Cerpen ini merupakan cerpen yang telah lama saya karang. Daripada dibiarkan bersarang di dalam laptop, maka saya kongsikan bersama anda semua. Enjoy! ^^
Manusia Labah-Labah
oleh Nurina Izzati
Aku merenung ke jendela kamarku. Awan malam sudah selesai mengeluarkan
tangisnya. Suasana di kota metropolitan ini tidak pernah sepi seperti suasana
di kampung. Setiap hari manusia berlumba-lumba ke tempat kerja demi mencari
rezeki dan kemewahan. Pada waktu malam barulah mereka akan pulang ke rumah
masing-masing. Malah ada juga yang sanggup berbunuhan untuk mencapai nawaitu
mereka. Aku juga merupakan mangsa kepada sebuah keluarga yang sangat sibuk.
Setiap hari ayah dan ibu akan pulang lewat malam dan keluar pada awal pagi
berikutnya. Sebagai seorang remaja perempuan berusia tujuh belas tahun, aku
tetap memerlukan kasih sayang daripada mereka. Aku memeluk lutut kerana
kedinginan yang amat. Kemudian aku membaluti seluruh tubuhku dengan selimut
tebal.
Sedang asyik aku memerhatikan
suasana di luar pangsapuri ini, tiba-tiba pandangan mataku menjilat suatu objek
aneh yang terbang melintasi jendela. Aku memisat-misat mata tidak percaya.
Objek yang kulihat tadi sudah tiada. Mungkin perasaan aku sahaja. Aku kembali
menjenguk ke luar dan jantungku hamper tercabut tatkala jendela kamarku diketuk
dari luar. Figura seorang yang bertopeng kelihatan. Dia memakai kostum yang
mempunyai imej labah-labah. Aku semakin kaget. Adakah Spiderman itu sebenarnya
wujud? Ah, tidak. Aku pasti bermimpi. Aku mencuit pipiku, namun makhluk di luar
jendela itu masih kekal di posisinya. Adrenalinku bergerak pantas menghantar
informasi ke otak melahirkan rasa cemas. Aku menutup langsir dan berlagak seolah-olah
tidak ada apa yang terjadi, namun cara itu tidak berhasil. Aku tahu makhluk itu
masih berada di luar. Dia mengetuk jendelaku berkali-kali.
Setelah beberapa minit
menenangkan diri, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menjenguk ke luar.
Sebelum itu, aku menggantikan dahulu selimutku dengan tudung supaya auratku
terpelihara. Dia masih statik dan tidak beranjak. Aku dilanda kebingungan.
Mungkin dia memerlukan bantuan daripada aku. Dengan lafaz bismillah, aku
membuka jendela kamarku. ‘Spiderman’ itu terus menutup mulutku menggunakan
tangannya dan mengikat kedua-dua tanganku menggunakan suatu objek yang keluar
dari celah-celah tangannya yang kelihatan persis benang labah-labah. Aku
menyesal kerana telah membuat keputusan yang salah. Aku masih tidak percaya
dengan realiti yang sedang menggigit ini. Makhluk itu mendakap tubuhku dan
membawaku keluar melalui jendela. Aku memejamkan mata kerana gayat. Namun aku
dapat rasakan tubuhku ibarat terbang di udara dan bergerak dari satu bangunan
ke bangunan yang lain.
Ketika itu, aku cuma dapat
menginsafi diri sendiri. Mulutku terkumat-kamit membaca doa meminta
perlindungan daripada Allah. Namun aku cuma berdoa dalam bahasa Melayu kerana
tidak menghafalnya dalam bahasa Arab. Setelah itu, aku menjadi pening dan mataku
perlahan-lahan tertutup.
***
“Hoi, bangun!”
Aku terasa ada sesuatu yang
menghentam pinggangku. Aku memaksa mataku buka perlahan-lahan. Ternyata, semua
yang telah aku lalui itu bukannya mimpi. Makhluk aneh yang menculikku itu masih
berdiri dan sedang menendang pinggangku. Aku mengerekot kerana kesakitan.
Perlahan-lahan aku memaksa diri untuk bangkit bagi mengelakkan ditendang dengan
lebih kuat. Dalam posisi berdiri, aku
mendapati ketinggianku dan ketinggiannya sama. Jadi pada sangkaanku usianya dan
usiaku tidaklah jauh berbeza, bahkan mungkin kami sebaya. Namun bukan itu yang
perlu aku fikirkan sekarang.
“Awak siapa? Kenapa culik saya?
Hantar saya balik ke rumah!” Aku menyoalnya dengan penuh geram dan tidak puas
hati. Aku tidak dapat meneka ekspresi mukanya ketika itu kerana disembunyikan
di sebalik topeng yang menutup keseluruhan kepalanya.
“Jangan hendak berlagak bodoh
pula di sini, serahkan kepada aku penawar tersebut dan aku akan bebaskan kau,”
dia menggertak penuh terdesak dan pengharapan. Penawar? Ligat aku memulas otak
memikirkan tentang penawar yang dimahukannya tetapi akhirnya menemui jalan
buntu. Aku langsung tidak tahu apa-apa tentang penawar tersebut.
“Penawar apa? Aku tak tahu
apa-apa,” aku berkeras dengan harapan dia akan melepaskanku segera. Namun
harapan cuma tinggal harapan.
“Tak perlu berpura-puralah Dr.
Ayuni! Kau serahkan sahaja penawar itu dan cerita kita akan tamat sampai sini.
Aku tak akan sakitkan kau langsung,” ujarnya lagi. Melalui suaranya, aku dapat
mengecam bahawa makhluk aneh itu sebenarnya merupakan seorang lelaki. Dia
menyangka aku sebagai Dr. Ayuni. Siapa pula Dr. Ayuni ini? SPM pun belum aku
jawab, inikan sudah menjadi seorang doktor. Fikiranku bertambah kusut.
“Saya bukan Dr. Ayuni dan saya
tidak tahu-menahu tentang penawar itu,” balasku.
“Kalau kau bukan Dr. Ayuni, kau
siapa? Penyamar?” dia mengujiku sinis.
“Saya Aisyah. Aisyah Humaira.
Bukan Ayuni. Aisyah.” Berkali-kali kutekankan namaku. Dia mendiamkan diri agak
lama. Pasti sedang memikirkan sesuatu. Aku juga turut mendiamkan diri. Perasaan
takut masih menguasai diriku. Aku perlu pulang ke rumah segera dan menyiapkan
modul Biologi yang belum selesai dijawab. Jika tidak, pasti Puan Ummu Kalthom
akan memarahiku esok hari, itupun jika aku dapat pulang ke rumah dengan selamat.
“Jika kau bukan Dr. Ayuni, apa
buktinya?” dia menyoal lagi. Bukti? Bukti apa yang perlu aku kemukakan? Secara
tiba-tiba, aku teringat sesuatu. Mujurlah aku membawa kad pengenalanku di dalam
dompet lalu aku mengeluarkannya. Aku menunjukkan bukti tersebut kepada si
penculik supaya dia berpuas hati. Namun, kelihatannya dia seolah-olah buntu
mahu percayakan kata-kataku ataupun tidak.
“Dr. Ayuni licik orangnya. Tak
mustahil kalau kau sedang membohongi aku.”
“Ya Allah, kenapa awak masih
belum percaya. Saya Aisyah. A.I.S.Y.A.H. Bukan Ayuni!” aku berkeras. Kemudian
kami sama-sama mendiamkan diri. Dia seolah-olah terkedu dan mungkin menyesal.
Aku memerhatikan suasana sekeliling. Aku sedang berada di dalam sebuah rumah
papan, mungkin sekali rumah kampung. Barang-barang di dalam rumah ini
kebanyakannya barang-barang antik. Kemudian, aku perhatikan pula jam di dinding
yang menunjukkan pukul sepuluh malam. Aku baru teringat yang aku belum
menunaikan solat Isyak. Aku menampar dahiku sendiri.
“Kenapa kau tampar dahi?” Spiderman
menyoalku.
“Awak, saya belum solat Isyak.
Kalau awak nak soal-siasat saya lagi, boleh tak tunggu lepas saya solat dulu?”
aku bertanya dengan penuh harapan. Meskipun peluang untuk dia melepaskanku
tipis, tetapi tidak ada salahnya untukku mencuba.
“Solat?”
“Ya, solat. Erm, awak ada agama?”
“Aku islamlah bodoh,” dia
memarahiku. Mungkin terkilan atas pertanyaanku tadi. Manalah aku tahu.
Entah-entah dia penganut agama lain ataupun seorang mulhid. Aku tidak dapat
meneka langsung kerana dia memakai kostum.
“Ha, kalau macam itu mesti awak
faham kenapa kita perlu solat.”
“Kenapa?”
“Sebab solat tu arahan daripada
Allah. Kata Ustazah Halimah, Allah mengeluarkan perintah untuk bersolat bagi
menguji sejauh mana keimanan seseorang hamba kepadaNya. Solat juga dapat
membezakan antara orang Islam dan orang kafir. Kalau kita solat, hidup akan
jadi lebih tenang dan kita akan rasa diri lebih dekat dengan Allah,” aku cuba
mengingat kembali kata-kata Ustazah Halimah yang sering disampaikannya di
hadapan kelas dalam kelas Pendidikan Islam. Serta-merta aku teringat buku
latihan FlyHigh Pendidikan Islam yang belum kusiapkan juga.
“Dah lama aku tak dengar orang
sebut tentang Allah.”
“Awak nak bagi saya solat atau
tidak? Kalau tak, saya tetap nak solat.” Aku berkeras sambil cuba mencari bilik
air di dalam rumah itu. Meskipun janggal dan takut, aku tetap tekad untuk
bersolat. Aku berharap agar Tuhan mengampuni dosa-dosaku kerana berdua-duaan
dengan lelaki yang bukan mahram dan membantuku mencari jalan pulang. Lelaki itu
tidak menghalangku daripada melakukan perkara yang aku mahu lakukan. Aku tidak
tahu apa yang sedang bermain di dalam fikirannya tetapi aku dapat mengagak yang
dia sedang memerhatikan segala tingkah lakuku. Benang labah-labah yang
mengingat kedua-dua tanganku akhirnya sudah tidak melekat lagi dan terlerai.
Oleh itu, dapatlah aku berwuduk dengan sempurna. Usai keluar dari bilik air,
aku melihat dia masih lagi berdiri statik di situ. Aku bertambah janggal dan
malu, namun aku tabahkan hatiku untuk mengharungi semua dugaan ini.
“Awak, ada telekung tak dalam
rumah ni?” tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulutku.
“Telekung? Aku ni lelaki, mana
pakai telekung!” dia memarahiku. Entah mengapa, aku menjadi geram dengan
perangainya yang suka marah-marah.
“Oh, lelaki rupanya. Saya
ingatkan perempuan tadi. Maaflah. Erm, mak awak tak ada telekung?” aku mencuba
nasib. Setelah seketika berfikir, akhirnya dia menyuruhku mencari telekung di
dalam sebuah bilik berhampiran. Jauh di sudut hatiku, aku dapat mengagak bahawa
dia sebenarnya merupakan seorang yang baik. Aku masuk ke dalam bilik yang
dimaksudkannya dan mencari telekung di dalam almari. Nasib menyebelahiku
tatkala aku menemui telekung yang dicari-cari. Kebetulan juga terdapat satu
sejadah yang sudah terbentang di atas lantai, cuma sejadah itu kelihatan sudah
lama tidak berusik. Aku menjadi musykil, namun aku menguburkan sahaja
pertanyaan itu dan segera menunaikan ibadah fardu yang menjadi kewajipanku.
Usai solat dan berdoa, pandangan
mataku meliar mencari jalan keluar. Aku ingin segera melarikan diri daripada
rumah itu. Aku dapat mengenal pasti tingkap yang kukira muat untuk tubuhku
menyelinap keluar melaluinya. Setelah menyarungkan tudung, aku membuka tingkap
dan begitu nekad untuk melarikan diri. Perasaan terkejut menerpa diriku tatkala
aku melihat lautan di bawah. Aku menjerit akibat terperanjat dan segera kututup
kembali tingkap bilik itu. Manusia aneh yang menculikku itu masuk ke dalam
bilik dan tertawa.
“Bodoh. Kenapa? Kau nak cuba
larikan diri ya?”
Aku cuba menyembunyikan perkara
sebenar. “Eh, mana ada. Saja nak melihat pemandangan di luar. Terkejut pula
tengok ada laut.”
“Pemandangan apa malam-malam
begini, ha?”
“Err.. bulan! Bintang! Semuanya
ada.”
“Dah, sudahlah. Tidak ada jalan
keluar dari rumahku ini. Kau tak perlulah susahkan diri kau dan aku.” Aku
menelan liur. Tidak ada jalan keluar? Orang tuaku pasti khuatir jika
mendapatiku tidak ada di rumah. Adakah aku akan terperangkap di sini
selama-lamanya?
At night when
the stars
Light up my
room
I sit by
myself
Talking to
the Moon
Telefon bimbitnya berbunyi. Aku cuma berdiam diri. Selesai bercakap,
dia memegang lenganku kuat dan menarikku supaya mengikutinya. Aku cuba
melepaskan pegangannya tetapi pegangannya itu terlalu kuat.
“Lepaslah, saya boleh jalan
sendiri.” Tidak dihiraukan. Lelaki itu cuma melepaskan lenganku ketika dia
membuka pintu rumah. Seorang lelaki yang kelihatan sudah separuh abad muncul
dengan memakai kemeja hitam dan jeans yang agak ketat menampakkan auratnya. Aku
langsung tidak boleh mengagak pekerjaan lelaki itu. Dia melemparkan senyumannya
kepadaku. Aku tidak membalas.
“Pak Bad, Shah nak Pak Bad
pastikan orang yang Shah culik ni ialah Dr. Ayuni. Nampaknya dia cuba menipu
Shah. Katanya dia Aisyah, bukan Dr. Ayuni,” jelas lelaki bernama Shah itu. Aku
cuba menjenguk ke luar untuk melihat keadaan di luar rumah tetapi pintu rumah
segera ditutup laju. Lelaki yang dipanggil Pak Bad itu mengamati wajahku untuk
seketika. Aku terasa ingin lari sahaja pada ketika itu tetapi sudah tidak
terdaya lagi. Pak Bad menggeleng perlahan.
“Dia bukan Dr. Ayuni. Nampaknya
Shah dah tersalah orang,” ujar Pak Bad lembut. Shah meramas-ramas kepalanya dan
duduk di atas sofa berhampiran. Dia kemudian membuka topengnya dan aku terkejut
melihat wajah sebenarnya yang tampan. Aku juga yakin bahawa usianya masih
belasan tahun dan belum pun mencecah dua puluh. Shah kelihatan seperti orang
yang sangat bingung. Aku tidak tahu mahu melakukan apa melainkan memerhatikan
perkara yang terjadi di hadapanku. Pak Bad mendekati Shah dan memegang
kedua-dua bahunya.
“Dr. Ayuni tu memang licik, Shah. Lebih baik kita usahakan
cara lain,” cadangnya.
“Cara lain? Dah macam-macam cara
Shah cuba untuk dapatkan penawar tu tetapi masih belum berjaya. Pak Bad nak
Shah cuba sampai bila? Shah tak nak terus jadi labah-labah begini. Shah nak
hidup normal macam kawan-kawan yang lain. Shah dah tak mampu nak simpan rahsia
lama-lama,” dia memegang kepalanya. Berat sekali beban yang terpaksa ditanggung
olehnya. Meskipun aku tidak berapa jelas lagi tentang keadaan sebenar Shah, aku
sudah mengerti sedikit demi sedikit.
“Beginilah Shah, Pak Bad akan
cuba ikhtiarkan cara lain. Janganlah putus asa ya,” Pak Bad menepuk belakang
Shah dan berjalan menuju ke pintu keluar. Sebelum dia keluar, aku memanggil
namanya.
“Pak Bad, boleh saya ikut
sekali?” aku meraih penuh simpati. Pak Bad cuma menggeleng dan pergi
meninggalkanku terpinga-pinga di situ. Shah masih terduduk di atas sofa.
Mungkin, jika aku bantu menyelesaikan masalahnya, Shah akan melepaskan aku. Aku
mencuba nasib. Kakiku melangkah menghampiri posisi penculik itu. Meskipun
jantung masih berdenyut kencang, aku cuba tabahkan diri.
“Awak, saya tak tahu apa masalah
awak, tapi kalau awak perlukan bantuan saya, insyaAllah saya akan cuba
membantu.” Aku sendiri tidak tahu bagaimana kata-kata itu boleh terkeluar
daripada mulutku. Namun yang pasti, aku ikhlas. Shah mendongakkan kepala tidak
percaya.
“Kau nak tolong aku? Tak ada
siapa yang boleh tolong aku sekarang. Pak Bad pun tak boleh selesaikan masalah
aku.”
“Mungkin saya tak boleh bantu
awak tetapi saya tahu ada seseorang yang boleh selesaikan semua masalah awak
ni,” aku menjelaskan. “Allah.”
“Allah boleh bantu aku? And how is that?”
“Melalui doa. Solat dan doa.
Ustazah Halimah pun pernah cakap, Allah akan makbulkan doa-doa orang yang
teraniaya. Jadi kalau awak berdoa, mesti Allah boleh tolong. Awak kena cuba.
Belum cuba, belum tahu,” bicaraku lagi. “Oh ya, memandangkan saya bukan Dr.
Ayuni, bila awak boleh hantar saya pulang?”
Dia berfikir seketika. “Kau masih
dalam tempoh pengawasan aku. Kau belum boleh balik lagi. Tapi kalau kau nak
balik juga, kau balik sendiri berenang.” Aku menggeleng tanda tidak setuju. Aku
disuruh berenang? Kalau sesat bagaimana? Shah menyuruhku tidur di dalam bilik
ibunya.
“Tapi... tapi...”
“Kalau kau takut sangat, kau
kuncilah pintu,” sindirnya sebelum masuk ke dalam biliknya.
***
Sepanjang mendirikan solat Subuh,
aku menangis teresak-esak memikirkan nasibku. Pada saat ini, mungkin ayah dan
ibuku sudah melaporkan kehilanganku kepada pihak polis. Rakan-rakan di sekolah
nanti pasti akan bertanyakan tentang aku. Maklumlah aku bukannya jenis orang
yang sering ponteng sekolah. Dugaan yang Allah turunkan kepadaku ini begitu
hebat dan tidak pernah terfikir olehku. Aku berdoa agar masalah ini cepat selesai
dan boleh pulang ke rumah dengan segera.
Tiba-tiba pintu bilik diketuk.
Aku segera menyarungkan tudung tetapi masih ragu-ragu untuk membuka pintu. Aku
tidak tahu sama ada lelaki misteri yang telah menculikku itu boleh dipercayai
mahupun tidak.
“Makan!”
Aku memegang perutku yang sedang
berkeroncong. Sejak semalaman aku tidak makan, sudah tentulah lapar. Aku
membuka pintu bilik dan terkejut melihat penampilan lelaki berkostum itu yang
berpakaian baju melayu dan bersongkok. Wajahnya tampak lebih menenangkan
daripada sebelumnya. Segera aku melarikan pandanganku. Dia menunjukkan hidangan
di atas meja makan. Kebetulan pula nasi lemak memang menjadi kegemaranku.
Segera aku membasuh tangan dan makan tanpa bercakap sepatah pun. Baru dua suap
aku menjamah nasi lemak yang disediakan, Shah duduk di hadapanku dan mencapai
sebungkus nasi lemak. Aku tidak selesa dengan kondisi tersebut.
“Setelah aku berfikir panjang
semalam, aku cuba cara yang kau suruh aku lakukan. Aku rasa tenang sikit
sekarang,” dia memulakan perbualan. Aku mengangguk.
“Aku minta maaf.” Akhirnya
kata-kata itu terkeluar juga. Aku berpura-pura tidak mendengar.
“Apa dia?”
“Tak ada apalah. Hurm, semalam
kau kata hendak bantu aku jadi kau harus kotakan janji kau.”
“Itu sebab saya nak sedapkan hati
awak saja,” aku cuba berdolak-dalih.
“Ah, aku tak peduli. Nanti kau
carilah baju ibu yang boleh dipakai. Kau kena ikut aku mencari seseorang yang
telah mengganggu hidupku selama ini.”
Setelah bersiap, aku mengikuti
Shah keluar rumah. Ternyata, memang betul rumah itu berada di atas laut. Kami
berjalan di atas jambatan menuju ke daratan. Sepanjang perjalanan, Shah
menceritakan kisah sebenar hidupnya kepadaku. Pada waktu itu, dia baru mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Akibat dengki terhadap kejayaan
ayahnya, Dr. Yusuf, Dr. Ayuni telah bersumpah untuk menghancurkan keluarga Dr.
Yusuf. Dia telah mencipta pelbagai racun untuk membunuh Dr. Yusuf dan
rancangannya berjaya. Ibu Shah juga telah terbunuh. Semenjak itu, dia sudah
seperti manusia yang hilang hala tujunya.
Dr. Ayuni masih belum puas hati
melihat Shah yang masih hidup. Oleh itu, dia berniat mahu menyusahkan hidup
Shah dengan mencipta racun labah-labah yang menyebabkan peminumnya mempunyai
kebolehan seperti seekor labah-labah. Tetapi, semakin lama, peminum tersebut
akhirnya akan bertukar menjadi seekor labah-labah yang sebenar. Pak Bad, iaitu
pembantu peribadi Dr. Yusuf yang sering menjaganya selama ini.
“Aku tak sanggup bertukar menjadi
labah-labah. Aku hendak hidup normal macam kau, macam remaja lain,” Shah
mengeluh.
“Saya simpati mendengar kisah
hidup awak. Saya akan cuba bantu awak,” aku melemparkan senyuman untuk
meyakinkannya. Shah memerhatikanku dan terdiam. Aku cepat-cepat menyembunyikan
senyumanku tidak mahu dia menatapku lama-lama.
“Wajah Dr. Ayuni itu persis wajah
kau, sebab itulah aku fikir kau Dr. Ayuni. Tapi kau baiklah juga berbanding
dia. Dan kau jauh lebih muda daripada
dia. Bahkan sama umur dengan aku. Sama-sama sepatutnya ambil SPM.”
“Sepatutnya?”
“Aku dah lama tak bersekolah,”
ujarnya perlahan. Mungkin malu dengan keadaannya itu.
“Shah, kalau kita dapat
selesaikan masalah ni cepat, rasanya awak masih sempat untuk ambil SPM. Belum
terlambat untuk belajar. Siapa tahu, suatu hari nanti kita akan masuk IPT yang
sama?” aku bercanda.
Shah tertawa. “Mungkin ada
hikmahnya aku menculik kau.”
***
Setelah seharian perjalanan yang
disertai beberapa kali rehat, akhirnya kami tiba di hadapan rumah Dr. Ayuni
menurut maklumat yang baru dihantar oleh Pak Bad. Katanya, ada orang melaporkan
mereka terlihat kelibat Dr. Ayuni di sekitar kawasan itu. Aku memberanikan diri
untuk mencari Dr. Ayuni. Shah mengikutiku secara sembunyi kerana khuatir Dr.
Ayuni akan menghilangkan diri setelah melihatnya.
Aku mengetuk pintu rumah Dr.
Ayuni dan memberikan salam tetapi tidak dijawab. Aku mencuba sekali lagi dan
hasilnya tetap sama. Namun setelah kali ketiga, pintu rumah terbuka. Seorang
perempuan cantik yang berkaca mata muncul di muka hadapan pintu. Aku yakin
dialah Dr. Ayuni yang dicari-cari selama ini berdasarkan gambar yang telah
ditunjukkan oleh Shah kepadaku.
“Nak apa?” soalnya garang.
“Begini, saya nak memungut derma
untuk pertubuhan anak-anak yatim yang akan ditubuhkan oleh Mekar Budi Amal Sdn.
Bhd. Saya harap puan dapat membantu menghulurkan sedikit dana...” belum sempat
aku menghabiskan ayatku, Dr. Ayuni memotong dan menghalauku pergi. Namun aku
masih tidak berputus asa dan terus mendesaknya. Akhirnya, dia bersetuju.
Dr. Ayuni mengambil wangnya dan
apabila dia membuka pintu, Shah terus mengikat kedua-dua tangannya menggunakan
kuasa labah-labahnya. Dr. Ayuni tersungkur ke atas lantai dan menyumpah
seranahku. Dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Shah menendang perutnya
berkali-kali namun dia berhenti atas permintaanku. Aku tidak sanggup melihat
kekasaran itu meskipun aku tahu memang wajar Shah berbuat sedemikian.
“Serahkan penawarkan itu segera,
jika tidak, kau tahulah nasib kau.”
“Errr.. saya, saya bukan Dr.
Ayuni,” ujarnya.
“Ah, penipu! Tengok sahaja rumah
ini aku dapat tahu kau Dr. Ayuni.”
“Itu.. itu semua ubat-ubatan
farmasi. Lepaskan saya.”
Shah terus memerangkap tubuh Dr.
Ayuni menggunakan benang labah-labahnya.
“Haha, bodoh. Bodoh. Aku sudah
aktifkan butang kecemasan. Sebentar lagi, seluruh rumah ini akan hangus dijilat
api termasuk kau dan aku. Kau berdua tak akan jumpa penawarnya. Kau memang tak
guna.”
Aku mencari-cari penawar yang
dimaksudkan oleh Shah. Pada setiap botol, terdapat label penggunaannya. Namun,
aku tidak berjaya menemuinya. Bau asap sudah dapat kuhidu. Nampaknya, Dr. Ayuni
sudah nekad untuk mati bersama-sama kami berdua. Masa semakin suntuk. Penawar labah-labah
masih tidak kelihatan. Aku cuba mencari di sekitar biliknya. Tidak ada. Api
semakin marak dan Shah sendiri sudah terbatuk-batuk.
“Shah, nampaknya penawar itu
tidak ada di sini. Ayuhlah kita pergi,” meskipun berat untuk kuucapkan, aku
terpaksa meluahkannya juga. Sudah tidak ada harapan lagi. Aku dan Shah terpaksa
meninggalkan rumah itu dengan segera. Dr. Ayuni sudah tidak mampu bergerak dan
hanya ketawa terbahak-bahak di atas lantai seperti orang tidak waras. Ketka
keluar dari rumah, aku terfikir untuk mencari penawar di sekitar rumah itu.
“Apa kau buat lagi, Aishah? Kita
kena segera beredar,” Shah memanggilku. Aku masih tercari-cari. Tanpa diduga,
akhirnya aku berhasil menemukan sebuah botol yang tertulis ‘ANTIDOT
LABAH-LABAH’ yang tertanam di celah-celah pasu bunga. Aku mengambil botol itu
dan memberitahu Shah. Shah kelihatan sedikit berpuas hati dan mahu menjabat
tanganku tetapi aku menariknya. Aku sudah tidak mahu lagi Shah menyentuhku.
Shah malu sendiri dengan perbuatannya.
Kami berdua terjun ke dalam laut
dan mencapai sampan yang berdekatan. Akibat kepenatan, aku akhirnya tertidur.
***
Aku membuka mataku yang sangat
berat. Aku dapat mendengar suara tangisan. Ternyata, ibu sedang menangis di
sampingku. Ayah mempamerkan wajah yang tegang. Aku masih keliru. Adakah semua
yang telah kualami itu adalah realiti mahupun mimpi semata-mata?
“Aishah, ke mana Aisyah pergi?
Ibu dan ayah risau, tahu?” Ibu mencium pipiku lama. Sudah lama rasanya aku
tidak rasakan ciuman yang sehangat dan selembut itu. Ayah memeluk tubuhku yang
masih lemah itu dan meminta maaf kerana tidak dapat menjagaku dengan baik. Aku
tersenyum gembira. Sudah lama aku mengidam-idamkan keadaan seperti ini.
“Ibu, ayah.. Shah mana?” soalku.
“Shah? Siapa Shah? Ibu dan ayah
masuk sahaja ke dalam bilik sudah melihat kamu tertidur di atas katil. Yang
anehnya, kamu pakai tudung pula tu,” jelas ibu.
Aku terdiam lama. Aku tidak tahu
bagaimana aku boleh tiba di rumah. Setelah berpuas hati dengan keadaanku, ibu
dan ayah memberiku ruang bersendirian. Mungkin mereka tidak mahu memaksaku
untuk menceritakan kejadian sebenar lagi. Tetapi, jika mereka mencengar
ceritaku, adakah mereka mampu untuk mempercayainya?
Aku bangkit dari katil dan
terlihat sekeping nota di atas meja belajarku. ‘See you at IPT. Thanks for
everything. -Shah.’ Aku tersenyum sendiri. Ternyata semuanya bukan mimpi.
Semenjak hari itu, setiap kali aku merenung ke luar jendela, aku akan sentiasa teringatkan
kejadian yang sungguh aneh itu.
Awakk!! Sangat2 menarik..
ReplyDeleteBest la..buat la smbungn yg aisha jmpa shah kat IPT.
ReplyDelete