This is what I love about blog.
Setiap tahun, saya boleh lihat semula apa azam saya untuk tahun itu dan alhamdulillah,
salah satu azam utama untuk tahun 2013 saya telah tercapai. Azam apa? Saya
telah berazam agar salah satu cerpen saya tersiar dalam majalah. Sekitar Jun
2013, cerpen saya berjudul Beku telah disiarkan oleh Majalah Yezz! terbitan di
bawah syarikat Karangkraf. Boleh baca sedikit sedutan di entry yang lepas-lepas.
Setiap tahun memang saya akan
membuat azam yang baru, tetapi kebanyakannya agak susah untuk diri saya capai.
Dan apabila azam 2013 telah tercapai, maka tidak mustahil pula untuk azam 2014
saya tercapai. Sejujurnya, azam bukanlah sesuatu yang hanya wujud ketika tahun
baru tetapi azam seharusnya sentiasa wujud di dalam hati kita. Cuma, saya
jadikan setiap tahun sebagai kayu ukur kepada azam-azam saya sama ada tercapai
ataupun tidak. Baiklah, buat saya, 2014 adalah tahun yang sangat baru, sangat
berbeza. 2014, di mana kanak-kanak dan remaja lain sibuk membuat persiapan
untuk kembali ke sekolah, saya tidak perlu melakukan semua itu lagi. Dan
perasaannya sungguh, aneh. Sejauh mana pun keinginan untuk berpatah balik ke
alam persekolahan, semua itu tidak akan terjadi lagi melainkan, saya menyambung
tingkatan enam. Tahun demi tahun, kita kena belajar untuk lebih berdikari,
independent.
Apa yang saya harapkan untuk
2014? Saya berharap dapat masuk ke dalam universiti pastinya. Setiap orang
pasti mempunyai universiti impian tersendiri dan impian saya mahu ke Yarmouk,
Jordan. Tetapi saya tidak terlalu berhajat besar untuk ke sana kerana
universiti-universiti tempatan pun kebanyakannya sudah mampu menyaingi
universiti di luar negara. Cuma sebahagian besar hati ini mahu melanjutkan
pelajaran di luar negara. Namun, saya yakin di mana-mana pun Allah sudah
mempersiapkan sesuatu untuk kita. Saya juga berharap di tempat baru nanti, saya
akan mengenali lebih ramai insan berhati mulia yang bergelar sahabat. Saya
tidak mempunyai keinginan lagi untuk mengambil lesen kereta. Saya berminat
untuk mengambil lesen motor, tetapi tidak diizinkan pula. Kata ibu bapa, bawa
motor ni berbahaya.
Susah juga saya mahu perah otak
memikirkan azam baru untuk 2014 kerana saya sendiri tidak tahu apa lagi yang
saya mahu. Kalau azam biasa-biasa, tak mencabar. Azam kedua selain masuk
universiti, saya teringin menjadi seorang penulis lirik lagu. Hehe. Macam pelik
pula. Tetapi tak ada salahnya menyimpan angan-angan. Lagu-lagu yang bertemakan
dakwah dan ketuhanan pastinya. Manalah tahu suatu hari ada orang yang berminat
untuk menyuruh saya menulis lirik lagu untuknya.
Azam ketiga yang pun macam pelik,
saya mahu menjadi seorang kolumnis dalam majalah. Heh. Ni memang tinggi
angan-angan. Ya lah, sekurang-kurangnya minat saya dalam penulisan dicurahkan
ke atas landasan yang betul. Saya juga akan sentiasa membaiki diri dalam bidang
penulisan kerana saya tahu masih banyak lagi kelemahan diri. Kalau dapat
menjadi seorang kolumnis pada usia 18 tahun, sudah pastilah saya dapat belajar
banyak perkara baru. Saya akan dapat komen dan ilmu yang lebih banyak. Insha
Allah.
Ya, itulah tiga target saya untuk 2014 walaupun
dua daripada sangat sukar untuk dicapai. Paling tak pun, dua azam tercapai pun
jadilah. Azam ni, perlu disertakan dengan usaha. Saya akan cuba sentiasa
positifkan diri untuk mencapai kejayaan di dunia yang serba berbeza kelak. Yang
penting usaha, doa dan tawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan doa kalian
mengiringi saya dan segala urusan saya dan keluarga dipermudahkan.
No comments:
Post a Comment