Saturday, 19 March 2011

Cerpen: Dakwah adalah Cinta

Cerita pendek ini adalah sebagai peringatan ringkas kepada diri saya yang kerdil ini, juga kepada anda semua. Terimalah ...

Dakwah adalah Cinta
~ Ujian Tuhan kepada semua insan
Adalah kehidupan ini
Yang baik menjadi tuntutan
Yang buruk dijauhkan

Syurga yang dijanjikan
Bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi

Neraka yang tercipta
Menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya ~

Nasyid dendangan In-Team yang berjudul Kepastian sedang dimainkan. Khatijah asyik menghayati lirik lagu yang penuh keinsafan itu tanpa menyedari ada yang sedang berdiri di belakangnya.
“Assalamualaikum …” Tiada jawapan.
“Assalamualaikum …” Kali ini nadanya lebih tinggi. Khatijah segera mencabut headphone yang dipakainya.
“Waalaikumussalam warahmatullah. Asif jiddan! Ana kurang dengar tadi!”
“Tidak mengapa. It’s okay. Maaf ana ganggu, ana ada sedikit masalah ingin ceritakan pada anti. Harap tidak menyusahkan,” Fatini menunduk sedikit, takut mengganggu.
“Lah, sama sekali tidak! Ada apa? Siapa tahu ana boleh bantu?” Khatijah tersenyum indah.
“Ana sudah pening! Semua orang seperti tidak percayakan ana lagi,” gadis berusia enam belas tahun itu mengeluh kecil di akhir kata-katanya. Khatijah mengerutkan dahinya sedikit.
“Kenapa anti cakap macam itu? Ana kan ada?”
“Hurm …” Fatini memasukkan emel dan kata laluan akaun Facebook miliknya di komputer sebelah yang disediakan di situ. Terdapat lebih kurang dua puluh komputer yang disediakan di madrasah itu tetapi hanya mereka berdua yang mengisi kekosongan di bilik akses tersebut. “Anti lain,” cuma dua patah perkataan yang diluahkannya.
“Ana lain? Kenapa ana lain? Ana kan sama sahaja dengan kawan-kawan yang lain?”
“Anti seorang sahaja yang memahami ana,” ujar Fatini sambil memerhatikan puluhan manusia yang meminta untuk menjadi kawannya di laman Facebook itu. “Hurm, berpuluh-puluh manusia yang mahu menjadi rakan kita, tetapi kita tidak tahu adakah mereka ikhlas atau tidak.”
“Baiklah ukhti sayang, cuba anti ceritakan apa sebenarnya masalah anti ni,” Khatijah memujuk lagi.
“Anti sendiri kan tahu, kalau rakan-rakan kita ada masalah siber, mereka akan meminta bantuan ana. Hendak bertanya tentang blog, Facebook, Twitter atau banyak lagi. Tetapi, semenjak Facebook adik kita Hafizah digodam tempoh hari, tidak ada sesiapa lagi yang mahu bekerjasama dengan ana. Mereka kata ana lalai, cuai dan tidak amanah. Ana penat sangat, ukhti. Ana penat …”
“Oh, tapi, ana dengar cerita kes itu sudah diselesaikan?”
“Memanglah, ukhti. Tetapi, luka di badan mungkin boleh sembuh, parutnya?” Fatini menjeling Khatijah di sebelahnya sekilas. Khatijah tersenyum.
“Anti ingat tak lagi ayat ini? Dalam dunia ini kita tidak boleh melihat dakwah dengan pandangan yang sempit. Setiap orang ada kelebihan masing, maka mereka boleh menggunakan kelebihan itu untuk berdakwah. Pelukis dengan lukisannya, penyair dengan syairnya, tukang masak dengan masakannya, penulis dengan karyanya dan macam-macam lagi.”
Fatini mengangguk. Mestilah dia ingat. Itulah kata-katanya kepada Khatijah beberapa tahun yang lalu. Dia tidak akan pernah melupakan kata-kata itu.
“Anti juga ada kelebihan dalam program komputer dan alam maya. Anti gunakan kelebihan itu untuk mengeratkan ukhuwah dan berdakwah. Setiap pendakwah pasti akan melalui cabaran dalam proses tarbiahnya. Sedangkan Rasulullah sendiri sahaja diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian. Inikan kita, cuma hamba-Nya yang kerdil.”
“Hurm, ana tahu. Banyak pendekatan yang ana gunakan terhadap rakan-rakan di Facebook. Pendekatan formal, santai dan sebagainya. Kadang-kadang ana rasa usaha ana bagaikan sia-sia sahaja.”
“Anti menyesal?”
Fatini menggeleng. “Barangsiapa yang menyeru manusia kepada hidayah, dia mempunyai pahala seperti pahala yang dicapai oleh orang yang menyahut seruannya tanpa mengurangi pahala mereka yang menyambut seruannya, semakin banyak orang yang mengikuti seruannya semakin berlipat ganda pahala yang diperolehinya.”
Khatijah diam. Ya, hadis riwayat Muslim itu sudah banyak kali didengarnya sebelum ini. Para pelajar di madrasah itu kebanyakannya dilatih untuk mengkaji hadis dan ayat al-quran. Banyak murabbi di situ merupakan graduan Al-Azhar di Mesir.
“Dalam hidup ni kita kena ada prinsip dan berpegang pada prinsip tersebut. Walau kuat manapun badai yang melanda, berpeganglah pada prinsip itu. Dakwah … adalah cinta. Cinta itu suci, maka jangan kotorkannya dengan perasaan kecewa dan ragu-ragu.”
“Kak Fatini! Kak Khatijah!” Suara Riana, seorang junior tingkatan satu mencelah. Riana menutup pintu bilik akses sambil memeluk tubuh kecilnya yang agak basah. Khatijah dan Fatini kehairanan.
“Eh, hujan ya di luar, Riana?” soal Fatini lembut.
“Emm.. hujan. Sejuk. Masuk-masuk bilik ini terkena penangan pendingin hawanya lagilah sejuk!”
“Kenapa tak tinggal sahaja di dorm?”
“Emm.. aha! Lupa pula. Riana nak jumpa Kak Fatini la.” Fatini terkejut kecil. Ternyata masih ada yang sudi menemuinya. “Adik Riana yang darjah enam tu nak upload video nasyid sekolahnya di Youtube. Macam mana ya?”
Fatini tersenyum. “Oh. Hurm, Kak Fatini nak tanya dulu. Kawan-kawan Riana semua, tak nak jumpa Kak Fatini lagi ya?”
“Eh? Kenapa pula Kak Fatini cakap macam itu. Mungkin perasaan Kak Fatini sahaja. Sekarang ini kan semua orang sedang buat persiapan untuk ujian yang akan datang,” comel senyuman di wajah Riana. Riana tanpa dipinta segera duduk di pangkuan Fatini. Tubuhnya yang kecil itu langsung tidak membebankan. Sengaja mahu bermanja.
“Ala, Kak Fatini. Facebook ini lain kalilah ya? Riana tutup dulu.”
Fatini tertawa kecil melihat gelagat junior itu diikuti Khatijah. “Ya lah ukhti sayang, tutuplah. Buka laman web Youtube.” Dia kemudiannya memandang Khatijah di sebelah. Menggeleng sambil tersenyum. Dakwah dan cinta. Dua dalam satu.

No comments:

Post a Comment