Langkahan kaki dihentikan. Di hadapannya, kelihatan barisan kelas yang sangat dahsyat kondisinya. Sampah-sarap bertaburan. Pintu kelas ada yang sudah hilang dan ada yang berlubang. Tingkap kelas pula pecah, tajam. Sangat bahaya bagi pelajar yang menghuni kelas tersebut. Pandangan matanya tertancap pada sebuah papan tanda buruk di hadapan sebuah kelas, 5 Arif. Sepi. Dia tersenyum. Langkah kakinya menuju masuk ke dalam kelas.
Anggaran pelajar dalam kelas tersebut kira-kira tiga puluh orang. Banyak, tetapi sebahagian besar para pelajar sedang lena dihanyutkan mimpi. Ada juga yang sedang menulis atau melukis. Hairannya, tidak ada yang bertegur sapa di antara mereka. Keadaan tingkap yang terbuka luas juga menyebabkan radiasi matahari menerobos masuk semahu-mahunya. Akibatnya, semua pelajar dilanda kepanasan yang amat. Benarlah cerita yang didengarinya sebelum ini. Seorang pelajar lelaki yang berkaca mata kemudiannya menolak keras bahu rakan di sebelahnya supaya dia bangun.
“Bangun semua!” Dia berteriak. Ada pelajar yang terpinga-pinga, ada juga yang malas bangun. Kelihatannya mereka masih kebingungan melihat figura di hadapan mereka. “Assalamualaikum cikgu!” ujar pelajar tersebut tetapi bagai tidak disahut oleh yang lainnya.
Seorang guru muda berkaca mata hitam, berkemeja biru, bertali leher hitam dan berambut kemas tersenyum lantas menjawab salam.
“Apa khabar semua? Saya cikgu baru kamu, Fahmi.” Semua diam.
***
“Terus-terang sajalah dengan cikgu, kenapa kamu malas belajar sekarang ni?” seorang guru lelaki yang berpakaian kemeja hitam tanpa bertali leher menyoal seorang pelajar lelaki di hadapannya.
“Saya … saya sebenarnya ada penyakit, cikgu.” Riak kesedihan jelas terpancar pada wajah pelajar tersebut. Fahmi yang sedang menyiapkan jadual pengajarannya juga ikut tertumpu pada perbualan guru dan pelajar di hadapannya itu.
“Penyakit? Penyakit apa? Cuba kamu beritahu cikgu. Jangan buat cikgu risau, Hussam!”
“Saya … saya tak mahu orang lain tahu fasal penyakit ni.”
“Kamu jangan risau. Penyakit apa?” Guru itu tidak sabar ingin tahu. Khuatir.
“Penyakitnya mula dengan huruf M cikgu,” pelajar itu masih menunduk.
“Hah? Penyakit malaria?”
“Penyakit malas …” pelajar yang bernama Hussam itu bersahaja.
“Oh, penyakit malas …” dia mengangguk. “Malas?!” barulah dia sedar dirinya dipermainkan.
“Yahuu … “ Hussam separuh menjerit lantas segera berlalu dari situ. Suka mengerjakan gurunya. Fahmi perlahan-lahan bangun dan menepuk lembut bahu sahabat setugasnya itu. Dia kemudiannya tertawa kecil.
“Sabarlah Yasin, remaja. Macam itulah,” Fahmi menenangkan empunya nama Yasin itu.
“Tak boleh pakai betullah budak Hussam itu. Main-mainkan aku pula! Heh!” Yasin kemudiannya tertawa.
“Pelajar tingkatan berapa dia?”
“Lima. Lima Arif. Kelas yang paling sepi. Kelas yang kalau kau ajar di situ macam kau bercakap sendiri.”
“Hrm, bunyi macam menarik. Aku nak ajar kelas tulah.”
“Kau biar betul, Fahmi? Aku sendiri tidak tahan dengan para pelajar kelas itu. Kalau waktu Pendidikan Jasmani tu, tidak perlulah aku ceritakan kenakalan mereka.”
“Yasin, apa tugas kita di Yoshihito ini?”
“Err, mengajar?” Yasin menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Tepat sekali! Sebagai guru, tugas kita bukan sahaja untuk mengajar malah membimbing dan mengasihi para pelajar kita. Mereka perlukan kita sebagai medium untuk menggapai cita-cita di menara gading!” Fahmi bersemangat, bercakap persis gaya penceramah hebat.
“Jadi, mulai hari ini, kau akan mengajar di kelas 5 Arif!”
“EHEM! Cikgu ini nak mengajar atau termenung?” Faiq, seorang pelajar dari kelas 5 Arif tiba-tiba bersuara dan seterusnya membunuh lamunan Fahmi. Masya-Allah, macam mana aku boleh termenung pula ni? Malunya …
“Baiklah. Semua pelajar sila berbaris di luar kelas, kita akan ke padang, ya?” Fahmi memberikan arahan. Dia telah ditugaskan untuk mengajar subjek Pendidikan Jasmani untuk kelas tersebut. Para pelajar kelihatannya malas bergerak, perlahan-lahan beratur di luar kelas. Melihat kondisi seperti itu, Fahmi membentak sedikit kelas.
“5 Arif!” jerkahan itu mengejutkan semua yang bergerak ke luar kelas. Satu persatu wajah di hadapannya dipandang. Sesekali matanya menjegil seakan member amaran lantas mengakibatkan wajah-wajah yang ditenungnya itu tunduk menikus kecuali beberapa pelajar nakal yang ada terutamanya Hussam. Barisan pelajar itu kemudiannya bergerak menuju ke padang sekolah yang penuh dengan sampah-sarap. Fahmi langsung tidak terkejut melihat kondisi itu.
“Hari ini, kita akan adakan latihan senaman tangan dan badan,” Fahmi membetulkan kaca mata hitamnya. Dia mempunyai masalah silau dan matanya tidak boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari.
Para pelajar bungkam. “Apa cikgu merapu ini?” soal Arsyad, sahabat baik Hussam. Hal ini boleh dilihat melalui cara dia mesra dengan Hussam. Soalan Arsyad itu disahut dengan hilaian tawa para pelajar yang lain.
“Hari ini saya mahu kamu semua kutip sampah-sampah yang ada di padang ini tanpa meninggalkan kesan sedikit pun,” Fahmi tersenyum indah. Pelajar 5 Arif semuanya tercengang. “Apa lagi? Kutiplah!” Fahmi memberikan arahan seperti komander askar. Semua tidak mahu mengikut arahannya.
“Hrm. Kalau begitu saya terpaksa panggil pelajar kelas 5 Bestari ke sini jika kamu semua tidak mahu kutip sampah-sampah ini,” Fahmi kekal dengan senyumnya.
Kelihatannya, ada beberapa pelajar yang sudah mula bergerak menjalankan tugas. Fahmi tahu taktiknya akan berjaya. Para pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Yoshihito cuma ada dalam lingkungan lima puluh orang sahaja. Terdapat dua kelas iaitu kelas 5 Arif dan 5 Bestari. Dahulunya, kedua-dua kelas ini bercampur tetapi semenjak pihak sekolah mendapat aduan daripada pelajar perempuan mengatakan pelajar lelaki sering mengganggu mereka, kelas tersebut dipisahkan.
Natijahnya, kini, kelas 5 Arif terdiri daripada pelajar lelaki manakala kelas 5 Bestari semuanya perempuan. Pelajar 5 Arif cukup tidak suka dengan 5 Bestari kerana kelas tersebut selalu mendahului mereka dalam semua bidang. Bidang pelajaran, kebersihan bahkan kokurikulum.
‘Kalau Cikgu Fahmi panggil pelajar 5 Bestari kutip sampah mana aku nak letak muka aku ni?’ monolog Hussam sendirian di dalam hati. Menyedari tingkah Hussam yang terdiam itu, Fahmi menghampirinya.
“Hussam, kan?” Fahmi cuba beramah mesra. Hussam menoleh ke kanan dan ke kiri.
‘Cikgu ni cakap dengan aku ke?’
“Kenapa kamu ada di sini lagi? Kawan-kawan kamu semua dah pergi kutip sampah.” Hussam menalakan pandangannya kepada rakan-rakan yang lain.
“Mana cikgu tahu nama saya?” Hussam menduga.
“Adalah.” Dan guru muda itu tersenyum.
***
Sebulan sudah berlalu, tidak terasa begitu pantasnya masa berlalu. Fahmi masih dengan usaha gigihnya mencorakkan suatu sinar kegemilan pada diri setiap pelajar 5 Arif. Arsyad juga kelihatannya sudah sedikit sebanyak tersentuh dengan kesungguhan serta ketegasan gurunya itu. Walaupun pada dasarnya Fahmi cuma mengajar subjek Pendidikan Jasmani, guru itu seolah-olah mendorong mereka untuk mendapatkan keputusan yang meningkat.
Di suatu sudut ruangan kelas, ada seorang pelajar yang mendengus kecil melihat perubahan sahabat-sahabatnya yang sudah mula bertegur sapa dan rajin itu. Dahinya berkerut, riak tidak puas hatinya jelas terpampang.
“Bangun semua!” ketua kelas memberi arahan. Hussam mengeluh. Balik-balik dia, balik-balik dia!
Kemudian disambung pula, “Assalamualaikum cikgu!”
Fahmi menjawab salam sambil tersenyum dan menyuruh para pelajarnya duduk. Hari itu cuaca agak mendung dan kurang sesuai untuk mereka melakukan aktiviti riadah. Fahmi tidak memakai kaca mata hitamnya.
Hussam lambat-lambat duduk. Dia geram dengan guru itu. Tiba-tiba, otak nakalnya mendapat satu idea yang cerdik. Hussam yang memegang pemadam papan hitam itu segera membalingnya ke hadapan, sasaran pada kepala. Para pelajar yang ada langsung tidak terkejut dengan tindakan Hussam itu kerana mereka sudah masak dengan perangainya. Yang mereka khuatirkan, cikgu di hadapan itu.
Tangan kanan diangkat. Pemadam papan hitam tepat berada dalam genggaman. Gagal lagi!
“Hussam, cuba kamu bayangkan kalau saya yang baling pemadam itu pada kamu,” Fahmi menguji. Hussam mengerut dahi. Dia cuba membawa dirinya ke dalam situasi itu. Aneh. Guru baling pemadam papan hitam pada pelajar?
Fahmi tersenyum.
“Para pelajar semua, saya dan cikgu-cikgu yang lain semuanya inginkan yang terbaik untuk kalian, bukannya mendera kalian. Kami ada tugas, iaitu mendidik dan membimbing semuanya. Cuba bayangkan, kalau saya minta RM 10 bagi setiap ilmu yang saya sampaikan. Kering-kontang poket orang tua kamu jawabnya. Saya tak minta bayaran, cuma minta perhatian. Saya tidak mahu kamu semua jadi sampah masyarakat. Jadilah aset Negara. Saya yakin, setiap satu daripada kalian ada kelebihan masing-masing, terutamanya Hussam.”
Hussam mendongak ke hadapan.
“Hussam merupakan contoh terbaik untuk kamu semua. Walaupun dia nakal, dia seorang yang gigih lakukan apa sahaja untuk mendapatkan kemahuannya. Cuma, sayang dia tidak menggunakan kelebihannya itu kepada arah yang lebih positif. Saya mahu kamu semua buktikan pada saya, yang saya tak salah. Hrm, boleh?”
Hussam terpana. Sungguh tinggi sekali harapan seorang guru muda di hadapannya itu. Hati kecilnya bersalah, merintih, lantas menangis. Hati yang menangis kerana kewujudan insan-insan yang bernama guru.
* Model : Pinjam Fahrin Ahmad sebab masa cari di Google tiba-tiba terjumpa gambar ni.
Komen jangan tak komen. Sayang anda! =)
jasa seorang guru memang terlalu besar. cerpen ni buatkan hati rasa rindu pada cikgu-cikgu. best dan berpengajaran! :)
ReplyDelete@nurafiqah airil
ReplyDeletejasa para guru memang tidak ternilai..
terima kasih sudi baca dan komen
=)
nurina :)
ReplyDeletedah lama sy tak baca cerpen yang xde cinta2.
very appreciate ur effort.muwah.haha ;)
@hacimun
ReplyDeletehaha.
terima kasih sudi baca dan komen.
alhamdulillah
=)