Haidar tersandar pada dinding, seolah-olah dia sudah
mengalah dengan semua yang terjadi. Sudah dua minggu dia mendaftarkan diri di
sekolah itu namun segala peristiwa yang berlaku seolah-olah mengatakan bahawa
keputusannya untuk berpindah itu merupakan satu kesalahan. Sudah dua minggu dia
tidak mempunyai kawan. Rakan-rakan sekelasnya langsung tidak mahu menegurnya
hanya kerana gelarannya sebagai anak seorang bekas ahli politik ternama yang
ditangkap kerana menerima rasuah. Haidar melepaskan keluhan nafas yang berat
dan memandang langit biru.
“Kau buat apa di sini?” satu soalan menerpa dari entah mana.
Haidar mencari punca suara itu. Di sisinya kelihatan seorang lelaki yang tinggi
dan berambut sedikit kerinting. Tidak kelihatan sebarang reaksi pada wajahnya.
Haidar seperti mahu menjerit tatkala persoalan itu ditujukan buatnya.
“Saja lepak. Awak buat apa di sini?” soalnya kembali cuba berlagak
mesra. Lelaki itu memerhatikan wajah Haidar agak lama sebelum menjawab
persoalannya.
“Lepak juga. Macam biasa. Aku tak pernah tengok muka kau di
sini sebelum ni. Kau junior ya?” soalnya ingin tahu. Aneh. Belum pernah dia
menjumpai pelajar yang mempunyai kulit putih persis mat saleh tetapi pandai
berbahasa Melayu. Mungkin dia terlepas pandang sebelum ini.
Haidar menggeleng. Dia bukannya junior. Tahun ini merupakan
tahun akhir persekolahannya tetapi dia tidak sanggup untuk meneruskan pengajian
di sekolah lama kerana ejekan rakan-rakan. Haidar tidak pula menyangka bahawa
situasi di sini tidak jauh berbeza dengan situasi dulu.
“Saya Haidar, baru berpindah ke sini. Pelajar tingkatan
lima,” katanya mesra. Sejurus mendengar sahaja namanya, wajah lelaki itu
bertambah kerut. Haidar? Nama itu telah banyak disebut-sebutkan sebelum ini.
Kedatangan Haidar ke sini cuma membawa masalah. Guru-guru pun ada yang tidak
menyukai Haidar kerana pengaruh ayahnya yang begitu kuat. Tanpa berkata
apa-apa, lelaki tinggi itu segera meninggalkan Haidar bersendirian. Dia tidak
mahu dilihat berbual-bual dengan anak banduan itu.
Hasrat berkawan yang tadinya tinggi menggunung, kini hancur
musnah dalam hati Haidar. Dia sudah tidak mampu lagi menyimpan harapan.
Baginya, harapan itu tidak akan wujud lagi dalam diri orang yang kurang
bernasib baik sepertinya. “Huh, sendiri lagi...”
***
“Baiklah kelas, keluarkan buku teks Biologi. Buka bab
‘Locomotion and Support’,” Puan Hajah Uyun memberikan arahan. Haidar cuba
mengingat sesuatu. Dia masih belum menerima pinjaman buku teks daripada pihak
sekolah. Haidar teragak-agak untuk mengangkat tangan namun dia cuba
menggagahkan dirinya.
“Ya, Haidar?” Mata Puan Hajah Uyun bertentangan dengan
sepasang mata berwarna coklat milik Haidar.
“Saya... saya masih belum terima buku teks, cikgu.”
“Farouq, kongsi dengan Haidar,” arah Puan Hajah Uyun. Farouq
sudah membulatkan mata. Berkongsi buku dengan Haidar? Itu merupakan satu mimpi ngeri
yang perit. Hendakkan duduk di sebelah budak baru itu pun sudah janggal, inikan
pula berkongsi satu buku teks. Haidar tersenyum kerana masalahnya sudah
selesai. Namun, Farouq sekadar membatukan diri, berpura-pura tidak mendengar
arahan daripada Puan Hajah Uyun.
Buku teks yang berada
di hadapannya tidak ditolak walaupun sedikit, kekal dengan posisinya. Haidar
buntu dan tidak tahu mahu berbuat apa melainkan sekadar mendengar keterangan daripada
guru di hadapan.
Empat puluh minit yang menyeksakan Haidar akhirnya tamat.
Dia segera keluar dari kelas. Meskipun ramai pelajar yang berpusu-pusu keluar
kerana ingin segera pulang, tidak ada seorang pun yang menegurnya. Haidar
terasa sangat asing. Seolah-olah setiap pasang mata yang memandangnya sedang
melihat dirinya dengan penuh kebencian. Haidar menundukkan pandangan, pasrah
dengan segala yang terjadi.
Dup!! Tubuh Haidar terasa dihentam sesuatu mengakibatkannya
melayang sedikit sehingga dia tidak mampu mengawal dirinya lalu terjatuh ke
atas tanah. Secara refleks, dia terus mencari punca objek yang melanggarnya
itu. Pandangan matanya menangkap figura seorang perempuan yang berkulit putih
dan mengikat tocang kuda. Wajahnya kelihatan ‘innocent’.
“Maafkan saya...” pelajar itu menyatakan rasa kekesalan dan
segera membantu mengangkat buku yang terlepas daripada genggaman Haidar. Judul
buku itu diamati agak lama dan dia tersenyum sendiri. “Awak baca karya buku tulisan Morrison? Saya
ingatkan saya seorang saja yang baca...” belum sempat kata-katanya dihabiskan,
Haidar merampas buku itu daripada pegangannya dan terus meninggalkannya tanpa
sebarang bicara.
Haidar sudah dapat mengagak, sekiranya dia memberitahu
sahaja identitinya yang sebenar, pasti pelajar perempuan itu akan terus
menghindarkan diri daripadanya. Lebih baik dia yang berundur dahulu.
“Tunggu! Kenapa awak lari?” gadis itu masih tidak berputus
harap. Aneh. Dia berlari-lari anak mengejar Haidar. Haidar akhirnya akur dan
berhenti.
“Saya Haidar, anak bekas ahli politik yang sekarang ini
menjadi banduan. Sayalah orang yang menjadi bualan satu sekolah. Berhenti
bercakap dengan saya kalau awak tak nak dipandang serong oleh orang lain,”
Haikal melepaskan keluhan yang terpendam. Matanya terpejam berat. Hatinya
terseksa. Dunia ini seolah-olah tidak memberi ruang kepadanya untuk menjalani
kehidupan yang normal. Dia separuh terduduk. Kekuatannya sudah pudar.
“Hurmm, saya Suzanne,” pelajar yang bernama Suzanne itu masih
statik pada posisinya. Haidar mendongakkan kepalanya, memandang perempuan
berbangsa Cina itu. Suzanne tersenyum. “Jadi kenapa? Salahkah kalau kita
berkawan?”
Haidar bagai diserang satu getaran. Benarkah apa yang baru
didengarinya sebentar tadi? Pelajar perempuan yang baru ditemuinya itu hendak
berkawan dengannya. Haidar terkesima campur tidak percaya. Adakah ini satu
sinar harapan yang baru atau sekadar angan kosong? Dia sudah tidak sanggup
untuk dikecewakan lagi.
“Boleh saya cakap sesuatu dengan awak?” Suzanne masih
mencuba. Haidar dan Suzanne sama-sama bergerak ke arah tempat letak basikal di
belakang salah satu bangunan di sekolah itu. Mata-mata yang memerhati memandang
mereka aneh bercampur rasa tidak percaya. Ternyata ada orang juga yang sudi
berjalan dengan anak banduan?
“Erm, Suzanne? Maafkan saya tentang kejadian tadi,” Haidar
tunduk kesal. Tidak sepatutnya dia melayan Suzanne sedemikian.
“Tidak mengapa. Haidar. Tak bermakna ayah awak banduan, awak
pun sama seperti dia. Saya tahu macam mana budak-budak di sekolah ini layan
awak. Saya dengar banyak cerita tentang awak. Tak sangka hari ini saya dapat
jumpa juga awak,” lancar pelajar Cina itu bertutur dalam bahasa Melayu.
“Te... terima kasih.”
“Saya pun pernah alami perkara yang lebih kurang sama macam
awak. Sebab tu saya faham perasaan awak,” sambungnya lagi.
“Tetapi awak tak kenal saya. Bahkan, kita baru pertama kali
berjumpa. Gaya awak cakap seolah-olah awak dah lama kenal dan faham tentang
saya.”
“Entahlah. Saya memang baru kenal awak. Tapi saya dapat
firasat yang awak ni seorang yang baik. Cuma kebaikan yang ada dalam diri awak
itu terselindung di sebalik kegelapan yang ditutup oleh ayah awak.”
“Awak jangan cakap macam tu. Walau bagaimanapun, dia tetap
ayah saya,” Haidar membawa basikalnya perlahan-lahan keluar dari tempat letak basikal.
“Awak balik naik apa?”
“Jalan kaki. Rumah saya tak jauh dari sekolah ni. Lima minit
dah sampai,” jelas Suzanne. Suzanne berjalan pergi meninggalkan Haidar dan
basikalnya di belakang setelah meminta diri untuk pulang. Haidar memerhatikan
pemergian gadis Cina itu. Pertemuan dan perbualannya dengan Suzanne pada hari
itu dirasakan aneh. Seolah-olah sesuatu yang telah hilang dari dalam dirinya
sedang cuba untuk menerobos masuk kembali. Haidar memandang langit biru, cuba
meleraikan kekusutan yang menari-nari di benaknya.
***
Semenjak Haidar dan Suzanne berkawan, Haidar dapat merasakan
satu kelainan. Beberapa pelajar yang lain juga cuba untuk berbual dengan
dirinya. Bunga harapan sudah kembali berputik di dalam hatinya. Farouq, rakan
sekelasnya juga mulai bercakap-cakap dengannya. Meskipun sedikit, lebih baik
daripada tiada langsung. Kebetulan Suzanne turut mengambil subjek English and
Science in Technology (EST) iaitu subjek tambahan untuk peperiksaan SPM, jadi
mereka dapat belajar bersama dalam kelas tersebut.
“Kau nampak lain hari ni,” kata Farouq ketika mereka sedang
sama-sama duduk di dalam kelas. Meskipun percakapan itu perlahan tetapi masih
dapat ditangkap oleh telinga Haidar.
“Lain? Lain macam mana?”
“Kau nampak gembira. Tak macam selalu. Selalu muka masam
mencuka 24 jam.”
Haidar tersengih. Memang. Pada saat itu dia sudah mampu
tersenyum kerana dia menyimpan harapan untuk bersahabat dengan rakan-rakan
sekelasnya. Dia sangat menghargai Suzanne kerana memberikannya sinar harapan
yang hilang itu.
“Dah kenapa tersengih ni, Haidar?” Abdul Ghani tiba-tiba
muncul kerana bosan duduk di tempatnya. Abdul Ghani ialah seorang lagi rakan
baru Haidar. Selepas Farouq mula memberanikan diri berbual-bual dengan Haidar,
Abdul Ghanilah orang seterusnya yang menegurnya. Malah, Abdul Ghani memohon
maaf atas sikap dinginnya terhadap Haidar sebelum ini.
“Saya gembira kerana kamu berdua boleh berbual-bual dengan
saya,” Haidar berterus-terang. Hatinya memang melonjak gembira yang tiada kepalang.
“Iya lah. Memang salah saya dulu. Tapi saya ingat pesan ayah
saya, seseorang itu dinilai bukan berdasarkan harta, pangkat, rupa atau latar
belakang keluarganya. Seseorang itu dinilai berdasarkan akhlak yang tersemat di
dalam dirinya. Jadi, saya tidak boleh menghukum awak kerana siapa keluarga
awak,” Abdul Ghani menerangkan sambil membetulkan songkok yang senget di
kepalanya.
“Akhlak?”
“Ya, akhlak. Tabiat dan kebiasaan seseorang. Apa yang sebati
dalam diri seseorang itu,” jelas Abdul Ghani lagi. Kali ini, Haidar jadi lebih
faham. Akhlak. Mungkin akhlaklah yang mempertemukan dia dengan rakan-rakannya.
Hari bertukar hari dan minggu silih berganti. Haidar melihat
satu perubahan yang terjadi dalam hidupnya secara perlahan-lahan. Orang ramai
mula menerimanya hanya kerana dia berkawan dengan Suzanne, seorang pelajar
cantik yang baik hati. Haidar cuba menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan
secara normal. Namun, bukan semua orang boleh menerima persahabatannya dengan
Suzanne.
Wilson merupakan seorang pelajar yang agak berpengaruh di
sekolah itu kerana ayahnya ialah Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut. Dia juga
memegang jawatan presiden dalam beberapa kelab di sekolah. Haidar pernah
terfikir, sekiranya dia berkawan dengan Wilson, sudah pastilah satu sekolah
akan mampu menerima kehadirannya sepenuhnya dan kes ayahnya pasti akan terhapus
daripada ingatan seseorang. Namun untuk mencapai matlamat yang satu itu
bukannya tujuan yang senang. Wilson bukannya calang-calang orang. Haidar cuma
mampu memerhatikan Wilson dan rakan-rakannya bermain bola sepak di padang.
Adakah salah untuk dia mempunyai harapan untuk turut bermain sama dengan
mereka?
“Haidar, kau nak balik dengan aku sekali tak? Aku boleh
temankan kau sampai rumah macam biasa,” ajak Farouq membunuh lamunan Haidar.
Haidar tersenyum.
“Boleh saya ikut sekali kalau tak keberatan?” Suzanne
tiba-tiba muncul entah dari mana. Farouq sekadar membatukan diri tanpa sebarang
reaksi. Biarlah Haidar yang menjawab pertanyaan itu.
Haidar mengangguk. “Sudah tentulah. Suzanne, Farouq, kita
balik sama-sama ya?” Maka mereka bertiga berjalan menuju ke tempat letak
basikal. Farouq dan Haidar mencapai basikal mereka masing-masing namun tidak
ditunggang sebaliknya mereka berjalan sambil menarik basikal untuk menemani
Suzanne. Belum sempat keluar dari pagar sekolah, Wilson memanggil nama Haidar.
Haidar terkesima dan secara refleks terus berpusing belakang mencari wajah
pemilik suara itu.
Jantung Haidar mula berdegup laju. Dia tidak menyangka
harapannya yang sudah lama dipendam dapat dicapai sepantas itu. Haidar sudah boleh
membayangkan Wilson mengajaknya untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah.
“Ya, Wilson. Awak nak ajak saya masuk pasukan bola sepak
ya?” entah bagaimana persoalan itu terpacul dari mulutnya tanpa segan-silu.
Wilson memandang Haidar dari atas sehingga ke bawah bagaikan
seekor harimau yang sedang menunggu untuk membaham mangsanya. Kening kirinya
diangkat. Jadi budak baru ini berminat untuk menyertai pasukan bola sepak?
Jangan haraplah.
“Oh, kau nak masuk pasukan bola sepak? Sebelum itu, aku nak
tahu apa hubungan kau dengan Suzanne?” Wilson menyoal Haidar penuh bengis.
“Hubungan saya dengan Suzanne?” Haidar menjadi aneh. Apa
kena-mengena Suzanne dengan pasukan bola sepak. Haidar ligat merangka jawapan
dalam otaknya. Dia harus pintar berkata-kata untuk menjaga hati Wilson.
Farouq membisikkan sesuatu ke dalam telinga rakannya itu.
“Haidar, Wilson ni minat Suzanne dari tingkatan dua lagi. Kau jangan
macam-macam pula. Kalau dia tahu kau berkawan baik dengan Suzanne, nahas kau
nanti.” Haidar sudah mendapat jawapannya. Suzanne masih memerhati dari sisi.
“Suzanne? Oh... tak ada apa-apalah. Kami cuma satu kelas
EST, itu saja,” Haidar tersenyum tanpa mengetahui bahawa kata-katanya itu agak
mengecewakan hati Suzanne. Bukankah mereka berkawan baik sebelum ini? Mengapa
cuma dikatakan rakan sekelas sahaja?
“Habis tu kenapa balik sekali?” Wilson masih menguji. Sudah
banyak khabar angin yang didengarinya sebelum ini dan dia tidak akan berpuas
hati sebelum mendengar sendiri pengakuan daripada mulut pelajar baru itu.
“Oh. Tak adalah. Kebetulan terjumpa. Jom Farouq, kita balik
dulu,” Haidar tersenyum sambil menunggang basikalnya. Farouq tidak mampu untuk
berkata apa-apa melainkan mengikuti Haidar dari belakang. Kedua-dua sahabat itu
akhirnya menghilang dari pandangan, meninggalkan Suzanne dan Wilson di
belakang.
Sungguh tidak percaya. Suzanne tidak percaya dengan apa yang
baru terjadi sebentar tadi. Baru sahaja mereka berjanji untuk pulang
bersama-sama tetapi Haidar akhirnya meninggalkan Suzanne hanya kerana takut
akan hilang kepercayaan daripada Wilson.
“Jadi Suzanne, awak dah fikirkan tentang ajakan saya untuk
keluar sama-sama hujung minggu ni. Saya boleh jemput awak di rumah?” soal
Wilson sedikit lega apabila mengetahui gadis idamannya itu masih solo. Wilson perlahan-lahan
meletakkan tangannya di atas bahu Suzanne tetapi ditepisnya lembut. Lelaki itu
masih tidak mahu mengalah, lalu dia cuba menggenggam tangan Suzanne, kuat.
“Apa ni Wilson? Stop it!” Suzanne cuba meleraikan pegangan
itu namun tidak berjaya.
“I will stop if you agree to be my date,” Wilson tersengih.
Apa yang dia mahu, pasti dan harus menjadi miliknya tanpa sebarang halangan dan
tentangan. Suzanne menjadi resah. Mahu dipanggil Haidar, lelaki itu sudah lama
menghilang. Akhirnya, dia tewas pada keadaan. Suzanne terpaksa menerima
pelawaan Wilson.
Sementara itu, Haidar sedang dalam perjalanan pulang tanpa
sebarang perasaan bersalah. Malah, dia gembira kerana Wilson mengetahui namanya
dan sudi mencemar duli untuk menegurnya. Farouq tidak senang dengan perbuatan
Haidar itu.
“Haidar, kenapa kau buat macam tu? Kesian aku tengok si
Suzanne tu. Bukan kita dah janji nak balik sekali?” Farouq mengerutkan dahinya,
cuba menyelongkar apa yang sebenarnya sedang bermain di minda anak muda itu.
“Biarlah. Rumah Suzanne dekat saja, tak sampai lima minit
pun. Saya yakin dia tak kisah. Apa yang penting sekarang, kalau saya diterima
masuk ke dalam pasukan bola sepak sekolah, pasti semua orang tak akan memandang
serong terhadap saya lagi. Betul tak?” Haidar ketawa. Dia pasti, Tuhan sudah
menjanjikan masa depan yang baik untuknya di sebalik penderitaannya selama ini.
***
“Farouq, balik sekali jom,” Haidar mencuba nasib. Semenjak
akhir-akhir ini, hubungannya dengan Farouq semakin renggang. Farouq sudah
kembali dingin seperti kali pertama mereka bertemu dahulu. Haidar sudah semakin
gelisah. Dia sudah cuba untuk meminta maaf kepada Farouq namun tiada balasan.
Suzanne pun sudah jarang menemuinya. Harapan Haidar untuk
mendekati Wilson sudah dicampak jauh-jauh kerana Wilson langsung tidak mahu
memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan bakat. Benih-benih penyesalan mulai
tumbuh dalam diri Haidar. Dia tidak seharusnya menyakiti hati rakan-rakannya
hanya kerana ingin mendapatkan sesuatu yang dihajati. Haidar takut. Dia takut
sesuatu yang telah hilang dalam dirinya itu akan bertandang kembali.
Kekosongan.
Farouq di hadapannya langsung tidak memberikan sebarang
respons. Haidar mengulangi ajakannya namun Farouq terus bangkit dan berlalu
dari situ. Jiwa Haidar terasa disentap. Kini, dia benar-benar yakin bahawa dia
sedang mengalami kehilangan. Haidar bergerak meninggalkan kelas yang sudah kosong
itu.
Pelajar lalu-lalang ke pelbagai arah untuk pulang. Ada yang
pulang melalui pintu pagar utama dan ada yang pulang melalui pintu pagar
belakang. Haidar mencapai basikalnya dan menuntun perlahan-lahan mengiringi
kesedihan hatinya. Secara kebetulan, dia ternampak figura Suzanne yang sedang
berjalan di hadapannya. Haidar melajukan langkahya untuk mengejar Suzanne.
|
Foto carian Google |
“Suzanne!” serunya penuh harapan. Suzanne berpura-pura tidak
mendengar namanya dipanggil. Sejujurnya, dia masih sakit hati dengan segala perbuatan
Haidar. Bukan sahaja tidak mengaku dirinya sebagai kawan, malah Haidar telah
membuatkan dia terikat dengan Wilson. Adakah Haidar telah lupa bahawa dialah
yang menjadi kawan karibnya dan sudi untuk mendengar segala luahan hati Haidar
selama ini?
“Suzanne, saya minta maaf. Saya yang salah. Tolong maafkan
saya,” Haidar menghalang laluan Suzanne dengan basikalnya. Dia sudah
benar-benar menyesal dan dia mengharapkan setitis ihsan daripada Suzanne untuk
memaafkannya dan memberikannya peluang kedua. “Suzanne, tolong maafkan saya.”
“Haidar, awak pernah dengar tak pepatah Melayu, terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya? Saya rasa, awak lagi faham,”
dingin Suzanne membalas.
“Ya, saya faham Suzanne dan saya minta maaf. Saya dah pun
rasakan akibatnya sekarang. Farouq sudah semakin dingin dengan saya dan awak
selalu mengelak untuk berjumpa dengan saya. Sekarang saya faham, kawan susah
dan senang lebih baik daripada kawan yang hanya digunakan untuk kesenangan.
Wilson is nobody.”
“Haidar, saya maafkan awak. Tapi...” Haidar mengangkat
kening sebelah tanda tertanya-tanya.
Suzanne kembali menyambung bicaranya. “Saya seolah-olah
sudah terikat dengan Wilson. Dia sudah isytiharkan kepada semua bahawa saya ini
kekasihnya. Gila apa dia tu. Saya ke sekolah untuk belajar, bukannya untuk
bercinta!” Suzanne menegaskan. Haidar terkejut mendengar Wilson sanggup
melakukan perkara seperti itu. Mungkin Wilson sudah sangat terdesak untuk
mendapatkan Suzanne.
“Maafkan saya sekali lagi, Suzanne. Saya tak akan biarkan
awak terseksa dengan Wilson. Sebagai seorang kawan, saya pasti akan bantu awak,”
Haidar menggenggam penumbuknya penuh amarah yang memberontak. Dia tidak akan
membiarkan rakan-rakan baiknya disakiti lagi.
Tanpa diduga, Haidar terdengar namanya dipanggil dari
belakang. Pucuk dicita ulam mendatang. Wilson sudah berada lama di situ, sejak
tadi memerhatikan Suzanne dan Haidar. Hatinya membara ibarat arang yang
dibakar. Boleh pula si Suzanne itu berdua-duaan dengan anak banduan tidak sedar
diri itu!
Matahari sudah cacak berdiri di atas kepala. Kepanasannya
menghangatkan lagi hati dua pelajar lelaki yang sedang bertentangan mata itu.
Masing-masing menyimpan perasaan geram sesama mereka. Suzanne sudah gelabah
tidak tahu mahu berbuat apa. Mungkin dia patut membiarkan sahaja orang lelaki
yang menyelesaikan urusan mereka.
“What are you doing with my girlfriend?” Wilson menyimbah
minyak ke dalam api. Kali ini, Haidar sudah tidak peduli lagi. Dia sudah tidak
peduli tentang Wilson dan kelab bola sepaknya. Dia sudah tidak peduli dengan
mata-mata yang memandang. Dia tidak mahu menjadi manusia yang cuma tahu tunduk
pada keadaan.
“Wilson, awak dengar sini. Suzanne bukan kekasih awak.
Faham?” kenyataan yang dikeluarkan agak pedas sehingga mencetuskan kontroversi.
Wilson tidak mahu berfikir panjang lagi.
“Dasar anak banduan tak guna!” Wilson menghayunkan
penumbuknya ke arah perut Haidar. Haidar pada awalnya agak terkejut namun dia
secara refleks berundur ke belakang, cuba untuk mengelak. Wilson terus
menyerang menggunakan tangan kirinya. Kali ini, tumbukan disasarkan kepada
bahagian muka dan sasaran tepat terkena. Haidar terasa panas sekali di pipi.
Dia mengusap-usap pipinya.Tanpa berlengah masa, kini tiba gilirannya pula untuk
membalas. Haidar mengangkat kakinya untuk dilayangkan tepat ke bahagian perut
lawan tetapi berjaya ditangkis. Wilson yang tertolak sedikit ke belakang pantas
mengambil kesempatan memegang kaki Haidar dan memulasnya jatuh ke atas tanah.
Suzanne menjerit berkali-kali meminta pergaduhan dihentikan. Tidak ada sesiapa
pun yang mahu masuk campur urusan Wilson.
Haidar menahan kedua-dua penumbuknya di atas bumi dan cuba
untuk bengkit kembali. Dengan pantas berbekalkan tenaga yang tersisa, tangannya
segera mencari tempat untuk mendarat ke kepala Wilson dan akhirnya berjaya
mengenai pipinya. Serangan terbalas. Wilson bertambah geram dan bertekad untuk
menggunakan kakinya pula. Kaki kanannya diangkat tinggi ke udara, sedikit
sahaja lagi untuk mengenai kepala Haidar dan...
“Berhenti!”
Wilson menjatuhkan kakinya ke atas tanah. Tangisan yang
tertahan di tubir mata Suzanne sudah pecah. Air mata merembes laju membasahi
pipinya. Kedua-dua matanya dipejamkan erat, tidak sanggup lagi menonton drama
siaran langsung di hadapannya itu. Wilson tidak sampai hati melihat Suzanne
menangis. Begitu juga Haidar. Suasana bertukar sepi.
“Suzanne, please stop crying,” Wilson cuba memujuk.
“Wilson, berhenti. Saya dan Haidar cuma kawan, sama macam
kita. Saya bukan teman wanita awak. Saya ke sini untuk belajar dan berkawan.
Bukan untuk mencari lawan. Saya tak suka awak sesedap hati mengaku kita
pasangan kekasih dan paksa saya untuk buat benda yang saya tak suka. Saya minta
maaf,” Suzanne tertunduk. Wilson terkesima. Tidak percaya.
“I’m sorry.” Cuma itu sahaja yang mampu terkeluar dari
mulutnya.
Suzanne menarik basikal Haidar mengikutinya. Haidar turut
bergerak mengikut basikalnya. Rakan-rakan Wilson menenangkannya. Suzanne
tersenyum. Akhirnya, semua yang terpendam sudah dilepaskan jua. Dan terima
kasih kepada Haidar, dia mendapat kekuatan untuk meluahkan perasan yang terbuku
dalam hatinya.
“Terima kasih Haidar.”
“Saya yang patut berterima kasih. Terima kasih sebab sudi
berkawan dengan saya. Saya gembira kita dapat berkawan seperti biasa. Cuma,
saya sedih Farouq masih bersikap dingin terhadap saya,” Haidar melepaskan
keluhan nafas kecil. Hatinya begitu sakit. Seorang yang dahulunya bergelar
sahabat, menjadi seperti orang asing sahaja baginya kini. Namun, dia belajar
untuk bersyukur dengan segala yang Allah telah kurniakan kepadanya dan Haidar
yakin akan qada' dan qadar Tuhan.
“Tunggu sekejap!” Suzanne dan Haidar menoleh ke belakang.
Mereka melihat Abdul Ghani yang bersungguh-sungguh mengayuh basikal untuk
mengejar mereka. Kedua-duanya tertawa.
“Apa ni jalan berdua-duaan. Haish!” Abdul Ghani sempat
memarahi sebelum tunggangannya menjadi tidak terkawal akibat terlanggar batu
besar dan menyebabkan tubuhnya yang kecil itu terjatuh serta songkoknya
tercabut dari kepala. Meskipun mendapati perkara itu lucu, Haidar bergegas
mendapatkan Abdul Ghani untuk menghulurkan tangannya dengan harapan rakannya
itu akan menyambutnya.