Wednesday, 1 June 2011

Cerpen: Masihkah Ada Ruang

Cerpen ini cuma sekadar mengisi kelapangan...


Hari itu merupakan hari pertama si anak kecil kembali lagi ke taska sebagai seorang kanak-kanak yang berusia enam tahun. Anak kecil itu lebih senang dipanggil Rina oleh rakan-rakannya. Dia seorang yang pendiam dan tidak pintar mencari rakan. Tatkala tiba di hadapan pagar taska, suatu perasaan hebat bergelodak di dadanya.


“Mum, Rina tak nak pergi taska. Rina tak ada kawan..” Rina merengek meminta belas kasihan, namun ibunya menghantar juga Rina serta adiknya yang baru berusia empat tahun ke taska. Rina memimpin tangan adiknya, dan mereka bersama masuk ke dalam. Seorang cikgu berwajah cerah menyambut mereka dengan senyuman termanis yang dimilikinya. Sekiranya ada kanak-kanak yang datang awal ke taska, mereka dibenarkan bermain di hadapan taska. Terdapat gelongsor mini dan beberapa peralatan permainan lain yang disediakan oleh guru taska sebagai fasiliti dan kesenangan untuk kanak-kanak yang datang belajar di situ.


Namun, pada awal pagi, tatkala kanak-kanak yang lain bermain bersama dengan gembira, Rina membiarkan adik kecilnya di dalam taska bersama kanak-kanak yang lain, dan dia sendiri cuba membawa diri ke sebuah tempat yang asing baginya. Taska Kenari.


Hari demi hari berlalu, dan Rina terus sendiri. Dan pada suatu pagi seperti biasa, Rina dihantar awal ke taska. Rina membawa adik kecilnya ke dalam tetapi dia duduk di buai yang disediakan, sendiri. Rina menghayun buaian perlahan dengan kaki kecil yang dimilikinya. Tiba-tiba, ada tangan comel yang ikut serta menghayun buaian itu. Rina menoleh mencari empunya tangan yang membuaikannya itu. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berwajah cerah sedang tersenyum manis padanya. Rina yang tidak pernah tahu untuk berkawan itu cuma mendiam.


“Saya Amar. Awak?” Kanak-kanak itu mengambil posisi di sebelah Rina tanpa diundang.


“Rina.” Anak kecil itu cuba menyesuaikan diri bersahabat. Ya, bila lagi dia mahu mencari sahabat kalau bukan sekarang?


“Boleh kita jadi kawan?” Dan sekali lagi senyuman itu hinggap di pandangannya.


“Boleh!” Suara comel Rina kedengaran di telinga Amar. Maka, semenjak hari itu, bermulalah sebuah episod persahabatan antara dua kanak-kanak yang baru mahu belajar erti kehidupan. Rina dan Amar sering berkongsi cerita. Daripada sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal semuanya diceritakan. Rina banyak belajar cara-cara menjalinkan persahabatan melalui Amar.


Selepas itu, Rina berkawan dengan Aida Asyiqin, seorang kanak-kanak comel yang pintar, sering menjadi saingannya dalam pelajaran. Rina tersenyum sendiri. Ya, dia akui, dia bahagia dengan persahabatannya.


***


“Kenapa awak tak makan?”Amar mengunyah karipap di tangannya.


“Saya tak makan karipap,” ujar Rina sambil memerhatikan kanak-kanak lain yang sedang berebut karipap di dalam sebuah bekas yang telah disediakan oleh gurunya.


“Kenapa? Karipap kan sedap?”


Rina menjungkit kedua-dua belah bahunya. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak menggemari kuih yang menjadi kegemaran ramai itu.


“Kalau macam tu saya makan awak punya karipap ya?”


“Boleh!”


Amar mengambil satu lagi karipap daripada bekas yang disediakan lantas memakannya. Rina tersenyum melihat sahabatnya itu bahagia. Kalau awak bahagia, saya pun bahagia…


Rina kemudiannya mengambil posisi duduk di buaian kegemarannya. Dia melihat kanak-kanak lain mempunyai ramai sahabat, berkejar-kejaran, dan tiba-tiba anak kecil itu berasa sunyi. Amar menghampiri dan duduk di sebelahnya.


“Kenapa ni?”


Rina menggeleng sambil terus memerhatikan kanak-kanak di hadapannya yang bergembira.


“Awak kan ada saya?” Dan senyuman itu masih terlakar buatnya. Rina juga ikut tersenyum. Dia tidak pernah menyesal mempunyai sahabat sebaik itu. Terima kasih awak…


Dan akhirnya, tibalah hari terakhir Rina dan sahabatnya yang berusia enam tahun di taska. Selepas itu, mereka akan menjalani kehidupan baru di tahap yang lebih tinggi iaitu sekolah rendah. Tahap yang sedikit mencabar bagi kanak-kanak yang seusia dengan mereka.


Kanak-kanak yang berusia enam tahun dibawa ke studio fotografi untuk merakam foto kenang-kenangan, memandangkan mereka mungkin tidak akan berjumpa lagi selepas itu. Suatu kebarangkalian yang sangat Rina takuti. Dia tidak mahu berpisah dengan Amar. Selesai sesi fotografi, mereka dibawa pulang ke taska untuk acara penyampaian hadiah. Hari terakhir itu memang hari yang menggembirakan semuanya, hinggalah pada saat perpisahan.


Rina bersalaman dengan para gurunya yang setia mendidik kanak-kanak di taska itu meskipun ada yang bersikap nakal dan sebagainya. Terima kasih cikgu… Kemudian anak kecil itu mencari kelibat sahabatnya. Amar, awak di mana? Melihatkan ramai yang telah pulang, Rina hamper menangis teresak-esak kerana tidak dapat berjumpa dengan Amar buat terakhir kalinya. Matanya mula berkaca.


“Awak…” Rina berpaling. “Awak menangis?”


Rina menyeka air matanya. Amar tersenyum mesra, tetapi Rina tidak mengetahui bahawa itu adalah senyuman terakhir yang mungkin dilihatnya.


“Awak, nanti kita jumpa lagi ya?” Rina mengharapkan balasan positif daripada Amar, tetapi belum sempat pertanyaan itu dijawab, nama Amar dipanggil sayup-sayup dari kejauhan.


“Eh, kakak saya dah datang. Saya balik dulu. Selamat tinggal.” Amar melambaikan tangannya. Rina turut melakukan hal yang sama. Pandangan matanya setia mengekori jejak langkah Amar sehinggalah anak kecil itu masuk ke dalam kereta. Awak, nanti kita jumpa lagi ya…


***


~ Dan bila esok kita kan bertemu kembali
Masihkah ada ruang di dalam hatiku
Untuk cinta yang pernah kita miliki
Untuk selama-lamanya ~


Rina segera mendapatkan telefon bimbit miliknya. Nombor tidak dikenali. Hendak jawab atau tidak? Bagaimana jika panggilan penting? Rina segera menekan punat hijau dan menjawabnya.


“Assalamualaikum,” satu suara kedengaran di hujung talian.


“Waalaikumussalam warahmatullah. Siapa ni?”


“Rina ya?”


“Ya, siapa ni?”


“Saya senior awak, tingkatan lima, kenal tak?”


“Err.. tak.” Rina menekan punat merah pada telefon bimbitnya. Dia mencampakkan alat perhubungan canggih itu di atas katil dan mengeluh kecil. Sesekali gadis berusia lima belas tahun itu beristighfar panjang. Apa lagi cubaan-Mu kali ini, ya Allah?


***


“Lagi sekali?!” Ija terkejut kecil mendengar cerita sahabatnya itu. Rina menghela nafas pendek.


“Aku tak tahulah Ija. Banyak cubaan yang Allah turunkan pada aku untuk menguji kekuatan iman aku. Dugaan hebat bagi seorang perempuan adalah lelaki dan begitulah sebaliknya. Aku takut, aku tak akan dapat bertahan di jalan yang lurus.”


“Tapi aku sebenarnya tabiklah dengan kau Rina,” Ija buat gaya tabik.


“Kenapa pula?”


“Ya lah. Banyak lelaki yang telah hadir tanpa diundang dalam hidup kau, tetapi alhamdulillah kau masih belum tewas setakat ini,” Ija mengusap lembut bahu Rina.


“Ah, aku tak percaya!” satu suara tiba-tiba muncul dari sisi.


“Apa yang kau tak percaya ni Asyiqin?” Ija menyoal kehairanan.


“Ya lah, dalam hidup seseorang tu, mesti akan ada juga orang yang dia minati. Dan aku tak percaya kalau Rina ni tak ada menaruh perasaan pada sesiapa,” Asyiqin bersuara jujur menyatakan apa yang tersimpan di hatinya. “Lainlah kalau dia ni lesbian…” Terhambur ketawa daripada rakan-rakan lain yang mendengar. Rina menunduk kecewa. Kecewa perasaannya dipersoalkan.


Setelah tiba di rumah, Rina mendapatkan adiknya yang sedang mengulang kaji pelajaran.


“Kak Rina dah balik?”


Rina sekadar mengangguk. Adiknya sedang membelek-belek kerja kursus sejarah tingkatan satu miliknya sebagai rujukan untuk tugasannya pula. Tiba-tiba, dia menunjukkan Rina sekeping foto yang diletakkan di bahagian lampiran kerja kursus tersebut. Rina terkesima. Memori lama bertandang kembali. Namun dibiarkan dahulu adiknya menyelesaikan tugasan itu.
Tatkala dia bersendirian di kamar, Rina membelek foto tersebut. Dia tersenyum sendirian. Kenangan bersama teman-teman taska yang sukar dilupakan, terutamanya bersama Amar. Sahabat yang telah mengajarnya erti sebuah persahabatan. Sedar tidak sedar, sudah hampir sepuluh tahun lamanya mereka berpisah dan tak pernah berhubungan lagi.


Oh, adakah dia bahagia di tempatnya sekarang? Adakah dia masih mengingati diriku ini?


“Awak kan ada saya?” Kata-kata itu terus menghantui diri Rina. Dan seketika, gadis itu terduduk lemah. Salahkah dia mengharapkan pada suatu ketidakpastian? Dia rindukan Amar. Dan pastinya, mungkin lelaki itu penyebab pintu hatinya masih belum terbuka untuk sesiapa. Apa yang pasti, hanya takdir yang boleh pertemukan mereka…


- TAMAT -


No comments:

Post a Comment