Bismillahirrahmanirrahim.
Hari Ahad. Ahad di sini memang sunyi. Semua kedai ditutup
dan kalau berjalan keluar pun, dah macam kawasan zombie dalam filem thriller.
Ok, lebih-lebih pula. Semalam saya membuat carian di Google dan menjumpai flea
market di Regensburg yang buka pada hari Ahad. Jadi saya mengajak Zira untuk
pergi ke flea market. Kami keluar rumah seawal jam 8 pagi dan saya bawa beg
besar untuk mengisi barangan yang bakal dibeli di flea market, sebab dengar
cerita semua barangan boleh didapati dengan harga yang murah di situ. Tapi bila
sampai ke kawasan tersebut, flea market tu tak ada, tutup. Kalau nak pergi
kedai lain pun, semua tutup hari ini jadi kami pun naiklah bas untuk pulang ke
haus.
Waktu dalam bas, Anja menghantar pesanan WhatsApp mengajak
ke Walhalla. Katanya diajak oleh Ariana dan yang lain-lain. Dah alang-alang
naik bas tu, saya dan Zira pun turun di Haupbahnhof (Hbf) dan berjanji untuk
bertemu yang lain di situ. Plan nak pergi flea market, tiba-tiba entah macam mana ke Walhalla pula. Dahlah pakai baju biasa-biasa. Eheh. Tak lama kemudian, saya berjumpa dengan Anja, Felia,
Ariana, Vesa, Albiona, Ali dan Parag. Kami membeli bekalan makanan siap-siap di
Hbf sebab di Walhalla tak ada tempat yang menjual makanan dan minuman. Saya
membeli croissant coklat dan wafel di Norma. Kami terpaksa menunggu sehingga
satu jam kerana terlepas bas. Bas hari Ahad memang tak banyak, sebab tu kena
tunggu lama.
Bila bas sampai, kami berpisah dengan Zira sebab kakinya
melecet dari hari tu dan kalau nak naik Walhalla ada banyak tangga, jadi Zira
pun balik ke haus. Tinggallah kami berlapan untuk meneruskan perjalanan. Untuk
ke Walhalla, kami boleh guna pas tiket bas sebulan kami, sebab Walhalla berada
di dalam Regensburg walaupun agak jauh sikit. Tiket kami boleh cover semua
tempat dalam Regensburg dan beberapa tempat tertentu di luar Regensburg yang
berhampiran kalau tak salah saya. Jadi ringkasnya, tak kena sebarang bayaran
pun untuk ke sana. Setelah jauh perjalanan duduk dalam bas, akhirnya kami pun
tiba di perhentian bas yang menuju ke destinasi kami.
Kalau nak digambarkan Walhalla ni, dia ibarat sebuah
bangunan peringatan yang dibina atas bukit, bertujuan untuk mengikuti
tokoh-tokoh terkenal zaman dulu. Hasil carian Google, Walhalla ni nama asalnya
Stringer’s Creek tapi pada tahun 1869 ditukar kepada Walhalla. Walhalla ni
datang dari perkataan Valhalla yang bermaksud ‘the hall of immortality’ dalam
mitos Norse (Utara Jerman) di mana tempat bersemadinya para pejuang yang
terkorban dalam peperangan.
Kami mendaki tangga ke atas dan mengambil foto-foto pemandangan yang menarik dari atas. Saya seorang saja yang tidak menggunakan fon sebab dah habis bateri sebelum mula perjalanan lagi. Semenjak sampai ke Jerman, semakin banyak pula fon ni buat hal. Maka terpaksalah saya menumpang IPhone si Anja dan memenuhkan galerinya untuk bergambar. Pemandangan dari atas Walhalla memang menarik dan rugi rasanya kalau tak bergambar setelah penat mendaki tangga yang tinggi tu. Banyak sudut jugalah di Walhalla tu kami bergambar. Kalau nak masuk ke dalam Walhalla dan melihat sculpture, perlu membayar 4,50 Euro per kepala. Lebih kurang RM20 macam tu. Kami semua tak masuk ke dalam, cuma di luar sahaja.
Vesa bangun dan katanya nak berjalan sekejap pusing Walhalla. Saya memutuskan untuk mengikut Vesa. Kami berdua berbual sambil berjalan di keliling Walhalla, melihat pemandangan, bergambar dan akhirnya duduk di tangga Walhalla. Agaknya sudah lama kami menghilang, Parag, Ali, Anis dan Ariana datang mencari kami. Kami duduk di tengah-tengah tangga Walhalla tanpa peduli keramaian orang di situ. Ketika itu, pandangan kami menangkap sebuah situasi yang cukup menarik. Saya melihat seorang lelaki yang sedang memegang belon-belon berwarna merah ditemani oleh seorang lelaki yang botak. Tidak jauh dari situ, dua orang perempuan sedang berbual sambil melihat telefon bimbit, mungkin sedang bercakap tentang gambar yang diambil oleh mereka. Lelaki botak tadi menghampiri arah mereka. Perempuan itu berpaling ke belakang, dan si lelaki itu melutut. Dia melamar perempuan tersebut. Saya tak dapat menangkap perbualan mereka kerana agak jauh, tapi cukup jelas untuk saya lihat. Selepas perempuan itu bersetuju, semua yang menyaksikan kejadian di Walhalla itu bertepuk tangan untuk mereka. Mereka kemudian berpelukan.
Rakan-rakan perempuan saya di sebelah semuanya tiba-tiba kata nak kahwin cepat. “Then ask your boyfriends to propose you guys already,” kata saya kepada mereka. “Okay, maybe not this fast,” Ariana membalas. Kami ketawa terhibur. Tak lama kemudian, seorang tourist yang mungkin ternampak kami berselfie di tangga, offer untuk menangkap gambar kami. Kami berjaya mendapat gambar yang cantik sebagai memori di Walhalla, Regensburg.
Setelah agak lama di situ, kami kembali ke Anja, Felia dan
Albiona di tempat piknik yang sedang berehat dan menjaga beg kami. Dari tempat
kami berpiknik tu, kami dapat melihat beberapa pasangan yang sedang menari di
Walhalla. Semuanya kelihatan gembira. Disebabkan Ariana cemburu, dia memasang
lagu Perfect oleh Ed Sheeran dan mula berdansa bersama Vesa. Situasi di
Walhalla petang Ahad itu bagi saya adalah situasi yang mungkin hanya pernah
saya tonton dalam televisyen atau baca di dalam novel. Piknik, pemandangan cantik,
orang melamar, lagu dan dansa serta kawan-kawan. Sangat menenangkan. Saya harap
saya dapat video call keluarga atau orang dari Malaysia masa tu tapi fon tak
ada bateri pula. Sayang.
Sebelum jam 6 petang, kami akhirnya turun dari bukit untuk mengejar
bas. Kalau terlepas, nanti kena tunggu sejam lagi pula. Alhamdulillah, kami
semua berjaya naik bas dan pulang ke rumah masing-masing. Bagi saya, saya tak
kisah kalau ada peluang lagi untuk ke Walhalla walaupun terpaksa memanjat
tangga. Bagi saya tak adalah tinggi sangat tangga di Walhalla tu sebab rasanya
saya pernah menaiki tangga yang lebih banyak dari itu. Harapnya satu hari nanti
mungkin saya boleh ke sana lagi. InsyaAllah.
Sampai bertemu lagi dalam penulisan seterusnya.
22 September 2019
Regensburg