Wednesday, 29 June 2011

Dingin Cerita Luka-3

"Assalamualaikum, Kak Qirah. Seorang sajakah?"tegur Amira semasa terserempak dengan Saqirah yang sedang duduk-duduk di tepi padang berseorangan. Kesempatan itu ingin digunakan oleh Amira untuk mendekati Saqirah. Hatinya benar-benar ingin mengenali Saqirah. Dia mahu membuktikan, Saqirah bukan seperti yang dikata orang.

Saqirah sekadar mengangguk. Wajahnya kekal tidak beriak. Matanya menuruti gerak tubuh Amira ketika gadis itu duduk di sebelahnya. Dia ingat, gadis ini yang diselamatkannya tempoh hari. Seketika Saqirah mengerling sedikit ke tangan Amira, mahu tahu gadis itu sudah sembuh atau belum.

"Waalaikumussalam,"Saqirah menjawab salam biarpun sedikit lambat. Lama sudah tiada yang memberi salam mendoakan kesejahteraannya. Tiada sesiapa ... melainkan Atif. Tetapi Atif juga sudah tiada dalam hidupnya. Dia tidak peduli lagi. Hidupnya biar tidak mengganggu orang, asal tidak diganggu perhatian palsu.

"Kak, Mira selalu nampak Kak Qirah duduk seorang diri. Tidak sunyikah menyendiri?"tanya Amira tanpa berselindung. Mungkin juga silap langkahnya itu kerana pada hakikatnya dia belum pun pernah berbual dengan Saqirah sebelum ini.

"Perlukah rasa begitu? Saya cuma tidak suka mengganggu dan diganggu."

Dengan kata-kata itu, Amira ditinggalkan terpinga-pinga. Saqirah sudah bangun dan melangkah pergi. Amira terpaku di tempatnya duduk saat itu. Dia cuma mampu memerhati langkah Saqirah yang menjauh. Kenapa perlu begitu, kakak?

Lantas dia bangun dan berlari menyaingi langkah Saqirah. Persoalan yang bermain di benaknya perlu dilunaskan. Dia yakin, kehidupan perlu seperti yang dibayangkan Saqirah. Hidup manusia itu fitrahnya saling memerlukan. Maka perlukah sampai menyendiri begitu sekali?

"Kak Qirah, kenapa cakap begitu? Kak takkan boleh hidup sendiri. Mesti ada insan lain dalam hidup kak, selagi kak bernama manusia. Mengasihi sesama insan itu fitrah,"kata-kata itu membuatkan langkah Saqirah terhenti. Kemudian dia berpaling menghadap Amira.

"Kalau begitu, anggaplah kak bukan bernama manusia."

Dan Saqirah terus menjauh. Amira juga tidak lagi mengejar. Dia mengetap bibir. Mendekati Saqirah bukan semudah yang dijangka. Sangkanya Saqirah cuma seorang yang berwajah dingin juga pendiam, tetapi ternyata lebih daripada itu. Gadis itu ... antisosial?

*********

Natasya menangis sendirian. Gadis itu kecewa, terlalu kecewa. Perkhabaran bahawa ibu bapanya telah berpisah merentap separuh nyawanya. Mengapa perlu semuanya berlaku ketika dia tiada di rumah? Kenapa berpisah ketika dia tidak dapat pulang mendamaikan?

Kesedihannya membutakan sukma. Langkahnya longlai. Jalan yang ada dilintasinya tanpa melihat kiri dan kanan. Dia dengar bunyi kenderaan yang menghampiri. Tidak pula dia mengelak. Jika itu penamat riwayatnya, maka biarlah. Dia pun tidak merasakan hidupnya punya erti lagi.

Brappp! Tubuh Natasya terseret. Tetapi sakitnya tidak seberapa, cuma pedih-pedih sahaja. Tubuhnya terasa dipeluk. Matanya dicelikkan. Nyata dia ditarik ke tepi oleh seseorang. Siapa?

Saqirah.

Saqirah, senior PLKN yang tidak pernah tersenyum atau menangis. Gadis dingin itu ternyata punya kemanusiaan. Air mata Natasya terus mengalir. Ada lagi rupanya yang hendak melihatnya hidup. Setelah kedua-duanya mampu duduk di tepi jalan, Saqirah mengisyaratkan kepada pemandu kenderaan itu untuk meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan mereka berdua.

"Adik, kalau nak mati bukan di sini. Bertaubatlah, kemudian ikut misi penyelamat di Palestin. Ada rezeki dapatlah syahid. Selagi ada yang sayang, jangan buang kesempatan hidup. Mati itu pasti. Hidup belum tentu sampai bila. Sekali tamatkan nyawa sendiri, seksa akhirat yang nanti abadi,"tutur Saqirah dengan suara tanpa nada. Kemudian dia pergi tanpa menoleh.

Natasya tidak pula bersuara. Air matanya mengalir terus-menerus. Kata-kata Saqirah meresap ke dalam sanubarinya. Allah ... ampunkan aku. Hampir kucampak diri sendiri ke dalam neraka-Mu yang azab.

Saqirah berjalan pulang ke asrama. Amira menjengah dalam mindanya. Belum pernah ada yang berani menghampirinya sebegitu dekat. Dan kata-kata gadis itu ... ah! Biarkan! Mereka tidak perlu masuk ke dalam kamar hidupku.

No comments:

Post a Comment