Thursday 5 December 2013

Remaja Menghidap Kanser Tulang Meninggal Dunia Subuh Tadi




Mari sedekahkan al-Fatihah kepada arwah Arif Wajdi, 9, yang telah meninggal dunia subuh tadi. Berita tentang penderitaan arwah sebelum ini telah mendapat liputan dalam akhbar Sinar Harian. Arwah merupakan anak kepada salah seorang guru yang mengajar di sekolah rendah saya iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kulim, Kedah. Malah, arwah Arif sendiri bersekolah di sekolah tersebut. 

Segalanya berpunca apabila beberapa orang rakan tertendang kaki kanan arwah beberapa bulan yang lalu dan arwah mulai rasa kesakitan serta lenguh-lenguh di bahagian kaki. Arwah Arif pada awalnya tidak mengendahkan kesakitan yang dialaminya. Tetapi lama-kelamaan kakinya mulai membengkak. Kondisinya bertambah parah dan matanya juga tidak dapat melihat. Khabarnya arwah Arif juga terpaksa memakai lampin pakai buang. Ubat-ubatan yang dibekalkan cuma mampu bertahan selama sebulan. Pendapatan yang diperoleh oleh Cikgu Asiah dan suami beliau tidak cukup untuk menampung kos perubatan arwah.

Ternyata, Allah lebih menyayangi arwah apabila arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi. Saya berharap agar Cikgu Asiah dan keluarga tabah menghadapi dugaan hebat ini. Ya lah, saya tidak dapat membayangkan keperitan yang ditanggung beliau sebagai seorang ibu untuk menjaga dan menerima berita pemergian arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Ameen.

Menceritakan sedikit tentang Cikgu Asiah, beliau merupakan salah seorang guru yang akrab dengan saya dahulu. Beliau memang tegas dalam mendidik anak-anak muridnya tetapi sebenarnya di sebalik ketegasannya beliau mempunyai sifat keibuan yang mendalam. Dahulu Cikgu Asiah mengajar saya subjek Matematik. Setiap kali peperiksaan, memang kertas saya yang akan ditandanya dahulu sebagai rujukan. Pernah sekali, saya mendapat 99, saya dicubit oleh cikgu kerana cuai. Cikgu memang banyak membantu saya dan beliau merupakan salah seorang guru yang paling saya ingati sehingga hari ini. Mudah-mudahan, cikgu kuat mengharungi semua ini. Saya akan sentiasa mendoakan cikgu. 

No comments:

Post a Comment