Monday, 16 September 2019

Misi Mencari Kedai Pakaian Second Hand di Regensburg


Bismillahirrahmanirrahim.

Saya terlepas untuk update tentang hari kesepuluh saya di Regensburg, jadi anggap sajalah penggunaan ‘hari ini’ dalam entry ini adalah hari yang kesepuluh. Saya taklah bercadang untuk update setiap hari, cuma disebabkan rasa ada benda nak kongsi sikit, saya akan share juga cerita hari kesepuluh.

Hari ini, saya tak ada kelas atau program dalam tentatif. Hari bebas. Jadi hari ini, saya dah mula memasak di haus walaupun belum ada rice cooker. Saya gunakan saja periuk yang ada di haus untuk memasak nasi. Disebabkan kalau nak cari ayam kena pergi Al-Medina Markt atau Haupbahnhof yang agak jauh, maka saya cuma goreng telur, kentang dan makan bersama ikan bilis yang bawa dari Malaysia. Bukannya saya makan banyak pun. Cuaca sekarang pun dah bertukar panas, tak macam hari-hari awal saya di Regensburg. Mungkin nanti bila rajin sikit saya akan buat misi mencari ayam di Regensburg.

Selepas Zohor, saya dan Zira membuat misi mencari kedai pakaian second hand. Berdasarkan maklumat dan review yang telah saya Google, terdapat beberapa kedai menjual baju terpakai di Regensburg. Ada dua kedai yang menarik perhatian saya iaitu kedai ReSales dan Peacehand Secondhand yang kebetulan terletak tidak jauh antara satu sama lain. Kami menaiki bas dan turun di perhentian Fischmarkt, berhampiran dengan stone bridge Regensburg. Tak lama kemudian, kami pun menemui kedai ReSales yang dicari. 


Terdapat dua tingkat kedai, dari pakaian kanak-kanak sehinggalah pakaian dewasa. Dirndl (pakaian tradisional Jerman) juga dijual di sini. Harga untuk pakaian kanak-kanak boleh dapat dalam 2 Euro ke atas manakala pakaian remaja atau dewasa boleh didapati dari harga 4 Euro ke atas. Terdapat juga baju-baju berjenama (branded) yang dijual di sini. Saya tak adalah pakar sangat tentang brand baju, tapi Zira yang bagitahu tentang jenama-jenama baju ni.


Saya ingin mencari jaket untuk musim ini dan autumn dulu memandangkan saya cuma bawa sweater saja dan tiada jaket. Jaket yang dibawa pun jaket untuk winter. Dan orang di Jerman pun tak pakai sangat warna-warna striking, rata-rata cuma pakai jaket hitam, coklat atau jaket denims. Ada banyak saiz jaket yang ditawarkan dan saya akhirnya memilih satu jaket coklat untuk kegunaan kasual. Jaket hitam yang lain terlebih besar atau terlebih kecil. Dan harga lebih mahal sedikit berbanding yang coklat tu. Jadi saya membelinya dengan harga 8,90 Euro (lebih kurang RM40). Mahal juga tu kalau convert ke duit Malaysia, tapi kalau dah duduk di Jerman memang harga tu dah dikira murah.

Kemudian kami membelek-belek pakaian di bahagian dirndl sebab Zira teringin nak beli. Setelah membandingkan beberapa helai dirndl, Zira membeli sehelai dirndl labuh yang berlengan panjang. Jarang nak jumpa dirndl lengan panjang dan labuh sampai ke buku lali ni. Tak tahu pula bila masa dia nak pakai dirndl. Mungkin October Fest nanti. Setelah itu saya membelek bahagian tshirt, dan jumpa sehelai tshirt kasual yang saya suka. Harganya 4,90 Euro (RM22). Wah bila convert macam ni dah dalam RM60 juga untuk dua helai pakaian tapi rasanya harga jaket tu kalau di Malaysia pun memang dah mahal. Terdapat juga beg dan jenis pakaian lain yang dijual di ReSales. 

Setakat ini, saya boleh recommend kedai ReSales kepada sesiapa yang berhasrat nak ke Regensburg. Belum jumpa kedai-kedai atau car boot sales lagi ni. Apa yang menarik tentang kedai ni, ada diskaun 50% kepada pelajar pada hari Isnin pertama setiap bulan. Jadi dia memang nak suruh saya datang setiap bulan ni. Dan ada cop juga kalau kumpul, boleh dapat diskaun. Pekerja yang bekerja di situ juga ramah dan mesra melayan pelanggan. Kali ini, ulasan di Google tak menipu. Zira membeli lebih banyak baju di ReSales, padahal saya yang mengajak dia ke situ.

Selepas selesai membuat pembayaran, kami bergerak pula ke lokasi kedua iaitu kedai Peacehand Secondhand. Tak susah pun nak cari. Tapi pakaian di kedai Peacehand ni harganya lebih mahal sedikit berbanding kedai ReSales tadi. Cuma kalau nak beli pakaian winter di situ, banyak juga pilihan yang cantik dan menarik. Terdapat juga kasut dan beg yang dijual dengan harga diskaun. Ada juga beberapa baju winter yang menarik di situ dengan harga 20 Euro ke bawah, tapi mungkin saya akan cuba mencari tempat-tempat lain yang mungkin menawarkan harga lebih murah. Akhirnya kami tidak melakukan sebarang pembelian di Peacehand. Elok juga kami masuk ReSales dulu sebelum Peacehand, tak adalah menyesal kalau terbeli pakaian di yang lebih mahal dari ReSales. 

Setelah itu, kami singgah di stone bridge dulu untuk menikmati pemandangan sebelum pulang ke haus. Untuk hari ini, saya dah belanja dalam 13 Euro. Kira sikitlah tu. Haha. Nanti saya akan cari lagi kedai pakaian yang murah atau car boot dari semasa ke semasa. Harap dapat jumpalah baju yang harganya sekitar 2-4 Euro macam tu.

Saya kongsikan juga gambar-gambar di sekitar Stone Bridge untuk tatapan semua.





Saya harap anda akan ikuti entry saya yang seterusnya, sebab entry selepas ini lebih menarik tentang trip saya ke Wurzburg! Jumpa di entry seterusnya.

Regensburg 5:51 pm 15 Sept
Malaysia 11:51 pm 15 Sept

No comments:

Post a Comment