Friday, 20 December 2013

Semangat Assabiah Pelajar Asrama



Mana-mana pelajar yang bergelar pelajar asrama terutamanya pelajar SBP dan MRSM sudah pasti tidak akan lari daripada mengamalkan semangat assabiah yang tinggi. Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh disangkal lagi. Memandangkan saya mempunyai seorang adik yang sedang menunggu keputusan permohonan ke sekolah berasrama, tidak ada salahnya untuk saya berkongsi pendapat untuk adik-adik yang bakal bergelar pelajar asrama tidak lama lagi.

Melalui pengamatan saya, situasi belajar di sekolah harian dan sekolah berasrama penuh ini jauh berbeza sekali. Saya telah bersekolah selama tiga tahun di sekolah harian biasa dan dua tahun di sekolah berasrama penuh. Walaubagaimanapun, dua tahun di asrama penuh itu terasa lebih lama berbanding tiga tahun di sekolah harian. Jika di sekolah harian, semangat rumah sukan hanya akan wujud sehinggalah tamatnya Hari Sukan. 

Berlainan pula dengan asrama, sistem merit diamalkan dalam rumah sukan. Sekiranya ada dalam kalangan pelajar dalam rumah yang melakukan kesalahan berat, markah untuk rumah itu akan ditolak. Kira ala-ala filem Harry Potter. Dan begitulah keadaannya sehinggalah ke akhir tahun. Para pelajar akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikan rumah masing-masing sebagai johan. 

Malah, di asrama saya para pelajarnya diwajibkan untuk tinggal di dalam dormitri yang mempunyai penghuni rumah yang sama. Meja makan pun diatur mengikut rumah. Semangat assabiah ini dapat dilihat paling melampau apabila tiba hari sukan. Masing-masing akan mempertahankan kewibawaan rumah masing-masing. Padahal bukannya menyumbang markah sangat pun untuk rumah sukan, macam saya ni. Begitulah hebatnya penangan sistem rumah dalam kalangan pelajar asrama. 


Berbalik kepada sistem merit tadi, selain daripada markah ditolak, pelajar juga boleh cuba untuk menaikkan markah rumah melalui penglibatan-penglibatan dalam aktiviti kokurikulum mahupun akademik. Pelajar yang giat menyertai pertandingan seperti pidato, RND (Research and Development), choral speaking, sukan, catur, memanah dan sebagainya memang banyak menyumbang markah untuk rumah masing-masing dan lazimnya pelajar-pelajar sebeginilah yang akan menjadi kesayangan guru. Ini fakta, ok.

Satu lagi semangat assabiah pelajar adalah sesama batch. Biasalah tu. Pasti ada senior yang akan buli junior, terutamanya budak-budak yang baru masuk. Nasihat saya, anda tidak perlu gentar dengan senior. Cukup sekadar menghormati mereka yang lebih tua. Asalkan anda tidak buat sebarang masalah, oklah tu. Senior tak ganggu. Sebagai senior, kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik. Dan sebagai junior, kita perlu belajar untuk mengambil contoh-contoh positif yang ditunjukkan oleh abang dan kakak kita. Amalkan peribahasa Melayu, hormat pada yang tua dan kasih pada yang muda. 

Sebenarnya yang namanya manusia ini semuanya sama sahaja tarafnya di sisi Allah. Yang membezakan bukanlah harta, paras rupa, kepopularan mahupun jawatan yang tinggi. Yang membezakan kita adalah akhlak dalam diri individu itu. Beruntunglah mereka yang berakhlak mulia dan rugilah mereka yang sombong lagi angkuh. 

Kalau berkawan, kita kena berkawan dan berbuat baik dengan semua orang. Ya, saya akui memang pelajar asrama tak akan terlepas daripada semangat assabiah tetapi janganlah sampai memakan diri sendiri. Kalau rasa ada buat salah kepada rakan-rakan kelas lain, junior, senior, guru, kita kena minta maaf juga sama ada cepat ataupun lambat sebab hubungan sesama manusia ni penting. Terpulanglah sama ada mereka mahu maafkan ataupun tidak. 

Jadi kepada adik-adik yang nak masuk asrama, jangan takut, jangan gentar. Kehidupan di asrama ini sebenarnya indah dan banyak kenangan yang boleh dicipta. Banyak kebaikannya tinggal di asrama ini. Boleh dapat ramai kawan dan belajar untuk berdikari, pastinya. Saya berbangga menjadi produk asrama. Hehe.

No comments:

Post a Comment