Wednesday, 1 June 2011

Aina Zalia Part 3

“Yuni, aku kena balik dah ni. Nanti bising pula mak aku tu.”


“Eh? Awal lagi ni. Kan hujan di luar tu? Baik kau tinggal di sini untuk malam ni, temankan aku. Please?” Ayuni mengenyit sebelah matanya, buat gaya secomel habis.


“Maaflah Yuni, tapi aku kena balik juga. Pembantu rumah kau kan ada temankan kau?” Dengan berat hatinya Ayuni terpaksa melepaskan juga sahabatnya itu pulang ke rumah. Zalia segera mendapatkan Kancil birunya dan memecut laju sambil memasang angan-angan hendak menjadi pemandu Formula One suatu hari nanti. Dalam perjalanan pulang, Zalia terlihat figura yang sangat dikenalinya.


“Motosikal itu… topi keledar itu… sahlah itu Abang Zakwan! Hahaha. Lambat betul makhluk topi keledar tu bawa motor. Aku pun boleh pecut laju,” monolognya sendirian. Tiba-tiba terdetik di hati kecil Zalia mahu menyaingi Zakwan, lantas dipecutkan lagi kereta birunya itu. Zakwan menyedari kelibat Zalia.


Aik? Zalia? Cepatnya dia kejar aku! Tak boleh jadi ni. Pecut…!


Dan terjadilah perlumbaan antara dua makhluk Tuhan yang masing-masing tidak mahu mengalah. Sudahlah hujan lebat, memang cari nahas betul kedua-dua manusia itu. Tiba-tiba tanpa diduga enjin kereta Zalia terhenti. Mujurlah kawasan itu tidak banyak kereta yang lalu-lalang, jika tidak alamatnya kemalanganlah budak tu.


Dah sudah. Waktu-waktu ni juga kau hendak mati wahai enjin. Baru saja aku nak tunjukkan kehebatan aku memandu.


Zalia mengambil payung di tempat duduk belakang untuk memeriksa enjinnya. Zakwan telah lama meneruskan perjalanan. Gadis itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Manalah dia tahu baiki kereta! Huaaa… Hampir sahaja menitis air mata gadis itu, tetapi tidak jadi apabila terdengar bunyi ekzos motosikal menghampirinya.


“Rosak ea?”


“Taklah. Saja ambil angin. Bagus kan pemandangan di sini?” Dah tahu rosak tanya lagi!


“Baiklah kalau begitu,” Zakwan menghidupkan semula motosikalnya dan mahu pergi. Sengaja menyakat.


Ish, dia ni biar betul? Nak kenakan dia, aku sendiri terkena. Boleh tahan juga skil dia kenakan orang.


“Err… Abang Zakwan. Tolonglah tengok-tengokkan kereta saya ni. Rosak,” Zalia cuba meminta bantuan. Ah! Pedulikan sajalah siapa pun orangnya. Darurat ni.


Zakwan turun dari motosikalnya dan memeriksa kereta Zalia. Kelihatannya seperti dia sudah pakar dalam bidang itu.


“Berapa lama awak tak servis kereta ni ha?” Zalia cuba ingat kembali. Entahlah. “Kereta ini kena bawa bengkel, ada beberapa benda yang perlu ditukar.”


Ha? Itulah Zalia, lain kali bawa pergi servis! Macam mana aku nak balik ni? Hendak patah balik rumah Ayuni, dah jauh. Hendak teruskan, masih jauh. Sudahlah hujan lebat. Hendak panggil bantuan, lambat lagi datang.


“Awak ada lesen motor?” Zakwan memecahkan kesunyian bicara. Zalia mengangguk.


“Nah, ambil ni.” Dia menyerahkan kunci motosikalnya kepada Zalia. “Zalia gunalah dulu motor abang ni. Nanti abang telefon bantuan, mereka akan uruskan kereta Zalia ni. Jangan risau.” Zakwan melemparkan senyumannya yang termanis.


“Habis tu Abang Zakwan nak pergi hospital macam mana?” Zalia masih kebingungan.


“Hospital dekat sahaja dari sini. Jalan kaki pun boleh.” Zakwan menyerahkan topi keledarnya dan segera mengatur langkah beredar dari situ, tanpa meminta persetujuan daripada Zalia.


“Abang Zakwan! Gunalah payung ni,” Zalia menunjukkan payung yang dipegangnya.


“Tak apalah.” Zakwan menggeleng. Gila ke apa nak suruh aku pakai payung merah jambu bercorak bunga-bunga tu? Eeei, geli…


Zalia menyarungkan topi keledar dan memecut. Teringat pula pada kisah hijrah para sahabat Rasulullah ke Yathrib. Waktu itu Saidina Ali serta keluarga Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar memutuskan untuk hijrah bersama, tetapi Fatimah puteri Rasulullah tidak mempunyai kenderaan maka Saidina Ali dengan rela hati memberikan untanya bagi ditunggang oleh Fatimah sedangkan Saidina Ali sendiri berjalan kaki sehingga mengakibatkan tapak kakinya pecah dan sakit. Awhh, so sweet… Eh! Zalia, fokus! Berhati-hati di jalan raya!


***


“Abang ngah, kereta Zalia macam mana?” soal Ayuni sambil menghirup jus epal di hadapannya itu.


“Alhamdulillah, dah boleh pakai. Pesan pada kawan Yuni tu, lain kali jangan lupa servis kereta. Nasib baik rosak di tempat tak ada kenderaan, kalau rosak di tengah lebuh raya? Jadi arwah la akibatnya…”


“Ish, abang ngah ni! Tak baik cakap macam tu!” Ayuni menampar lembut tangan abangnya. Tak boleh tampar kuat-kuat, nanti dia tak nak belanja lagi aku makan luar.


“Abang gurau sajalah. Janganlah ambil serius,” Zakwan buat muka selamba.


“Abang ngah, abang percaya pada jodoh tak?”


Jodoh? Adikku sayang oi, janganlah tanya abang ngah kau ni tentang jodoh. Sampai sekarang diriku ini masih membujang…


“Percaya. Erm, setiap hamba Allah ada jodoh masing-masing. Bila jodoh tu sampai, kita tak boleh lari daripadanya, dik…” Ayuni mengangguk. “Kenapa Yuni tanya macam tu? Dah ada yang berkenan di hati ya?” Zakwan mengangkat kedua-dua belah keningnya. Pipi Ayuni yang putih itu mulai merona kemerahan.


“Mana ada.. Yuni saja tanya. Abang ngah, how’s Leeya?”


“Dia baik-baik sahaja,” Zakwan menghela nafas pendek. Ada keluhan, terselit kekesalan, terlindung kebencian dan segala-gala yang sukar ditafsirkan dalam kata-kata itu. Hatinya akan berasa sedih setiap kali ditanyakan tentang bekas tunang yang telah meninggalkannya itu.


“Yuni minta maaf kalau ada menyinggung perasaan abang ngah. Yuni tak sengaja.”


“Dah, jangan sedih-sedih. Happy selalu!” Zakwan mengukir senyum sambil melihat hidangan Chicken Chop kegemarannya tiba di depan mata. Ayuni juga ikut senyum.


Tanpa disedari, sepasang mata sedari tadi asyik memerhatikan kedua-dua beradik itu. Dia mendengus geram. Figura berkaca mata hitam itu bangkit dari duduknya, menolak kerusi dan segera beredar dalam keadaan tergopoh-gapah.


Dupp! Zalia terjatuh. Makhluk berkaca mata hitam di hadapannya itu turut terjatuh. Topinya tertanggal.


“Maaf!” Zalia menunduk tanda kesal.


“Zalia?” Figura itu bangkit sambil membuka kaca mata hitamnya. Zalia terkejut dan terus pengsan. Lelaki misteri itu segera beredar dari tempat kejadian. Beberapa orang yang sedang lalu-lalang di hadapan restoran itu menghampiri Zalia.


“Eh, abang ngah. Kenapa orang ramai berkumpul di situ?” Ayuni menunjuk ke arah Zalia yang dikerumuni manusia, tetapi masih belum menyedari bahawa itu sahabatnya.


“Ya lah. Abang pergi tengok sekejap,” Zakwan beredar dari situ, tetapi tidak sampai beberapa minit dia pulang semula ke meja makan. “Zalia pengsan!” Ayuni terkesima. Kedua-dua beradik itu segera mendapatkan Zalia. Ayuni mengambil kunci kereta Zalia lantas menyerahkannya kepada Zakwan. Zakwan terpinga-pinga.


“Apa lagi? Bawalah ke hospital!”


Aik? Aku juga yang kena bawa minah ni ke hospital? Dia ni pun satu, nak pengsan pun pengsan la di rumah ke, dekat-dekat dengan hospital ke, ni pengsan depan restoran! Buat kecoh betul!


Ayuni dan beberapa wanita yang lain memapah Zalia masuk ke dalam keretanya. Zakwan mengambil tempat duduk pemandu dan Ayuni duduk di sebelahnya.


***


Perlahan-lahan Zalia membuka matanya. Terasa bagaikan dunia sekeliling kelabu. Aku hidup lagi? Alhamdulillah. Matanya melilau ke sekeliling pelusuk wad. Terlihat kelibat Ayuni di pangkuannya. Amboi, orang lain yang sakit orang lain yang tidur.


“Yuni…” panggilnya perlahan, tetapi cukup membuatkan sahabat baiknya itu terjaga dari tidur.


“Eh, Zalia. Kau dah sedar? Alhamdulillah. Takut aku dibuatnya.”


“Aku di mana ni?” Saja tanya soalan macam dalam drama televisyen.


“Kau kat hospitallah sayang oi! Tadi tiba-tiba kau pengsan depan restoran. Kebetulan aku dan abang ngah tengah makan di situ. Abang ngah bawa kau ke hospital, pakai Kancil kau. Kau buat apa depan restoran tu? Kenapa kau pengsan? Kau tak sihat?” Bertubi-tubi soalan ditanyakan Ayuni, seolah-olah dia wartawan yang bersiap-sedia untuk melaporkan berita.


Zalia mengimbas kembali kejadian yang membuatnya pengsan. Ah, dia….



Siapakah makhluk misteri berkaca mata hitam itu? Mengapa dia mampu membuatkan Zalia terkejut? Nantikan sambungannya...


No comments:

Post a Comment