Showing posts with label Single unavailable. Show all posts
Showing posts with label Single unavailable. Show all posts

Saturday, 7 May 2011

Jelajah#3: Jemputan ke Ceramah Penulisan di SK Batu Pekaka


Pagi Jumaat. Dapat telefon daripada editor suruh turun ke Kuala Ketil. Katanya ada promosi buku. Kali pertama saya dengar sekolah rendah, hati terus melonjak gembira. Sebab? Saya suka kanak-kanak! Mereka comel, nakal dan menghiburkan.

Pagi Sabtu. Akhirnya tiba di SK Batu Pekaka, Kuala Ketil, Kedah. Sekolah ini terletak di kawasan berhampiran kelapa sawit, tetapi alhamdulillah tak sesat mencarinya. Usai tiba, saya ada bertanya kepada beberapa adik-adik yang sedang menjamu selera di kawasan berdekatan. Mungkin waktu rehat barangkali. Kemudian seorang guru, yang tidak saya ketahui namanya membawa kami ke sebuah bilik.

Mereka baru selesai menjamu selera. Pegawai pelajaran, guru besar, YDP sekolah, pengarah urusan GISB iaitu Abu Hassan Morad, dan beberapa orang yang lain. Kemudian mereka bertanya macam-macam soalan kepada saya. Sebenarnya saya teruja dapat berjumpa dengan ketua besar Galeri Ilmu Sdn Bhd, yang membahasakan dirinya pak cik. InsyaAllah beliau akan turun ke SMK Sultan Badlishah nanti, mungkin selepas saya PMR untuk memberikan ceramah motivasi berkenaan dunia penulisan. Pak Cik Abu sangat baik. Beliau seorang yang merendah diri, sporting dan bersahaja. Pendek kata, semua sifat mahmudah ada pada diri beliau.

Program pada hari itu adalah ceramah penulisan yang akan disampaikan oleh beliau. Pak Cik Abu menjemput saya untuk memberikan ucapan selama beberapa minit, sebagai pendorong dan motivasi kepada para pelajar di situ. Saya cuba menyampaikan dengan bersahaja biar mereka tidak kebosanan.

Saya menceritakan sedikit tentang cara membahagi masa dengan penulisan. Kemudian ada sesi soal jawab. Soalan pertama saya sudah lupa. Soalan kedua, berapa lama masa yang diambil untuk saya menghasilkan novel. Soalan ketiga, adakah saya pernah mendapat tokoh nilam. Saya cuma pernah mendapat anugerah nilam ketika sekolah rendah sahaja. Naik sekolah menengah, pembacaan itu masih ada cuma catatan dalam buku nilam sahaja yang tidak dilakukan.

Kemudian, seorang guru pula meminta saya menceritakan tentang latar belakang pendidikan. Paling tidak, hari ini, saya dapat menimba lagi pengalaman baru. Pada akhir sesi ceramah Pak Cik Abu, beliau menjemput beberapa orang pelajar bagi menceritakan apa yang mereka mahu kongsikan secara spontan. Saya suka mendengar cerita murid-murid tersebut, terutamanya daripada adik Alea Elyana dan Izzatul. Alea comel sangat, lagi-lagi bila dia cerita tentang kucing-kucing miliknya. Tiga ekor kucing Alea telah menjadi mangsa tayar kereta ayahnya.

Izzatul pula, cerita tentang harapannya mahu menyertai pertandingan merentas desa tahun depan. Saya lihat adik-adik ini semuanya bervisi, insyaAllah, saya doakan kejayaan semuanya. Selesai sesi ceramah, apa lagi, kanak-kanak semuanya berkumpul meminta tanda tangan saya. Fuh! Kali ini lebih ramai lagi daripada Pesta Buku Antarangsa Kuala Lumpur dulu. Mereka ada yang bertolak-tolakan, ada yang muncul dari belakang tingkap, ada yang bergaduh dan sebagainya.

Saya ada menitipkan nombor telefon dan e-mel kepada yang minta. Comel betullah budak-budak tu! Alea siap salam saya lagi. Kemudian dia bercerita tentang ibunya, iaitu seorang guru di sekolah tersebut. No wonder la. Kemudian Eirfan, seorang pengawas bersongkok mengaku dirinya sepupu Alea. Dan banyak lagi cerita mereka. Warga SKBP juga ada menghadiahkan saya cenderamata kenang-kenangan. Ah... sungguh terharu.

Sebelum pulang, Pak Cik Abu menghadiahkan saya bukunya yang berjudul Suu Phea, kemudian novel Ladang Hati Mustika tulisan anak beliau, Ummu Hani serta majalah Anis dan Asuh. Saya sempat juga berfoto dengan beliau, para guru dan adik-adik comel di situ. Terima kasih kepada GISB dan warga SK Batu Pekaka yang menjemput saya.

Kepada adik-adik di SK Batu Pekaka, terima kasih sebab buatkan Kak Nurina gembira hari ni. Kak Nurina suka sangat datang ke sekolah adik-adik. Kak Nurina dapat pengalaman baru dan dapat mendekati kanak-kanak dengan lebih mendalam. Kamu semua ada cita-cita, dan Kak Nurina harap semua cita-cita itu akan tercapai juga suatu hari nanti. Apa yang penting kesungguhan dalam diri. Adik-adiklah generasi harapan negara.

Kepada Alea, Izzatul dan Eirfan, terima kasih sebab layan Kak Nurina tadi. Nanti insyaAllah kalau ada kesempatan, kita jumpa lagi. Alea nanti suruh mama bela kucing baru pula. Izzatul, tahun depan bagi menang merentas desa nombor satu, ok? Eirfan, good luck dan jangan nakal-nakal. Jangan buli Alea! Kak Nurina sayang kamu semua.

With love,
~ Kak Nurina.

Saturday, 23 April 2011

Informasi: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011


Tiba-tiba terasa hendak membersihkan blog ini daripada sawang. Hihi. Ok, kerana semua sedang sibuk membicarakan tentang KLIBF 2011 yang sedang berlangsung dengan meriah di PWTC sepanjang 22 April sehingga 1 Mei ini, maka saya juga turut mengambil kesempatan untuk mengumumkan tarikh saya akan berada di sana. Cewah.

Tarikh : 30 April 2011 (Sabtu)
Masa : 3.45 - 4.45 ptg
Tempat : Gerai Galeri Ilmu Sdn Bhd
A 14 - A 19 Ruang Legar PWTC


Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali pertama saya akan ke sana. Macam-macam perasaan ada. Teruja, nervous, semualah... Kalau ikutkan, saya juga diundang pada 24 April kerana pada tarikh tersebut ada pelancaran novel Single Unavailable di pentas utama PWTC. Ehem, 24 April? Haha. Tapi saya tidak boleh pergi kerana hari persekolahan. Walaupun satu hari ponteng tetap rasa rugi. Kerana itulah saya mengambil keputusan pergi hari Sabtu.

Jadual minggu ini agak padat juga. Banyak aktiviti. Ada pertandingan akhir bahas kelas, doakan saya ya... Kemudian pada hari Jumaat nanti ada kursus sistem automasi baru di perpustakaan, tetapi pada hari yang sama juga saya akan bertolak dari Kulim ke Kuala Lumpur. Hari Sabtu terus ke PWTC dan insyaAllah hari Ahad pulang semula ke Kulim.

Jadi kepada sesiapa yang teringin berjumpa saya secara langsung (err.. ada ke?) atau mendapatkan tanda tangan dan sebagainya bolehlah datang pada tarikh yang telah dimaklumkan. Sebenarnya saya juga tidak sabar-sabar mendengarkan komentar daripada kalian semua tentang novel saya. Rancangan saya, selepas sesi beramah mesra selesai mahu menjenguk-jenguk satu PWTC tu! Haha. Saya nak jumpa rakan-rakan penulis UTW dan para penulis terkenal tanah air yang lain. Oh ya, dan buat pengetahuan kalian ya, saya ini pendiam sikit orangnya. (ye la tu) Cuma dengan orang yang kenal saya banyak la cakap. Jadi jangan pelik kalau saya tak banyak cakap. Dan jangan kata saya sombong pula ya...

Apa-apa pun, kita jumpa di sana!

Friday, 25 March 2011

Informasi: PBAKL 2011

Pagi tadi saya baru periksa e-mel. Maklumlah, sudah lama e-mel saya itu dibiarkan bersawang. Ada satu kiriman daripada Puan Suriati menjemput ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 yang akan berlangsung pada 22 April - 1 Mei 2011 di PWTC, Kuala Lumpur. Saya akan berada di sana sekitar jam 3.45 sehingga 4.45 petang pada 30 April, insyaAllah. Rancang nak pergi 24 April sebenarnya... (ehem!)

Katanya lagi, "Semoga dengan kehadiran cik untuk mempromosikan buku ini dapat memberi peluang kepada pembaca untuk mengenali penulis novel dengan lebih dekat serta dapat meningkatkan penjualan novel cik."

Hurm. Ini merupakan kali pertama saya akan pergi ke sebuah pesta buku bertaraf antarabangsa, jadi, apa persediaan yang perlu saya buat? Mestilah mempromosikan novel saya yang baru satu itu.. Hurm. Akhi Hilal Asyraf sudah memulakan langkahnya. Jadi, saya juga ingin memohon jasa baik kalian untuk membantu saya dalam mempromosikan novel Single Unavailable saya.

* Mahu membaca sinopsis Single Unavailable? Boleh baca di SINI.
* Mahu menonton video bicara buku saya? Boleh lihat di SINI.
* Mahu mengetahui tentang pelancaran novel ini? Boleh baca di SINI.
* Mengapa harus membeli buku ini? Boleh ketahui di SINI.
* Apa kata mereka? Boleh baca di SINI.

Saya sebenarnya ingin memohon jasa baik anda semua untuk membantu usaha saya ini. Mungkin anda boleh buat ulasan tentang novel Single Unavailable seperti yang telah dilakukan oleh saudari Elliya di laman blognya. (ULASAN) Atau mungkin anda boleh komentar langsung di Facebook saya di SINI. Anda juga boleh menyebarkan mana-mana link di atas. Jasa baik kalian, sesungguhnya hanya Allah yang selayaknya membalas. Mohon disebarkan.

~Allah is always the best~

Monday, 17 January 2011

Single Unavailable: Buku Pilihan Bulan Ini

* Sumber: galeriilmu.com.my
Klik untuk dibawa ke laman web GISB


Persis tajuk yang dinyatakan, ternyata novel sulung saya ini telah menjadi buku pilihan untuk bulan ini. Ya lah, penulis mana yang tidak berbangga kan? :)

Ramai yang masih tertanya-tanya, di manakah novel Single Unavailable ini boleh didapati. Novel ini boleh saja dicari di MPH Bookstore, Popular atau mana-mana kedai buku yang berhampiran, tetapi tempoh hari saya baru pergi ke Hasani, Landmark Central di Kulim dan ternyata novel ini masih belum didapati di sana. Jangan khuatir, anda masih sahaja boleh membuat pembelian secara online di galeriilmu.com.my.

Kelebihan pembelian secara online, anda tidak perlu susah-susah untuk keluar rumah (bagi yang malas keluar) kerana novelnya akan dihantar terus ke rumah. Pembayaran pula dilakukan secara bank-in. Mudah, kan?

Mengapa anda harus membeli novel ini

Novel Single Unavailable merupakan percubaan pertama saya dalam bidang penulisan, jadi berilah sokongan padu anda kepada penulis muda yang mentah ini, ya? :) Penulisan saya masih mentah, jadi saya harap insyaAllah akan terus maju dalam bidang penulisan untuk terus berdakwah dan mengajak manusia kepada yang benar, jalan Allah.

Serba sedikit tentang novel. Novel ini mengisahkan perjalanan anak muda remaja di sebuah sekolah menengah, ya, persis saya. Bagaimana dilanda konflik pelajaran, kehidupan dan cinta serta cara untuk menanganinya. Sounds great? (Sekali sekala puji diri)

Kenapa tajuk Single Unavailable? Tidak ada tajuk lain?

Ada juga yang keliru, novel ini sebenarnya bahasa inggeris atau bahasa melayu. Novel ini menggunakan bahasa melayu, tetapi ada dicampur dengan bahasa inggeris juga. Kenapa tajuk Single Unavailable?

1. Tajuk yang tersangatlah mantap. Membuatkan pembaca tertanya-tanya. Selalunya kan single and available, kali ini single unavailable?

2. Membawa peribadi atau status sebagai seorang yang sukar dimiliki, masih solo (seperti saya) supaya menjadi pegangan anak-anak muda. Janganlah pula jadi status in a relationship kerana kita masih belum ada ikatan yang sah dengan bukan mahram, jadi saranan saya, tinggalkanlah perkara yang sia-sia ini.

3. Menggambarkan status saya sendiri. :)

Novel ini juga ada merungkai sedikit sebanyak tentang hukum ber"couple" dalam islam, dan mudah-mudahan menjadi panduan kepada anda untuk memilih antara amanah atau larangan. Selamat membaca!


Sebarang komentar anda tentang Nurina Izzati atau Single Unavailable bolehlah e-melkan kepada nurina24@ymail.com untuk tujuan dipamerkan dalam blog.

Friday, 7 January 2011

Jelajah#1: Promosi Novel di Sekolah

Pada 31 Disember 2010 pula majlis pelancaran kecil-kecilan Single Unavailable telah diadakan di SMK Sultan Badlishah, Kulim bersamaan dengan pendaftaran pelajar baru tingkatan satu. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memuaskan.


* Bersama pengetua cemerlang SMK Sultan Badlishah, Puan Hajjah Azizah binti Rasol. Terima kasih cikgu!

* Seorang bapa pelajar sabar menanti saya menurunkan tanda tangan. Terima kasih!
* Terima kasih juga kepada Puan. Katanya, ingin membeli novel saya untuk anak remajanya.

* Pengurus besar AMREC, Dr. Azmi bin Idris juga sempat meluangkan masa membeli buku saya. Terima kasih Dr. !

* Single Unavailable mendapat sambutan yang memberansangkan, alhamdulillah. Terima kasih semua.


* Sempat bergambar bersama 'peminat' sebelum pulang.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada anda yang mendukung saya. Sesungguhnya, jasa anda hanya Allah yang selayaknya membalas.

* Pembaca novel Single Unavailable

Thursday, 30 December 2010

Video Promosi Single Unavailable

Istimewa untuk anda,

VIDEO PROMOSI SINGLE UNAVAILABLE

Kali pertamanya saya muncul dalam bentuk video. Video ini merupakan hasil kerja keras warga Galeri Ilmu Sdn Bhd. Klik pada link dan anda akan dibawa ke blog editor saya, Encik Amir. Nampak macam 'keras' sahaja saya bercakap, tetapi kita belajar daripada pengalaman. Nanti ada perkembangan terbaru saya update, insya-Allah.

Friday, 17 December 2010

Diari#7: Promo S.U

Tadi ada search kat Google lagi, jumpa pula entry En. Zayu Hisham, salah seorang penulis GISB.

*****
Dua tiga hari yang lepas sempat berjumpa dengan Tuan Zakaria Sungib, Editor Kanan GISB. Apabila berjumpa, saya tidak lepaskan peluang untuk minta pandangan dan tunjuk ajar beliau.


Kebetulan pada masa itu beliau tunjukkan hasil karya terbaru Saudara Hilal Asyraf dan Novelis Muda GISB, Nurina Izzati. Tahniah buat mereka berdua terutama sekali Adik Nurina Izzati yang baru berusia 13 tahun ( kalau tidak silap saya ) sudah mampu menghasilkan novel pertamanya. Berbanding saya, ketika berusia lewat 30an baru mula menulis. Cabaran buat saya juga untuk terus menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan digemari oleh pembaca. Ia bukan kerja mudah atau sekelip mata sahaja.


******
Saya copy sikit sebahagian entry beliau. Sebenarnya umur saya bukan 13 tahun. hehe. Alhamdulillah, ada juga sokongan dan ucapan tahniah daripada beliau.


Hari Selasa ni kena pergi syarikat GISB, nak sign dokumen, sekali ngan temu bual tentang novel Single Unavailable tu. Rasa seram sejuk pun ada, sebab ni first time kena temu bual. Tapi mak n ayah tak boleh hantar, semua sibuk jadi saya naik bas la pergi Shah Alam. Dari Kulim ke Shah Alam mungkin lima enam jam kot sampai.

Semata-mata demi novel tu. Hehe. Sebenarnya promosi buku memang penting untuk melariskan penjualan sesuatu buku itu. kalau tak buat promo macam mana orang nak beli buku? Apa2 pun saya nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih pada semua warga GISB tu yang dah tolong saya untuk terbitkan novel S.U terutamanya encik amir, encik zakaria, kak aini, pak cik bad, puan suraiya dan semualah! memang respek la dengan semua orang2 ni sebab komited dalam kerja masing2.

Dan satu lagi, saya masih tak pandai guna continue reading, tu yang blog serabut tu. Apa2 pun, we learn from mistakes. semua benda yang terjadi di atas muka planet bumi ini telah ditentukan Allah SWT dan ada hikmah di baliknya, insya Allah.

Sunday, 28 November 2010

Sinopsis Single Unavailable

Single Unavailable merupakan novel sulung saya, yang telah terbit pada Disember 2010, ketika saya berusia 14 tahun. Novel ini merupakan novel tarbiah remaja, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Harganya RM 14 sahaja dan boleh didapati di Popular, MPH dan kedai-kedai buku berhampiran anda, insya-Allah.

Novel ini mengetengahkan tema tarbiah remaja iaitu tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan mendidik remaja terutamanya melalui aspek tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Novel ini mengisarkan Taqiah seorang gadis lembut sebagai watak protagonis. Dia dibesarkan oleh keluarga yang kekurangan serta merupakan seorang ketua pelajar di sekolahnya. Dia seorang yang gigih menuntut ilmu dan terbukti apabila sentiasa mendapat kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, dia memiliki sifat mulia seperti penyayang, bertanggungjawab, taat pada perintah agama, cekal hati, pemaaf dan teguh jati diri. Taqiah bersabar menerima ujian hidup tatkala adik yang dicintai menghidap penyakit kritikal. Tidak hanya dengan itu, ayahnya pula terlibat dalam suatu kemalangan yang meletakkan kondisi beliau  terancam antara hidup dan mati.

Pada pendapat saya, Taqiah mempunyai kesungguhan dalam menjalankan tanggungjawab misalnya dia mampu menjadi seorang ketua pelajar yang tegas dan sanggup menegur rakan-rakannya sendiri, walaupun pada azalinya beliau merupakan seorang yang lemah lembut.

Penceritaan novel ini mula berkembang apabila watak Latif Marwan, seorang pelajar baru di sekolah muncul dalam kehidupannya. Jejaka ini cuba mendapatkan perhatian Taqiah namun tidak diendahkan. Dia diberi watak yang agak tercicir dalam pelajaran tetapi demi membanggakan kedua orang tuanya dan Taqiah dia sanggup mengenepikan keegoan dan jiwa remajanya yang membuak-buak.

Saya menjadikan cerita ini semakin rumit dan kompleks apabila Marwan disaingi oleh abang kandung dan rakan karibnya sendiri. Rifqi, iaitu abangnya sangat menyukai Taqiah dan sanggup mengkhianati Marwan demi mendapatkan gadis yang disukai.

Peleraiannya, Marwan akhirnya meluahkan perasaannya terhadap Taqiah. Persoalannya, adakah Taqiah bersetuju untuk menjadi kekasihnya? Perumpamaan melayu ada menyebut, tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Dalam novel ini jelas menggambarkan nilai-nilai positif dan tarbiah yang patut dijadikan amalan. Nilai pengorbanan, kegigihan, kasih sayang, kerajinan, kesyukuran dan ketabahan mesti dihayati sebaiknya.

Pelbagai pengajaran juga boleh digarapkan daripada novel ini. Manusia memang pernah, sedang atau akan diuji oleh Tuhan dengan pelbagai ujian hidup sama ada yang kita sedari ataupun tidak. Kita tidak boleh cepat berputus asa dan mengalah. Kita haruslah tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan demi membuktikan kecemerlangan diri.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing. Pelajar merupakan pimpinan ke atas dirinya sendiri. Pengawas merupakan pimpinan ke atas pelajar dan begitulah selanjutnya. Sepanjang proses memikul amanah yang telah diberikan kepada kita, kita haruslah menjalankannya dengan bersungguh-sungguh supaya tidak mengewakan harapan ibu bapa, guru, masyarakat dan negara.

Secara relatifnya, insan yang tidak mempunyai hala tuju hanya akan hanyut dalam dunia masing-masing. Justeru, kita haruslah mempunyai prinsif hidup serta taat pada ajaran agama. Agama mengangkat kemuliaan manusia dan menjadi pendorong sepanjang hayat.

Akhir sekali, kita hendaklah sedar dan tahu membezakan antara amanah dan larangan. Nafsu hanyalah satu ujian untuk menguji tahap keimanan seseorang individu. Sesungguhnya, sesudah kesulitan pasti terlimpah kelapangan dan sematkanlah dalam diri, setiap masalah pasti terselit jalan penyelesaian.

Dalam novel ini saya cuba mengupas sedikit persoalan tentang "couple" dan membawa penghayatan anda ke alam remaja yang penuh konflik. Mudah-mudahan membawa manfaat, insya-Allah. Sebarang pertanyaan boleh e-mel pada nurina24@ymail.com.