri. Sungguh dia tidak menyangka dia terlepas dengar bicara mereka siang tadi. Sesuatu yang benar-benar memeranjatkan dan merobek hatinya.
“Abang, kita sudah berlakon di hadapan Izzah sudah hampir setahun. Cukuplah! Liza sudah tidak tahan lagi!”
“Liza, awak sudah setuju untuk terus melakukannya.”
“Abang, cukuplah! Abang ada isteri lain dan Liza ada kekasih lain. Kenapa kita mesti teruskan juga?”
“Lupakan sahaja kekasih gelap awak itu. Dulu waktu sekolah bukan siap janji setialah, sanggup berkorbanlah. Alih-alih, simpan lelaki lain.”
“Kalau begitu katakan sahaja pada Izzah yang sebenarnya.”
“Dia kan ada barah hati. Awak sudah gila?”
“Dia perlu tahu yang kita tidak perlukan dia lagi. Kita sudah ada kehidupan masing-masing. Dia cuma menghitung masa untuk mati.”
Praap! Satu tamparan dilepaskan pada pipi mama. Mama memegang pipinya sambil menatap wajah papa yang marah.
“Awak memang tidak sayang anakkah, Liza?”
“Dia cuma menyusahkan Liza. Liza tidak tahan lagi berlakon sehingga dia mati. Cukup! Perkahwinan kita memang tidak bahagia. Bukan salah kita jika hasrat hatinya untuk melihat kita bahagia tidak tercapai!”
Pintu bilik dibuka. Izzah menangis teresak-esak. Mama bungkam. Ayah terkejut. Izzah pantas berlari menuju ke arah pemandu dan mengerahkannya untuk menghantarnya ke sekolah. Dia mahu lari daripada semua ini. Dia ingin bebas.
“Tengok apa yang awak telah lakukan?”
“Liza pula! Abang pun sama. Diam-diam beristeri dua.”
“Izzah, kau dengar tidak apa yang aku katakan tadi? Abdul Fattah ini mengganggu kau, ya?” Kamil terus menyoal, mengharapkan jawapan. Izzah sekali lagi menggeleng.
“Kalau begitu, kenapa?”
Sepi.
“Ya Izzah, kenapa?”
Abdul Fattah dan Kamil berebut-rebut untuk bertanya. Izzah kekok dengan situasi sebegitu, lebih-lebih lagi dengan dua orang lelaki yang bukan mahramnya. Pandangannya terus menghala ke bawah. Melihatkan Izzah yang masih tidak bersuara, Kamil cuba mengubah topik lain.
“Izzah, bagaimana dengan pertanyaan aku tempoh hari? Kau pilih untuk bersama aku atau Abdul Fattah?”
Akhirnya Izzah terpaksa mengalah. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Jika kesilapan dalam memilih pasangan hidup yang terbaik telah dilakukan orang tuanya, dia tidak mahu perkara tersebut terjadi padanya juga.
“Kamil, Abdul Fattah … aku tidak akan memilih salah satu daripada kalian.”
“Kenapa Izzah?” Kamil mengangkat keningnya hairan.
“Apa kau sudah ada teman yang lain?” Abdul Fattah bersuara yang sedari tadi mendiam.
“Aku pilih untuk serahkan diri aku dulu pada Allah, kerana hanya Dia pemilik cinta yang sejati. Aku belum selayaknya untuk menerima kasih daripada mana-mana lelaki. Aku masih muda, dan aku tidak mahu membazirkan usia mudaku dengan hal-hal yang tidak bermanfaat begini.”
“Izzah, waktu mudalah kita perlu mengenal hati budi masing-masing.”
“Aku cuma takut aku tidak punya banyak waktu untuk mengenal pencipta hati budi itu sendiri.”
“Kenapa dengan kau sebenarnya?”
“Pengalaman mengajarku. Orang tuaku telah menghabiskan masa muda mereka dengan keseronokan bercinta, hingga akhirnya tidak menyedari hakikat cinta sejati. Aku kesal.”
“Jadi kau perlu buat pilihan yang tepat. Di sekolah menengah ini masih ramai yang sibuk mencari aku untuk dijadikan pasangan,” jelas Kamil tanpa berselindung.
“Aku bukan mereka.”
“Izzah, hidup berteman ini bahagia. Aku mampu memberikan kau apa sahaja yang kau mahukan,” Abdul Fattah bersuara lembut, tidak memaksa.
“Apakah kau mampu memberikan aku syurga?”
“Maksud kau?”
“Seandainya kita bercinta, adakah boleh memasuki syurga?”
“Kalau bercinta kerana Allah, insya-Allah boleh.” Abdul Fattah meyakinkan.
“Kau yakin ini cinta kerana Allah? Bukannya nafsu?”
Kamil menelan liur. Abdul Fattah juga begitu. Sebenarnya naluri lelaki mereka kadangkala memberontak untuk mendapatkan teman wanita persis pelajar lelaki yang lain. Mereka terdesak. Langsung tidak memikirkan tentang kemurkaan Allah.
“Teman-temanku, aku yakin kelak kalian akan bahagia bila tiba waktunya. Allah sudah menjanjikan jodoh yang terbaik untuk kalian.” Izzah perlahan-lahan meninggalkan Kamil dan Abdul Fattah, berfikir. Dia menuju ke surau. Dia perlu memantapkan imannya dengan menambahkan amal ibadah. Dia ingin menemui cinta sejatinya.
***
“Izzah!” Diana memanggil nama itu. Sedari tadi penat dicarinya gadis sopan itu tetapi belum ditemui. Diana yakin temannya itu ada di surau.
“Oh, sedang solat rupanya,” ujar Dania sebaik sahaja melihat Izzah sedang bersujud. Dania duduk bersandar di tepi dinding sambil menunggu Izzah selesai bersolat. Sepuluh minit kemudian, Izzah masih belum bangkit daripada sujudnya. Diana tersenyum sendiri. Pasti temannya itu tertidur.
“Izzah, bangun Zah …” Dania menolak lembut bahu Izzah tetapi tubuh bertelekung itu terjatuh di atas lantai. Dania panik seketika.
“IZZAH!”
***
Abdul Fattah mengambil diarinya dan mula menulis sesuatu. Otaknya ligat berfikir.
“Ya Allah, Ya Rabb, Ya Ilah …
Hari ini setelah kuhitung-hitung, genaplah dua puluh tahun pemergian almarhumah Izzah menemui-Mu. Tetapi dia tidak meninggalkan dunia ini dengan sia-sia, dia mengajarku sesuatu pengajaran yang sangat bermakna. Dia mengajarku erti cinta sejati, dia mengajarku tentang cinta-Mu. Aku sedar, jika Izzah menerima ajakanku dulu untuk menjadi temanku, hidupku pasti tunggang-langgang sekarang. Mungkin saat ini aku sedang bosan memadu hidup dengannya, kerana telah lama mengenalinya. Atau mungkin jika aku bersamanya aku kini telah curang padanya kerana aku jatuh cinta pada wanita lain. Kau memang Maha Penyayang, tuhanku. Kau mengambil Izzah dalam kondisi dia sedang bersujud pada-Mu, mengagungkan kasih-Mu. Aku sampai sekarang masih belum mampu melupakan senyuman Izzah yang menyenangkan itu. Ternyata, cinta waktu masih muda itu ada banyak cacatnya, dan aku salah. Alhamdulillah Kau tunjukkan aku yang sebenarnya.
-Abdul Fattah
Tepian Sungai Nil, Mesir
15 Safar 1432 M
“La, di sini rupanya abang! Puas Dania cari abang!” Seorang muslimah menyentuh lembut bahu suaminya itu. Dania sempat menangkap isi kandungan diari Abdul Fattah, kemudiannya yakin. Mudah-mudahan Allah menempatkan Izzah di kalangan orang-orang yang beriman.